Sunday, 28 June 2020

TADABBUR SURAH AN-NAHL AYAT 91-93 - 29 JUN 2020M

Nota Perkongsian 29.06.2020
Tadabbur surah An-Nahl ayat 91-93.
Tema: Bagaimana menjadi Mukmin yang produktif. 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Alhamdulilah dan bersyukur kita kehadrat Allah swt dengan limpah kurniaNya dan nikmat  di atas kita semua. Mudah mudahan Allah swt membukakan pintu khazanah ilmu untuk kita sehingga mendapat ilmu yang bermanfaat. Amin ya Raabal Alamin. Selawat dan salam tidak lupa kita sampaikan peruntukan untuk junjungan Nabi besar Muhammad saw.



وَأَوْفُواْ بِعَهْدِ ٱللَّهِ إِذَا عٰهَدتُّمْ وَلَا تَنقُضُواْ ٱلْأَيْمٰنَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ ٱللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلًا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ
Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu membatalkan sumpah-sumpah(mu) itu, sesudah meneguhkannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu (terhadap sumpah-sumpahmu itu). Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu perbuat.
(An Nahl 16:91)

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّتِى نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِنۢ بَعْدِ قُوَّةٍ أَنكٰثًا تَتَّخِذُونَ أَيْمٰنَكُمْ دَخَلًۢا بَيْنَكُمْ أَن تَكُونَ أُمَّةٌ هِىَ أَرْبَىٰ مِنْ أُمَّةٍ ۚ إِنَّمَا يَبْلُوكُمُ ٱللَّهُ بِهِۦ ۚ وَلَيُبَيِّنَنَّ لَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيٰمَةِ مَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ
Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali, kamu menjadikan sumpah (perjanjian)mu sebagai alat penipu di antaramu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih banyak jumlahnya dari golongan yang lain. Sesungguhnya Allah hanya menguji kamu dengan hal itu. Dan sesungguhnya di hari kiamat akan dijelaskan-Nya kepadamu apa yang dahulu kamu perselisihkan itu.
(An Nahl 16:92)
وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وٰحِدَةً وَلٰكِن يُضِلُّ مَن يَشَآءُ وَيَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَلَتُسْـَٔلُنَّ عَمَّا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan kalau Allah menghendaki, niscaya Dia menjadikan kamu satu umat (saja), tetapi Allah menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan.
(An Nahl 16:93)

...........................
Pada perbincangan lepas, dari segi tafsir kita menjelaskan bahawasanya Allah SWT menjelaskan prinsip-prinsip yang terdapat di dalam Islam. Yang tergabung dalam 3 perintah Allah dan 3 larangan Allah. Masing-masing itu ditegaskan Allah untuk kita laksanakan dan untuk kita tinggalkan. 3 perkara itu yang dijadikan perintah Allah iaitu pertama: berlaku adil. Maka keadilan merupakan prinsip asas dalam Islam. Ia adalah satu yang pasti. 

Walaupun terhadap orang-orang yang bukan Islam dan orang-orang yang menjadi musuh bagi kita. Maka di dalam Islam disuruh berlaku adil. Yang kedua, kita disuruh untuk Ihsan. Untuk membuat yang terbaik. Dan yang ketiga adalah menjaga hubungan yang telah terbina terutamanya hubungan kekeluargaan termasuklah hubungan persahabatan dan  hubungan kerja. Mereka itu mempunyai hak ke atas kita kerana pernah berhubung dengan kita. Ini yang menjadi asas utama dalam Islam.

Erti kata berlaku adil kemudian berbuat yang terbaik dan menjaga hubungan yang sudah terbina. Allah SWT melarang kita dengan banyak perkara tetapi kesimpulannya pada tiga perkara ini.

Pertama adalah perkara Fakhsya' iaitu perkara yang keji yang secara semulajadi tidak boleh diterima oleh manusia.

Yang kedua adalah perkara Mungkar iaitu perkara yang tidak boleh diterima sama ada dari segi kemanusiaan bahkan dari segi agama.

Yang ketiga adalah al-Baghiyu melampaui batas. Contohnya permusuhan. Islam bukanlah agama permusuhan tetapi adalah agama persaudaraan. Islam itu berasal daripada perkataan 'salam' iaitu damai, aman atau tenteram. Inilah prinsip asas bagi setiap perintah Allah dan bagi setiap larangan Allah swt.

Maka apabila sesuatu perintah Allah itu mencakup perkara ini atau sesuatu perkara ada unsur-unsur yang bersifat satu daripada tiga perintah Allah  kita kena buat. Dan apabila perkara itu satu di antaranya dilarang Allah ada unsur Fakhsya', unsur Mungkar atau unsur Baghiyu, tinggalkan.

Apatah lagi kalau sekiranya perjanjian atau hubungan tersebut menyebabkan kita tidak berlaku adil dengan orang lain. Islam akan tegas melarang. Sekiranya terus diperturutkan juga yang aniaya nanti adalah diri kita sendiri. Dan akhirnya kalau kita buat juga, akan rasa tidak tenteram, gelisah dan gundah gulana.

Maka daripada buat, cantas daripada awal. Tinggalkanlah perkara ini. Ia dilarang oleh Allah SWT sebab di dalamnya ada Fakhsya', Munkar dan Al Baghiyu. Tidak boleh terlibat dalam hal-hal ini sebab akhir kesudahan dari semua itu, mestilah penderitaan, kesusahan dan membawa kepada kemurkaan Allah SWT di dunia dan akhirat. 

Selepas Allah SWT menyebutkan 3 prinsip perintahnya dan 3 prinsip larangannya,  Allah mula men"detail"kan perbincangan pada ayat ke 91, iaitu perintahnya dan larangannya. Maka Allah SWT, pertama mengingatkan kita pada perintahNya. Perintah apa?

وَ اَوْفُوْا بِعَهْدِ اللّٰهِ اِذَا عَاهَدْتُّمْ
- perincian Allah SWT terhadap apa yang dia perintah. Yang pertama menepati janji. Agar kita menunaikan janji dan hendaklah berusaha untuk melaksanakan janji. Sebagaimana juga Allah melarang kita dari melanggar dan mengingkari janji yang pernah kita janjikan. Ini perincian daripada perintah Allah di atas. Jadi janji merupakan sesuatu yang penting. Maka seorang Mukmin Produktif tidak akan begitu mudah membatalkan janjinya.

Dia akan berusaha untuk menjaga dengan sedaya upaya melaksanakannya dan tidak akan meninggalkannya. Melainkan kalau memang tidak mampu, tidak ada kekuatan untuk melaksanakannya maka dengan itu dia akan tunaikan dan disempurnakan dengan baik.Syeikh Dr Wahbah az-Zuhaili dalam tafsir beliau mengatakan bahawasanya janji yang dimaksudkan adalah apa saja ia mencakup seluruh hal yang dijanjikan seorang hamba dan dikaitkan dengan Allah SWT. Segala yang dijanjikan hamba maka ia masuk dalam janji ini. 

Maka ia mencakup apa? Pertama janji tersebut mencakup janji kita kepada Allah SWT, dalam bentuk kita berjanji untuk beribadah lebih taat lagi. Kemudian berjanji dengan nazar-nazar tertentu umpamanya. Maka orang yang beriman akan jaga janji-janjinya ini dan dia akan cuba laksanakannya dengan sebaik mungkin. Janji dengan Allah, "lepas Ramadan saya akan konsisten untuk majlis ilmu.

Cuba untuk laksanakan, sebagaimana saya juga cuba untuk konsisten menyampaikan majlis ilmu saya. Cuba laksanakan sedaya upaya kita. Jangan kita hanya setakat berjanji sahaja, berazam. Azam dah puluh-puluh tahun tapi tak pernah laksana. Ini menunjukkan lemahnya Iman. Kalau iman kita kuat apa yang dijanjikan kepada diri kita dan Allah SWT kita akan cuba untuk laksanakan.

Yang kedua segala janji dengan manusia seperti dalam akad-akad yang pernah kita buat. Termasuklah akad perkahwinan. Dalam akad perkahwinan, kita sudah buat satu taklik yang menyatakan kita akan jadi suami dan isteri yang baik. Menjadi ibu dan ayah yang baik. Ini janji-janji yang pernah kita nyatakan. Cuba untuk laksanaka. Ingat ketika kita berjanji bukan hanya melibatkan orang itu sahaja tetapi kita memasukkan nama Allah apatah lagi ketika akad nikah ada Imam, Kadi, saksi manusia, Wali, ibu bapa. Ramai yang tidak bertanggungjawab. Maka Allah SWT mengingatkan kita melalui surah an-Nahl ayat 91 ini. 

وَ اَوْفُوْا بِعَهْدِ اللّٰهِ اِذَا عَاهَدْتُّمْ وَلَا تَنْقُضُوا الْاَ يْمَا نَ بَعْدَ تَوْكِيْدِهَا
Janji dipertegas dengan sumpah kepada Allah SWT. Bagaimana menggunakan nama Allah? Pertama, demi Allah saya akan buat, sempurnakan perkara ini. Tapi selepas itu tak buat. Ini sangat tidak disukai Allah. Sebagaimana kita tidak suka dan marah jika orang menggunakan nama kita untuk kepentingan sendiri. Seperti juga sewenang-wenangnya berjanji atas nama Allah.

Seperti nama Allah tidak berharga. Allah murka bila namanya dipergunakan. Apabila kita bersumpah dengan nama Allah bermakna menjadikan Allah sebagai saksi perjanjian. Maka ingatlah bila kita sebut insya Allah bukan bermakna boleh tak buat. Perlu sensitif dalam hal ini. Cuba untuk tunaikan atau sempurnakan. "Wa qod ja'altumulloha 'alaikum kafiilaa" - kafiilaa ini bermakna penjaga. Kita jadikan Allah penjaga atau saksi kita.

Maka Allah SWT pada hujung ayat ini memberi amaran atau peringatan. Yang mana ulamak tafsir hujung ayat ini 'targhib' dan 'tarhib' pada masa yang sama. Taghrib maksudnya motivasi. Motivasi ini untuk menyempurnakan janji kita sebab Allah suka bila janji ditunaikan."innallaha ya'lamu maa taf'alun" - Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kamu lakukan. Oleh sebab itu kita berusaha menyempurnakannya. Yakini Allah akan membantu bila kita bertekad untuk melaksanakan janji. 

Dalam masa yang sama ada 'tarhib' - peringatan atau ancaman Allah. Sebaliknya bila dah guna nama Allah, lalu dibatalkan begitu sahaja Allah akan menghukum dengan balasan buruk.

Dari segi tadabbur - Mukmin Produktif amat sensitif jika melibatkan nama Allah SWT. Bagi orang beriman nama Allah sesuatu yang amat Agung. Bila berjanji sebut saja nama Allah, bergetar hatinya. "Innamal mu'minuna izazuk kirallahu wajizat qulubuhum". Orang beriman yang sebenar itu apabila disebut nama Allah bergetar hatinya.

Apatah lagi bila bersumpah atas nama Allah. Seorang Mukmin Produktif rasa bertanggungjawab untuk melaksanakannya walau tidak bersumpah atas perkara yang diperintahkan Allah. Menjadi satu tanggungjawab untuk dilaksanakannya apatah lagi bila digunakan nama Allah. Pasti akan berusaha melaksanakannya. Nama Allah tidak akan digunakan tanpa nilai komitmen yang berharga.

Pada ayat 92, Allah SWT membuat perumpamaan tentang orang yang membatalkan janji. Allah berkata,
وَلَا تَكُوْنُوْا كَا لَّتِيْ نَقَضَتْ غَزْلَهَا مِنْۢ بَعْدِ قُوَّةٍ اَنْكَا ثًا ۗ تَتَّخِذُوْنَ اَيْمَا نَكُمْ دَخَلًاۢ بَيْنَكُمْ اَنْ تَكُوْنَ اُمَّةٌ هِيَ اَرْبٰى مِنْ اُمَّةٍ ۗ اِنَّمَا يَبْلُوْكُمُ اللّٰهُ بِهٖ ۗ وَلَيُبَيِّنَنَّ لَـكُمْ يَوْمَ الْقِيٰمَةِ مَا كُنْـتُمْ فِيْهِ تَخْتَلِفُوْنَ
Janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang menguraikan benang yang telah dipintal kuat. Ulama tafsir menyatakan pada asalnya ayat ini berkaitan dengan seorang perempuan Quraisy yang bernama Raayitah yang suka dipanggil Ja'raa. Dia suka menenun dan membuat kain tetapi akan membukanya semula bila hampir siap dan membuatnya semula.

Jadi, Allah mengingatkan kita supaya jangan menjadi seperti wanita ini. Allah membuat perumpamaan supaya memahami sesuatu yang abstrak dengan contoh yang kita boleh rasa dan lihat. Sepatutnya bila membuat sesuatu pekerjaan perlu selesaikan dan sempurnakan. Bukan dihuraikan dan dibuat semula apabila sudah hampir siap. Itu perkara sia-sia. Ia merupakan perumpamaan bagi orang yang membatalkan tanpa sebab janji atas nama Allah. Sedangkan bila berjanji dengan nama Allah kita sudah hampir menyempurnakannya kerana Allah pasti akan membantu jika kita berusaha. Prinsip menyempurnakan janji digunakan "aufu" - sempurnakanlah. Cuma pada setiap yang kita janjikan itu ada ujiannya.

No comments:

Post a Comment