Thursday, 25 June 2020

TADABBUR SURAH AN-NAHL AYAT 89-90 - 26 JUN 2020M

Nota Perkongsian 26.06.2020
Tadabbur surah An-Nahl ayat 89-90.
Tema: Bagaimana menjadi Mukmin yang produktif. 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman



Puji syukur kita ke hadrat Allah swt, atas pelbagai limpahan Rahmat dan Kurnia pada kita semua. Kemudian selawat dan salam tidak lupa juga kita sampaikan peruntukan untuk junjungan Nabi Besar Muhammad s.a.w. Baik saudara fillahan dikasihi sekalian, Insya-Allah tadabbur kita pada hari ini akan fokus pada membincang surah An-Nahl ayat 89 dan 90. Dua ayat sahaja ini. Mari kita baca dulu ayat-ayat ini dan sila tuan puan baca masing-masing di rumah.

وَيَوْمَ نَـبْعَثُ فِيْ كُلِّ اُمَّةٍ شَهِيْدًا عَلَيْهِمْ مِّنْ اَنْفُسِهِمْ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيْدًا عَلٰى هٰۤؤُلَآ ءِ ۗ وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْـكِتٰبَ تِبْيَا نًا لِّـكُلِّ شَيْءٍ وَّ هُدًى وَّرَحْمَةً وَّبُشْرٰى لِلْمُسْلِمِيْنَ

اِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُ بِا لْعَدْلِ وَا لْاِ حْسَا نِ وَاِ يْتَاۤىِٕ ذِى الْقُرْبٰى وَيَنْهٰى عَنِ الْفَحْشَآءِ وَا لْمُنْكَرِ وَا لْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ

"Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya." 

Saudara fillah dikasihi sekalian, pada pertemuan lepas kita menjelaskan bagaimana kesudahan orang-orang yang ingkar kepada Allah swt. Samada ingkar dari segi nikmat atau ingkar terhadap kenabian, kerasulan dan pengutusan Nabi Muhammad saw. Kesudahan mereka adalah kesudahan yang hina, kesudahan yang mereka itu berada dalam kesusahan demi kesusahan, penderitaan demi penderitaan, azab demi azab. Mereka ini tak siapa yang akan menolongnya. 

Allah SWT mengingatkan kita pada ayat yang kita baca tentang penegasan bahawa akan adanya saksi ke atas setiap umat. Yang mana tiada umat melainkan akan ada saksi yang akan diambil daripada mereka menunjukkan kepada mereka bahawasanya Allah sudah cukup memberi petunjuk memberi Hidayah, memberi yang apa patut untuk mereka beriman, untuk mereka percaya pada Allah SWT. Allah dah cukupkan untuk mereka. Didatangkan saksi. Siapakah saksi mereka itu? Saksi mereka adalah para Nabi dan Rasul.

Imam ar-Razi dalam kitab beliau, Mafatih Al-Ghaib, menyatakan bahawasanya yang dimaksudkan umat pada ayat ini bukan hanya umat satu kaum, umat satu nabi, satu rasul. Akan tetapi ia juga bermaksud generasi, 'al qarni'. Al ummah bi ma'na al qarni wal jamaah, dia kata. Umat ini boleh bermakna satu generasi dan satu jemaah. Yanng mana berdasarkan kepada Imam Fakhruddin ar-Razi ini bahawasanya, kalau daripada umat diutus seorang Nabi dan Rasul kepada mereka untuk menjadi saksi. 

Dan pada setiap generasi dan pada setiap kumpulan jemaah akan ada seorang saksi yang mana pada asasnya saksi itu adalah seorang yang layak untuk diteladani, layak untuk dicontohi. Maka pada setiap generasi akan ada orang yang layak untuk kita contohi, kita teladani. Pada zaman Nabi Muhammad saw maka dialah yang paling layak pada waktu itu. Meninggal Nabi Muhammad saw, wafat beliau, diganti sahabat-sahabat mulia seperti Abu Bakar Siddiq, Umar Bin Khattab mereka itu contoh contoh teladan. Sahabat-sahabat semua boleh dikatakan contoh teladan. Sebagaimana Rasulullah saw bersabda, "أَصْحَابِي كَالنُّجُومِ" - sahabat-sahabat aku seperti bintang di langit, "فَبِأَيِّهِمُ اقْتَدَيْتُمُ اهْتَدَيْتُمْ" - dengan siapa pun kamu menteladani diantara mereka itu kamu akan insyaa Allah mendapat petunjuk. 


Pilihlah salah seorang dari karakter sahabat nabi lalu kita cuba untuk beramal dengannya atau mengikuti karakter tersebut. Kita akan selamat insyaa Allah kita akan mendapat petunjuk. Nak jadi siapa? Nak jadi Umar al-Khattab yang tegas, berani, gagah perkasa. Ataupun menjadi Abu Bakar Siddiq yang lemah lembut tapi pada satu masa, satu kesempatan dia menjadi seorang yang tegas juga. Ataupun seperti Usman bin Affan yang kaya, dermawan dan lembut hati. Ataupun seperti Ali bin Abi Thalib, seorang yang berilmu, lautan ilmunya banyak perkara yang diketahuinya. Dia juga seorang yang lemah lembut. Sahabat-sahabat nabi semuanya adalah orang-orang hebat kita boleh mencontohi. Meninggal sahabat-sahabat Nabi, ada generasi seterusnya, generasi tabi'in. Pada kalangan mereka itu terdapat contoh teladan juga bagi kita. Habis tabi'in datang pula tabI' tabi'in. 

Ada contoh lagi dan generasi kita sekarang pun ada contoh-contoh juga yang boleh kita jadikan teladan. Saksi di sini maksudnya yang boleh kita lihat perbuatan, tindakan, sikapnya tersebut lalu kita ikuti dan beramal dengannya. Insyaa Allah kita pun akan selamat, kita pun akan berjaya. Berdasarkan kata Imam Fakrur Razi ini, Allah SWT mengutus, menghantar kepada kita individu-individu yang boleh kita ikuti tapi ada ciri-cirinya, ada karakter-karakter yang perlu kita ikuti agar kita dapat mengikuti individu yang benar, yang betul-betul membawa kita kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Ini nanti kita akan bincangkan. 

Namun pada asasnya ayat ini mengingatkan kita bahawasanya pada setiap umat, setiap generasi, pada setiap jemaah dan kumpulan ada individu-individu yang mempunyai ciri-ciri yang boleh kita ikuti. Jangan kita menganggap bahawasanya hanya orang-orang baik ini hadir pada zaman nabi sahaja. Tidak. 

Pada zaman kita pun sekarang ini kalau kita ikhlas, kita betul-betul bersungguh mencari contoh teladan, kita akan jumpa. Masalahnya kita tak ada keinginan dan kesungguhan. Kita terus menafikan bahawasanya zaman sekarang ini zaman edan, minta maaf cakap orang Indonesia, zaman yang teruk. Semua orang ni mengarut, tak ada yang betul. Semua salah belaka. Kalau itu kefahaman kita, itu keyakinan kita. Memang tak akan jumpa. 

Maka berdasarkan pendapat Imam ar-Razi ini bahawa pada setiap umat, pada setiap generasi, pada setiap jemaah ada. Kalau kita ikhlas, insya Allah kita akan mendapat faedah daripada mereka ini.  

Bahkan ada yang pendapat seperti Abu Bakr Al Asam, yang mengatakan bahawasanya saksi-saksi ini bukan hanya orang, bukan hanya individu-individu. Akan tetapi saksi itu juga datang daripada diri kita sendiri. "Min anfusihim" - daripada diri mereka sendiri. Yang maksud Abu Bakr al-Asam itu adalah 10 anggota badan. Apakah 10 anggota badan yang akan menjadi saksi ke atas kita? Dikatakan adalah 'aina' - dua mata kita, 'udzunani' - dua pendengaran kita, 'yadani' - dua tangan, 'rijlani' - dua kaki kita. Yang ke-9, 'waljild' - kulit-kulit kita ini. Kulit kita ini akan menjadi saksi kita nanti. Ada monitor pada kulit kita. 


CCTV Allah SWT ada pada badan kita. Yang ke-10, 'wallisan' - lidah kita. Lidah kita ini akan menjadi saksi terhadap semua yang kita lakukan. Jadi ada saksi di kalangan manusia dan ada saksi di kalangan anggota badan. Ini pendapat Abu Bakar al Asam yang dinukilkan oleh Imam Fakrur Razi dalam tafsir beliau. Tetapi Imam ar-Razi tidak cenderung untuk mengambil pendapat ini. 


Menurut dia, adalah individu-individu, orang-orang yang Allah SWT wujudkan di muka bumi ini, yang mana mereka ini akan menjadi saksi kepada kita. Mereka akan bercakap, menjelaskan keadaan kita nanti. Si fulan ini begitu begini dia. Daripadannya nanti akan dapat teladan dan contoh yang baik. 


Maka Allah ingatkan di akhirat nanti saksi-saksi ini akan diminta tampil oleh Allah swt. Maka saksi pertama yang akan tampil adalah Nabi. Allah SWT menyatakan "waji' naa bika syahidan 'alaahaaa 'ulaa" - kami mendatangkan engkau Muhammad sebagai saksi ke atas mereka. 

Ketika orang meninggal, kita ada talkin atau waktu jenazah dilaksanakan, kadang-kadang Imam atau yang mengapalai pelaksanaan jenazah itu mengatakan, "kami bersaksi bahawa si fulan ini adalah orang baik". Ini adalah salah satu bentuk penyaksian juga. Jadi, ketahuilah bahawasanya apa yang orang nyatakan kepada kita, semasa kita dah meninggal nanti, itu salah satu bentuk kesaksian. 

Cuba bayangkan kalau meninggal nanti, orang cerita apa pasal kita. Orang cerita positif atau orang cerita negatif. Orang bercakap kebaikan atau bercakap keburukan kita. Kalau sekiranya kita mati yang orang ingat kebaikan, "Oh Si Fulan itu masya Allah ibadatnya bukan main. Saya sangat salute kepada dia". Kalau sekiranya meninggal nanti orang berkata, "Kalau dia itu, saya bab mengaji memang ambil sanad daripada dia. Saya memang suka belajar dengan dia. Saya suka kalau duduk dengan dia. Dia baca sedap bukan main". 


Kalau tuan puan jenis orang yang bersedekah, masya Allah dia itu tak berhenti pada masa hidup membantu, menolong. Saya di antara yang mendapat bantuan dan pertolongan. Kesaksian-kesaksian seperti ini akan kembali diungkap, ditonjolkan di Padang Mahsyar nanti. Maka saya berharap kepada tuan puan yang dikasihi sekalian. Kalau Allah SWT minta kesaksian tuan puan, ceritalah yang baik-baik tentang saya. Ya Allah, mudah-mudahan tuan puan yang mengenali saya menyampaikan kesaksian yang baik. Mengakui kebaikan kita. 


Tetapi kita yakin jika kita ikhlas kepada Allah SWT, Allah akan jadikan orang-orang di sekeliling kita memberikan kesaksian yang baik. Ikhlas dengan hati ia akan sampai kepada hati juga. Insya Allah. Allah SWT akan datangkan saksi-saksi ini nanti bermula dengan siapa? Pertama dengan para Nabi dan Rasul yang diutus kepada mereka. 


Allah SWT pada ayat sebelum kita lanjutkan, kita ambil daripada tahdad, tadabbur ayat ini dahulu. Pada bahagian ayat ini, kita ambil satu tadabur bahawasanya Mukmin Produktif berusaha mengikuti teladan terbaik di zamannya. Erti kata, Mukmin Produktif, dia akan cuba cari orang yang boleh diteladani, orang yang boleh diikuti. Boleh ikuti semua bidang.


 Sebagai seorang ayah dia bagus, seorang ibu dia bagus, seorang pasangan dia bagus, seorang pemimpin, seorang guru, memang dia adalah yang terbaik. Maka semuanya boleh ambil dari satu individu tetapi untuk zaman kita sekarang ni susah dapat seorang yang mencakup semua kebaikan itu pada dirinya. 


Maka kena bersedia. Dalam bab ini, saya nak tiru si fulan. Dalam perkara ini, saya akan ikut si fulan ini. Memang kita perlu seperti itu. Barangkali akan jumpa ada orang yang hebat dari segi bermasyarakat tapi 'fail' pada rumah tangga, keluarga dia. Dalam hal ini, kita kena berlaku adil. Nanti kita akan bincangkan. Allah perintahkan kita berlaku adil di antara berlaku adil kena menilai orang tersebut dari segi mana yang menonjol baginya. Ambil daripada yang menonjol tersebut. 

Kalau dia seorang yang berjaya di tengah masyarakat, apa yang menyebabkannya berjaya? Faktor kelebihan dia tersebut. Contoh dari segi itu. Dan nampak kelemahannya pengurusan rumahtangganya gagal, dia bercerai, anaknya bermasalah. Itu boleh sahaja terjadi. Ini anggap sebagai satu ujian bagi dia dan kita tak tak perlu ikut dalam hal tersebut. 

Janganlah ambil satu kesimpulan pula orang yang berjaya di tengah masyarakat, adalah orang yang gagal dalam keluarga. Tak semestinya begitu. Ada orang yang berjaya dalam kehidupan bermasyarakat dan dia juga berjaya dalam kehidupan rumah tangganya. Kita cuba ambil tersebut balance kan. 

Tapi kena ingat juga kadang-kadang orang berjaya di tengah masyarakat, berjaya dalam kehidupan, dengan Allah SWT, dia kurang. Jadi ada plus dan negatif. Plus kita ambil, mana yang negatif kita tinggalkan. Jadi untuk mendapatkan teladan yang mencakup komprehensif ada pada satu individu di zaman kita sekarang ni sangat susah. Maka berpada-padalah. 

Nak ambil dari orang ini ambil dalam bidangnya. Bab masak ambil dari si fulan ini tapi kalau bab-bab urus rumahtangga dia tak boleh. Ada orang yang mungkin dari segi komunikasi pandai, bercakap pandai. Tapi dari segi kerja-kerja pengurusan, dia gagal. Itu biasa. Jadi ada orang yang mampu untuk berfikir secara makro tapi dari segi mikro dia tak boleh lagi. Berfikir secara general tapi ketika detail dia tidak boleh. 


Ada manusia-manusia seperti ini. Maka Mukmin Produktif, dia pandai menilai. Dalam bab ini, aku tiru si fulan. Bab ini saya ambil daripada si fulan lain. Yang mana yang buruk saya tak ambil. Mukmin Produktif akan mengambil teladan terbaik pada zamannya. Dia berusaha. Insya Allah dengan cara ini dia akan ikut dan akan jadi yang terbaik juga. 

Saudara fillah dikasihi sekalian, kita lanjutkan kepada tafsir ayat yang selanjutnya. Tadi itu kita bincangkan sedikit mengenai tadabbur. Tafsir ayat 89 sambungannya, selain Allah SWT menyebut tentang kesaksian, Allah juga menurunkan kitab al-Quran sebagai panduan hidup. Kalau boleh kita katakan ada kesaksian dalam bentuk individu dan kesaksian dalam bentuk kitab. Maka Allah SWT menjadikan kesaksian manusia boleh saja habis.

Sebagaimana Nabi apabila dia tak ada. Nabi tak ada tapi Kitab ada. Contoh, kalau tak ada individu tersebut, hasil karyanya ada. Boleh kita ikutkan. Tapi hasil karya Rasulullah saw bukan dia yang buat. Tapi Allah SWT anugerahkan. Iaitu al-Quran dan Allah menjelaskan tentang fungsi Al-Quran. Apa dia? Pertama adalah berfungsi sebagai penjelas, "tibbiyana likulli syai' ". Allah kata, " وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْـكِتٰبَ تِبْيَا نًا لِّـكُلِّ شَيْءٍ
 " - "dan Kami menurunkan Al-Quran, menurunkan Kitab sebagai penjelasan bagi setiap sesuatu". 

Maka apabila kita ingin mendapatkan kesaksian yang kekal, yang kita boleh lihat sepanjang masa, itu adalah al-Quran. Kalau kita tidak menemukan pada Rasulullah saw, kalau kita tak jumpa dengan Rasulullah, kita tidak dapat mendengar secara langsung, maka kita baca al-Quran. 


Apabila seorang Mukmin Produktif berhadapan dengan masalah, perkara pertama yang dia lakukan adalah akan merujuk kepada al-Quran dulu. Tengok al-Quran. Baca al-Quran. Maka al-Quran akan ada penjelasan. Disebutkan " tibbiyana" di sini, bukanlah penjelasan yang detail sehingga sedetailnya. Tidak. Penyelesaian yang mungkin bersifat general. Ambil bahagian-bahagian tertentu. 

Tetapi apabila kita fikirkan, kita dalami lagi, maka kita akan dapatkan, "Ya Allah, inilah sebenarnya isyarat dalam al-Quran ini". Jadi al-Quran ini mengisyaratkan seperti ini. Dan inilah maksudnya mungkin. Detailnya bagaimana? Detailnya daripada al-Quran ini, satu adalah baca Sunnah Rasulullah saw. Baca hadis-hadis Rasulullah. Maka hadis Rasulullah adalah penjelas kepada ayat-ayat al-Quran dan untuk dapat detail lagi adalah berfikir, mentadabburi, mentafakkuri alam ini. 

Maka akan sampai kepada satu kesimpulan, "Ya Allah, ternyata dalam al-Quran sudah ada diisyaratkan". Maka kita akan dapatkan penjelasan itu nanti. Ramai di antara yang datang program tadabbur Ustaz, kadang-kadang datang selepas kuliah, "Ustaz terima kasih. Saya rasa bertuah datang perkongsian Ustaz, kuliah Ustaz hari ini. Masalah yang saya fikirkan beberapa lama ini ternyata dengan apa dijelaskan tadi sudah selesai. Dapat tangkap. Masya Allah, terima kasih". 


Saya tak sengaja pun nak cerita mengenai masalah orang tapi al-Quran bercerita tentang masalah kita. Dan diberikan penyelesaian kepada kita. Dan apabila kita suka membaca al-Quran dan mentadabburnya terutamanya mendalaminya, insya Allah ada isyarat-isyarat, ada petunjuk-petunjuk. 


Maka selain al-Quran itu penjelasan, Allah SWT menyebutkan ia juga berfungsi sebagai "huddan" - petunjuk. Jadi al-Quran bukanlah detail. Bukan buku SOP. SOP dia tahu dah 1, 2, 3, 4 dengan urutan-urutannya, siap dengan KPI yang perlu dibuat. Tidaklah sampai itu. Tetapi Allah SWT menunjukkan isyarat-isyaratnya. Apabila kita dapat tangkap isyarat tersebut lalu kita gunakan dalam kehidupan kita, kita akan rasa terbimbing.



No comments:

Post a Comment