Thursday, 18 June 2020

TADABBUR SURAH AN-NAHL AYAT 74-75, HARI 20 SYAWAL 1441H/12 JUN 2020M

Nota Perkongsian 12.06.2020
Tadabbur surah An-Nahl ayat 74-75.
Tema: Bagaimana menjadi Mukmin yang produktif. 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Alhamdulilah dan bersyukur kita kehadrat Allah swt dengan limpah kurniaNya dan nikmat  di atas kita semua. Mudah mudahan Allah swt membukakan pintu khazanah ilmu untuk kita sehingga mendapat ilmu yang bermanfaat. Amin ya Raabal Alamin. Selawat dan salam tidak lupa kita sampaikan peruntukan untuk junjungan Nabi besar Muhammad saw.


فَلَا تَضْرِبُواْ لِلَّهِ ٱلْأَمْثَالَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maka janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah. Sesungguhnya Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.

(An Nahl 16:74)

۞ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا عَبْدًا مَّمْلُوكًا لَّا يَقْدِرُ عَلَىٰ شَىْءٍ وَمَن رَّزَقْنٰهُ مِنَّا رِزْقًا حَسَنًا فَهُوَ يُنفِقُ مِنْهُ سِرًّا وَجَهْرًا ۖ هَلْ يَسْتَوُۥنَ ۚ ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُونَ
Allah membuat perumpamaan dengan seorang hamba sahaya yang dimiliki yang tidak dapat bertindak terhadap sesuatupun dan seorang yang Kami beri rezeki yang baik dari Kami, lalu dia menafkahkan sebagian dari rezeki itu secara sembunyi dan secara terang-terangan, adakah mereka itu sama? Segala puji hanya bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tiada mengetahui.
(An Nahl 16:75)

...........................................................

Surah An Nahl : 74-75

فَلَا تَضْرِبُوْا لِلّٰهِ الْاَ مْثَا لَ ۗ اِنَّ اللّٰهَ يَعْلَمُ وَاَ نْـتُمْ لَا تَعْلَمُوْنَ

"Oleh itu, janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah, kerana sesungguhnya Allah mengetahui (setakat mana buruknya perbuatan syirik kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya."

ضَرَبَ اللّٰهُ مَثَلًا عَبْدًا مَّمْلُوْكًا لَّا يَقْدِرُ عَلٰى شَيْءٍ وَّمَنْ رَّزَقْنٰهُ مِنَّا رِزْقًا حَسَنًا فَهُوَ يُنْفِقُ مِنْهُ سِرًّا وَّجَهْرًا ۗ هَلْ يَسْتَوٗنَ ۗ اَ لْحَمْدُ لِلّٰهِ ۗ بَلْ اَكْثَرُهُمْ لَا يَعْلَمُوْنَ

"Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba abdi yang menjadi milik orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun; dan seorang lagi (yang merdeka) yang Kami kurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta kekayaan) dari Kami, maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, sama ada secara bersembunyi atau terbuka, adakah kedua orang itu sama? Segala puji tertentu bagi Allah (dan Allah jualah yang berhak disembah), tetapi kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid itu)."

Pada ayat yang lepas, Allah SWT menjelaskan bahawasanya apa yang dilakukan orang-orang kafir Quraisy, penyimpangan dalam menggunakan nikmat. Yang mana nikmat tersebut digunakan bukan untuk bersyukur kepada pemberi nikmat tetapi digunakan nikmat itu untuk sesuatu selain pemberi nikmat tersebut. Mereka gunakan nikmat-nikmat Allah untuk menyembah berhala-berhala, menyembah tuhan-tuhan selain Allah SWT. 

Maka Allah SWT tidak redha dengan perbuatan mereka itu. Perbuatan yang tidak berterima kasih, tidak menghargai pemberian Allah SWT itu adalah antara bentuk kufur nikmat yang mana kufur nikmat ini akan membawa kepada kufur Iman yang menyebabkan Allah memurkai, membenci orang yang terlibat dengan kufur Iman dan kufur nikmat ini.

Maka ayat yang ada dalam perbincangan kita sekarang ini merupakan ayat yang mengandungi pengukuhan Tauhid, pengukuhan kepada akidah yang benar serta bantahan terhadap kebatilan syirik yang diamalkan oleh kebanyakan manusia terutama pada zaman Nabi SAW yang mana orang-orang Quraisy pada waktu itu mempercayai tuhan-tuhan selain Allah SWT. 

Maka Allah SWT mengingatkan mereka bahawa Janganlah mereka mensekutukan Allah SWT. Betulkan akidah dengan hanya mentauhidkan Allah, mengagungkan dan juga memuliakan Allah semata-mata.
Maka Allah pada ayat yang kita baca tadi itu berfirman:

فَلَا تَضْرِبُوْا لِلّٰهِ الْاَ مْثَا لَ ۗ اِنَّ اللّٰهَ يَعْلَمُ وَاَ نْـتُمْ لَا تَعْلَمُوْن

َMaka ayat ini pada asalnya bermakna "Maka, janganlah kamu buat bagi Allah 'Amsal'", فَلَا تَضْرِبُوْا di sini pada asalnya maknanya, maka jangan kamu membuat perumpamaan bagi Allah SWT. Itu pada asalnya. Sehingga Imam Fakhruddin Ar-Razi ketika mentafsir ayat ini menjelaskan ada tiga kemungkinan makna daripada "Fala tadribu lillahil amsal" tersebut.

Makna pertama: Jangan kamu serupakan Allah dengan makhlukNya. Allah itu berbeza. Dia tidak boleh sama dengan makhluk apapun juga. Maka orang-orang kafir ketika itu mensekutukan Allah SWT dengan alasan bahawasanya Allah itu umpama makhluk, yang Dia tidak boleh berdiri sendiri. Maka Dia perlukan kepada pasangan, maka Dia perlukan kepada anak, Dia perlukan kepada penolong-penolong dan ini yang digambarkan oleh orang-orang kafir Quraisy pada waktu itu. 

Keyakinan yang berkembang pada masa itu adalah seperti itu. Maka Allah membantah melalui ayat 74 surah An Nahl. Jangan kamu serupakan Allah dengan itu dengan makhluk.  Allah itu di atas semua itu. Berbeza langsung.

Maka Allah SWT dalam ayat lain berfirman "tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Allah baik dari segi zatNya sama ada dengan sifatnya ataupun nama-namaNya". Maka Allah SWT tak sama dan Allah pun tak sama dari segi perbuatanNya. Perbuatan Allah berbeza dengan perbuatan makhluk. Sebab Allah itu Maha dalam segala-galanya. Maka Allah SWT membantah kenyataan orang kafir Quraisy.

Makna kedua kata Imam Ar-Razi adalah: Jangan kamu buat bandingan bagi Allah jangan banding-bandingkan Allah dengan makhluk. Sebabnya tak boleh nak dibandingkan. Atau kamu membuat tandingan bagi Allah SWT. Tak boleh. Allah itu Maha dalam segalanya dan Tiada yang boleh menandingiNya. Dalam surah Al-Baqarah, Allah ada menyebut juga:
فَلَا تَجْعَلُوْا لِلّٰهِ اَنْدَا دًا وَّاَنْـتُمْ تَعْلَمُوْنَ
 Jangan kamu jadikan tandingan-tandingan bagi Allah, sekutu-sekutu bagi Allah dan kamu tahu itu bahawa Allah itu lebih dari segalanya.

Kenapa kamu membanding-bandingkan, membuat tandingan bagi Allah SWT? Kamu tahu kata Allah. Maknanya manusia ini, ada yang bertindak itu mengikut kebanyakan orang sahaja. Walaupun dari hati nuraninya menolak kemungkinan Tuhan itu sama dengan makhluk. Pada ayat kita ini Allah SWT ingin kita memahami dengan baik konsep Tauhid. Tauhid maksudnya kita membezakan Allah dari mana-mana makhluk. Khaliq dengan makhluk berbeza langsung, tak boleh kita samakan.

Makna ketiga kata Imam Fakhruddin Ar-Razi adalah penyembah-penyembah berhala berkeyakinan bahawa alam ini begitu besar maka ia perlukan banyak Tuhan sebagaimana kalau sekiranya satu kawasan, satu negeri yang luas dan besar perlukan ditadbir oleh, diurus oleh beberapa pemimpin, beberapa orang Raja.
Maka Allah SWT membantah tersebut, Allah tak perlukan itu "Fala tadribu lillahil amsal". 

 Jangan kamu umpamakan Allah itu dengan makhluk yang perlukan kepada yang mana kalau dia berkuasa kepada sesuatu dia tak boleh berkuasa kepada semuanya. Maka Allah sebut " Innallaha 'ala kulli syai-in Qadir". Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Kemudian, ayat itu disambung dengan "Innallaha ya'lamu wa antum la ta'lamun", yang bermakna "Sesungguhnya Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui". Apa maksudnya di sini? Kalau kita lihat daripada ayat ini, Allah mengetahui, perkataan 'mengetahui' dari segi bahasa Arab, namanya fi'il mudhori muta'addi, mudhori yang memerlukan objek. Tetapi Allah SWT tidak sebutkan objeknya. Untuk apa? Untuk memberi makna am. Menjadikan makna tersebut mencakup segala sesuatu. 

Maka Allah SWT mengetahui segala sesuatu, segala hal, segala perkara. " Wa antum ta'lamun" dan kamu manusia macam mana? Tidak seperti itu. Kamu tidak tahu semuanya, ilmu kamu terhad, ilmu kamu terbatas. Banyak kamu yang tak tahu. Tak tahu tentang apa? Iaitu tak tahu tentang Allah itu sendiri, zat Allah. Memang semua manusia ingin mengetahui. Tapi kerana Allah itu, melebihi kemampuan manusia untuk mengetahuinya maka banyak yang kita tidak tahu tentang Allah SWT. 

Maka berkaitan dengan Allah SWT, kita hanya boleh bercakap tentang Allah berdasarkan apa yang dia bagi tahu melalui al-Quran atau melalui Sunnah Rasulullah SAW. Kita tidak boleh mengandai-andaikan Allah SWT macam ni kot, kita berlogika, kita berkhayal. Maka ketahuilah, sesuatu yang kita dapatkan daripada logika, yang tidak berdasarkan kepada al-Quran dan Sunnah dan juga hanya kepada fikiran semata-mata, maka itu namanya "Dzon". Iaitu sangkaan, imaginasi yang tidak akan memberi manfaat kepada kebenaran tersebut, tidak akan sampai kepada kebenaran. 

Kebenaran tentang Tuhan itu hanya kita dapatkan apabila Allah jelaskan, apabila Allah terangkan. Maka kita dalam aqidah Islam meletak bahawasanya urusan ghaib seperti urusan yang berkaitan dengan Allah SWT, kita tawakkuf atau berhenti setakat yang Allah ajar, yang Rasulullah sampaikan. Rasulullah cakap macam ni, macam tu lah. Kita tak boleh nak lebih-lebih. 

Manusia ni ada penyakit, ada dalam dirinya curiosity, rasa ingin tahu. Rasa ingin tahu banyak termasuklah ingin tahu tentang Allah SWT. Maka, tentang Allah SWT, Rasulullah pernah mengingatkan sahabatnya. Engkau berfikirlah, engkau cuba fahamilah makhluk-makhluk Allah, tak ada masalah, unlimited, fikirlah tentang makhluk Allah dari segala aspeknya, dari segala sudutnya sehingga kamu dapatkan pengetahuan, sehingga kamu dapatkan perkara-perkara baru. Fikirlah.

 Tetapi Rasulullah berkata jangan kamu memikirkan tentang zat Allah SWT sebab zat Allah tersebut tak sama dengan zat makhluk. Nanti kalau kamu cuba fikirkan juga maka kamu akan terjerumus kepada kebinasaan. Erti kata kamu akan hilang fikiran sendiri. Kamu takkan sampai kepada ketentuan tersebut, kebenaran tersebut. Justeru syaitan akan membimbing kamu kepada hal-hal yang sesat.

Kita perlu mengakui bahawasanya banyak perkara yang kita tidak tahu dan Allah Maha Tahu semua. Inilah orang beriman Mukmin Produktif menyedari batasan-batasan diri, had yang menjadi skop kemampuannya. Ada kemampuan yang Allah SWT bagi. Jadi kita akan gunakan sebaik-baiknya. Dan ada perkara yang Allah SWT batas. Maka kita kena terima setakat inilah aku akan buat. Jangan lebih-lebih atau melampaui batas. Nanti kamu sendiri yang akan binasa. Maka ada orang cuba nak fikir tentang zat Allah SWT sehingga ada yang jadi gila. Sebab dia cuba untuk menerokai sesuatu yang Allah dan RasulNya batasi. Maka Allah mengingatkan pada ayat ini:

اِنَّ اللّٰهَ يَعْلَمُ وَاَ نْـتُمْ لَا تَعْلَمُوْن
Allah mengetahui segala sesuatu tentang diriNya, tentang makhlukNya dan kamu tidak mengetahui tentang zat Allah, tentang diri Allah banyak kecuali apa yang diajarkan. Malaikat faham prinsip ini ketika Allah SWT mengujinya maka malaikat cepat-cepat menyedari kesilapannya yang berlagak pandai. Akhirnya malaikat mengakui:

قَا لُوْا سُبْحٰنَكَ لَا عِلْمَ لَنَاۤ اِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۗ اِنَّكَ اَنْتَ الْعَلِيْمُ الْحَكِيْم
ُ(Surah Al-Baqarah:32) 
Ini pendekatan malaikat ketika menghadapi sesuatu yang di luar kemampuannya. "Maha Suci Allah, kami tak akan tahu tentang sesuatu melainkan Engkau ajar kepada kami, baru kami tahu. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha bijaksana." 

Ilmu kita terbatas sedangkan ilmu Allah Maha Luas. Maka salah satu tanda orang itu menyedari keterbatasan dirinya iaitu menyakini Allah SWT Maha dalam segala sesuatu dan apa yang dia tidak faham tentang Allah, dia serah kepada Allah. Wallahu a'lam.

Jadi dari segi tadabbur, ayat ini mengingatkan kita untuk membatasi mana yang perlu di batasi. Mana yang Allah dah bagi keluasan maka gunakan keluasan itu sebaik-baik mungkin. Di antara keluasan yang diberi ialah kemampuan bertindak. Pada ayat 75 Allah SWT membuat satu perumpamaan. Jadi, kalau untuk Allah cuba hindari buat perumpamaan kecuali yang Allah buat sendiri. Firmannya:
"ضَرَبَ اللّٰهُ مَثَلًا عَبْدًا مَّمْلُوْكً" 
 Allah mengumpamakan seorang hamba yang dimiliki (hamba sahaya) selain sifatnya dimiliki (mamlukan). 

Yang kedua, sifatnya " La yaq diru ala syaik". Ia tidak dapat bertindak apa-apa, tidak dapat berbuat apa-apa melainkan dengan izin tuannya. Tidak boleh mendatangkan manfaat, tidak boleh mendatangkan mudarat. Hamba yang Allah SWT beri rezeki (rizqan hasanan - rezeki baik). Erti kata dia bukan hamba tapi seorang yang mempunyai kebebasan diri. Dia boleh menginfakkan hartanya sama ada dalam keadaan sembunyi atau terang-terangan. Ada kebebasan bertindak. " Hal yas tawun." Adakah mereka sama, hamba yang dimiliki dan tidak boleh buat apa-apa dan hamba yang bebas dan boleh bertindak apa yang dia mahu? Tidak sama. " La yas tawun." 

Dalam bahasa Arab, istifham ini bukan istifham Hakiki. Dalam bahasa Arab ada istifham - soalan. Ada soalan yang sebenarnya nak tahu sebab yang bertanya tidak tahu. Sedangkan dalam ayat ini istifham Majazi - soalan yang dah tahu jawapan. Perumpamaan ini kiasan untuk siapa? Maka ulama menjelaskan bahawasanya ada beberapa tujuan Allah SWT. Kiasan ini bertujuan untuk membandingkan.
1. Kafir dan mukmin
- Kafir itu seperti hamba sahaya yang terikat tadi. Tidak bebas, tidak mampu buat apa-apa. 
- Mukmin itu yang diberi rezeki baik oleh Allah SWT seperti rezeki Iman, rezeki Islam, amal soleh dan harta yang digunakan di jalan Allah.

Kafir secara zahirnya nampak bebas berbuat sesuka hati tetapi mereka sebenarnya hamba hawa nafsu sendiri. hamba "Tuhan" yang mereka buat sendiri. Orang menganggap seorang mukmin tidak bebas, terkongkong walhal sebenarnya apabila tanya Muslim dan Muslimah menjawab merasa bebas. Muslimah patut ada jati diri sendiri. Tidak terpengaruh dengan bukan Muslimah yang hamba sahaya kepada produk-produk.

2. Berhala dan Allah SWT
- Berhala ini dibeli, diletak di tempat tertentu. Ia tidak mampu pun berbuat sesuatu kepada orang yang membelinya. Tidak dapat mempertahankan dirinya pun. Tidak boleh melihat, mendengar. Tiada kuasa.
- Allah SWT memberi rezeki kepada manusia dan makhluk bila-bila Dia nak tidak henti-henti, tanpa halangan.

3. Hamba sahaya dan Uthman bin Affan
Hamba sahaya dipelihara, dijaga Usman bin Affan. Diberi makan, tempat tinggal sedangkan hamba itu tidak dapat buat apa-apa. Kalau kita dah lama halau tapi Usman melihat itu satu tanggungjawab menjaganya.

Mukmin produktif adalah mukmin yang ada kuasa bertindak ada orang yang tidak menggunakan kuasa bertindak yang dianugerahkan kepadanya Allah bagi kita puasa untuk memilih buat Baik atau buruk melakukan ketaatan atau maksiat kita diberi pilihan oleh Allah SWT ketika diberi harta kita diberi kebebasan untuk menggunakannya untuk berinfak sama ada sembunyi atau terang-terangan. Atau tidak berbuat apa-apa pun.

Seperti juga ilmu, ada tanggungjawab untuk kongsi. Perlu disampaikan. Semoga bermanfaat. Semoga tidak dipersoal Allah kelak. Jadi seseorang diberi kebebasan oleh Allah untuk bertindak atau tidak. Jangan sia-siakan. Jangan jadi hamba yang tak boleh buat apa-apa. Jadilah hamba yang diberi rezeki yang baik lalu digunakan sebaik-baiknya ke jalan Allah SWT. 

Infakkan, kongsikan dengan orang-orang yang memerlukannya. Bukan untuk dipuji orang tapi rasa bersalah apabila hanya digunakan untuk diri sendiri sahaja. Maka kita usaha untuk berkongsi. Ingat Mukmin Produktif meyakini bahawasannya nikmat Allah bagi perlu dikongsikan. Rugi orang yang simpan nikmat diberi Allah untuk dirinya sendiri. Padahal Allah janjikan, jika kamu kongsikan, kami akan tambah.
Allah SWT berfirman dalam Surah As-Saba' ayat 39:

قُلْ اِنَّ رَبِّيْ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَّشَآءُ مِنْ عِبَا دِهٖ وَيَقْدِرُ لَهٗ ۗ فَهُوَ يُخْلِفُهٗ ۚ 

"Katakanlah, Tuhanku melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia akan sempitkan bagi sesiapa yang Dia inginkan." 
 وَمَاۤ اَنْفَقْتُمْ مِّنْ شَيْءٍ

"Apa pun yang kamu infakkan di jalan Allah SWT, Allah pasti ganti tidak akan Allah biarkan sia-sia."
وَهُوَ خَيْرُ الرّٰزِقِيْنَ 


"Dan Dialah yang memberi rezeki dan Dia terbaik dalam memberi rezeki."


No comments:

Post a Comment