Saturday, 8 February 2020

Amalan Harian Untuk Dijaga

Thursday, 13 June 2019


Amalan Harian

Amalan Harian Yang Perlu Dijaga Secara Istiqamah:
1. Solat Tahajud di waktu ¾ malam sekurang-kurangnya 2 rakaat & solat sunat Witir sekurang-kurangnya 1 rakaat sebelum masuk waktu Subuh. Tahajjud merupakan jalan orang-orang yang soleh, amalan para Nabi dan Wali-wali Allah yang terdahulu. Jangan ditinggalkan.
2. Selepas Subuh, zikir 300pagi {100x [tasbih,tahmid dan takbir], 100x selawat & 100x istighfar}. Zikir sangat penting kerana semasa kedatangan Dajjal hanya zikir sebagai sumber makanan dan minuman. Hanya orang yang benar-benar jaga zikir sahaja mempunyai sumber makanan dan minuman pada waktu itu. Selainnya akan mengikut Dajjal untuk mendapat makanan dan minuman.
3. Kemudian bacalah surah Yasin- Allah janji segala hajatnya pada hari itu akan dipenuhi.
4. Kemudian selepas 26 min naik matahari, solat sunat Isyraq 4 rakaat- Allah janji akan menolong kamu menyempurnakan segala urusanmu pada hari itu.
5. Kemudian solat sunat Dhuha, boleh dilakukan bermula 20 minit selapas Isyraq (di antara jam 8-12 tghari). Nabi SAW bersabda: “Sesiapa mengerjakan solat Dhuha 2 rakaat, dia tidak tergolong di dalam golongan orang-orang yg lalai dan lupa.” Solat Dhuha juga memudahkan urusan dan memberkati rezeki.
6. Selepas solat Zohor, bacalah surah Ar-Rahman- Nabi SAW bersabda: “Segala sesuatu itu mempunyai mempelai, dan mempelai bagi Al-Quran adalah surah Ar-Rahman.” Surah Ar-Rahman menanam sifat syukur di dalam hati atas nikmat-nikmat Allah dan dengan amalan membaca Surah Ar-Rahman juga sangat baik untuk meningkatkan kecerdasan otak.
7. Selepas solat fardhu Asar, zikir 300 petang, {100x [tasbih,tahmid dan takbir], 100x selawat & 100x istighfar}.
8. Kemudian baca Surah An-Naba’ – Nabi SAW bersabda: “ Jika kamu tahu fadhilat dan besarnya pahala membaca surah An-Naba’, maka kamu akan berhenti daripada tugas-tugas kamu, lalu mempelajari surah tersebut dan mendekatkan diri kepada Allah dengan membacanya. Sesungguhnya Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka yang mengamalkan membacanya selain dosa syirik.”
9. Selepas solat Maghrib, solat sunat Auwabin-Allah janji akan memberi keampunan terhadap dosa-dosa melainkan dosa syirik kepadaNya.
10. Kemudian bacalah surah Al-Waqiah-Allah janji sesiapa yang istiqamah mengamalkannya pada setiap malam, kebuluran & kemiskinan tidak akan menemuinya.
11. Selepas Isya’ bacalah surah Al-Mulk-Allah janji akan memelihara daripada azab kubur. Nabi SAW tidak akan tidur selagi tidak membaca surah Al-Mulk dan surah As-Sajdah.
12. Setiap malam bacalah Ayatul Kursi dan “Amanar-Rasul” hingga habis. Sangat-sangat penting untuk melindung diri daripada pengaruh syaitan dan kejahatan
13. Sebelum tidur, solat sunat Taubat dan tidur beradab seperti mana Nabi SAW tunjuk ajar.
14. Setiap malam apabila hendak tidur, Muhasabah diri, pohonlah keampunanmu kpd Allah diatas dosa-dosa dan bagi setiap amalan yang baik, nyatakan kesyukuranmu kepada Allah.
15. Sebelum tidur fikirkan dan renunglah(muqarabah) juga mengenai mati dan peristiwa-peristiwa selepas maut. Muqaraba adalah perlu untuk membentuk sifat Taqwa.
16. Setiap hari bacalah al-Quran (Tilawatul Quran) walaupun hanya satu ‘ain’. Latihan tilawah sangat memberi kesan kepada hati. Hati yang tidak ada al-Quran seumpama hati yang mati. Pembacaan Al-Quran janganlah ditinggalkan. Hak Al-Quran adalh perlu dikatamkan dua kali setiap tahun.
17. Setiap pagi Jumaat bacalah surah Al-Kahfi, kalau tak mampu habiskan seluruh surah, bacalah seberapa banyak yang boleh- Allah janji ‘cahaya’ di hari kiamat dan diampunkannya diantara dua Jumaat. Nabi SAW bersabda: ‘Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka bersinarlah cahaya drpd bawah kakinya hingga ke langit.’
18. Hendaklah hati & lidah sentiasa sibuk dengan berzikir didalam apa jua kegiatan sama ada berjalan, duduk atau bekerja. Berzikirlah ‘Lailahailallah’ sebagai amalan tetap dan berkekalan.
19. Puasa sunat Isnin & Khamis, juga puasa sunat pada hari-hari yang digalakkan dalam Islam. Untuk puasa-puasa sunat, mintalah keizinan daripada suami-suami kamu.    
  
20. Cubalah sedaya-upaya berada dalam keadaan berwudhu’. Sabda Nabi SAW: ‘Wudhu’ adalah senjata orang-orang mukmin.’ Faedah wudhu’ sangat besar.
21. Tatkala Haid, jangan tinggalkan zikrullah. Meninggalkan zikir akan mengeraskan hati dan melayukan cahaya rohaniah bagi hati.
22. Tetaplah dengan usaha kamu melawan hawa nafsu. Jagalah mata, telinga, lidah dan hati. Mengumpat dan mengata-ngata orang lain adalah bencana yang sangat besar. Ia menghapuskan dan melenyapkan pahala dan kesan ibadat.
Amalkan sedikit demi sedikit yang mana mampu. Jika tidak mampu lakukan semua, jangan pula kita tinggalkan semua.
Selamat beramal. Semoga bermanfaat. In Sha Allah. Aamiin.


..........................


Sunday, 28 July 2019

Amalan Harian

CnP.
8 Amalan Ini Boleh Di Lakukan Dalam Masa ‘1 Minit’ Tetapi Ganjarannya Sangat Besar
Di dalam kesibukkan dunia hari ini, minit demi minit berlalu dengan cukup pantas. Sehinggakan timbul rasa menyesal di dalam diri kita kerana gagal mencari waktu dan masa untuk beribadah kepada Tuhan.
Kita selalu merasakan diri kitalah yang tergolong di dalam manusia yang rugi seperti firman Tuhan di dalam Surah al-Asr.
Namun, tahukah anda ada amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam masa satu minit sahaja, tetapi ganjarannya cukup besar. Ia boleh dilakukan ketika anda menunggu di lampu isyarat, menunggu bas atau teksi, berjalan menuju ke sesuatu tempat dan sebagainya. Berikut adalah amalan-amalan yang anda boleh praktikkan.
#1 – Membaca Surah Al-Ikhlas
Di dalam masa satu minit, kita boleh membaca sekitar 10 kali Surah Al-Ikhlas. Ia adalah surah yang cukup mudah untuk dihafal dan ia adalah surah yang cukup popular untuk dibaca di dalam solat apabila kita mengejar masa. Nabi Muhammad S.A.W juga ada bersabda;
Siapa yang membaca qul huwallahu ahad sampai akhir (Surah Al-Ikhlas) sebanyak sepuluh kali, maka akan dibangunkan baginya rumah di syurga. (Hadis Riwayat Ahmad)
Jadikan membaca surah al-Ikhlas sebagai amalan mengisi masa terluang, Insyallah kita akan memperolehi rumah di Syurga!
#2 – Berselawat Ke Atas Rasulullah S.A.W
Kita memang dianjurkan untuk sentiasa berselawat kepada baginda Nabi Muhammad S.A.W kerana bagi setiap selawat, Tuhan akan memberi 10 kali salam kepada kita. Salam di sini bermaksud dirahmati kehidupan kita, dipermudahkan urusan kerja dan sebagainya.
Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda. (Hadis Riwayat Muslim)
Di dalam masa satu minit, kita boleh berselawat melebihi dari 30 kali atau jika kita melafazkan selawat pendek ia boleh mencecah sehingga 100 kali.
#3 – Beristighfar Memohon Keampunan
Setiap kali kita beristighfar, Tuhan akan memberikan kegembiraan, kelapangan dan memberi rezeki dari arah yang kita tidak sangka. Seperti sebuah hadis baginda Nabi Muhammad S.A.W;
Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, kelapangan bagi setiap kesempitannya dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Di dalam satu minit, kita boleh beristighfar sekitar 30 kali dengan penuh penghayatan atau sekadar menggunakan lafaz pendek “astaghfirullah hal adzim”, boleh dilafazkan sekitar 100 kali.
#4 – Bertanya Khabar Keluarga
Dengan wujudnya pelbagai kemudahan seperti media sosial pada hari ini, kita hanya perlukan satu minit untuk bertanyakan khabar ahli keluarga yang terdekat. Dengan satu pesanan SMS atau Whatsapp sahaja sudah boleh mengetahui keadaan ahli keluarga tersayang.
Itu juga sudah dikira sebagai menghubungkan silaturahim. Sabda Nabi Muhammad S.A.W;
Barangsiapa yang suka diluaskan rezekinya dan ditangguhkan kematiannya, hendaklah ia menyambung silaturahim. (Hadis Riwayat Bukhari)
#5 – Lafaz Tasbih
Dua kalimah yang ringan di mulut, tetapi berat di timbangan, serta disukai oleh Allah Yang Maha Pengasih iaitu subhanallah wa bihamdihi, subhanallah hil adzim. (Hadis Riwayat Muslim)
Dengan dua kalimah yang sangat mudah untuk dilafazkan ini ia boleh membantu kita pada hari akhirat kelak dengan memberatkan timbangan amalan kita. Bukan itu sahaja, kita juga akan disukai oleh Tuhan Sang Pencipta Alam.
Dalam masa satu minit, kita boleh melafazkan tasbih ini sekitar 40-50 kali.
#6 – Akui Semua Kejadian Adalah Kehendak Tuhan
Ayat kalimat ini sangat ringkas tetapi mempunyai manfaat yang luar biasa. Kita biasanya melafazkan ayat ini ketika mendengar guruh yang kuat di langit. Tetapi Nabi Muhammad S.A.W juga ada bersabda;
Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’, kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga. (Hadis Riwayat Bukhari)
Bayangkan dengan lafaz mudah ini, ia boleh menjadi satu simpanan pahala yang berharga di syurga. Di dalam satu minit, kita boleh melafazkan kalimat ini sekitar 30 kali.
#7 – Mendoakan Orang Lain
Dalam satu minit kita boleh berdoa untuk sesiapa sahaja, Insyaa Allah Tuhan juga akan memberikan doa yang sama buat kita.
Contohnya ketika kita dalam perjalanan ingin pergi bekerja, kita melihat seorang peminta sedekah, maka kita terus berdoa kepada Tuhan, “Ya Tuhan, murahkanlah rezeki si fulan”. Insyallah kita juga akan turut dimurahkan rezeki!
Mulai hari ini, jangan lupa mendoakan orang lain. Nabi Muhammad S.A.W bersabda;
Barangsiapa yang mendoakan mukmin lelaki ataupun perempuan, nescaya Allah akan memberi pahala kebaikan dari setiap mukmin lelaki dan perempuan yang didoakannya. (Hadis Riwayat al-Thabarani)
#8 – Sebarkan Kebaikan
Di zaman dunia di hujung jari ini, cukup mudah untuk kita sebarkan kebaikan. Setiap kebaikan yang kita panjangkan kepada orang lain, mereka akan mendapat manfaatnya. Jika orang lain mempraktikkan apa sahaja kebaikan tersebut, kita juga akan mendapat pahala penuh mereka.
Seperti sabda baginda Nabi Muhammad S.A.W;
Barangsiapa yang mengajak kepada petunjuk, maka ia akan mendapat pahala orang yang mengikutinya, yang demikian itu tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. (Hadis Riwayat Muslim)
Contoh mudah, dalam masa satu minit anda boleh berkongsi artikel ini kepada rakan-rakan anda. Apabila mereka mempraktikkan amalan-amalan yang telah dinyatakan, anda juga mendapat manfaatnya!
Kesimpulan
Sekarang terpulang kepada diri kita sendiri bagaimana ingin mempraktikkan amalan-amalan yang ringan tetapi besar ganjarannya di atas.
Jika kita bijak mengisi masa yang ada dengan amalan-amalan ini, Insyaa Allah kita juga akan merasai perubahan besar di dalam hidup kita.
Amalan-amalan ini juga adalah satu bukti bahawa Tuhan sangat menyayangi hamba-hamba-Nya dengan memberikan ganjaran yang luar biasa walaupun sesuatu amalan tersebut terlalu mudah untuk dipraktikkan.

No comments:

Post a Comment