Monday, 28 May 2018
Nota 2013 - Tanggungjawab ibu bapa kepada anak dan Tanggungjawab anak2 pada ibu bapa.
TANGGUNGJAWAB IBU BAPA, TANGGUNGJAWAB ANAK-ANAK
TANGGUNGJAWAB IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK VS TANGGUNGJAWAB ANAK-ANAK TERHADAP IBU BAPA
MUKADDIMAH
Kata Syaidina Ali – ajarlah anak-anakmu sesuai dengan zamannya.
Kata Syaidina Ali – ajarlah anak-anakmu sesuai dengan zamannya.
Anak-anak adalah amanah Allah. Kerana itu, tugas mendidik dan mengajar anak adalah tugas berantaian dan berterusan kerana kita bermula dengan anak dan selama-lamanya anak.
Yang membezakan sama ada kita anak atau ibu bapa hanyalah proses dan perjalanan serta pengisian kehidupan. Hukum alam yang telah ditetapkan Allah Azzawajalla terhadap ciri dan proses kehidupan ini sudah sekian lama diwarisi dan terlaksana.
Yang mengzahirkan kita di dunia ini adalah ibu dan bapa. Kemudian kita dibesarkan oleh mereka sehingga kita dewasa. Proses kedewasaan itu kemudiannya menjadikan kita sebagai ibu bapa dan insya-Allah akan pula nantinya memperolehi zuriat yang kita namakan anak. Rutin kehidupan serta perjalanan dan kehendak tuntutan-Nya sedemikian, menjadikan semua orang sebagai anak yang dipimpin ibu bapa dan kemudiannya pula sebagai ibu bapa yang wajib memimpin anak-anak.
Justeru jalinan dan perjalanan panjang menyempurnakan amanah dan tanggungjawab ini adalah ibarat rumpun pepohonan yang rendang dan bertautan. Dalam mendidik dan menjaga hubungan dengan pewaris ini (ibu bapa – anak – ibu bapa), hendaknya janganlah kita menjadi seperti dahan yang tidak bersentuhan, walaupun hidup pada pohon yang sama. Menafikan amanah bermakna kita tidak bertanggungjawab sekali gus menafikan suruhan dan kehendak Allah.
TANGGUNGJAWAB IBU BAPA TERHADAP ANAK-ANAK
Manusia sebagai hamba Allah yang diciptakan dan lahir di dunia ini, antara yang wajib disempurnakan ialah memenuhi amanah dan menunaikan tanggungjawab. Sebagai insan yang akhil baligh, amanah dan tanggungjawab wajib ditunaikan dengan sempurna. Tanggungjawab itu ialah salah satu amanah yang telah ditolak oleh langit dan bumi tetapi diterima oleh manusia apabila dibentangkan oleh Allah s.w.t. kepada makhluknya. Amanah untuk memimpin, sama ada berskala kecil atau besar, sudah pasti menuntut 1001 macam komitmen.
Sebagai ibu bapa yang menjadi pemimpin sesebuah keluarga, anak ialah kurniaan yang Allah amanahkan kepada untuk kita menjaga dan memelihara mereka dengan baik mengikut landasan Islam. Ibu bapa wajib bertanggungjawab, bukan sahaja di dunia malahan melaksanakan atau mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan itu akan turut disoal di hadapan Allah di akhirat nanti.
Menyempurnakan didikan anak menjadi tuntutan apa sekali pun agama di dunia ini. Dalam Islam, memenuhi amanah dan menunaikan tanggungjawab Allah untuk memberikan didikan sempurna kepada anak-anak adalah kewajipan ibu bapa yang perlu diusahakan dengan bersungguh-sungguh mengikut lunas Islam.
Tegasnya mendidik anak-anak beragama itu adalah wajib hukumnya. Sabda Rasulullah s.a.w., “hendaklah kamu pastikan anak-anakmu belajar agama dan hendaklah kamu baguskan akhlaknya”.
Setiap anak yang dilahirkan itu bersih fitrahnya. Justeru menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk melentur serta mencorakkan baik buruknya kehidupan mereka.
Sabda Nabi Muhamad s.a.w. lagi,”semua anak yang dilahirkan adalah seumpama kain putih, berkeadaan suci dan bersih. Maka ibu bapalah berperanan mencorakkannya menjadikan mereka sama ada yahudi, nasrasi atau majusi.”
Maksud hadis tersebut jelas meletakkan beratnya tanggungjawab dan bebanan yang terpaksa dipikul ibu bapa dalam menyempurnakan didikan kepada anak-anak mereka. Tersasarnya didikan dan ajaran, tidak mustahil akan turut sama menjerumuskan anak-anak ke lembah terlarang. Kerana kealpaan, kesalahan dan kesilapan mendidiklah, maka anak-anak menjadi tidak keruan kehidupannya dan disaluti pelbagai masalah moral dan social
Lebih mendukacitakan, anak-anak yang terpesong didikan ini akan tersasar arah dan tergelincir daripada landasan dan lajur kehidupan hakiki yang diredhai. Mereka bukan hanya terbatas kepada tabie mengotori jiwanya dengan sikap berpoya-poya, malahan akan terdorong kepada perlakuan negatif yang menyakitkan hati dan meracuni minda seterusnya tidak mustahil mereka akan gagal mengawal dan menguasai diri waima sehingga menderhaka kepada ibu bapa mereka sekali pun.
Hasilnya, usah ditangisi andainya anak kita nanti menjadi anak yang liar. Berhadapan dengan kondisi sebegini, sebab dan akibat perlu dijadikan panduan semula, bukannya keluhan dan kekesalan. Apa lagi andai kita baru tersedar dan mengeluh tanpa memeriksa kesilapan dan menyalahkan diri, sebaliknya kita seolah-olah secara pantulannya menyalahkan anak-anak. Lebih teruk kalaulah orang lain pula yang menjadi sasaran memikul kesalahan daripada kealpaan kita sendiri.
Apa pun, ibu bapa sebegini perlu insaf dan mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku itu sebenarnya, adalah berpunca daripada kecuaian dan pengabaian mereka dalam menyempurnakan amanah dan tanggungjawab kepada anak-anak. Ibu bapa bersikap mudah terhadap tanggungjawab memberi didikan sempurna dan betul sambil turut meminimunkan tahap kecaknaan mereka kepada didikan agama yang sewajarnya.
Didikan dan ajaran pada landasan agama yang betul sudah termaktub begitu banyak di dalam kitab suci al-Quran mahupun melalui hadis-hadis nabi. Contohnya, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,”perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika usianya 7 tahun dan pukullah dia bila mana tidak mahu mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan pisahkan mereka daripada tempat tidur.
Marhum Rasulullah itu secara jelas meletakkan peranan, tanggungjawab dan tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka terhadap tuntutan agama. Ahlul Kitab dalam mentafsir hadis berkenaan menekankan kepada wajibnya ibu bapa menegur dan menyuruh anak-anak mereka bersembahyang.
Hadis berkenaan juga, walaupun fokusnya hanyalah menyeru agar mendidik anak-anak tentang kewajipan bersembahyang dan memisahkan tempat tidur lelaki perempuan setelah berusia tertentu, namun secara jelas juga meletakkan tanggungjawab dan tugas ibu bapa dalam banyak lagi hal yang berhubungan dengan didikan yang betul, sempurna dan dituntut agama
Justeru, wahai ibu bapa yang dirahmati Allah sekalian, demi kasih sayang yang tidak berpenghujung jaraknya, demi kecintaan yang tidak terbatas lingkungannya kepada anak-anak kesayangan kita serta demi kesempurnaan dan kesejahteraan hidup berkeluarga dunia dan akhirat di sisi Allah Azzawajalla, marilah kita sama-sama memelihara, memulihara serta mencurahkan kesempurnaan didikan agama serentak dalam waktu yang sama menyulami kemesraan dan belai mesra kepada anak-anak kita dengan penuh tanggungjawab. Insya-Allah, ganjaran pahala yang berganda akan dikurniakan kepada ibu bapa yang baik terhadap keluarganya.
TANGGUNGJAWAB ANAK-ANAK TERHADAP IBU BAPA
Sabda Nabi s.a.w., ”apabila mati seorang anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali 3 perkara : sedekah jariah (yakni sedekah yang berkekalan), ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.
Demikian besarnya peranan anak terhadap kedua ibu bapanya sehingga Rasulullah s.a.w. bersabda sedemikian. Sudah pasti itulah janji Tuhan terhadap hamba-Nya yang patuh dan melaksanakan tuntutan-Nya
Yang jelas berdasarkan maksud hadis tersebut, anak yang soleh dan solehah sudah pastinya anak yang patuh dengan ajaran agama, beribadat, bersembahyang dan mendoakan kedua ibu bapanya – kesejahteraan, kerahmatan dan kelimpahan rahmat-Nya. Janji Tuhan tidak pernah dimungkari. Selain diberkati dan dilimpahi dengan pahala untuk anak-anak soleh solehah ini, ibu bapa mereka juga akan turut menikmati pahalanya sebagai balasan menunai dan melaksana amanah dan tanggungjawab mendidik serta mengasuh mereka
Doa daripada anak-anak juga dijanjikan keberkatan besar yang lain oleh Tuhan. Saat berada di alam kubur nanti, doa anak-anak yang soleh akan menyegarkan roh ibu bapanya. Analogi yang sesuai dengan situasi sebegini adalah seperti pohon kontang yang akan menjadi segar semula setelah disirami air. Begitulah mustajabnya anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya
Sebagai anak juga, selain berbakti, Islam menuntut supaya umat-Nya bersikap mulia serta menunaikan hak-hak kepada kedua ibu bapa mereka. Perkara ini bukan semata prasyarat malahan adalah tugas yang wajib dilaksanakan oleh seorang anak. Allah s.w.t. dengan kerasnya melarang anak menderhakai ibu bapanya, melakukan sesuatu sama ada dengan perbuatan atau perkataan yang mengguriskan dan mengecilkan hati, apa lagi melawan atau mengherdik kedua ibu bapanya. Perlakuan seumpama itu adalahperilaku yang membawa kepada dosa-dosa besar dan bersikap penderhakaan terhadap Allah.
Sebagai anak, sudah tentu tugas menjaga dan memelihara ibu bapa yang telah tua merupakan satu ujian besar kepada mereka. Dalam usia emas beginilah, ibu bapa sangat mengharapkan pembelaan, sangat mengharapkan kasih sayang daripada anakanaknya untuk mengisi sisa hidup mereka sementara masih berbaki. Sedarilah bahawa sesungguhnya binasalah kesejahteraan hidup mereka yang mempunyai ibu bapa yang sudah lanjut usianya, sedang mereka tidak berbakti kepada keduanya
Inilah ujian paling getir dan nyata untuk mengukur kesempurnaan tanggungjawab seseorang anak terhadap kedua ibu bapanya dan janji Allah s.w.t. untuk menafikan seseorang itu daripada mencium bau syurga-Nya adalah balasan yang maha adil.
Dek kerana besarnya pengorbanan ibu bapa terhadap anak anaknya, maka itulah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran atas layanan kita terhadap ibu bapa dibalas Allah secara tunai ketika di dunia lagi. Contohnya, jika kita mentaati mereka, anakanak kita nantinya akan turut mentaati diri kita, sebaliknya jika kita menderhakai mereka, anak-anak kita kelak tidak mustahil akan turut bersikap menderhaka kepada kita pula.
Allah terus memberi penghormatan kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup sehinggalah mereka meninggal dunia. Walaupun mereka telah meninggal dunia, anak-anak masih boleh menyumbang bakti. Hakikatnya sebagaimana kita wajib berbakti kepada kedua ibu bapa semasa mereka masih hidup, begitulah juga wajibnya bagi kita berbakti kepada keduanya sesudah mereka meninggal dunia.
Ini dapat dilakukan dengan banyak beristighfar dan berdoa untuk kesejahteraan mereka berdua, bersedekah, membayar semua hutang piutang serta melaksanakan semua wasiat, menghubungkan silaturahim dengan teman-teman serta kaum kerabat dan orang orang kesayangan mereka.
Semua ini merupakan manifestasi kebaktian semasa kedua ibu bapa kita masih hidup yang dapat diterjemahkan semula oleh anakanak yang soleh solehah setelah kedua ibu bapanya meninggalkan dunia fana ini
Hakikat yang perlu kita insafi ialah sesungguhnya anak anak sememangnya tidak mampu dan tidak terdaya untuk membalas jasa dan pengorbanan ibu bapa mereka. Walau setinggi manapun wang ringgit yang dilonggokkan, ia tidak akan sama dengan nilai dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa kepada anak mereka.
Pun demikian Tuhan maha adil dan maha mendengar. Semampunya, balaslah jasa kedua ibu bapa kita dengan apa yang wajar. Dan andai kewajaran juga yang membataskan balasannya, satu-satunya jalan paling mudah untuk membalas jasa mereka ialah tadahan tangan mengaminkan doa dan pertolongan Illahi pada setiap sempurnanya solat memohon agar mengekalkan kesejahteraan orang tuanya dunia akhirat. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan sebaik mungkin.
TIMBAL BALAS TANGGUNGJAWAB
Fahamilah hakikat bahawa, setiap kita adalah anak dan setiap kita juga dalam masa yang sama sebagai seorang ayah atau ibu. Sebagaimana kita mahukan anak-anak kita berbakti kepada kita sebagai orang tuanya, begitulah halnya dengan kemahuan keduaorang tua kita.
Rebutlah peluang dan masa yang masih tersisa ini untuk menjaga dan memelihara mereka yang telah berusia. Janganlah dibiarkan hati kedua orang tua kita tertutup untuk tinggal atau singgah ke kediaman kita hanya disebabkan layanan kita yang kurang memuaskan terhadap mereka. Sesungguhnya di sudut hati kecil mereka tersimpan sebuah pengharapan yang sangat mudah untuk difahami dan ditafsir oleh kita tetapi amat sukar untuk kita lakukan atau laksanakan
Justeru itu wahai ibu bapa sekalian, marilah kita memberi didikan kepada anak-anak kita seawalnya sebelum terlambat supaya mereka nantinya menjadi anak yang soleh dan solehah. Merealisasikan hasrat dan harapan sedemikian perlu dimulai dan perlu dibuktikan untuk diteladani oleh diri kita terlebih dahulu, dengan menjadikan diri kita sebagai anak yang soleh, anak yang suka mendoakan kedua ibu bapa kita dan anak yang sentiasa menyenangkan hati ibu bapa kita.
Akhirnya sebagai renungan - marilah sama-sama kita melapangkan keegoan kita untuk sama-sama kita membuka kotak fikir, apakah mungkin bicara-bicara berikut akan kita dengari luahannya daripada ibu bapa kita kepada kita sebagai anaknya, yang bukan mustahil turut sama diluahkan oleh kita kepada anak-anak kita, pada mana kita adalah ibu dan bapa kepada anak-anak kita.
Luahan rahsia dari lubuk hati ini mungkin terlalu sukar bagiseorang ibu atau bapa dilafazkannya dan tidak mustahil ia akan terusterpendam jauh di sudut hati.35. Mungkin inilah kata-kata mereka: “Wahai anak-anakku, bilasuatu hari nanti engkau mendapati diriku semakin tua, engkaubersabarlah dan fahamilah :
a.Jika aku mengotorkan diriku ketika makan dan sekiranya aku menghadapi kesukaran mengurus diriku, bersabarlah dengan diriku ini. Ingatlah waktu-waktu yang telah aku luangkan untuk mengajarmu tentang segala sesuatu ketika kamu masih kecil dahulu
b.Jika aku mengulangi perkara atau perbuatan yang sama setiap detik dan masa, JANGANLAH MENEGURKU dengan kasar. Dengarlah kata-kataku ini sewaktu engkau kecil engkau selalu memintaku supaya membacakanmu sebuah cerita yang sama, malam berganti malam sehingga kamu tertidur. DAN AKU MENURUTINYA DENGAN TAAT
a.Jika aku tidak membersihkan diriku setiap hari dengan air, usahlah menegurku dan memberitahuku bahawa ia memalukan dan menjijikkan. INGATLAH, berapa banyak cara dan alasan yang aku ciptakan untuk membuatkan kamu mandi semasa kamu kecil dahulu.
Jika satu ketika aku terlupa, tidak mampu mengikuti sesuatu perbualan, BERILAH MASA padaku untuk mengingatinya kembali dan jika aku masih tidak mengingatinya, janganlah engkau memarahi atau menjadi orang yang sombong. Kerana kalau kau tahu, aku amat gembira sekiranya senantiasa dapat berbual denganmu.
Dan jika aku menolak untuk makan, janganlah memaksaku. Pujuklah aku sebagaimana aku memujukmu menyuapkan makanan ke mulut kecilmu dulu.
Jika kaki tuaku tidak lagi mampu berjalan seperti sebelumnya, bantulah aku sepertimana aku pernah memaut tanganmu untuk mengajarmu memulakan langkah pertamamu.
Dan apabila aku memberitahumu bahawa aku payah mengharungi hidup ini, mungkin aku hampir dengan mati. Janganlah marah padaku kerana pada suatu hari nanti engkaupasti akan mengerti bahawa setiap manusia di dunia ini menunggu. Datuk nenekmu dulu menunggu aku dilahirkan dan sekarang giliran aku pula menunggu untuk mati.
A. Anakku, CUBALAH engkau fahami bahawa pada tahap usia sebegini, kami benar-benar lemah menghadapi hidup ini, namun kami cuba mengharunginya jua.
B.SUATU HARI nanti engkau akan faham bahawa setiap perkara yang aku lakukan kerana aku selalu inginkan yang terbaik untuk dirimu. Kau tidak perlu rasa sedih, malang dan lemah di hadapan usia tuaku. Cuma hendaklah kau sentiasa berada di sampingku, cuba fahami hidupku. Lakukan yang terbaik sepertimana yang pernah aku lakukan ketika kelahiranmu
Bantulah aku mengakhiri hidupku ini dengan penuh kasih sayang dan bersabar, diiringi senyum manismu, duhai anakanakku sayang!!!
PENUTUP
Usah kita lupa bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Tiada yang kekal selamanya. Dulu muda sekarang tua. Dulu cantik sekarang berkedut. Dulu sihat sekarang sakit. Dulu bergigi sekarang rongak. Dulu hitam berkilat rambutnya, sekarang bersilau putih. Dulu tampan segak, sekarang tempang bengkok. Dulu ramai kawan sekarang sendirian. Dulu berpangkat sekarang berehat (pencen). Dulu mewah sekarang tewas.
Yang kekal hanyalah tanggungjawab dan amanah. Kata ahli falsafah dunia, Confuseus - “kalau inginkan kemakmuran setahun, tanamlah padi, kalau inginkan kemakmuran sepuluh tahun, tanamlah buah-buahan dan kalau inginkan kemakmuran beratus tahun, tanamlah tanggungjawab terhadap manusia”
Justeru, kita jangan pernah takut untuk memimpikan yang mustahil, jika kita inginkan yang mustahil itu menjadi kenyataan.Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment