Thursday, 18 June 2020

TADABBUR SURAH AN-NAHL AYAT 76-77, HARI 23 SYAWAL 1441H/15 JUN 2020M

Nota Perkongsian 15.06.2020
Tadabbur surah An-Nahl ayat 76-77.
Tema: Bagaimana menjadi Mukmin yang produktif. 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Alhamdulilah dan bersyukur kita kehadrat Allah swt dengan limpah kurniaNya dan nikmat  di atas kita semua. Mudah mudahan Allah swt membukakan pintu khazanah ilmu untuk kita sehingga mendapat ilmu yang bermanfaat. Amin ya Raabal Alamin. Selawat dan salam tidak lupa kita sampaikan peruntukan untuk junjungan Nabi besar Muhammad saw.


وَضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلًا رَّجُلَيْنِ أَحَدُهُمَآ أَبْكَمُ لَا يَقْدِرُ عَلَىٰ شَىْءٍ وَهُوَ كَلٌّ عَلَىٰ مَوْلَىٰهُ أَيْنَمَا يُوَجِّههُّ لَا يَأْتِ بِخَيْرٍ ۖ هَلْ يَسْتَوِى هُوَ وَمَن يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ ۙ وَهُوَ عَلَىٰ صِرٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dan Allah membuat (pula) perumpamaan: dua orang lelaki yang seorang bisu, tidak dapat berbuat sesuatupun dan dia menjadi beban atas penanggungnya, ke mana saja dia disuruh oleh penanggungnya itu, dia tidak dapat mendatangkan suatu kebajikanpun. Samakah orang itu dengan orang yang menyuruh berbuat keadilan, dan dia berada pula di atas jalan yang lurus?

(An Nahl 16:76)


وَلِلَّهِ غَيْبُ ٱلسَّمٰوٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ وَمَآ أَمْرُ ٱلسَّاعَةِ إِلَّا كَلَمْحِ ٱلْبَصَرِ أَوْ هُوَ أَقْرَبُ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Dan kepunyaan Allah-lah segala apa yang tersembunyi di langit dan di bumi. Tidak adalah kejadian kiamat itu, melainkan seperti sekejap mata atau lebih cepat (lagi). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.
(An Nahl 16:77)

..............................................................................................

Soalan : Apa beza penggunaan kholaqo dan ja'ala di dalam Al-Quran?
Jawapan: 
- kholaqo adalah penciptaan kali pertama dari tiada. Contohnya "kholaqos sama wa ti wal ard" - mencipta langit dan bumi dan "kholaqol insanamin salsalin khalfaqqar" - dan dia menciptakan manusia pertama.
- ja'ala adalah proses ciptaan seterusnya atau fasa selanjutnya. Contohnya "dan dia jadikan kamu berpasang-pasangan."

Tafsir

Pada pertemuan lepas kita mendapat satu perumpamaan yang didatangkan oleh Allah SWT untuk kita fahami tentang beberapa hakikat. Hakikat tentang ketuhanan Allah sendiri dan perbezaan dengan berhala-berhala. Dan juga hakikat seorang mukmin dengan seorang kafir. Seorang yang mendatangkan manfaat dan seorang yang tidak mendatangkan manfaat. Adakah sama? Jelas tidak sama.

Maka pada ayat yang kita bincangkan ini, Allah SWT mendatangkan lagi kepada kita perumpamaan. Untuk kita faham sesuatu perkara bersifat abstrak yang mempunyai makna yang mendalam. Dan apabila kita faham langsung atau apabila diungkapkan langsung sesetengah orang tak dapat tangkap.

Maka Allah SWT mendatangkan perumpamaan supaya makna yang tersirat itu dapat difahami oleh orang secara meluas. Maka seperti kita nak menggambarkan sesuatu yang pantas kadang-kadang kita datang kan perumpamaannya. Dia berlari umpama ______.

Di dalam al-Qur'an banyak didatangkan perumpamaan oleh Allah SWT. Salah satunya ada di dalam surah an-Nahl ini. Orang-orang yang beriman dan produktif sangat mengambil berat dengan ayat-ayat yang mengandungi perumpamaan. Dalam bahasa Arab dinamakan ayat-ayat ini ayat 'Amsal' - ayat perumpamaan.

Maka perumpamaan yang didatangkan Allah pada ayat ke-76 ini tentang perbezaan dua orang lelaki. Lelaki pertama mempunyai 4 sifat yang disebutkan dalam ayat ini:
1. Bisu
2. Tidak dapat berbuat sesuatu pun
3. Menjadi beban atas tuannya / majikannya
4. Tidak mendatangkan sesuatu kebaikan pun

Lelaki kedua untuk dijadikan perbandingan
1. Menyuruh berbuat keadilan: pandai bercakap dan mempunyai kemampuan dan alim
2. Berada pula di atas jalan yang lurus: bersih dan selamat daripada kezaliman. Tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan agama Allah SWT.

Apa beza antara kedua mereka? Adakah sama? Jelaslah tidak sama. Boleh nampak perbezaan yang ketara. Maka Allah SWT tidak menjawab kali ini. Kita jawab sendiri. Berbeza dengan ayat sebelum ini, "hal yas tawun". Allah jawabkan tapi Dia isyaratkan "Alhamdulillahi bul aksarahum laa ya'lamun".

Jangan sampai kita tidak faham daripada perumpamaan yang Allah datangkan ini. Kita mesti menangkap pelajaran dan pengajaran untuk kita jadikan panduan hidup kita. Supaya kita juga bertindak dengan tindakan yang disebut oleh Allah dalam ayat ini.

Ayat ini dikiaskan untuk siapa? Setiap perumpamaan ada maksud yang Allah SWT nak sampaikan. Ayat ini menurut ulama':
1. Kembali Allah SWT untuk menjelaskan perbezaan antara bertuhankan Allah dengan bertuhankan kepada berhala. Maka lelaki pertama perumpamaan berhala: tidak boleh bercakap, berbicara. Tidak boleh buat apa-apa dan dia juga menjadi beban kepada pemiliknya. Yang mana berhala tersebut untuk pastikan dia kemas kena dibersihkan selalu kerana tak boleh bersihkan diri sendiri. Ia juga tidak boleh menolong atau berbuat apa-apa.

Perumpamaan kedua merujuk kepada Allah SWT. Allah yang menyuruh manusia berlaku adil, melarang manusia daripada berlaku zalim, mengajak manusia kepada perkara-perkara yang baik yang boleh mendatangkan kebaikan dalam kehidupannya dan apa juga yang didatangkan dari Allah SWT. Insyaa Allah jika manusia berpegang kepada Islam yang diajarkan Allah SWT hidupnya akan aman, tenteram dan damai.

Maka sesiapa yang membelakangi ajaran Allah SWT adalah termasuk golongan yang membuat kerosakan dan kezaliman. Jadi kata ulama' ayat 76 ini, lelaki pertama adalah kiasan kepada berhala dan lelaki kedua adalah kiasan kepada Allah SWT. Jadi ayat ini kembali menegaskan ketauhidan dan dan kuasa Allah yang Maha sesuatu.

2. Ada pendapat ulama' lagi menyatakan bahawasanya lelaki pertama itu kiasan kepada orang kafir. Yang mana hidup mereka itu umpama bisu, tak boleh berbuat sesuatu kebaikan. Kebaikan yang mereka lakukan tak mendatangkan kebaikan kepada mereka di akhirat.

Mungkin mereka berbuat kebaikan di dunia tetapi setakat di dunia sahaja di akhirat tak dapat apa-apa pun. Dan mereka menjadi beban kepada Allah. Menjadi punca kerosakkan di muka bumi. Bawa ke mana pun buat masalah. Itu adalah perumpamaan bagi orang kafir.

Dan lelaki kedua tersebut, yang menyuruh kepada keadilan dan berada di atas jalan yang lurus itu dimaksudkan adalah seorang mukmin. Mukmin mempunyai keinginan untuk menegakkan keadilan. Dan dia berlaku adil dan juga berada di atas jalan yang lurus iaitu jalan Islam, ajaran yang dianjurkan oleh Allah dan rasulNya. Mereka berpegang dengan Islam dan cuba untuk melaksanakannya. Ini pendapat kedua dimaksudkan adalah Mukmin dan orang Kafir.

3. Ada yang menyatakan bahawasanya ayat ini adalah untuk manusia secara amnya. Maka ia meliputi sama ada orang-orang yang beriman ataupun tidak. Orang Islam atau tidak Islam. Yang mana apabila seseorang tersebut tidak mendatangkan manfaat maka ia seperti lelaki pertama dan apabila ia mendatangkan manfaat maka ia seperti lelaki kedua. Jadi ia dimaksudkan manusia keseluruhannya. Dalam ayat ini Allah SWT tidak sebut lelaki Mukmin atau kafir. Maka mereka berpendapat ianya mencakupi semua orang.

4. Kata sebahagian ulama', ayat ini dimaksudkan khusus. Khusus kepada hamba Uthman bin Affan. Uthman bin Affan ada seorang hamba yang tidak boleh bercakap baik dan dia juga tidak boleh memberi sesuatu manfaat kepada Uthman bin Affan. Tetapi Uthman kerana rasa kemanusiaan tetap jaga juga hambanya ini. Ini kebaikan dan kemuliaan Uthman bin Affan.

Kalau kita dapat pekerja yang tidak boleh buat apa-apa dan tapi tak boleh bercakap baik-baik, dah lama dah kita halau. Uthman bin Affan seorang yang mengajak kepada keadilan. Menyuruh berlaku adil. Menegakkan agama Allah SWT. Dia juga seorang yang bersih dan tak ada fikiran yang mengarah kekafiran dan kemunafikan.

 Seorang yang bersih dari penyakit hati. Ini Uthman bin Affan hatinya hati orang yang beriman, hati yang lemah lembut dan mudah tersentuh. Tidak sampai hati nak buang atau jual hambaNya ini. Ini kemanusiaan yang ada pada Uthman bin Affan. Sehingga ada ulama' berpendapat yang dimaksudkan dengan lelaki pertama itu adalah hamba sahaya kepada Uthman bin Affan dan lelaki kedua itu adalah Uthman bin Affan. Uthman seorang yang berlaku adil dan menyuruh kepada keadilan dan cuba untuk melaksanakan Islam dengan sebaik-baiknya.

Kalau kita lihat dari konteks ayat, kemungkinan makna asalnya adalah berkaitan dengan Allah dan sembahan-sembahan. Sebab Allah SWT pada ayat sebelumnya "Fala tadribu lillahil amsal". Jangan kamu membuat perumpamaan kepada Allah SWT. "Tapi kalau aku buat tak ada masalah bagi diri aku. Diri aku seperti ini. Aku tidak seperti berhala-berhala tersebut. Itu daripada segi konteks kait ayat ini dengan ayat sebelumnya.

Apabila kita berbicara tentang konteks yang lebih luas lagi dari segi perbincangan ayat pada keseluruhannya, maka kita dapatkan bahawa ia mungkin dapat membawa maksud kepada Mukmin dan kafir.

Mukmin Produktif. Dari awal perbincangan surah an-Nahl, kita menceritakan tentang sifat-sifat Mukmin Produktif tersebut. Oleh itu, dari segi Allah SWT kita ambil bahawa Allah SWT adalah Zat yang Maha Sempurna, Maha dalam segala-galanya. Tiada kekurangan atau kelemahan padaNya. Berbeza dengan berhala-berhala yang tidak mendatangkan kebaikan atau manfaat apapun juga.

Dan dari segi tadabbur, dikaitkan ayat ini dengan makna lelaki pertama dan lelaki kedua itu sebagai Mukmin Produktif dengan bukan Mukmin Produktif. Seorang Mukmin Produktif adalah seorang yang berusaha berlaku adil.

Kalau dia tak boleh memberi manfaat dengan tangannya dia memberi manfaat dengan kata-katanya. Dia bukanlah seorang yang diam sahaja. Dia seorang yang aktif. Aktif menyampaikan dan mengajar kepada kebenaran, sesuatu yang bermanfaat. Jadi Mukmin Produktif adalah mukmin yang sentiasa berusaha mendatangkan manfaat bagi dirinya dan orang-orang sekelilingnya.

Dan seperti lelaki pertama: bisu, tak boleh bercakap, tak boleh buat apa-apa, buat untuk diri sendiri pun tak boleh, menjadi beban. Jangan sampai begini. Mukmin Produktif bermanfaat kepada dirinya, keluarganya, masyarakatnya bahkan kepada manusia secara keseluruhannya. Dia pantang menjadi beban kepada sesiapapun. Sayangnya, sekarang orang-orang Islam tak ada nilai-nilai itu.

Jadi ayat ini sangat penting untuk mendorong kita menjadi Mukmin Produktif. Tak boleh duduk diam. Lakukan sesuatu sehingga akan ada perubahan pada diri kita sendiri, keluarga kita, masyarakat sekeliling kita. Ingat kerja kita berusaha dan berikhtiar apa yang termampu. Insya Allah ada kesannya dan kebaikannya.

Ada orang yang diuji dengan macam-macam tetapi dia tak berhenti berusaha ke sana ke sini. Akhirnya Allah mudahkan jalan baginya mendapat rezeki. Tapi ada orang yang diuji Allah tetapi dia duduk di rumah sahaja. Isteri keluar bekerja tapi dia duduk di rumah sahaja. Mukmin Produktif mesti berusaha meringankan beban orang-orang di sekelilingnya dan yakinlah bila prinsip ini dipegang, Allah akan mudahkan untuk memudahkan orang-orang sekeliling kita.

Antara ciri khasnya Mukmin Produktif adalah tidak boleh melihat kezaliman apabila ternampak dia akan berusaha menegur orang yang berlaku zalim tersebut. Maknanya peribadi yang boleh mengajak dan menyuruh orang berlaku adil, iaitu peribadi yang kuat.

Tidak semua orang berani tetapi yang digambarkan Allah pada ayat ini adalah seorang yang menyuruh kepada keadilan. Maknanya seorang yang berperibadi kuat dan berani. Sehingga Rasulullah ada menyebut bahawasanya di antara jihad yang hebat ialah bercakap benar di depan pemimpin yang zalim.

Biasanya kalau kita nampak pemimpin zalim, semua senyap sahaja, terima sahaja. Tidak berani tegur. Mukmin Produktif sepatutnya bertindak dengan tindakan yang menyebabkan kezaliman itu terhenti atau keadilan dapat ditegakkan. Dalam masa yang sama, dia sendiri berjalan di jalan yang lurus dia mengambil pendekatan membetulkan diri sendiri dahulu.

Jangan sampai seperti disebut Allah dalam surah al Baqarah ayat 44:
"اَتَأْمُرُوْنَ النَّا سَ بِا لْبِرِّ وَتَنْسَوْنَ اَنْفُسَكُمْ وَاَ نْتُمْ تَتْلُوْنَ الْكِتٰبَ ۗ اَفَلَا تَعْقِلُوْنَ"
Allah bercerita tentang Ahlul Kitab, "Adakah kamu menyuruh orang kepada kebaikan tetapi lupa diri kamu sendiri?" Mukmin Produktif dia sendiri "'ala sirotim mustaqim". Berada di atas jalan yang lurus, berada dalam petunjuk Allah, berada dalam agama Islam dan cuba melaksana dengan sebaik-baiknya.

Hingga bila dia bercakap tentang keadilan, dia dah buat dulu. Ketika bercakap tentang kebaikan, dia sudah melakukannya. Dia bercakap tentang akhlak yang mulia, dia dah melaksanakannya. Inilah hero dalam bidang tersebut. "Walk the Talk" maksudnya buat apa yang dia cakap kan.

Ayat selanjutnya Allah SWT menjelaskan tentang diriNya sendiri. Maka konteks ayat pada ayat 77 dari segi tafsir adalah, Allah menjelaskan tentang diriNya. Maka yang lebih tepat dari susunan ayatNya membandingkan Allah dengan berhala. Tapi dari makna luas kita boleh kaitkan dengan makna keseluruhannya untuk mengambil kefahaman yang dimaksudkan kafir dengan mukmin atau Mukmin Produktif dengan mukmin yang tidak produktif.

Pada ayat selanjutnya Allah menjelaskan kepunyaan, kepemilikanNya. Kata Allah SWT:
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

وَلِلّٰهِ غَيْبُ السَّمٰوٰتِ وَا لْاَ رْضِ ۗ 
Milik Allahlah segala yang tersembunyi di langit dan bumi.Milik Allah, kepunyaan Allah SWT.

Ayat ini membandingkan berhala yang tidak memiliki apa-apa. Justeru ia dimiliki. Berbeza dengan Allah SWT di mana dia memiliki segala sesuatu.

Dari segi bahasa Arab kata ulama, di sini ada 'uslub al hasyar' - bahawa milik Allah sajalah apa yang ada di langit dan bumi sama ada yang zahir atau tersembunyi. Dan ayat ini juga menunjukkan ilmu dan kuasa Allah yang luas dan mencakup segala sesuatu ilmu kita mungkin tahu yang Zahir sahaja yang nampak tapi Allah SWT ghaib juga Allah SWT juga tahu berbeza dengan berhala-berhala dan "tuhan-tuhan" selain Allah.

Kata ulama' ayat ini menunjukkan bahawasanya keluasan dan kebesaran kepunyaan Allah SWT dan ilmuNya berbeza dengan berhala. Yang mana ia adalah benda yang dimiliki tidak mempunyai dan mengetahui apa-apa.

Pada sambungan ayat tersebut Allah SWT menjelaskan, tidak adalah kejadian kiamat itu melainkan seperti sekejap mata atau lebih cepat lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. Ini mengisyaratkan bahawasanya kuasa Allah SWT untuk menjadikan kiamat sangat senang. Jika mencipta sesuatu senang bagi Allah SWT apatah lagi untuk menghancurkan dan membinasakan. Sekelip mata bahkan lebih cepat dari itu lagi. Maka Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu:
اِنَّ اللّٰهَ عَلٰى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
Maka hujung ayat ini menunjukkan kesempurnaan kuasa dan kemampuan Allah SWT yang Maha Dahsyat.

Dari segi tadabbur ayat 77, mukmin menyedari betul kepemilikan Allah dan keluasan ilmuNya serta kekuasaanNya. Manusia mungkin cuba sembunyikan apa yang dimilikinya hingga memang orang tidak tahu tetapi Mukmin tahu Allah tetap tahu dan apa yang dimilikinya kepunyaan Allah. Perlu bayar zakat, perlu kongsi dengan orang sekeliling dan lebih baik dimanfaatkan.

Semakin kaya, semakin besar tanggungjawab perlu dibuat. Kesedaran bahawasanya segala yang ada dan dimiliki adalah dari Allah SWT. Maka dia tidak akan sombong dan angkuh. Dia semakin takut sekiranya tersimpan hak orang lain. Dalam surah Az-Zariyat, Allah menyebut sifat orang bertaqwa yang mana dia meyakini pada hartanya terdapat hak-hak orang lain:

وَفِيْۤ اَمْوَا لِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّآئِلِ وَا لْمَحْرُوْمِ
"Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta)."

Mengambil hak orang lain adalah zalim. Nauzubillah. Maka ketika Mukmin Produktif diberikan Allah SWT ilmu yang luas dan mendalam, kefahaman yang banyak, dia tidak sombong kerana dia tahu ilmu Allah lebih luas dan segalanya milik Allah SWT.

Orang yang makin berilmu, dia makin takut kepada Allah. Takut hukum-hakam Allah, akan perkara yang disuruh Allah. Kerana tanggungjawab besar untuk amalkan dan untuk menyampaikan. Allah SWT mengecam orang yang menyembunyikan ilmunya.
Ayat ini tiba-tiba menyentuh tentang hari kiamat pada hujung ayat tersebut,

وَمَاۤ اَمْرُ السَّا عَةِ اِلَّا كَلَمْحِ الْبَصَرِ اَوْ هُوَ اَقْرَبُ ۗ 
Kenapa Allah SWT tiba-tiba menyelitkan cerita tentang kiamat? Disebabkan orang kafir Quraisy menolak dan mengingkari kemungkinan berlakunya kiamat. Bagaimana langit dan bumi yang sempurna yang tidak berubah dari dulu hingga sekarang, bagaimana boleh hancur binasa? Mereka tidak boleh terima. Mereka menafikannya.

Jadi dari segi tadabbur, bagi Mukmin perkara ini adalah sesuatu yang diyakini dan diimani. Mukmin Produktif menjadikan iman kepada terjadi hari kiamat, sebagai pendorong untuk bersegera melakukan kebaikan tanpa menunda-nundanya.

Rasulullah menceritakan hari kiamat dari aspek positif. Ketika ada orang tanya bila hari kiamat? Rasulullah menjawab "hanya Allah sahaja yang tahu. Jadi apabila bercerita tentang bila berlaku kiamat berhati-hatilah kerana ia perkara ghaib yang hanya Allah yang tahu.

Ketahuilah jika takut dan gerun pada bila berlaku kiamat tidak menyebabkan kita menyegerakan melakukan kebaikan, maka itu takut dan gerun negatif. Rasulullah saw mengingatkan, " kalaulah kamu tahu esok akan kiamat dan di tangan kamu ada satu biji benih maka tanamkan." Maknanya Mukmin perlu memberi manfaat sesegera mungkin. Jangan menunda-nunda.





No comments:

Post a Comment