Nota Perkongsian 1.07.2020
Tadabbur Surah An-Nahl ayat 93-95.
Tema: Bagaimana menjadi Mukmin yang produktif.
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman
Alhamdulilah dan bersyukur kita kehadrat Allah swt dengan limpah kurniaNya dan nikmat di atas kita semua. Mudah mudahan Allah swt membukakan pintu khazanah ilmu untuk kita sehingga mendapat ilmu yang bermanfaat. Amin ya Raabal Alamin. Selawat dan salam tidak lupa kita sampaikan peruntukan untuk junjungan Nabi besar Muhammad saw.
وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَلَتُسْـَٔلُنَّ عَمَّا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan kalau Allah menghendaki, niscaya Dia menjadikan kamu satu umat (saja), tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan.
(An Nahl 16:93)
وَلَا تَتَّخِذُوٓاْ أَيْمٰنَكُمْ دَخَلًۢا بَيْنَكُمْ فَتَزِلَّ قَدَمٌۢ بَعْدَ ثُبُوتِهَا وَتَذُوقُواْ ٱلسُّوٓءَ بِمَا صَدَدتُّمْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ وَلَكُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpahmu sebagai alat penipu di antaramu, yang menyebabkan tergelincir kaki(mu) sesudah kokoh tegaknya, dan kamu rasakan kemelaratan (di dunia) karena kamu menghalangi (manusia) dari jalan Allah; dan bagimu azab yang besar.
(An Nahl 16:94)
وَلَا تَشْتَرُواْ بِعَهْدِ ٱللَّهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۚ إِنَّمَا عِندَ ٱللَّهِ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Dan janganlah kamu tukar perjanjianmu dengan Allah dengan harga yang sedikit (murah), sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.
(An Nahl 16:95)
......................................................................................................
وَلَوْ شَآءَ اللّٰهُ لَجَـعَلَكُمْ اُمَّةً وَّا حِدَةً وَّلٰـكِنْ يُّضِلُّ مَنْ يَّشَآءُ وَيَهْدِيْ مَنْ يَّشَآءُ ۗ وَلَـتُسْــئَلُنَّ عَمَّا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ
"Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam ugama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan."
وَلَا تَتَّخِذُوْۤا اَيْمَا نَكُمْ دَخَلًاۢ بَيْنَكُمْ فَتَزِلَّ قَدَمٌۢ بَعْدَ ثُبُوْتِهَا وَتَذُوْقُوا السُّوْٓءَ بِمَا صَدَدْتُّمْ عَنْ سَبِيْلِ اللّٰهِ ۚ وَ لَـكُمْ عَذَا بٌ عَظِيْمٌ
"Dan janganlah kamu jadikan sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana dengan yang demikian itu akan menyebabkan tergelincir kaki kamu sesudah ia tetap teguh (di atas jalan yang benar); dan kamu pula akan merasai balasan buruk (di dunia) dengan sebab kamu menghalangi manusia dari jalan Allah; dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar (di akhirat kelak).
وَلَا تَشْتَرُوْا بِعَهْدِ اللّٰهِ ثَمَنًا قَلِيْلًا ۗ اِنَّمَا عِنْدَ اللّٰهِ هُوَ خَيْرٌ لَّـكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ
"Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit; sesugguhnya apa yang ada di sisi Allah (dari balasan yang baik), itulah sahaja yang lebih baik bagi kamu, kalaulah kamu mengetahui."
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللّٰهِ بَا قٍ ۗ وَلَـنَجْزِيَنَّ الَّذِيْنَ صَبَرُوْۤا اَجْرَهُمْ بِاَ حْسَنِ مَا كَا نُوْا يَعْمَلُوْنَ
"(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."
(QS. An-Nahl 16: Ayat 93 - 96)
Pada pertemuan yang lepas, Allah SWT menjelaskan kepada kita perkara-perkara yang dilarang. Antaranya mengingkari janji yang sudah kita nyatakan. Allah SWT ingin bila kita sudah berjanji, kita tunaikan dan sempurnakan. Semasa berjanji kita telah menjadikan Allah sebagai saksi kita. Sesuatu yang telah kita janjikan itu sudah hampir selesai sebenarnya tetapi kita batalkan. Maka seolah-olah kita meninggalkan kerja yang hampir selesai.
Allah mengumpamakan orang bersifat begini seperti seorang wanita yang telah menenun kain dan apabila sedikit lagi hampir selesai, dia bongkar kembali kain itu. Sudah jelas tindakan ini adalah tindakan bodoh. Namun kita perlu ketahui bahawa ada orang yang begitu. Yang suka mengingkari janji, menyalahi sumpah dan kata-katanya sendiri. Jadi menyebut dalam ayat yang telah dibaca tadi
"وَلَوْ شَآءَ اللّٰهُ لَجَـعَلَكُمْ اُمَّةً وَّا حِدَةً وَّلٰـكِنْ يُّضِلُّ مَنْ يَّشَآءُ وَيَهْدِيْ مَنْ يَّشَآءُ ۗ وَلَـتُسْــئَلُنَّ عَمَّا كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ"
Manusia itu pelbagai tidak sama dalam memanfaatkan Hidayah dan petunjuk Allah SWT. Ada yang tahu tapi buat lain dari yang di ketahui.
Imam Fakhruddin ar-Razi dalam tafsirnya, mengingatkan ayat ini menunjukkan bahawa, jika Allah mahu maka Dia jadikan semua umat melaksanakan janji-janji dan sumpah sumpah yang telah disebutnya. Tapi nyatanya kehendak dan hikmah Allah menjadikan manusia, ada yang menepati janji, ada yang mengingkari janji. Ada yang berusaha melaksanakan apa yang sudah dia katakan, ada yang tidak menunaikan.
Hikmah Allah swt menjadikan kita pelbagai, maka dalam hidup kita akan jumpa orang-orang seperti ini. Sudah berjanji tetapi tidak melaksanakan. Ujian bagi kita yang ingin Istiqamah untuk menunaikan janji. Jika ada orang yang tidak menunaikan janji, janganlah itu menjadi asbab bagi kita untuk berperangai seperti mereka. Janji wajib ditunaikan walau dengan siapa pun. Hatta orang bukan Islam, orang kafir, kristian atau yahudi.
Rasulullah kepada musuhnya yang berperang dengannya, jika dia sudah buat satu janji dengannya maka Rasulullah tidak akan mengingkarinya. Walaupun isi kandungan perjanjian itu lebih berpihak dan banyak bermanfaat daripada Rasulullah tetapi dia tetap akan tunaikan juga. Inilah prinsipnya. Jangan sebab ada orang yang mengingkari janji menyebabkan kita juga berperangai seperti mereka. Kita downgrade diri kita, kalau kita lakukan itu. Kita sudah berada di kedudukan tinggi dan hebat di sisi Allah tetapi kerana lihat orang menipu kita pun menipu. Ini sikap yang tak baik.
Maka Allah ingatkan
"وَلَوْ شَآءَ اللّٰهُ لَجَـعَلَكُمْ اُمَّةً وَّا حِدَةً وَّلٰـكِنْ يُّضِلُّ مَنْ يَّشَآءُ وَيَهْدِيْ مَنْ يَّشَآءُ ۗ وَلَـتُسْــئَلُنَّ عَمَّا كُنْتُمْ تَعْمَلُوَْنْ"
Allah sebenarnya mampu untuk menjadikan kita manusia ini satu jenis sahaja. Semua taat dan baik belaka. Tetapi orang yang bersungguh-sungguh untuk mencari redha Allah, bolehkah kita sabar dengan penipuan orang tersebut? Menjaga prinsip ditengah-tengah orang-orang yang menjual prinsip-prinsipnya? Ini yang dipertanggungjawabkan Allah.
Maka Allah di penghujung ayat 93 menyatakan yang apa akan dipersoalkan Allah ialah apa yang kamu buat. Jangan terlalu memikirkan apa yang orang buat. Fokus pada apa yang kamu buat. Kalau orang menipu, ingkari janji. Itu tanggungjawab mereka. Perbaiki diri, jaga amalan sendiri. Jangan terpengaruh dan goyah dengan perlakuan orang lain.
Dari segi tadabbur, Mukmin Produktif bagaimana? Mukmin Produktif fokus kepada kerja dan amal-amalnya yang dia lakukan. Ini menyebabkan dia bertanggungjawab pada apa yang dia lakukan. Maka Mukmin Produktif seorang yang berprinsip, berpendirian. Maka orang akan selalu terpengaruh dengannya. Dia adalah pemimpin. Orang lain melihat keteguhan, keyakinan, kesungguhannya dalam melakukan sesuatu. Inilah Mukmin Produktif.
Dia tidak akan terkesan dengan perbuatan orang lain. Dia akan fokus sampai berjaya. Ini sikap dan pendirian yang mesti ada pada kita supaya kita tidak akan terkesan oleh manusia yang berbeza dengan kita.
Maka ayat ke-94, Allah SWT kembali menegaskan tentang keharaman menyalahgunakan sumpah untuk penipuan. Penyalahgunaan sumpah berleluasa pada zaman Nabi. Menipu dengan menggunakan nama Allah sangat banyak.
وَلَا تَتَّخِذُوْۤا اَيْمَا نَكُمْ دَخَلًاۢ بَيْنَكُمْ فَتَزِلَّ قَدَمٌۢ بَعْدَ ثُبُوْتِهَا وَتَذُوْقُوا السُّوْٓءَ بِمَا صَدَدْتُّمْ عَنْ سَبِيْلِ اللّٰهِ ۚ وَ لَـكُمْ عَذَا بٌ عَظِيْمٌ
- jangan kamu jadikan sumpah-sumpah kamu sebagai bahan penipuan antara kamu. Erti kata menggunakan nama Allah untuk melakukan perbuatan buruk dan jahat.
Pada ayat 92, Allah SWT telah menjelaskan keadaan manusia pada waktu itu. Perangai kamu yang ada pada waktu itu telah menjadikan sumpah-sumpah kamu sebagai penutup bagi penipuan-penipuan yang kamu lakukan. Itu ayat yang bersifat penceritaan dan pada ayat 94 ini, Allah SWT berpindah dari ayat penceritaan kepada ayat penegasan. "Wala tattakhizuu aimanakum". Dalam bahasa Arab ayat 92 - uslub khobari - ayat mengisahkan apa yang berlaku.
Ayat 94 - uslub insyai - ayat bentuk larangan. Ada ulama tafsir yang berpendapat bahawa ayat tadi menjelaskan tentang orang kafir. Bagaimana mereka menggunakan sumpah mereka sebagai penutup kejahatan dan keburukan yang dilakukan.
Ayat 94 ini ditujukan khusus kepada orang-orang beriman. "Wahai orang-orang beriman, jangan jadikan sumpah-sumpah kamu sebagai bahan penipuan antara kamu". Kesannya penyalahgunaan sumpah ini akan menyebabkan "Fatazilla qadamum ba'da subuutihaa" - akan tergelincir kamu daripada jalan yang benar.
Kata ulamak tafsir ia bentuk kiasan dari seorang yang mendapat nikmat kemudian dia mendapat musibah. Seolah-olah peringatan kepada sahabat Nabi yang sudah Islam, sudah beriman. Iman dan Islam meletakkan dirinya kukuh berdiri di atas prinsip yang jelas dan benar. Tetapi apabila mereka melakukan perkara yang dilarang seperti menyalahgunakan sumpah dan menipu maka jatuhlah kedudukannya.
Nilainya menjadi rendah. Seperti yang diceritakan dalam ayat sebelum ini, Usman bin Maz'oon merasa Islam itu begitu tinggi hingga merasa inilah pilihan yang tepat baginya. Tetapi ketika ada manusia-manusia yang tiada prinsip dalam hidup, tidak menjaga kata-kata dan janjinya. Maka nilainya akan jatuh. Ini peringatan bagi orang Islam yang beriman. Jadi ayat ini mengingatkan kita supaya jangan jatuhkan nilai kita dengan menipu. Kalau sekali menipu pun, orang akan ingat dan selalu lihat balik dan telah hilang kepercayaan. Ini yang diingatkan oleh Allah swt.
Adakah ia hanya akan membawa kepada jatuh kedudukan kita? Tidak. Bahkan lebih daripada itu. Kata Allah SWT "watazu qus suuu bimaa sodattum ang sabilillah" - kamu merasakan kesan buruk daripada perbuatan kamu itu. Penipuan kamu itu bukan sahaja merosakkan nama kamu tapi juga nama Islam. Menyebabkan orang anti dengan Islam.
Yang berlaku pada orang Islam sekarang hingga menyebabkan orang lebih suka berurusan dengan bukan Islam. Nampak bercakap manis, guna nama Allah, "insyaa Allah, saya janji buat macam ni, macam itu". Tetapi realitinya dia buat sebaliknya. Yang rosak bukan hanya dia sebagai individu tetapi merosakkan orang lain daripada jalan Allah. Iniah yang disebut Allah "watazu qus suuu bimaa sodattum ang sabilillah" - akan menyebabkan orang terhalang dari jalan Allah disebabkan sikap kamu, Nauzubillah.
Kita rasa takut apabila kita yang melabel diri sebagai "Ustaz" bercakap mengenai agama. Bila buat sesuatu keburukan hingga orang hilang percaya dan selanjutnya orang hilang percaya kepada ustaz-ustaz dan orang Islam. Nauzubillah. Inilah yang sering berlaku gara-gara 1-2 individu bergelar Ustaz yang menipu, "kesemua Ustaz macam tu".
Ingat ketika kita menjadi seorang Mukmin, Islam, jaga-jaga tindakan dan perbuatan kita. Sebab kita bukan hanya memakai "baju" individu tetapi juga "baju" Islam. Kita jadi duta kepada Islam, orang-orang beriman. Jika kita buat salah, orang akan ingat. Kesannya kita akan rasai nanti.
Orang yang menipu dengan nama Allah, takkan senang atau selamat. Hidupnya mesti akan bermasalah. Kesengsaraan akan datang dalam hidupnya. Diazab di dunia lagi. Orang akan mula menjauhinya kemudian orang tak nak berurusan dengan dia lagi sebab selalu menipu. Adakah kesan dari menipu dengan menggunakan nama Allah hanya akan dirasai di dunia sahaja azabnya? Tidak. Bagi mereka juga akan dapat azab siksaan di akhirat nanti. Bukan sedikit tetapi dahsyat. Maka berlindunglah kepada Allah daripada menipu menggunakan nama Allah, Nauzubillah.
Dari segi tadabbur ayat 94 ini, Mukmin Produktif menghindarkan segala perkara yang boleh mendatangkan kesengsaraan di dunia dan akhirat. Dia tahu benda tersebut tidak akan mendatangkan kebaikan, dia akan hindarkan. Menghindari perkara yang boleh merosakkan nama dan reputasinya.
Mukmin Produktif sedar orang perhati dia dan lebih sedar Allah perhati apa yang dia buat. Mukmin Produktif tidak takut dengan manusia. Dia takut Allah swt yang memperhatikan apa yang dia buat. Dia sangat takut azab Allah.
Ayat ke 95, Allah SWT menjelaskan pengharaman membatalkan janji disebabkan habuan dunia. Ia bukan bermakna kita tidak boleh membatalkan janji. Janji boleh di batal apabila orang yang kita janji itu melanggar prinsip agama. Prinsip yang boleh merosakkan akhirat kita. Tetapi ketika itu kena jelaskan apa sebab tidak lagi bersama dengannya. Yang sangat dibenci Allah ialah apabila seorang membatalkan perjanjian tersebut disebabkan habuan dunia, : jawatan tertentu, harta dunia yang sementara.
-وَلَا تَشْتَرُوْا بِعَهْدِ اللّٰهِ ثَمَنًا قَلِيْلًا ۗ اِنَّمَا عِنْدَ اللّٰهِ هُوَ خَيْرٌ لَّـكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْن
َJangan memperjualbelikan janji kamu dengan Allah SWT.
Pada asasnya dari segi tafsir adalah berkaitan dengan orang beriman yang meninggalkan Islam sebab habuan dunia. Ini sesuatu yang tidak disukai Allah SWT. Habuan dunia ini tidak ada ertinya jika dibandingkan dengan kenikmatan akhirat. Rasulullah s a w berkata "Dunia ini bagi Allah SWT tidak jauh nilainya dari sayap lalat". Tetapi manusia mengikuti hawa nafsu. Dipengaruhi oleh dunia. Akan melihatnya segala-galanya hingga mengorbankan prinsip, agama dan imannya. Maka orang yang beriman faham betul, Allah akan nilai habuan dunia ini dan nilai habuan akhirat. Maka Allah SWT menyebutkan nilai habuan akhirat jauh lebih baik daripada habuan dunia.
وَلَا تَشْتَرُوْا بِعَهْدِ اللّٰهِ ثَمَنًا قَلِيْلًا ۗ اِنَّمَا عِنْدَ اللّٰهِ هُوَ خَيْرٌ لَّـكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ
- Sesungguhnya apa yang di sisi Allah balasannya akan kamu dapat di sisi Allah itu jauh lebih baik, jika kamu mengetahui.
Habuan akhirat adalah habuan yang sangat besar.
Dari segi tadabbur pada ayat ini mengingatkan, Mukmin Produktif sentiasa menjadikan habuan Allah sebagai targetnya. Balasan Allah yang akan menjadi perhatian kita. Dia tidak terpedaya dengan habuan dunia yang sedikit ini. Kalau harta, banyakkah duit satu juta? Masa kita cuma ada duit RM100, 10000, memang kita nampak satu juta itu banyak. Tetapi kita dah dapat satu juta tu tak banyak pun. Sekejap boleh habis. Dunia ini tak seberapa pun, tak ada nilai apa-apa.
Ketahuilah akhirat nanti setiap amal baik yang kita tujukan untuk akhirat itu lebih bernilai. Integriti yang ada dalam diri kita lebih mahal dari habuan dunia. Hilang integriti susah nak cari semula, dapat kembali. Mukmin produktif faham sangat prinsip ini. Dia tidak akan gadaikan akhiratnya untuk dunia. Akhirat adalah destinasi yang tak akan disia-siakan.
Dalam sebuah buku, Syeikh Dr Muhammad Sulaiman al-Asyqar menceritakan kisah Hafsah binti Sirin ketika membaca ayat ini. Hafsah binti Sirin kematian anak anak kesayangannya makan dia baca al-Quran hingga ayat ini.وَلَا تَشْتَرُوْا بِعَهْدِ اللّٰهِ ثَمَنًا قَلِيْلًا ۗ اِنَّمَا عِنْدَ اللّٰهِ هُوَ خَيْرٌ لَّـكُمْ اِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ
Semasa ditimpa musibah itu, dia berasa terkilan tetapi bila baca ayat ini dia teringat semula, yang ini semua dunia yang akan dibalas oleh Allah SWT dengan yang lebih besar. Mahu tidak mahu perlu bersabar. Dan disambung dengan ayat 96 yang menjelaskan lagi kedudukan balasan Allah dengan lebih jelas lagi.
مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللّٰهِ بَا قٍ ۗ وَلَـنَجْزِيَنَّ الَّذِيْنَ صَبَرُوْۤا اَجْرَهُمْ بِاَ حْسَنِ مَا كَا نُوْا يَعْمَلُوْنَ
- apa yang ada di sisi kamu akan habis dan hilang, binasa.
Anaknya yang disayangi meninggal. Itulah ketetapan Allah SWT. Tiada yang kekal. Nikmat dunia tidak kekal. Satu hari pasti akan habis. Yang kekal adalah nikmat balasan akhirat. Sampai pada ayat itu menitis air mata Hafsah binti Sirin. Lalu dia sedar, "memang aku perlu bersabar dan menerima ujianMu kerana dengan sabar dan hati yang lapang, aku tahu dengan bersabar, aku akan mendapat sesuatu yang lebih baik di sisiMu, ya Allah. maka dia sabarkan dirinya. " Maa indakum yanfad" - apa yang kamu miliki pasti akan binasa, hilang. Yang kekal balasan di sisi Allah SWT. Erti kata dengan nikmat dunia kena iringi dengan syukur. Syukur yang akan menjadikan nilainya dapat kita terima nanti.
Bila makan dah habis tetapi perasaan syukur yang didatangkan pada waktu makan itu kekal menjadi pahala. Menjadi ibadah, amal soleh yang akan dinikmati nanti hasilnya. Jadi benda dunia akan habis tetapi pahala daripada syukur kita, sabar kita, yang akan kekal.
No comments:
Post a Comment