Thursday, 18 June 2020

TADABBUR SURAH AN-NAHL AYAT 78-79, HARI 25 SYAWAL 1441H/17 JUN 2020M

Tadabbur hari membincangkan surah An-Nahl ayat 78-79. Ayat-ayat ini mengingatkan kita kepada nikmat-nikmat Allah yang lain pada kita dan pada alam sekitar kita, terutamanya burung yang terbang di udara.

Nota Perkongsian 17.06.2020
Tadabbur surah An-Nahl ayat 78-79
Tema: Bagaimana menjadi Mukmin yang produktif. 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Alhamdulilah dan bersyukur kita kehadrat Allah swt dengan limpah kurniaNya dan nikmat  di atas kita semua. Mudah mudahan Allah swt membukakan pintu khazanah ilmu untuk kita sehingga mendapat ilmu yang bermanfaat. Amin ya Raabal Alamin. Selawat dan salam tidak lupa kita sampaikan peruntukan untuk junjungan Nabi besar Muhammad SAW.


وَٱللَّهُ أَخْرَجَكُم مِّنۢ بُطُونِ أُمَّهٰتِكُمْ لَا تَعْلَمُونَ شَيْـًٔا وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمْعَ وَٱلْأَبْصٰرَ وَٱلْأَفْـِٔدَةَ ۙ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.
(An Nahl 16:78)

أَلَمْ يَرَوْاْ إِلَى ٱلطَّيْرِ مُسَخَّرٰتٍ فِى جَوِّ ٱلسَّمَآءِ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا ٱللَّهُ ۗ إِنَّ فِى ذٰلِكَ لَءَايٰتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang diangkasa bebas. Tidak ada yang menahannya selain daripada Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang beriman.
(An Nahl 16:79)
......................

Tadabbur Surah An Nahl ayat 78-79

Pada perbincangan lepas Allah swt menunjukkan kepada kita dua perumpamaan yang mana ada kaitan dengan Allah dan boleh juga dikaitkan dengan orang-orang beriman dan orang-orang di sekeliling kita. Orang bermanfaat dan yang tidak.

Maka menurut konteks dan urutan ayat, ia cenderung menjelaskan tentang Allah swt dan dari penjelasan tersebut kita dapat bahwasanya Allah Maha Berkuasa berbeza dengan berhala atau tuhan-tuhan lain yang tiada kuasa langsung. Maka pada ayat ini Allah menambahkan penjelasannya tentang kuasanya iaitu kuasa
 "وَا للّٰهُ اَخْرَجَكُمْ مِّنْۢ بُطُوْنِ اُمَّهٰتِكُمْ"   
- mengeluarkan kamu dari perut ibu-ibu kamu.
Yang mana pada ketika itu kamu
 "لَا تَعْلَمُوْنَ شَيْــئًا" 
- tiada pengetahuan, tiada ilmu, tiada yang dimiliki.

Lalu Allah memberikan kepada kamu السَّمْعَ pendengaran, وَا لْاَ بْصٰرَ penglihatan dan وَا لْاَ فْئِدَةَ hati nurani. Al af idah dari segi bahasa bermaksud hati dan boleh bermaksud akal juga. Dalam kamus af idah/ fu adun adalah qalbun / aqlun (hati / aqal).

Allah beri akal fikiran dan hati nurani untuk guna dalam kehidupan. Semua itu merupakan nikmat-nikmat Allah SWT, begitu juga diberi peluang untuk berada dalam perut ibu. Nikmat Allah yang kami diberi pendengaran, penglihatan dan hati nurani serta akal fikiran. Maka ayat ke-78 ini mengingatkan manusia kepada kuasaNya dan nikmatNya. Maka surah an-Nahl dikenali juga sebagai an-Ni'am (nikmat-nikmat Allah). 

Allah menyebut nikmat-nikmat yang diberi kepada kita, dengan tujuan supaya kita bersyukur. Sebagaimana di hujung ayat 78, Allah sebut لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُوْنَ - mudah-mudahan kamu bersyukur. Matlamatnya untuk manusia bersyukur dengan menyedari itu datang daripada Allah SWT dengan memuji Allah dan menggunakan nikmatNya sebaik-baiknya di jalanNya. Nikmat yang diberi Allah untuk kita syukuri dan gunakan di jalan Allah. Pada ayat ini Allah mengingatkan kita kepada nikmat besar itu.

Dari segi tadabbur, yang perlu kita ambil dari ayat ini:
1.
 "وَا للّٰهُ اَخْرَجَكُمْ مِّنْۢ بُطُوْنِ اُمَّهٰتِكُمْ"
 Manusia hidupnya bermula dari 'nothing', dari tiada, tidak memiliki apa-apa, kosong - ilmu, keupayaan dan kemampuan. Seperti ketika lahir, tidak boleh buat apa-apa. Kita dibantu, jika tidak, tidak akan boleh 'survive' hidup. Kita bergantung kepada ibu bapa. Semasa dalam perut ibu pun kita tak ada apa-apa dan dari makanan ibu baru dapat hidup. Jadi perlu ingat kita dari tiada. Dalam surah al-Insan ayat 1:

"هَلْ اَتٰى عَلَى الْاِ نْسَا نِ حِيْنٌ مِّنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًـا مَّذْكُوْرًا"
"Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa (yang beredar), sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut, (maka mengapa kaum musyrik itu mengingkari hari akhirat)?"

Tidakkah pernah datang kepada manusia satu masa dahulu, yang mana dia tidak disebut langsung, belum ada lagi. Pada zaman sebelum kita lahir. Lalu Allah SWT ciptakan kita dan dimasukkan ke dalam rahim ibu dan kita merasakan kasih sayang ibu kita. Dinamakan "rahim" dari pada nama Allah ar-Rahim. 

Kemudian kita dikeluarkan dari ibu kita dengan kuasa Allah pada asasnya. Pada zaman moden ini, kuasa Allah mula ditutupi kuasa manusia. Kemampuan Allah ditutupi kemampuan manusia. Sebagai ujian kepada manusia. Adakah masih ingat lagi proses asal bahawa Allah lah di sebalik itu semua. Kadang-kadang manusia lupa. Ketika dia nampak peranan makhluk lebih besar dan peranan Alah dia tak nampak. Maka dia bergantung pada makhluk tersebut. Maka dia terlibat dengan syirik, perkara-perkara yang menjauhkan dari Allah. 

Tapi bagi Mukmin betapa hebat pun bantuan dari makhluk dalam hidupnya, dia sentiasa ingat Allah SWT. Dia tahu semuanya dari Allah. Anugerah dari Allah.

Maka Allah sebutkan selanjutnya perkara-perkara yang Allah jadikan asbab kita berjaya di dunia ini iaitu ibu. Mukmin Produktif tidak boleh menafikan jasa baik ibunya. Pasti menghargai 9 bulan 10 hari dalam perut ibunya. Mukmin Produktif mengingat dan mengenang jasa orang yang pernah memberi bantuan dan pertolongan kepadanya. Akan kenang, hargai dan ucapkan terima kasih kepada orang-orang yang pernah memberi peranan langsung dalam kehidupannya. Terutamanya ibu bapanya, guru-guru, kawan-kawan, saudara-mara yang berperanan secara langsung. Pasti dia hargai.

Berbeza dengan manusia yang lupa diri. bahkan lupa peranan ibu bapanya. Lupa besar jasa ibu bapanya. Ada yang terkilan tidak dibesarkan secara langsung oleh ibu bapanya. Dia dibesarkan oleh nenek atau saudaranya yang lain. Namun begitu tidak boleh melupakan jasa ibu mengandungkan kita 9 bulan. Seorang Mukmin Produktif akan menghargai setiap sumbangan atau bantuan yang pernah diterima dari sesiapa pun. Jadi untuk berjaya kita harus mengenang jasa orang-orang yang berperanan kepada kita. 

Untuk berjaya di dunia kita harus menggunakan potensi-potensi hebat yang Allah berikan kepada kita. Potensi pendengaran - as sama', penglihatan - wal basara dan wal af idah - akal/hati. Gunakan sebaik-baiknya. Sumber ilmu dan ilmulah kuasa yang boleh menggerak dan membantu kita menjadi lebih baik.
- Dengan pendengaran akan dapat ilmu Yaqin - berdasarkan apa yang kita dengar
- Dengan penglihatan ilmu Aynul Yaqin - apabila kita lihat dengan mata kita, menyaksikan.
- Dengar dan lihat - lebih hebat lagi bila dapat memandang dengan mata hati dengan 'af idah' sampai merasakan dalam diri tentang apa yang ada. Akan menyebabkan kita sukar untuk diganggu gugat. Telah sampai ke Haqqul Yaqin.

Maka ilmu yang kita ada mesti ditingkatkan. Dari ilmu yang didengar sahaja kepada yang disaksikan (buat sendiri, lakukan) berulang kali hingga serap dalam hati. 

Kelebihan ilmu, harta, nikmat menyebabkan kita berasa bertambah terhutang budi dengan Allah SWT. Merasa limpah kurniaan Allah kepada kita membuat kita semakin tunduk, malu, segan sekiranya kita tidak taat kepada Allah. Jika kita tidak melaksanakan perintahNya, meninggalkan laranganNya. 

Sebab terlalu banyak nikmat yang Allah beri kepada kita. Maka Allah ingatkan kita melalui ayat ini supaya lihat. Lihat apa yang Allah dah bagi. Jangan lagi terpengaruh dengan apa yang kita tidak ada atau belum dapat lagi.
Syukuri apa yang kita ada. Insyaa Allah nanti akan dapat banyak lagi. Akan bertambah lagi. Syukur akan menyebabkan rezeki kita bertambah, bukan berkurang.

Jadi inilah nikmat Allah yang disebutkanNya dalam ayat 78 an Nahl. Dan Dia juga mengingatkan kita pada nikmat-nikmatNy. Ia adalah kuasa Allah SWT yang perlu kita sedari.

Pada ayat 79, Allah SWT mengajak kita untuk menghayati nikmat dan kuasa Allah selanjutnya. Kuasa Allah kepada makhluknya terutama kepada burung. Maka Allah SWT berkata:
اَلَمْ يَرَوْا اِلَى الطَّيْرِ مُسَخَّرٰتٍ فِيْ جَوِّ السَّمَآءِ ۗ مَا يُمْسِكُهُنَّ اِلَّا اللّٰهُ ۗ اِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰ يٰتٍ لِّقَوْمٍ يُّؤْمِنُوْن  

"Tidakkah mereka memerhatikan burung itu boleh terbang dengan bebas di udara. Ia ditujukan kepada orang-orang Quraisy yang menafikan kuasa Allah. Yang mempercayai kuasa lain. Maka Allah mengajak mereka tidak ada yang dapat menahannya dari terbang selain Allah tak akan jatuh melainkan Allah izinkan dia jatuh.
Jadi dari segi tafsir, ayat ini menjelaskan kuasa Allah. Allah mengajar manusia melihat burung supaya nampak kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. 

Ayat ini hampir sama dengan ayat dalam surah al-Mulk. Al-Mulk bermaksud kekuasaan Allah SWT dan kita disuruh membaca dan mengamalkan surah ini setiap malam. Dalam hidup kita sekarang kuasa Allah itu lebih hangat relatif. Kuasanya tidak begitu nampak ketara. Kita nampak kuasa makhluk. Orang yang beriman nampak kuasa Allah setiap hari dalam kehidupannya. Peranan Allah nampak. Orang tidak beriman nampak kuasa makhluk. Untuk mengingatkan kita pada kuasa Allah yang kita tidak nampak Rasulullah suruh baca surah al-Mulk.
Surah al-Mulk ayat 19:

اَوَلَمْ يَرَوْا اِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صٰٓـفّٰتٍ وَّيَقْبِضْنَ ۘ مَا يُمْسِكُهُنَّ اِلَّا الرَّحْمٰنُ ۗ اِنَّهٗ بِكُلِّ شَيْءٍۢ بَصِيْرٌ

"Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."
 فَوْقَهُمْ صٰٓـفّٰتٍ
- membuka sayapnya, terbang (isim - sifat asalnya, kebiasaan utama burung).
وَّيَقْبِضْنَ  
- dan ditutup sayapnya bila dia nak mendarat atau berehat. Ini menunjukkan burung pada asalnya suka terbang dan berhenti untuk berehat sahaja.
Di akhir ayat ini Allah menyebut:
 مَا يُمْسِكُهُنَّ اِلَّا الرَّحْمٰنُ
"Tiada yang dapat menahan mereka melainkan Allah yang Maha Pemurah".

 Jadi jika digabungkan ayat an Nahl: 79 dan Al Mulk: 19, kita akan dapat beberapa perkara tentang burung.
1. Burung itu adalah 'Musakharat' - ia dapat terbang sebab dimudahkan untuk terbang, ditundukkan baginya alam ini / udara hingga ia boleh terbang.
2. Burung terbang bebas.
3. Burung itu mengepak dan mengatup sayapnya.
4. Hanya Allah yang dapat menghalangnya daripada terbang.
Rasulullah saw pernah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ أَقْوَامٌ أَفْئِدَتُهُمْ مِثْلُ أَفْئِدَةِ الطَّيْرِ.
"Akan masuk syurga nanti kaum / golongan yang hati mereka itu seperti hati burung" Sahih Muslim 2840. 
Burung diumpamakan seperti Muslim. Hati burung seperti hati seorang Muslim. Hatinya bertawakal kepada Allah sahaja. 

Rasulullah saw bersabda:
ﻟَﻮْ ﺃَﻧَّﻜُﻢْ ﻛُﻨْﺘُﻢْ ﺗَﻮَﻛَّﻠُﻮﻥَ ﻋَﻠَﻰ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺣَﻖَّ ﺗَﻮَﻛُّﻠِﻪِ ﻟَﺮُﺯِﻗْﺘُﻢْ ﻛَﻤَﺎ ﻳُﺮْﺯَﻕُ ﺍﻟﻄَّﻴْﺮُ ﺗَﻐْﺪُﻭ ﺧِﻤَﺎﺻًﺎ ﻭَﺗَﺮُﻭﺡُ ﺑِﻄَﺎﻧًﺎ
"Seandainya kalian bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sebenar-benarnya kalian pasti diberi rezeki sebagaimana burung diberi rezeki. Ia pergi pada pagi hari dalam keadaan perut kosong, kemudian pulang pada petang harinya dalam keadaan kenyang." Hadis riwayat At Tirmidzi.

Burung adalah antara makhluk yang paling kuat tawakal kepada Allah SWT. Ini menunjukkan yang burung tidak takut lapar. Mukmin tidak takut lapar. Burung keluar pagi. Begitu juga Mukmin Produktif tidak risau tentang makanan. Yang penting dia berusaha keluar dari rumah mencari jalan. Sifat beriman, sudah kenyang tapi tak lupa bawa pulang untuk anak-anaknya. Seorang Mukmin tidak lupa keluarga. Dia memberi manfaat. Dalam surah ini kita disuruh memperhatikan burung. Ambil pengajaran daripada burung. Antaranya hati yang cekal, tabah dan berusaha tidak kenal lelah.

Mukmin produktif akan berusaha bekerja. Tidak duduk diam sahaja cari jalan untuk mendatangkan manfaat kepada dirinya dan keluarganya. Berehat hanya bila tiba waktu tidur. Seperti burung mengatup sayapnya bila berehat. Dari segi zahir, Mukmin aktif ke sana ke sini, jumpa orang itu ini. Dari segi hati, yakin akan ada rezeki yang dia dapat. Ada anugerah Allah yang menunggunya. Allah takkan sia-siakan usahanya. Itu pegangannya. 

Kadang-kadang ada yang akan komen, semua dah ada, kenapa nak buat kerja lagi. Ingat, Mukmin bukan berusaha untuk kaya. Bukanlah sifat utama Mukmin. Orang Mukmin walau miskin, dia rajin. Dia kaya, dia lagi rajin berusaha. Targetnya bukan harta tapi pengabdian kepada Allah SWT. 

Usahanya adalah ibadahnya kepada Allah. Bagaimana burung beribadah kepada Allah? Burung terbang mengepak-ngepakkan sayapnya. Usaha kita adalah ibadah. Ikhtiar dalam kehidupan untuk mendapat rezeki kehidupan yang lebih baik, itulah ibadah. Dengan syarat, hati kita tidak pernah lupa pada Allah. Yakini bahawa ini tanggungjawab dan kewajipan  kita dan Allah telah beri kita nikmat yang banyak. Banyak pelajaran yang didapati daripada burung. Allah suruh kita memperhatikan dan mengambil pengajaran daripadanya. Itu adalah tanda Iman.

Seperti di akhir ayat 79:
اِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰ يٰتٍ لِّقَوْمٍ يُّؤْمِنُوْنَ
Bagi yang beriman akan dapat banyak pelajaran daripada burung. Ada burung yang boleh terbang jauh beribu batu. Selalunya secara berjemaah atau kumpulan membentuk huruf V. Yang mana pada waktu ia terbang, di depan sekali sebagai pemimpin. Bila sudah penat ia ke belakang dan burung lain pula jadi ketua. Mukmin juga bila jadi pemimpin satu ketika nanti kita akan meninggalkan kepimpinan itu dan jadi orang biasa semula. Berjemaah itu juga pengajaran kita dapat daripada burung.

........................................................

Soal Jawab Tadabbur Surah An Nahl 78-79

Soalan: Beza antara tafsir, tadabbur dan tafakur.
Jawapan: 
Tafsir: Menjelaskan maksud ayat Al Quran - exactly makna ayat, ditujukan kepada siapa, berkaitan perkara apa.
Maksud ayat secara langsung.
Perlu kepada ilmu bahasa Arab (asbabun Nuzul), sirah dan lain-lain perlu dikuasai untuk menjelaskan tafsir sesuatu ayat atau surah.

Tadabbur: Usaha kita untuk memahami ayat-ayat al-Quran.
Proses memahami teks.
Berbeza antara seorang dengan yang lain kerana masing-masing melihat dari aspek berbeza.
Masing-masing nampak sesuatu yang menunjukkan kebesaran, keagungan Allah SWT dan kekerdilan dirinya.

Tafakur: Apabila memandang langit, bumi, pokok, burung dan lain-lain.
Terhadap ayat-ayat Allah yang tidak tertulis, tidak nampak.
Proses memahami alam.

Soalan: Bolehkah saya baca nama Allah Al Bari yang mencipta dengan Indah berulang-ulang?
Jawapan: 
Seeloknya baca "ya Allah, ya Bari".
Supaya tahu yang nama dirujuk kepada Allah dan boleh diulang-ulangkan selepas itu "ya Allah, ya Bari, ya Bari, ya Bari".
Ulama mempertikai bila diucap ya Bari tanpa menyebut ya Allah kerana tidak merujuk kepada Allah.
Sama juga kepada semua nama "ya Allah, ya Syafi", "ya Allah, ya Karim", "Ya Allah, ya Rahim".
Satu tujuan Asmaul Husna adalah supaya digunakan semasa berdoa.

............................................................................

No comments:

Post a Comment