Tuesday, 8 September 2020

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 8 AYAT 12-14 : 6 Sept

  Nota Perkongsian 06.09.2020

Tadabbur Surah An-Naml Sesi 8 akan membahas surah An-Naml Ayat 12-14
Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

 Assalamualaikum

Puji syukur ke hadrat Allah swt di atas limpah kurnia kepada kita semua, Alhamdulillah. Pada pagi yang berbahagia ini, kita kembali bersama-sama dalam majlis ilmu kita tadabbur Al-Quran. Mudah-mudahan Allah swt memberkati, merahmati majlis kita ini dan menganugerahkan kita ilmu yang bermanfaat ilmu yang bermanfaat. Amin ya rabbal alamin. Kemudian selawat dan salam tidak lupa juga kita sampaikan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad saw, mudah-mudahan kita di antara umatnya yang akan bersamanya di dalam syurga kelak. 

Mari kita mulakan perbincangan kita pada harini dengan membaca Surah An-naml, kita ulang semula dari ayat 12 sehingga 14. Kita ambil pengajaran daripada ayat-ayat ini insyaaAllah. Mari kita baca terlebih dahulu;

وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِى جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ ۖ فِى تِسْعِ ءَايٰتٍ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِۦٓ ۚ إِنَّهُمْ كَانُواْ قَوْمًا فٰسِقِينَ
Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, niscaya ia akan ke luar putih (bersinar) bukan karena penyakit. (Kedua mukjizat ini) termasuk sembilan buah mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Fir'aun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik".
(An Naml 27:12)

فَلَمَّا جَآءَتْهُمْ ءَايٰتُنَا مُبْصِرَةً قَالُواْ هٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Maka tatkala mukjizat-mukjizat Kami yang jelas itu sampai kepada mereka, berkatalah mereka: "Ini adalah sihir yang nyata".
(An Naml 27:13)

وَجَحَدُواْ بِهَا وَٱسْتَيْقَنَتْهَآ أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا ۚ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ
Dan mereka mengingkarinya karena kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.
(An Naml 27:14)

Maha Benar Allah ke atas firman-firmannya.

Pada pertemuan lepas kita menjelaskan bahawasanya Allah anugerah Nabi Musa as dengan beberapa kelebihan dalam bentuk mukjizat-mukjizat dan itu menjadi tanda diangkatnya darjat nabi Musa as, ditinggikan kedudukannya daripada orang-orang ada pada zamannya. Dan kelebihan dan kedudukan yang tinggi itu akan diiringi dengan ujian, cabaran. Biasanya seperti itu terutamanya nabi dan rasul. Allah pasti akan menguji dia, Allah pasti akan hadapkan mereka dengan perkara yang berat sesuai dengan kedudukannya. 

Apakah perkara yang berat yang dihadapi oleh Nabi Musa as? Iaitu berdakwah pada bapa angkatnya sendiri, Firaun. Firaun yang telah membesarkannya dan membenarkan Nabi Musa hidup di dalam istananya sampai dia dewasa, sampailah perkara yang tak disangka iaitu Nabi Musa memukul orang Qibti dan ternyata pukulan terlalu kuat sehingga mati orang Qibti (Mesir) ini. 

Ini menyebabkan Nabi Musa melarikan diri ke Madyan iaitu negeri dimana Nabi Syuaib berada dan berkahwin dengan anak Nabi Syuaib. Dan kita tahu setelah beberapa tahun bekerja dengan Nabi Syuaib, dia pun berhasrat menziarahi keluarganya di Mesir. 

Jadi, hidup dengan Firaun, hidup yang berkecukupan, mewah, tiada gangguan sebab dia dikira sebagai anak raja, anak penguasa pada waktu itu. Jelaslah kehidupan Nabi Musa di dalam istana tersebut berkecukupan tapi inilah ketentuan Allah yang mana Nabi Musa perlu berhadapan dengan orang yang telah berjasa kepadanya, orang yang  telah memberinya pertolongan/ bantuan membesarkannya. Inilah perkara yang berat sebenarnya apatah lagi Nabi Musa telah melakukan kesalahan yang menyebabkan Firaun marah/murka mencarinya.

Dan ini menjadikan Nabi Musa takut kepada Firaun dan ini dinyatakan di dalam Surah Al-Isra’, Nabi Musa mengaku sendiri dia takut. Dalam Surah Taha juga ada disebutkan. Tapi Allah swt memberinya keyakinan bahawa engkau boleh berhadapan dengan Firaun dan Aku akan sediakan kepada engkau mukjizat, kehebatan yang mana Firaun nanti akan mahu tak mahu akan meyakini apa yang kau bawa nanti. 

Ini lah antara 9 mukjizat yang Allah anugerahkan kepada Nabi Musa as. Dan 9 mukjizat itu perkara yang luar biasa yang menyebabkan Firaun tahu apa yang dibawa oleh Nabi Musa ini bukanlah sesuatu yang calang-calang, ia adalah kebenaran. Nanti dia ayat ke 14, kita lihat bahawasanya Firaun menyedari kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa as. 

Dan di hayat hujung Firaun sendiri ketika berada di dalam lautan, dia sendiri mengatakan ‘Amantu’ Dia beriman kepada apa yang dipercayai oleh bani Israel tapi masa tu dah terlambat sebab dia sudah dalam sakaratul maut. 

Dan ingat, taubat akan terhalang atau tidak diterima ketika dalam dua keadaan. Satu, apabila nyawa dan di sampai di kerongkong, masa tu dah terlambat. Yang kedua, apabila matahari sudah terbit di sebelah barat, ia menunjukkan bahawasanya kiamat sudah betul-betul dekat. 

Firaun ternyata mempercayai apa yang dibawa oleh Nabi Musa as. Dengan mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa as sudah cukup meyakinkan Firaun akan tetapi Firaun melakukan perkara-perkara yang menyebabkan hidayah itu tidak mampu menjelma dalam bentuk tindakan. Dia nampak kebenaran tapi tidak mampu menzahirkannya. 

Apakah puncanya? Maka hujung ayat yang ke12, Allah menjelaskan tentang kenapa Firaun tidak berjaya menzahirkan kepercayaannya kepada apa yang dibawakan oleh Nabi Musa as itu, apa kata Allah?إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْماً فَاسِقِينَ Apa yang menyebabkan Firaun dan orang-orangnya tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa as? Iaitu disebabkan mereka fasik. 

Apa makna fasik? Orang yang tahu kebenaran akan tetapi bertindak menyalahi kebenaran tersebut. Dia tahu ini yang betul tetapi dia buat yang salah juga. Maka, fasik ini dia ada ilmu, pengetahuan tentang sesuatu tetapi pengetahuannya tidak membantunya untuk memilih yang betul, tidak menyebabkannya mengamal yang benar.  العِلْمُ بِلاَ عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلاَ ثَمَر, orang arab kata “Ilmu tanpa diamalkan seperti pokok tanpa buah. 

Pokok mungkin ada lagi dahan-dahannya, daun-daunnya orang boleh berteduh dibawahnya tetapi orang yang ada ilmu tapi tidak mengamalkan dan dia mengamalkan pula menyalahi ilmu tersebut, ini fasik namanya. Maka kefasikan menghalang hidayah daripada Allah swt. 

Kita ada dua jenis hidayah. Hidayah ini sangat penting. Di antara nikmat Allah swt yang berharga kepada kita. Satu, hidayah irsyad iaitu hidayah yang Allah nampakkan kebenaran tersebut. Allah tunjukkan kepada kita yang Haq itu. Tetapi dalam nampak kebenaran, tak semestinya orang akan ikut kebenaran tersebut. 

Nampak yang betul tidak semestinya orang ikut yang betul itu. Ini menunjukkan hidayah Irshad Allah bagi secara am, secara umum kepada semua orang tak kira Muslim, Kafir. Dia nampakkannya kebenaran itu sehingga ada dua golongan yang mana ketika nampak hidayah itu dia ikuti, dia beramal mengikut hidayah tersebut. Ketika dia beramal mengikut hidayah irshad tersebut, itu dinamakan taufiq. 

Dan ada golongan yang nampak kebenaran tersebut, melihat yang Haq tetapi dia mengabaikan, tidak memperdulikannya, dia mengamalkan yang sebaliknya. Inilah yang dinamakan orang fasik, lawan kepadanya adalah orang yang dapat taufiq. 

Maka, Allah menyebutkan tentang Firaun dan kaumnya macam mana? إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْماً فَاسِقِينَ Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik iaitu kaum yang nampak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa as. Macam mana tak nampak? Ada 9, ada banyak mukjizat  yang Allah tunjukkan kepada mereka. Yang secara asasnya, mukjizat dinamakan mukjizat kerana lawannya ketika itu tak mampu untuk menandinginya. Mukjizat berasal daripada perkataan “a’jaza”, menyebabkan musuh itu lemah tak mampu untuk mendatangkan seumpama mukjizat itu. Mukjizat mesti hebat.  

Allah sentiasa menghantarkan kita hidayah, petunjuk, bimbingan. Boleh dikatakan setiap hari, sepanjang masa Allah menghantarkan kepada kita isyarat-isyarat yang menghalakan kita kepada hidayah tadi itu. cuma, ada yang boleh melihatnya dengan baik dan mengikutinya dan ada yang nampak tapi dia abaikan. Dan inilah menjadi sebab dalam ayat ke 13, Allah swt berfirman;

 فَلَمَّا جَاءتْهُمْ آيَاتُنَا مُبْصِرَةً قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ

“Dan ketika ayat-ayat kami, tanda-tanda mukjizat yang kami berikan kepada Nabi Musa itu nampak dengan jelas dan terangnya oleh Firaun dan kaumnya, tapi dia cuba alihkan, putar belitkan kebenaran tersebut dengan mengatakan “ia adalah sihir”.” Inilah perangai orang yang fasik, yang mana hidayah yang jelas tu pun mereka tolak disebabkan oleh kefasikan mereka lalu mereka tukar, cuba alihkan perhatian manusia daripada kebenaran tersebut. 

Dan sihir adalah sesuatu yang masyhur di kalangan orang-orang Mesir pada waktu itu. Boleh katakan, sihir adalah perkara lazim yang mereka lakukan. Dan sihir menurut pengalaman mereka itu adalah sesuatu yang tipu, sesuatu yang bersifat trick, bukan kebenaranpun. Ia hanya mengaburi atau menyebabkan mata orang yang memandang tersebut dia macam benar tetapi salah. 

Jadi mereka tahu itu. Jadi mereka cuba untuk mengalihkan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa as seperti sihir itu yang mana yang dibawa oleh Nabi Musa ini nampak sahaja benar tetapi tipu sebenarnya ni. Inilah dakwaan atau tuduhan yang dibawa oleh Firaun pada waktu itu. 

Dan sebahagian daripada sihir itu menggunakan jin dan syaitan untuk membantunya untuk nampak lebih real lagi. Kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa ini pun ditolak oleh orang ini. Puncanya, fasik, tidak mahu mengakui dan mengikuti hidayah yang Allah berikan. 

Hidayah Irshad adalah hidayah yang Allah swt berikan kepada setiap makhluk, manusia yang mana dengan itu mereka dapat mengakuinya tetapi tergantung kepada manusia untuk memilih samada nak mengikuti hidayah tersebut atau meninggalkannya dan berpaling kepada yang batil.

Jadi, Firaun menuduh Nabi Musa dengan tuduhan bahawa dia adalah penyihir dan ia dijadikan hujah untuk mengelak atau menghindar daripada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa. kalau kita ambil pengajaran dalam kehidupan kita, kita akan jumpa orang yang macam ini juga. Orang-orang yang dah nampak kebenaran yang kita bawa, hujah yang kita sampaikan, tetapi dia masih lagi menolaknya bahkan dia menuduh kita dengan tuduhan-tuduhan yang tak berasas. 

Dan apabila berada dalam kebenaran, berdoalah agar dikurniakan kesabaran sehingga tetap dengan kebenaran tersebut, tidak terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan yang dikemukakan oleh orang yang anti kepada kebenaran ini sebab kebenaran ini umpama matahari kata ulama’, yang mana pada waktu malam, kegelapan memang dia tak nampak tetapi suatu hari matahari akan terus bergerak, kebenaran itu akan terus berjalan yang mana gelap ini akan hilang dan maka akan nampaklah matahari itu. Dan matahari yang nampak ini, ia umpama kebenaran. 

Dan matahari pada waktu siang pun kadang-kadang kita tak nampak, mungkin disebabkan oleh gerhana atau disebabkan oleh awan dan hujan yang menyebabkan kita tak nampak tetapi ketahuilah satu masa nanti mesti kebenaran itu juga yang akan zahir. 

Maka, orang kata kebaikan itu walaupun ditutup-tutupi akan terbuka juga sebagaimana keburukan yang ditutup-tutupi satu hari dia akan terbongkar dan terbau juga oleh orang. Hati-hati. Maka lebih baik kita menyimpan kebenaran dan ketika ia terbuka nanti orang akan tahu hakikat kita. 

Amalan sunat apabila kita amalkan, kita dapat pahala. Apabila kita tinggalkan kita kerugian. Oleh itu, dalam hal ini kita tak kata fasik. Fasik ini bahawasanya dia tahu benda ini adalah haram tapi dia buat juga. Fasik ini biasanya berkaitan dengan dosa. Jadi, apabila orang tahu arak itu haram tapi dia minum juga. Atau dia tahu rasuah itu dosa besar tetapi dia mengamalkan. 

Ketahuilah, orang-orang yang masih membiarkan diri mereka seperti ini akan susah mendapat hidayah Allah yang lain. Bagi yang meninggalkan amal yang sunat, cuma iman lemah, lalai, leka sehingga dipengaruhi oleh syaitan dan nafsunya untuk lebih rehat, rilek. Oleh itu, tidak masuk dalam kategori fasik yang kita katakan ini. Kita berdoa kepada Allah agar kita dilindungkan daripada fasik ini. 

Jangan lakukan keburukan walaupun orang tak nampak, dan lakukanlah kebaikan walaupun orang tak nampak. Bukan masalah orang nampak tak nampak, tetapi hal itu dibenarkan atau tidak. Jadi, Allah swt sentiasa nampak, maha melihat apa yang kita lakukan. 

Maka, bukan pandangan orang yang menjadi penentu kita melakukan sesuatu tetapi pandangan Allah swt yang menentukan apa yang kita lakukan. Maka, orang beriman jika dia tahu Allah suka akan perkara itu, dia akan buat walaupun orang tak hargainya, tak tahu dan demikian juga apabila Allah tak suka walaupun manusia disekelilingnya kata “takapalah”. Orang beriman tetap akan meninggalkannya. 

Cuba kita tengok ayat yang ke 14 yang mana allah menjelaskan lebih lanjut tentang Firaun dan kaumnya;

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنفُسُهُمْ ظُلْماً وَعُلُوّاً

“Mereka mengingkarinya, mereka melawan” ‘Jahadu’ ini root word kepada Jihad. “Mereka tak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa padahal kata Allah diri mereka pada ketika itu meyakini bahawa ia adalah kebenaran”. Iaitu hati mereka mengakui tetapi mereka melawan, mengingkari. 

Ada orang yang menerima kebenaran itu tetapi perbuatannya berbeza. Apa tindakan tersebut? Kata-katanya, perbuatan bercanggah dengan hatinya, apa maknanya? Dia melawan dirinya sendiri dan ini menyalahi tabiat, sesuatu yang semulajadi dalam diri manusia tersebut. Sepatutnya apa yang diingini oleh hati, itu yang patut kita ikuti tapi mereka ini macam mana? Hati mereka mengatakan seperi ini tetapi yang mereka buat bercanggah dengan hati ini menunjukkan nafsu lebih berkuasa daripada hati. 

Imam Al-Ghazali mengingatkan kita dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, bahawasanya pada diri kita ini umpama sebuah kerajaan yang mana dia ada rajanya, perdana menterinya, bala tentaranya, menteri pertahanannya dan yang sepatutnya raja itu adalah hati kita yang biasanya kalau hati ini nampak kebenaran, dia yang akan terima dahulu, memahami perkara tersebut dahulu, yang menentukan. 

Kita akan perdana menteri iaitu akal kita. Kata Al-Ghazali akal kita membantu raja mempertimbangkan baik buruk. Dan nafsu adalah menteri pertahanan atau askar yang membantu untuk mempertahankan diri kita.ini semestinya struktur organisasi, bentuk kerajaan yang ada dalam diri kita. 

Diketuai oleh hati, kemudian ada perdana menteri dalam bentuk akal fikiran dan dikawal oleh nafsu. Nafsu ini cuma pengawal, jangan jadikan ia raja ataupun perdana menteri. Dan orang-orang fasik biasanya tersalah dalam meletakkan struktur tadi. Apa yang dia buat? Nafsu yang sepatutnya menjadi pengawal tadi, menjadi raja. Kalau dia menjadi raja, maka perdana menteri kata ni tak bagus, maka kalau raja dah tak betul, maka dia buat juga sesuka hati dia. Ini yang berlaku. Perdana menteri seolah tiada fungsi. 

Kalau hati ini cuma dijadikan pengawal, tengok-tengok sahaja. Bukan yang memberi arahan utama. Maka apa akan berlaku? Dia tak boleh bertindak, bukan kuderatnya bukan untuk menjadi pengawal tapi penentu terakhir. Fikiran kita memberikan idea, yang mana satu nak pilih nanti ditentukan oleh hati. 

Maka nabi selalu kata “ kalau kamu berhadapan dengan sesuatu yang mengelirukan, banyak idea yang kamu dapatkan, tanya hati kamu, mana hati kamu rasa cenderung, maka itulah yang perlu kamu ambil”. 

Jadi, kita nampak orang kafir ini mengakui kebenaran tersebut oleh Nabi Musa as tetapi mereka melawan sebab apa nafsu yang lebih kedepan menyebabkan kita mudah melakukan kezaliman. Sebenarnya, merubah posisi yang sepatutnya itu pun dah zalim dah. Zalim itu lawannya adil. 

Adil adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya, kedudukan yang sesuatu. Maka, manusia sudahpun zalim ketika mendahulukan nafsunya. Itu secara asasnya. Dan menjadikan hati hanya sebagai pengawal, tengok dari jauh sahaja. 

Jadi, selalulah mendahulukan hati tapi hati yang perlu dijadikan raja itu adalah hati yang bersih. Jangan pula letakkan hati yang sudah kotor. Kata ulama’ hati itu ada tiga bentuk. Satu, hati yang sihat. Kedua, hati yang berpenyakit. Ketiga, hati yang mati. 

Jadi, hati yang perlu kita jadikan raja itu adalah hati yang sihat. Kalau kita mahu jadikan hati raja, maka jadikan dia sihat dahulu. Sihat itu adalah dengan zikrullah, dengan majlis ilmu, bacaan Quran, duduk bersama orang soleh, apabila perlu membantu orang susah. Masa itulah hati yang akan kedepan. 

Mahu tak mahu nafsu akan kebawah nanti. Tetapi kalau nak jadikan hati itu raja tetapi yang kita datangi adalah orang maksiat, jauh daripada melaksanakan perintah Allah, bagaimana nak jadikan hati raja? Raja tak mampu buat apa apa sebab dia sakit. Dia tak mampu mengurus kerajaan dia. 

Oleh itu, penyucian hati, pembersihan jiwa sangat penting untuk memastikan hiraki dalam diri kita itu betul. Maka ulama’ sangat menekankan kita penyucian hati dan pembersihan jiwa. 

Semestinya jika engkau meyakini sesuatu, engkau tolong, bantu, terlibatlah dalam aktiviti yang membawa kita dalam apa yang kita yakini tersebut. Bukan hanya tengok. Apabila kebenaran ini tidak ada yang menyokong, dia akan jadi lemah dan kebatilan akan menjadi kuat. 

Imam Malik berkata “Kebatilan yang diurus secara teratur akan mengalahkan kebenaran yang diurus secara tidak sistematik”. Maka, perlu kita membantu kerja-kerja yang kita tahu ia adalah kebenaran. Kalau tidak mampu bantu dari segi harta, tenaga, paling tidak support dengan berkata “saya suka dengan apa yang awak buat”, nyatakan. Kadang-kadang orang yang melakukan kebenaran ini tidak perlukan duit atau pertolongan tetapi kalau kita nyatakan pertolongan itupun cukup bagi dia, buat dia kuat dalam menghadapi dugaan. Jangan kedekut dalam memberikan sesuatu sokongan. 

Allah menyebutkan dalam surah Al-lail, orang yang akan senang hidupnya adalah orang yang suka memberi dan bertaqwa dan membenarkan benda baik yang orang buat. Ini kadang-kadang lebih berharga daripada harta. 

Ada pula orang yang nampak kebenaran dan memberi harta tetapi mulutnya mengkritik membuatkan orang yang melakukan kebenaran menjadi down, kecil hati. Banyak di dunia ini orang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hatinya. 

Orang ini akan stress, dalam tekanan. Sebab dia telah menyalahi tabiatnya dan biasanya akan hilang kebahagian, ketenangan. Sangat penting menyepadukan/ menyamakan keinginan hati dengan perbuatan dan kata-kata kita. 

Imam Ghazali pernah berkata iman itu hati yang membenarkan, bermula dengan hati dulu. Dan menyatakan dengan mulut kita, menyatakan apa yang ada dalam hati kita dan anggota badan melakukan apa yang ada dalam hati kita dan apa yang dikatakan kita. Maka, iman adalah serasi antara hati, mulut dan perbuatan. 

Dan iman ini yang membawa kepada aman, tenteram, tenang. Dan hasilnya kita akan banyak berbuat kebaikan. Tetapi apabila semua bercanggah, hati kata lain, mulut kata lain, kerja kata lain maka kita akan termasuk dalam golongan fasik itu dalam kata Allah dalam hujung ayat ini “orang yang seperti ini yang menyalahi hati mereka sendiri akan banyak membuat kerosakan”. 

Maka Allah kata “kau lihat sendirilah apa kesudahan orang-orang ini”. فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ Dan ini akan menyebabkan jiwa dan dirinya cedera sendiri, menyebabkan hilang apa yang hakiki dalam kehidupan kita ini iaitu kebahagian. 

Sampai di sini sahaja, jazakumullahu khairan kathiran. insyaaAllah selepas ini kita akan membincangkan ayat ke 15 yang mana merupakan cerita utama dalam surah An-Naml iaitu kisah Nabi Sulaiman. Ada sedikit highlight tentang Nabi Daud iaitu merupakan ayah Nabi Sulaiman. Cerita yang ada dalam Surah An-Naml ini merupakan cerita yang sangat menarik. Cerita tentang kejayaan, kehebatan Nabi Sulaiman. insyaaAllah kita akan bertemu di siri yang akan datang iaitu siri yang ke-9. Tutup dengan tasbih taffarah dan Surah Al-’Asr. Assalamualaikum.

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 7 AYAT 12 : 5 Sept

  Nota Perkongsian 05.09.2020

Tadabbur Surah An-Naml Sesi 7 akan membahas surah An-Naml Ayat 12-14
Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Assalamualaikum 
Puji syukur kita ke hadrat Allah swt atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia kepada kita semua, Alhamdulillah. Pada pagi yang berbahagia ini, kita kembali dengan majlis ilmu kita iaitu tadabbur Al-Quran iaitu membincangkan Surah An-Naml. InsyaaAllah kita akan sambung, harini ini merupakan sesi ke 7 dan kita sudahpun membicangkan sehingga ayat ke 11, kalau saya tak silap. InsyaaAllah kita akan sambung dengan ayat yang ke 12 harini. Kita ambil iktibar dan pelajaran daripada ayat yang kita baca nanti, insyaaAllah. Kita baca terlebih dahulu ayat yang akan kita bincang hari ini iaitu ayat yang ke 12 sehingga ayat ke 14;

Bacaan:

وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِى جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ ۖ فِى تِسْعِ ءَايٰتٍ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِۦٓ ۚ إِنَّهُمْ كَانُواْ قَوْمًا فٰسِقِينَ
Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, niscaya ia akan ke luar putih (bersinar) bukan karena penyakit. (Kedua mukjizat ini) termasuk sembilan buah mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Fir'aun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik".
(An Naml 27:12)

فَلَمَّا جَآءَتْهُمْ ءَايٰتُنَا مُبْصِرَةً قَالُواْ هٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Maka tatkala mukjizat-mukjizat Kami yang jelas itu sampai kepada mereka, berkatalah mereka: "Ini adalah sihir yang nyata".
(An Naml 27:13)

وَجَحَدُواْ بِهَا وَٱسْتَيْقَنَتْهَآ أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا ۚ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ
Dan mereka mengingkarinya karena kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.
(An Naml 27:14)
 
Maha Benar Allah ke atas firman-firmannya.

Tema yang kita angkat terhadap tadabbur kita pada Surah An-Naml kita adalah membina tamadun yang unggul. Allah swt memberi contoh kepada kita melalui bagaimana Nabi Musa memulai membina tamadun Bani Israel yang hancur lebur disebabkan oleh kezaliman firaun. Dan dalam perbincangan lepas kita membincangkan bagaimana Allah swt memberikan wahyu kepada Nabi Musa as yang mana berlaku pada waktu Nabi Musa ingin kembali kepada keluarganya di Mesir dan pada waktu itu dia melihat api dan dia mendekat kepada api itu. 

Ternyata api itu adalah keberkatan yang mana di tempat itu Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah swt. Bukan setakat itu, Allah memuliakan Nabi Musa dengan bercakap langsung denganNya. Ini keistimewaan yang ada pada nabi Musa AS. Kebanyakan nabi-nabi lain hanya melalui Jibril. 

Maka daripada perbincangan lepas, pengajaran daripada tadabburnya adalah Allah swt apabila bertemu dengan Musa, Allah swt memperkenalkan diriNya menunjukkan bahawa bagi mewujudkan/ membina tamaddun yang unggul berdasarkan wahyu adalah berdasarkan kenal Allah dahulu. Apabila seseorang kenal Allah, maka insyaaAllah banyak kebaikan yang dia dapatkan. 

Kemudian yang kedua kita bincang, selepas kita kenal Alllah swt, kita perlu bergantung kepada Allah swt sepenuhnya. Pergantungan kita kepada makhluk hendaklah kita ketepikan seperti Nabi Musa as ketika Nabi Musa as mempunyai tongkat dan sangat bergantung dengan tongkatnya ini. Maka, Allah swt kata kepadanya buang tongkatnya dahulu dan ini merupakan isyarat bahawasanya sesuatu yang kita bergantung biasanya kalau kita kenal Allah swt, kita ketepikannya dahulu. 

Dan apabila kita sudah dekat dengan Allah swt, jiwa kita sudah bergantung sepenuhnya kepada Allah, Allah akan anugerahkan kepada kita perkara-perkara luar biasa yang kita tak jangka. Kadang-kadang betapa hebat dan dahsyat perkara yang diberikan kepada kita tersebut maka kita rasa takut, khuatir sehingga kita lari daripada perkara yang Allah berikan itu. Tapi Allah insyaaAllah akan bimbing dan pandu kita kepada kita kebaikan yang diberikan kepada kita. Sepertimana Nabi Musa as ketika Allah tunjukkan tongkatnya menjadi ular, Nabi Musa as cabut lari. Bahkan, dia tak menoleh pun kebelakang. 

Tapi Tuhan berkata “Rasul-rasul tak pernah takut kepadaku kecualilah Nabi dan Rasul tersebut ada membuat kezaliman”. Kata ulama’ ayat ini adalah sindiran kepada nabi Musa as. Nabi Musa as pernah ke buat kezaliman sebelum ini? Dia pernah. Iaitu pernah membunuh seorang Qibti (orang Mesir asli). Kenapa Nabi Musa as lari? Kerana dia pernah melakukan dosa dahulu tapi Allah swt memberi peluang kepada Nabi Musa as , sesiapapun umat manusia yang pernah melakukan dosa/ kesilapan untuk bertaubat kepada Allah swt, Allah berkata “Apabila dia mengganti keburukannya itu dengan kebaikan, sesungguhnya Aku itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. 

Dan kepada Nabi Musa as jelaslah ini menunjukkan bahawasanya Nabi Musa as perlu bertaubat atas kesalahan yang lepas. Dia telah membunuh, maka dia perlu meminta ampun dengan Allah swt dan juga perlu bertemu dengan orang yang telah dia zalimi dahulu ataupun keluarga. 

Melalui ayat yang kita baca tadi, Allah swt menjelaskan tentang kejadian yang luar biasa lagi selain tongkatnya berubah menjadi ular. Kata Allah; 
وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِي جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاء مِنْ غَيْرِ سُوءٍ
“Wahai Musa, masukkanlah tangan kamu ke leher bajumu” ada sebahagian yang mengatakan melalui lengan baju. Orang arab jubahnya besar, maka di sebelah ketiak ada rongga lalu dia letakkan disebahagian dadanya. Kemudian, dia keluarkan tangannya semula. Maka tangan nabi musa as pada waktu itu menjadi bersinar bersih. Ini mukjizat yang berlaku ke pada Nabi Muas as. 

Bercahaya, macam dia mempunyai mentol, seolah-olah ada lampu ditangannya, cerah betul. Dan kita tahu pada waktu itu malam hari, ketika dia keluarkan tangan itu, tentulah keluar cahaya. Ini menunjukkan kalau sekiranya Nabi Musa sebelum ini mencari api dari luar tapi Allah swt anugerahkan api itu keluar sendiri dari tangannya sendiri. Api ataupun cahaya, dia sebenarnya memerlukan cahaya.  

Jadi, inilah mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Musa as yang mana ketika Nabi Musa as bertaubat kepada Allah swt, jiwanya menjadi bersih maka berlakulah perkara luar biasa. Ini menunjukkan kita pentingnya kenal Allah bergantung kepada Allah sepenuhnya dan ketiga bertaubat. 

Bagi orang biasa mungkin tak dapat mukjizat tapi dapat ma’unah, pertolongan-pertolongan yang orang-orang biasa takkan mampu melakukan itu, takkan terdaya melaksanakannya tapi Allah swt bagi dengan syarat kenal Allah, bergantung kepada Allah, bertaubat kepada Allah. 

Maka insyaaAllah jiwanya suci maka akan mengeluarkan cahaya. Ini menunjukkan kesucian jiwa ini akan melahirkan petunjuk hidayah, bukan hanya dia sahaja yang akan mendapat petunjuk, orang lain pun akan dapat manfaat daripada kelebihan yang Allah bagi tersebut. 

Dalam suruh An-Nur ada Allah menyebutkan perumpaan Nur (cahaya) Allah swt. Surah An-Nur merupakan surah ke 24, mukasurat 254. Yang mana Allah swt mengatakan, 

“Perumpamaan cahaya Allah tersebut seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang didalamnya ada pelita besar, pelita itu dalam tabung kaca dan tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkati iaitu dari zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat” maka di tumbuh di mana? Di timur tengah. 

Dia bawahnya ada minyak zaitun yang kualiti terbaik. Minyak zaitun yang kualiti terbaik ini dia akan jernih, dia akan keluarkan cahaya. “..Yang minyaknya hampir-hampir menerangi...” minyaknya sahaja boleh menerangi, dahsyatnya. “...Walaupun tidak disentuh api..” walaupun tidak disentuh api tetapi minyak itu sudah mengeluarkan cahaya. Tadi api pun ada cahaya, kaca pun ada cahaya, minyak pun ada cahaya, maka ada beberapa cahaya di sini. 

Maka Allah berkata cahaya di atas cahaya “Nurun ‘ala Nur” dalam erti kata ada cahaya yang berlapis-lapis, cahaya dari api, cahaya dari kaca, cahaya daripada minyak yang ada dibawahnya tersebut dan sebenarnya ayat ini tentang apa? Tentang petunjuk Allah swt. 

Kata Allah pada ayat tersebut “Allah memberi petunjuk kepada cahayaNya bagi orang-orang yang dikehendakinya.” Allah memberi petunjuk kepada cahaya yang berlapis-lapis kepada sesiapa yang Dia kehendaki, tak semua akan sampai kepada darjat tersebut. 

Dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia, Allah maha mengetahui segala sesuatu. Di sini maksudnya apabila seseorang berjiwa bersih, dia akan memperoleh cahaya ini nanti. Kalau bagi Nabi Musa, tangannya mengeluarkan cahaya yang tidak ada cacat celanya; menunjukkan bahawasanya cahaya yang dikurniakan kepada Nabi Musa ini cahaya yang sempurna sebab Allah anugerahkan kepadanya, Allah pilih dia.

Adakah hanya untuk nabi musa atau nabi-nabi lain sahaja? Tidak, sebenarnya aturan yang Allah letakkan ini berlaku untuk semua orang. Sesiapa yang inginkan cahaya Allah ini, maka hendaklah ia mensucikan jiwa. 

Buktinya, ayat selanjutnya dalam surah An-Nur itu menjelaskan siapakah yang akan mengambil cahaya Allah itu? 

Yang mana cahaya itu di rumah-rumah yang disana telah diperintahkan oleh Allah untuk memuliakan dan menyebut nama-namaNya, disana bertasbih dan menyebut-nyebut namanya pada waktu pagi dan petang.” Maka cahaya ini berada di rumah-rumah yang disebut nama Allah swt, perintah Allah dilaksanakannya, ada solatnya, ada membaca Qurannya, ada zikurullah. 

Dan lebih lanjut, dalam ayat ke 37, surah An-Nur tersebut;

Allah menyebutkan manusia yang memperoleh cahaya ini. Siapakah mereka? Adakah mereka orang-orang yang khusus beribadah sahaja. Tidak. Orang yang sibuk bekerja pun akan dapat cahaya ini. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan mereka ataupun jual beli daripada mengingat Allah swt. Dia menjaga zikrullah dan mendirikan solat dan membayar zakat. Sifatnya lagi dia ada rasa “Khauf”. Khauf disebabkan oleh kelemahan dirinya sendiri, takut terhadap hari kiamat.  

Allah swt mengingatkan kita untuk meraih cahaya ini yang mana Nabi Musa mendapatkan cahaya itu yang mana keluar daripada tangannya cahaya sebagai isyarat bahawasanya Nabi Musa as mempunyai jiwa yang suci ketika itu lalu dia boleh mendapat hidayah dan juga dapat memberi cahaya dan manfaat kepada orang-orang sekelilingnya itu. 

Apabila Nabi Musa as sudah mempunyai keilmuan tentang Allah swt, sudah mempunyai kebergantungan yang penuh dengan Allah swt dan dosa-dosanya sudah diampunkan dosanya, dibersihkan jiwa dan ketika itu sudah mendapat hidayah, Nur daripada Allah swt dan dia sudah bersedia untuk memberi manfaat juga kepada orang sekelilingnya, maka Allah mengutuskan kepadanya untuk berjumpa dengan Firaun. Allah katakan “Pergilah berjumpa dengan Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas”. 

Tapi pada ketika itu, Nabi Masa masih ada rasa gerun. Nabi Musa berkata “Wahai Allah, utuskanlah juga saudaraku yang bernama Harun membantu aku dalam dakwah ini sebab aku ada kekurangan, aku berkomunikasinya tidak jelas tetapi abang aku ini pandai bercakap, bahasanya jelas. Oleh itu, bantulah aku untuk mengutuskannya juga, insyaaAllah dia seorang yang amanah juga”. 

Dan Allah swt memakbulkan permintaan Nabi Musa tersebut dan diutuskanlah Harun untuk bersamanya. Maka, ada lah kawan Nabi Musa dalam berdakwah melawan Firaun. Pada awalnya, Nabi Musa bukan nak berlawan tapi untuk berdakwah kepada Firaun tetapi ternyata Firaun ini seorang yang zalim, orang yang Allah ciptakannya seorang yang kafir sehingga apa apapun mukjizat, dan hujah yang dikemukakan oleh Nabi Musa dia tolak. Maka disebutkan pada ayat ini; 
فِي تِسْعِ آيَاتٍ إِلَى فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِ
Ada sembilan mukjizat Nabi Musa as yang Allah kurniakan dan dia gunakan untuk berjumpa dengan Firaun. Jangan menganggap bahawasanya apabila kita sudah suci bersih, orang baik, kita takda musuh, takda cabaran dan tantangan. Justeru, orang yang berjiwa besar akan berhadapan dengan cabaran yang besar. 

Apa cabaran besar yang Allah hantar kepada Nabi Musa as? Firaun sendiri. Siapa Firaun ini? Dia adalah bapa angkat Nabi Musa as yang pernah membela dan menjaganya, memberinya makan dan tempat tinggal. Dan ini yang perlu dia hadapi, masih dia anggap keluarganya. Pelajaran kepada kita walaupun kita sudah menjadi insan yang baik, tetap ada cabaran. Bahkan, cabarannya lebih besar dan hebat tetapi kita sudah bersedia. Allah swt sudah beri bekalan untuk menghadapinya, insyaaAllah. 

Nabi Musa as ketika Allah dah anugerahkan kepadanya makrifat atau kenal Dia atau rasa bergantung kepada Allah yang tinggi serta taubat sehingga bersih jiwanya. Dan Allah swt bagi dia anugerah tangan yang bercahaya, isyarat kepada Nabi Musa as dapat hidayah dan dia ada kemampuan untuk memberi hidayah kepada orang sekelilingnya. Lalu Allah hantar dia kepada Firaun. 

Ini menunjukkan Allah sekiranya nampak kita dah bersedia untuk satu peringkat, Allah akan masukkan kita pada ujian baru, cabaran baru yang mana akan memastikan kualiti iman kita, diri kita betul kah sudah meningkat. Allah akan uji sepertimana selepas habis satu modul, kita ada peperiksaannya seperti itu juga apabila seseorang sudah dididik oleh Allah sampai satu tahap, maka Allah akan bawa dia kepada ujian selanjutnya. 

Maka, Nabi Muhammad saw pernah berkata bahawasanya ujian yang paling dahsyat itu adalah ujian kepada para nabi. Ujian itu bergantung kepada kualiti iman kita. Makin tinggi iman kita, makin dahsyatlah ujian kita. Jadi, oleh itu bagi mereka yang diuji oleh Allah swt dengan ujian yang berat jangan rasa terkilan tetapi bersyukur kerana Allah tengah upgrade diri kita. Ulama’ pernah menyebut bahawasanya ujian itu ada beberapa bentuk. 

Pertama, namanya musibah kasyaf. Kasyaf ini maknanya membongkar dan menzahirkan kepada kita siapa kita sebenarnya. Betul kah kita orang beriman, iman itu hanya di mulut sahaja. Dalam surah Al-Ankabut, Allah berfirman “Adakah mereka menyangka mereka akan dibiarkan begitu sahaja setelah mereka berkata mereka itu beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi, sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum kamu. Maka dengan ujian itulah baru kami betul-betul tahu siapa yang betul-betul benar imannya tersebut dan siapa yang bohong”. 

Yang kedua, musibah yang dinamakan sebagai raf’ul darojat atau diringkaskan sebagai musibah rafa’. Musibah ini adalah musibah yang bertujuan untuk mengangkat darjat, daripada orang biasa kepada orang yang istimewa disisi Allah. Daripada Muslim kepada Mukmin, daripada Mukmin kepada Muttaqin. Setiap peringkat tersebut memerlukan kepada ujian yang mana apabila kita lulus ujian tersebut, maka naiklah darjat kita sepertimana kita naik kelas daripada darjah 1, darjah 2. Jadi, disebabkan itulah Allah swt menjadikan musibah ini untuk menaikkan darjat kita. 

Dan yang ketiga, namanya musibatul insof bermakna musibah atau ujian yang Allah datangkan kepada kita untuk kita sedar disebabkan kita telah melampaui batas atau keluar jauh dari garis panduan. Maka, Allah sayang kita, Allah taknak kita terus jauh daripada garis panduan tersebut, maka Allah datangkan satu ujian yang membuatkan kita tersedar. Orang beriman ini apabila dia merasa dia dalam dosa, maka dia cepat-cepat bertaubat. Jadi, ada musibah yang bertujuan untuk bagi kita insaf terutama orang yang melakukan kesalahan dan dosa. Maka, Allah tegur dia dengan mendatangkan musibah dan dengan musibah tersebut dia tersedar, kembali ke pangkal jalan. Jadi, musibah tersebut baik untuk dia. 

Dan yang keempat, musibatul azab, iaitu musibah yang bertujuan untuk menyiksa orang tersebut. Tiga tadi untuk orang Islam beriman, tapi yang keempat ini kata ulama’ musibah ini hanya khas untuk orang kafir sahaja. Maka, orang beriman Allah takkan datangkan azab ini kepada kita. Jika kita tak buat dosa, kita jaga semua yang diperintahkan oleh Allah swt, meninggalkan larangannya, tiba tiba ada musibah, perlu berbaik sangka. Ini mungkin cara Allah nak nampakkan siapa aku sebenarnya, Allah nak tahu aku ni orang beriman, bersabar atau tidak. Atau cara Allah nak naikkan darjat kita. 

Dan ketika kita ditimpa musibah dan ternyata kita ada dosa, ada kelalaian dalam kehidupan kita, maka ambillah musibah tersebut sebagai wasilah untuk menginsafkan, menyedarkan diri bahawa aku dah terbabas. Maka, Allah tegur aku dengan mendatangkan musibah ini. Jadi, bertaubatlah kepada Allah, Allah suka orang yang memohon ampun kepadaNya. Tetapi kepada orang kafir, itu betul betul namanya Azab.  

Secara asasnya, kepada orang kafir, ia adalah Musibatul Azab dan barangkali ada musibah yang ditimpakan kepada orang kafir tersebut menyebabkan orang kafir tersebut masuk Islam, dia sedar. Maknanya, musibah yang terkena pada dia itu menjadi musibah insaf lah maknanya, menyebabkan dia kembali ke pangkal jalan. Itu cara Allah swt membimbing dia. 

Jadi, kita tidak perlulah menilai apa yang berlaku pada orang. Lebih baik kita menilai kalau musibah itu berlaku pada kita. Cara pandang kita dalam melihat musibah adalah sangat penting. 

Kalau kita lihat dalam Surah Al-Fajr, Allah ada menyebutkan bahawasanya musibah pada asalnya apa yang sampai pada kita. Allah menyebut manusia ini ada dua kategori;

Allah swt ada menguji manusia dengan dimuliakan. Maka, ketika itu dia berasa seronok bahawa itu adalah cara Allah memuliakannya. Dan ada di antara meraka yang diuji oleh Allah swt memang dikurangkan rezekinya. Sebenarnya ujian kebaikan juga ujian. Kalau kita hidup biasa biasa, tiada ujian berat. Satu adalah kita perlu faham bahawa itu adalah yang terbaik untuk kita sebab ada Rasulullah saw berkata “Ada orang yang tak layak bagi dia melainkan kekayaan ataupun kesenangan. 

Kalaulah Allah bagi kepadanya kesusahan, maka dia akan jatuh kafir, akan merosakkan imannya. Dan ada sebahagian kita yang tak layak bagi dia kemiskinan yang mana kalau bagi senang, dia akan menjadi leka dan lupa diri. Maka, Allah selalu uji dia supaya dia maintain dia sentiasa ingat Allah swt.” 

Dalam hal ini, jika kita berasa senang, jangan pula minta diuji. Sebab kira itulah yang terbaik untuk kita. Kita mestilah minta yang mudah, senang. Sekiranya Allah betul bagi yang susah dan atas permintaan kita lalu kita tak mampu, ini bahaya. Ini akan menjadikan kita dimurkai oleh Allah nanti. Oleh itu, jangan. Kalau kita tak terdaya untuk itu, kita jangan minta kepada Allah. Kita disuruh untuk minta yang senang-senang. Maka, kita berdoa;
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Ya Allah, bagilah aku kesenangan di dunia ataupun kebahagiaan, ketenteraman di dunia dan juga ketenteraman di Akhirat” jadi, apa yang ada, Alhamdulillah syukuri. 

Minta pada Allah swt agar kita sentiasa dalam kebaikan, kedamaian, ketenangan dan ketenteraman. Apa pun juga, bersyukur kepada Allah. Boleh jadi kerana syukurnya kita pada Allah, kita diuji dengan ujian yang mampu untuk kita tanggung. Bagi kita mungkin ringan tapi bagi orang lain akan menjadi huru-hara tapi bagi kita Alhamdulillah Allah bagi kekuatan kepada kita maka kita dapat melaluinya dengan baik.  

Sebelum saya mengakhiri, saya kembali mengingatkan kepada kesimpulan perbincangan kita pada hari ini yang mana Allah swt menganugerahkan kepada Nabi Musa as keistimewaan tetapi dalam masa yang sama Allah swt membawa Nabi Musa kepada satu benda yang besar, berat bagi dia iaitu terpaksa berdakwah kepada Firaun tapi ketahuilah itulah yang paling sesuai untuk Nabi Musa, sesuai untuk iman Nabi Musa, Allah nak zahirkan betulkah engkau ini orang yang layak aku utuskan. Dan biasanya Allah tak pernah salah pilih dalam mengutus seseorang untuk menjadi nabi dan rasulnya. Maka Allah mengatakan Nabi Musa ini diperkuatkan oleh Allah lagi dengan 9 mukjizat. 

Apakah 9 mukjizat ini? Diantaranya, tongkat bertukar menjadi ular, tangannya bertukar menjadi cahaya dan nanti ada mukjizat-mukjizat lain iaitu Allah hantarkan belalang yang banyak datang ke negeri Mesir pada waktu itu yang menyebabkan orang-orang Mesir ketakutan. Akhirnya, Firaun minta kepada Nabi Musa as agar diangkatkan kepadanya musibah ini dan Allah swt memakbulkan permintaan Nabi Musa as lalu hilanglah belalang-belalang tersebut.

Awalnya orang-orang Mesir atau Firaun secara khususnya ingin beriman kepada apa yang dibawa oleh Nabi Musa as tetapi dia kembali lupa diri. Dah selamat daripada belalang, dia kembali kafir. Datang lagi mukjizat yang lain dalam bentuk kutu, kutu yang banyak di badan, kepala menyebabkan mereka tak selesa hidup dan akhirnya mereka jumpa lagi Nabi Musa as agar diangkat daripada mereka musibah tersebut dan dengan janji mereka akan beriman tetapi masih mereka kufur lagi menyebabkan Allah datangkan lagi ujian yang lain iaitu kata yang banyak dan kufur lagi, datang kemudian perigi-perigi mereka, berubah air itu menjadi darah sehingga mereka tidak dapat menfaatkan air perigi itu. Ini ujian Allah kepada mereka, musibah. 

Dan kemudian, datang pula banjir besar. Kemudian, laut terbelah dan kepada Bani Israel ada gunung Sinai yang Allah tunjukkan kepada Nabi Musa dan Bani Israel yang mana gunung Sinai itu diangkat sehingga nak hempap bani Israel ketika itu sebab degil sangat. Maka, diminta untuk melaksanakan apa yang ada dalam taurat waktu itu. Iman mereka iman yang diancam, bukan dengan sukarela. 

Baik, nanti kita akan sambung lagi. Hari ini maknanya kita berhenti pada ayat 12. Setakat itu perkongsian kita pada pagi ini. Yang baik dan benar daripada Allah swt, salah silap daripada diri saya sendiri. Daripada Allah saya memohon keampunannya; daripada kita semua, saya mohon kemaafannya. Semoga Allah panjangkan umur kita dan dipermudahkan urusan kita. Jazakumullahu khairan kathira. Kita tutup dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr. Assalamualaikum wrbt.

Friday, 28 August 2020

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 6 AYAT 10-14 : 30 Aug 2020M

 Nota Perkongsian 30.08.2020
Tadabbur Surah An-Naml Sesi 6 akan membahas surah An-Naml Ayat 10-14
Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Assalamualaikum wrbt
Bersyukur kita ke hadrat Allah swt, atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia pada kita semua, Alhamdulillah. Pada pagi yang berbahagia ini kita kembali bersama-sama dalam majlis ilmu kita iaitu tadabbur Al-Quran surah An-Naml. Mudah-mudahan Allah swt melimpahkan rahmat dan kurniaannya serta ilmu yang bermanfaat pada kita semua. Amin amin ya rabbalalamin. Selawat dan salam tidak lupa juga kita sampaikan kepada baginda Nabi Muhammad saw. Hari ini kita sambung perbincangan kita tentang Surah An-Naml yang semalam kita berhenti pada ayat yang ke-sepuluh. Harini kita akan baca hingga ayat ke 14. 

Bacaan:

وَأَلْقِ عَصَاكَ ۚ فَلَمَّا رَءَاهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَآنٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ ۚ يٰمُوسَىٰ لَا تَخَفْ إِنِّى لَا يَخَافُ لَدَىَّ ٱلْمُرْسَلُونَ
dan lemparkanlah tongkatmu". Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya bergerak-gerak seperti dia seekor ular yang gesit, larilah ia berbalik ke belakang tanpa menoleh. "Hai Musa, janganlah kamu takut. Sesungguhnya orang yang dijadikan rasul, tidak takut di hadapan-Ku.(An Naml 27:10)

إِلَّا مَن ظَلَمَ ثُمَّ بَدَّلَ حُسْنًۢا بَعْدَ سُوٓءٍ فَإِنِّى غَفُورٌ رَّحِيمٌ
tetapi orang yang berlaku zalim, kemudian ditukarnya kezalimannya dengan kebaikan (Allah akan mengampuninya); maka seaungguhnya Aku Maha Pangampun lagi Maha Penyayang (An Naml 27:11)

وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِى جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ ۖ فِى تِسْعِ ءَايٰتٍ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِۦٓ ۚ إِنَّهُمْ كَانُواْ قَوْمًا فٰسِقِينَ
Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, niscaya ia akan ke luar putih (bersinar) bukan karena penyakit. (Kedua mukjizat ini) termasuk sembilan buah mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Fir'aun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik".
(An Naml 27:12)

فَلَمَّا جَآءَتْهُمْ ءَايٰتُنَا مُبْصِرَةً قَالُواْ هٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Maka tatkala mukjizat-mukjizat Kami yang jelas itu sampai kepada mereka, berkatalah mereka: "Ini adalah sihir yang nyata".
(An Naml 27:13)

وَجَحَدُواْ بِهَا وَٱسْتَيْقَنَتْهَآ أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا ۚ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ
Dan mereka mengingkarinya karena kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.
(An Naml 27:14)

Maha Benar Allah ke atas firman-firmannya.

Semalam kita bincangkan tentang nabi Musa dan kita cuba untuk menggali pengajaran daripada kisah tersebut iaitu tentang bagaimana cara mendekatkan diri kepada Allah swt. Nabi Musa ketika bertemu dengan Allah swt, maka ia diberkati tempat dia berada dan diberkati orang sekelilingnya. 

Ini menunjukkan siapa yang dekat dengan nabi dan rasul dan mengikutinya serta beriman kepadanya maka hidupnya akan berkat. Seperti itu jugalah orang-orang yang dekat dengan orang-orang soleh, insyaAllah akan mendapat keberkatan sekali. Keberkatan dalam bentuk apa? Mudah untuk  kita beramal dalam hidup kita ini. Mudah untuk menjadi hamba Allah yang lebih dekat. 

Bagaimana cara kita dekat dengan Allah? Satu ialah kenal Allah swt. Kenal Allah melalui Asma’ ul Husna, melalui nama-namanya yang indah. Dan kita kenal Allah juga melalui firman-firmannya , ayatnya dalam al-Quran. Dan kita boleh juga mengenal Allah daripada ciptaanNya yang terbentang luas yang ia merupakan ayat-ayat Allah yang tersirat, ayat Manzuroh yang boleh dilihat yang diperhatikan. 

Insya Allah apabila kita betul-betul mencari kebenaran dan ingin mengenal Allah swt, kita akan dapat ilmu kenal Allah itu dari pelbagai macam aspek. Dengan syarat ikhlaslah untuk mengenal Allah swt. 

Ingat mengenal Allah swt membawa kita nanti untuk beribadah pada Allah. Menjadikan ibadah kita hanya untuk Allah swt dan tidak mencampurkannya dengan syirik ataupun riak. Kita bebaskan diri kita daripada perkara tersebut. 

Di antara yang kita bincangkan juga semalam adalah iaitu kenal Allah menyebabkan kita membuang kebergantungan kita kepada selain Allah swt. Menjadikan kebergantungan kita hanya kepada Allah swt. 

Dari mana kita dapatkan itu? Daripada isyarat air yang mana Allah swt berkata pada Nabi Musa وَأَلْقِ عَصَاكَ buang dulu tongkat itu wahai Musa. Dan kita bahawasanya tongkat Nabi Musa itu merupakan alat yang digunakan untuk banyak keperluan. 

Allah swt dalam ayat yang lain bertanya pada Nabi Musa “apa yang berada di tanganmu wahai Musa”. Allah tahu  sebenarnya apa yang ada di tangan Nabi Musa itu iaitu tongkat sebab Allah Maha Tahu. Tetapi Allah swt bertanyakan itu untuk menzahirkan kepada Nabi Musa dia faham bahawa apa yang kau gunakan untuk bergantung itu kalau untuk aku, untuk bertemu dengan aku, untuk dekat dengan aku kau kena buang dulu. 

Jangan bergantung dengan itu. Bergantung hanya kepadaku sahaja dahulu. Di sini, orang yang kenal Allah nanti menyerahkan segala urusannya kepada Allah swt. Apa pun yang dia inginkan dan apa pun dia lakukan  dia serahkan kepada Allah swt. Ini namanya tawakal. Menggantungkan harapan kita kepada Allah swt. Tetapi saya ingatkan di sini tawakal dalam Islam bukan bermakna kita pasrah tanpa berbuat. 

Tawakal kita kepada Allah swt adalah dengan beramal, berbuat dan berusaha untuk memberikan yang terbaik dahulu. Ia seiring dan ingat tawakal itu adalah amalan hati kita. Hati yang bergantung kepada Allah swt, yang berharap kepada Allah swt semata. Ini namanya tawakal. 

Dan usaha adalah amalan zahir (fizikal) kita. Jadi, kita beramal, berusaha dan berkerja tetapi kita yakin rezeki kita daripada Allah swt. Hasil bagaimana jadinya amalan kita itu, kita percaya ia daripada Allah swt. Bukan daripada usaha kita tu betul-betul. Apatah lagi daripada bantuan atau pertolongan orang. 

Tolong pastikan  kita lihat dengan baik supaya jangan kita terbabas dengan hal ini, tersilap dalam perkara ini tuan puan. Ini kunci utama untuk tuan puan dekat dengan Allah , merasakan kebergantungan yang besar kepada Allah semata.

Apa yang akan berlaku apabila betul-betul kebergantungan kepada Allah swt? Ia akan menghasilkan anugerah yang tidak disangka-sangka. Bahkan akan membuatkan kita takut. Sebab dahsyat apa yang kita dapatkan tersebut. 

Maka Nabi Musa, ketika dia melemparkan tongkat tersebut berubah tongkat itu menjadi ular. Dan ular itu gerak dengan pantas, menyebabkan Nabi Musa lari ketakutan membelakangi Allah swt dan  kemudian tak menoleh lagi dah. Ini yang dilakukan oleh Nabi Musa. 

Jadi kadang-kadang tuan puan yang dikasihi sekalian, kebergantungan dan  tawakal penuh kita pada Allah pada peringkat awal menyebabkan anugerah yang kita tidak sangka-sangka. Allah datangkan perkara-perkara yang kita tidak bayangkan sebelum itu. Kerana hebatnya, kita sendiri jadi khuatir. 

Bahkan Nabi Musa pun terkejut bagaimana tongkat boleh bertukar menjadi ular. Kenal kita ada Allah ,  tawakal kita serta amal kita pada Allah yang penuh ikhlas yang menyebabkan anugerah yang hebat. 

Kita tahu tongkat adalah benda yang pasif yang tidak boleh bergerak. Tetapi kerana kenal dan tawakalnya yang tinggi kepada Allah serta usaha yang yakin pada Allah swt menyebabkan yang tidak boleh bergerak itu boleh bergerak, yang mati itu boleh hidup, dahsyatnya kalau tuan puan bayangkan. 

Ini sebagai pengajaran bahawasanya kalau Allah nak, dengan tawakal kita tadi itu Allah beri macam-macam. Jangan khuatir. Maka ayat kita sebelum ini, Allah ingatkan  إِنَّهُ أَنَا اللَّهُ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ Allah sebutkan sesungguhnya Aku adalah Allah Yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana. Perkasa, mampu mewujudkan apa yang kita fikir mustahil. 

Kalau Allah nak, dia boleh. Jadi kerana dahsyatnya pemberian Allah swt tersebut kemudian pada awalnya membuatkan kita takut dan risau. Macam mana boleh jadi macam ini, dahsyatnya! Justeru kita khuatir dan kadang-kadang kerana tiada ilmu, kita tinggalkan anugerah tersebut. 

Tapi kalau betul-betul kita ikhlas tadi Allah akan panggil kita balik. Allah akan ilhamkan kepada kita balik. Allah akan beri ketenangan kepada diri kita menyebabkan kita dapat terima dan menyedari yakin bahawa ini anugerah Allah. Mungkin ini cara Allah swt nak membantu aku. Maka tuan puan kembali. 

Maka Nabi Musa, ketika dia lari tersebut Allah panggil     يَا مُوسَى لَا تَخَفْ, wahai Musa jangan engkau takut. Seperti itu juga untuk orang beriman, kadang-kadang ia datang rasa takut tersebut tetapi Allah swt yakinkan dan ilhamkan dia sepertimana dalam ayat yang lain kalau tak silap yang mana bahawa Allah swt akan turunkan malaikat تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ Turun malaikat, dan malaikat ini mengilhamkan fikiran yang menyebabkan kita rasa nyaman dan selesa semula. 

La takhaf wala tahzanu, jangan kau bersedih, jangan risau, dibisikan pada fikiran tuan puan. Dengan fikiran-fikiran tersebut maka kita kembali aktif ke pangkal jalan. Kemudian mengambil peluang yang kita dapat tersebut dengan sebaik-baiknya. 

Sehingga kita kembali berbaik sangka yang tadi rasa khuatir yang tak bertempat. Dengan adanya ilham daripada Allah yang malaikat bisik-bisikkan, maka kembali tenang. Dalam perbincangan ilmu balaghah, ada bercerita tentang, bila Allah swt menyebut Takhafu dan Takhsya; ini dua perkataan yang sering kita jumpa dalam Al-Quran dan dua-duanya dalam bahasa melayu diterjemahkan dalam bahasa melayu sebagai takut. 

Tetapi dari segi bahasa Arab/ bahasa Al-Quran, Allah swt menyebut sesuatu perkataan mesti ada maksud tertentu. Bila Allah swt sebut Takhsya, biasanya perasaan takut tersebut muncul disebabkan memang objek yang datang kepada kita itu objek yang dahsyat, menggerunkan, menakjubkan “Azim” seperti Allah swt, maha agung, maha mulia. 

AlKhauf atau Takhafu menurut ulama’ apabila takut itu disebabkan kelemahan diri. Takhsya tadi bukanlah kerana kita lemah tetapi objek itu dahsyat, hebat. Maka, sebab itu kita takut; takut kepada perkara yang memang patut kita takuti. Dan Allah katakan disini;

لَا تَخَفْ إِنِّي لَا يَخَافُ لَدَيَّ الْمُرْسَلُون 

“Yang Aku utus itu tidak ada rasa takut”. Ketika ini, nabi Musa yang mempunyai kelemahan diri sehingga dia rasa takut. Maka, Allah katakan jangan takut. إِلَّا مَن ظَلَمَKecuali dia melakukan kezaliman dan erti kata kata ulama’ ada dua kemungkinan. Satu, rasul ada melakukan dosa kecil menurut sebahagian ulama’. Tapi menurut sebahagian lagi ulama’, rasul tidak melakukan dosa kecil apatah lagi dosa besar sehingga mereka dikategorikan sebagai ma’sum. 

Maka, katrgori kedua mengatakan mereka melakukan “Khilaful Awla/ Khilaful Afdhal”, bertindak dengan sesuatu yang terbaik. Rasul yang melakukan perkara zalim ini dia ambil perkara yang baik, tidak ambil perkara yang terbaik. Nabi saw dalam surah Abasa pernah ditegur oleh Allah. Ketika itu, Nabi saw berdiskusi dengan pemimpin Quraisy. Adakah salah berdiskusi dengan orang kafir? Tak salah. Pada masa itu, datang Abdullah bin Maktum, seorang yang buta. 

Dan pada waktu itu, dia minta pada Nabi saw, “ajarkan padaku apa yang Tuhanmu telah ajar kepadamu”. Dan satu lagi tadi, orang kafir yang Nabi ingin mereka belajar tetapi mereka tidak ingin belajar. Dalam hal ini, mana yang lebih diutamakan? Nabi ketika itu berijtihad untuk fokus dahulu kepada orang kafir dan permintaan Abdullah bin Maktum diabaikan. Secara hukumnya Nabi tak salah, tapi dia Khilaful Afdhal, menyalahi apa yang lebih baik. Mengajar orang yang memang nak belajar, ajar mereka dulu. 

Anugerah Allah kadang-kadang menyebabkan kita terkejut, menyebabkan kita takut pada awalnya. Tapi insyaaAllah kalau kita cover balik, kita dapat melihat dengan jernih anugerah yang kita dapat tersebut. Jangan sampai kita berlaku zalim. Kalau berlaku zalim, ini merupakan punca terhalangnya Rahmat Allah. 

Ini menyebabkan anugerah daripada Allah ditarik semula. Hatta kepada rasul pun Allah swt boleh tarik nikmat iaitu nikmat tenang, nikmat bahagia. Perasaan takut pada diri kita ini sebenarnya azab Allah, risaukan itu ini sehingga selalu menjadi penghalang dia melakukan perkara yang baik. 

Apa puncanya? Allah swt mengingatkan kezaliman. Orang zalim susah untuk senang. Maka, kalau kita selalu merasakan tidak tenang. Ketahui, ada kezaliman yang kita lakukan. 

Kezaliman ada dua, kezaliman pada diri kita sendiri; hak kepada diri kita, kita tak berikan. Hak diri kita kenal Allah, diperdengarkan dengan Al-Quran, dirikan solat, dengarkan hal yang baik tetapi apabila kita abaikan, kita sendiri akan sakit. Selain itu, hak diri kita adalah rehat. Bagi masa untuk diri.  

Kedua, kezaliman kepada orang lain. Ini lagi bahaya. Tak silap saya Imam Sufyan As-Sauri mengatakan bahawasanya 70 dosa kepada Allah lebih ringan daripada 1 dosa kepada manusia. Penghalang ketenangan adalah kezaliman samada kezaliman kepada diri sendiri dan kezaliman kepada orang lain. Dan paling dahsyat adalah apabila berlaku zalim kepada orang lain. 

Jadi, fikir banyak kali sebab benda ini tidak akan membantu kita di masa akan datang. Kalau menjaga hak orang lain dan memenuhi tanggungjawab dengan ikhlas, buat sungguh-sungguh, pasti akan membahagiakan kita. Kita akan rasa damai, aman, tenteram. Kejayaan apa pun yang kamu lakukan tanpa menunaikan hak-hak mereka ini. Maka, kamu tidak akan tenang. Penat tubuh badan tapi perasaan yang tak lapang. 

Contoh Nabi Yunus, Allah swt suruh berdakwah, dia lari. Apa yang berlaku? Huru-hara. Masuk dalam perut ikan. Kerana dia rajin bertasbih, rajin beramal soleh. Maka, Allah keluarkannya. Selagi kita membelakangi sunatullah, kejayaan apa yang kau miliki tidak akan berjaya dan berbahagia. Maka, Allah swt menyebutkan;

ثُمَّ بَدَّلَ حُسْناً بَعْدَ سُوءٍ فَإِنِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maka, kalau sekiranya pernah berlaku zalim lalau dia menukar keburukan itu kepada kebaikan dengan cara bertaubat. Maka, sesungguhnya Aku maha pengampun lagi maha penyayang. 

Maka, ketika Nabi Muhammad saw menyedari akan kesalahannya, disindir oleh Allah di Surah Abasa tersebut. Maka, cepat-cepat dia bertaubat. Dia memohon maaf kepada Abdullah bin Maktum dan semenjak itu jika datangnya Allah bin Maktum ini, dia akan diutamakan oleh nabi Muhammad saw. Bahkan, Nabi saw menghadiahkan rida’ (selendangnya) tanda penghargaannya.  

Kalau sekiranya Nabi saw keluar untuk berperang dan tiada siapa yang boleh bergantung untuk menjaga amanah, maka rasulullah serahkan kepada Abdullah bin Maktum sebagai pemimpin Madinah pada waktu itu. 

Nabi Yunus pun begitu juga. Ketika menyedari kesalahannya, cepat-cepat dia bertaubat: 

لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

"Tiada Tuhan selain Engkau Ya Allah, maha suci Engkau, sesungguhnya aku adalah orang yang melakukan kezaliman” maksudnya menyedari bahawa kita melakukan kezaliman adalah kunci Allah swt ampunkan dosa-dosa kita dan mengubah keadaan kita daripada jauh daripada rahmat Allah, menjadi mudah untuk mendapat itu. 

Taubat adalah penyelesai semua itu. Taubat dengan Allah boleh selesai dengan meminta maaf kepada Allah tetapi kesalahan kepada manusia tak selesai semudah itu, perlu pergi jumpa dan minta kemaafan daripadanya. Ada benda yang ambil, kena balikkan perkara tersebut. 

Kalau terlepas cakap (fitnah), perlu buat pengisytiharan semula kata ulama’. Ketika mahu bertaubat daripada manusia ini melibatkan harga diri. Hubungan dekat dengan Allah selain tawakkal, kita perlu taubat kepada Allah swt. Demikian sahaja, tasbih kafarrah dan Surah Al-Asr. Assalamualaikum wrbt.

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 5 AYAT 7-10 : 29 Aug 2020M

Nota Perkongsian 29.08.2020

Tadabbur Surah An-Naml Sesi 5 akan membahas surah An-Naml Ayat 7-11

Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 

Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Assalamualaikum 

Puji syukur kita ke hadrat Allah swt atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia kepada kita semua, Alhamdulillah. Padi pagi yang berbahagia ini kita kembali bersama dalam majlis ilmu ini iaitu tadabbur Al-Quran. Mudah-mudahan Allah swt memberkati dan merahmati majlis kita ilmu kita ini dan menganugerahkan kepada kita ilmu yang bermanfaat. Amin. Kemudian, selawat dan salam kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw. Semoga kita menjadi di antara umatnya yang akan mendapatkan syafaatnya dan duduk bersama beliau di syurga firdaus kelak. Amin ya rabbal alamin. 

Hari ini merupakan sesi yang kelima daripada tadabbur surah An-Naml ini. Pada pertemuan yang lepas kita sempat membincangkan dan mentafsirkan sampai ayat yang kelapan tapi saya akan kembali membincangkannya dan mentaddaburinya dengan lebih dalam lagi iaitu  daripada ayat 7 sampailah ayat 11. Ini yang akan kita bincangkan pada hari ini, insyaaAllah. Mari kita lanjutkan perbincangan ini. Kita akan membacanya dari ayat 7 sampai ayat 11. 

Bacaan :

إِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِأَهْلِهِۦٓ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا سَـَٔاتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ ءَاتِيكُم بِشِهَابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ

(Ingatlah) ketika Musa berkata kepada keluarganya: "Sesungguhnya aku melihat api. Aku kelak akan membawa kepadamu khabar daripadanya, atau aku membawa kepadamu suluh api supaya kamu dapat berdiang".(An Naml 27:7)

فَلَمَّا جَآءَهَا نُودِىَ أَنۢ بُورِكَ مَن فِى ٱلنَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلْعٰلَمِينَ

Maka tatkala dia tiba di (tempat) api itu, diserulah dia: "Bahwa telah diberkati orang-orang yang berada di dekat api itu, dan orang-orang yang berada di sekitarnya. Dan Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam".(An Naml 27:8)

يٰمُوسَىٰٓ إِنَّهُۥٓ أَنَا ٱللَّهُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

(Allah berfirman): "Hai Musa, sesungguhnya, Akulah Allah, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(An Naml 27:9)

وَأَلْقِ عَصَاكَ ۚ فَلَمَّا رَءَاهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَآنٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ ۚ يٰمُوسَىٰ لَا تَخَفْ إِنِّى لَا يَخَافُ لَدَىَّ ٱلْمُرْسَلُونَ

dan lemparkanlah tongkatmu". Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya bergerak-gerak seperti dia seekor ular yang gesit, larilah ia berbalik ke belakang tanpa menoleh. "Hai Musa, janganlah kamu takut. Sesungguhnya orang yang dijadikan rasul, tidak takut di hadapan-Ku.(An Naml 27:10)

Saudara fillah yang dikasihi sekalian, pada pertemuan lepas kita menjelaskan bahawasanya nabi Musa as merasa rindu untuk kembali bertemu dengan ahli keluarganya di Mesir. Maka, apabila dah habis masa bekerjanya dengan Nabi Syuaib, maka Nabi Musa as meminta kepada Nabi Syuaib untuk menziarahi ahli keluarganya ayang ada di Mesir. 

Maka, Nabi Musa as kembali ke Mesir melalui jalan yang dia tak tahu atau diriwayatkan bahawa dia tersesat dan waktu itu pada malam hari, sejuk. Maka, ketika itu Nabi Musa jalan dalam kegelapan malam dan kesejukan malam itu. Dia lihat ada semacam api daripada kejauhan. 

Maka, Nabi Musa berpesan kepada keluarganya “Maka kamu tetaplah di sini, saya akan pergi melihat api tersebut. Mudah-mudahan di sana ada orang, kita dapat tahu jalan sesuai untuk kita kembali ke Mesir dengan selamat atau kalau tidak dapat berita tentang jalan, kita dapat api sikit untuk memanaskan badan.” Ini yang dikatakan Musa kepada ahli keluarganya.

Nabi Musa ketika itu dan sampainya dia kepada api tersebut lalu datangnya satu suara yang dia dengar yang mana suara tersebut berbunyi,

 أَن بُورِكَ مَن فِي النَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

“Berkatilah orang yang ada dekat api tersebut dan ada di sekelilingnya dan maha suci Allah sekalian alam”. 

Ayat ini mengingatkan kita tentang siapa yang ada dekat api tersebut ataupun boleh dikatakan kawasan itu kata ulama’ kawasan yang diberkati. Tanah yang berkat itu adalah tanah yang berada di kawasan Bukit Tursina, diberkatilah orang yang berada di sekelilignya dan tanah tempat tersebut oleh Allah swt. 

Dan Allah swt mengingatkan pada hujung ayat tersebut bagaimana Nabi Musa as mendengar kalamullah yang ulama’ sepakat bahawasanya Nabi Musa mendengar langsung kalamullah itu dan kita mungkin tidak dapat membayangkan bagaimana caranya sehingga Allah swt mengingatkan kita jangan berfikiran macam-macam yang menunjukkan kelemahan Allah swt. Maka Allah kata  وَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (Maha Suci Allah yang mana Dia tuhan sekalian alam).

Yang ingin saya highlight pada hari ini adalah tentang tadabbur pada ayat 7 yang pernah kita tafsirkan sebelum ni yang mana Nabi Musa as apabila melihat api itu, apa yang terbayang/ terfikir bagi dia? Dia ingin mendapat khabar atau informasi tentang jalan yang dia akan tempuhi atau apa yang akan berlaku di dalam perjalanan nanti. Dan juga dia ingin mendapatkan api yang boleh memanaskan atau membantunya untuk menyuluh jalan sehingga dia tahu jalan yang dia tempuh tersebut. 

Nabi Musa as pada waktu itu berharap agar dia dapat khabar dan petunjuk jalan yang bersifat duniawi tetapi Allah swt tidak hanya memberikan yang bersifat duniawi tetapi Allah beri anugerah khabar petunjuk jalan dunia Akhirat iaitu wahyu, wahyu yang membimbing dia untuk selamat sampai di Mesir dan juga selamat keluar daripada dunia ini. 

Kadang-kadang kita berharap sesuatu yang bersifat duniawi tetapi Allah swt menginginkan kita sesuatu yang lebih besar lagi. Sesuatu yang besar itu adalah sesuatu yang bermanfaat kepada dunia dan Akhirat kita. 

Perancangan Allah kita tak tahu, perancangan Allah yang terbaik selalunya. Rasulullah saw seperti dalam ceramah maghrib saya semalam, pernah menjelaskan kepada sahabat-sahabat nabi bahawa masing-masing ini ada tempatnya di syurga atau tempat kita ada di neraka. Jadi, sahabat-sahabt bertanya “Jika itu ketentuanNya, adakah kami boleh ikut pada takdir itu sahaja, tak perlu berusaha apa-apa”. Maka, Rasulullah saw bersabda, beramallah, jangan hanya bergantung pada takdir. Dari ‘Imran, ia berkata, aku berkata,

يَا رَسُولَ اللَّهِ، فِيمَا يَعْمَلُ الْعَامِلُونَ؟، قَالَ: كُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ

“Wahai Rasulullah, lantas untuk apa orang-orang yang beramal melakukan amalan mereka?” Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Setiap orang akan dimudahkan (menuju jalan) penciptaannya.” (HR. Bukhari, no. 7551)

Maka, pada asasnya ialah apabila seseorang itu diciptakan untuk menjadi ahli syurga, Allah swt akan mudahkan laluannya untuk menjadi ahli syurga. Kalau dia diciptakan oleh Allah swt untuk menjadi ahli neraka. Maka, yang mudah dan senang bagi dia adalah benda-benda yang menderhakai Allah swt sehingga dia menjadi ahli neraka pada hari Akhirat nanti. 

Jadi, kita perlu berusaha. Ketentuan itu berjalan secara smooth, lembut. Dia heret kita. Maka saya mendapatkan di antara sahabat-sahabat yang berhijrah, kembali ke pangkal jalan yang sebelumnya itu mereka bergelumang dosa tetapi dia selalu merasa bahawa dia perlu kembali kepada kebenaran, perlu melakukan ketaatan sehinggalah bertemu dengan orang-orang yang menunjukkan jalan kepadanya. Dan inilah kadang-kadang, kamu menginginkan dunia tetapi Allah menginginkan Akhirat.     

Jadi, Nabi Musa as pada awalnya hanya inginkan keinginan duniawi, hanya ingin mendapatkan berita untuk sampai ke Mesir dengan selamat dan mendapatkan api yang boleh memanaskan badan mereka dan mungkin juga membantu mereka untuk menempuh jalan dengan lebih mudah. 

Tapi Allah swt tidak hanya inginkan yang itu sahaja, Allah ingin Nabi Musa as mendapat wahyu yang merupakan khabar atau informasi yang lebih luas lagi, informasi dunia dan informasi Akhirat. Wahyu merupakan sesuatu yang bermanfaat untuk dunia kita, memberi kita ilmu dunia dan juga memberi kita ilmu Akhirat sebenarnya. 

Bukan hanya bab Akhirat sahaja. Al-Quran juga merupakan sesuatu yang membantu kita faham dunia dengan lebih baik. Maka dahulu sahabat-sahabat mengingatkan, ajarkan Al-Quran itu kepada anak-anak kamu, kepada ahli keluarga itu sebabnya dalamnya ada ilmu tentang generasi yang pertama hinggalah generasi yang terakhir, ilmu tentang dunia, ilmu tentang Akhirat. Maka, jika dia dah ada Al-Quran dan Sunnah, maka semua dia pegang. 

Jika hanya belajar ilmu dunia sahaja. Maka, ilmu dunia dia kuasai tetapi dia jahil tentang ilmu Akhirat. Ini menyebabkan dia belum seimbang lagi. Maka, dia perlu gabungkan dengan ilmu wahyu yang menyebabkan ia menjadi lebih teguh lagi kedudukannya. Perancangan Allah itu sangat cantik, maka bersyukurlah. 

Tuan puan sekarang berkorban masa mendengar ilmu, ini menandakan Allah swt memudahkan tuan puan untuk menjadi ahli syurga. Saya selalu berbangga dengan orang yang rajin ke majlis ilmu sebab malaikat pun berbangga dengan orang yang rajin ke majlis ilmu. Mudah-mudahan tuan puan istiqamah dengan majlis ilmu ini sehingga tuan puan dikenali sebagai Nafsu Muthmainnah (jiwa yang tenang) dan doakan saya seperti itu juga, tak jauh dari majlis ilmu dan kalau boleh membantu orang-orang untuk menuntut ilmu dengan baik. 

Kita nampak pada ayat 7 tersebut, Nabi Musa as hanya hendakkan api dan maklumat duniawi, maklumat perjalanan sahaja tetapi Allah nak bagi hidayah. Maka, sesiapa yang mendapat wahyu, mendapat Al-Quran, maka ia adalah satu nikmat yang besar. 

Alhamdulillah Allah beri kelapangan atau kesempatan pada saya untuk belajar dari kecil dahulu, tak jauh daripada ilmu-ilmu Al-Quran, ilmu-ilmu sunnah ini. Salah satu cara saya bersyukur adalah saya berkongsi dengan tuan puan. Sekali lagi, saya berkongsi dengan tuan puan bukan bermakna saya pandai tetapi saya berkongsi kerana rasa syukur saya kepada Allah swt. 

Kalau kita lihat, kenapa Allah swt menganugerahkan kepada Nabi Musa as anugerah yang bersifat duniawi dan ukhrawi tersebut? Dia berasal daripada niat murni Nabi Musa as untuk menghubungkan silaturrahimnya dengan keluarganya yang mana dia dah lama tak berjumpa. Dan niat murni tersebut akhirnya Allah swt menjadikannya buka hanya dapat yang bersifat duniawi tersebut sahaja tetapi dapat sesuatu yang bersifat ukhrawi. 

Maka oleh itu, silaturrahim merupakan satu yang sangat besar. Maka, jagalah silaturrahim dan tetaplah menghubungkan. Maka, jika ada saudara mara yang jauh, cubalah mengenali dan ziarahi mereka, insyaaAllah perkara-perkara tersebut akan menjadi asbab kepada kebaikan sebagaimana Nabi Muhammad saw pernah bersabda, jiwa kamu ingin panjang umur dan dimudahkan rezeki, maka engkau hubungkanlah silaturrahim, jangan kau putuskan. Silaturahim ini sangat dahsyat peranannya pada manusia. Ia di antara asbab Allah angkatkan darjat kita di dunia dan di akhirat. 

Dalam hal ini, kita boleh mengambil pengajaran mengenai tema surah An-Naml kita, membina peradaban unggul. Jadi, peradaban unggul bukan hanya menguasai informasi dan kehidupan duniawi. Kehebatan duniawi itu tidak akan sempurna kalau sekiranya tidak disekalikan dengan kita mengusai kehidupan ukhrawi. 

Jangan kita mengabaikan ukhrawi, pendidikan anak-anak pun begitu. Nilai-nilai ukhrawi perlu kita tanamkan. Barulah terhasilnya peradaban yang seimbang. Peradaban yang unggul adalah peradaban yang seimbang. Jangan sampai peradaban dunia hebat tetapi suka bunuh diri, kehidupan huru-hara, porak peranda. 

Seperti jepun mereka sangat maju tetapi setiap hari ada ada sahaja yang bunuh diri. Bahkan saya dengar ada satu pulau, satu kawasan yang memang kawasan untuk bunuh diri. Maka, setiap hari adalah yang mati. Mereka tidak kenal Allah, tak kenal nabi, tak kenal penciptaNya. Jadi, peradaban yang maju dan unggul secara seimbang adalah yang bukan hanya menguasai informasi kehidupan duniawi tetapi juga adalah menguasai kehidupan ukhrawi. Ini yang kita boleh ambil dalam tadabbur ayat ke 7. 

Kita akan lanjutkan pada ayat ke 8. Jadi, pada ayat ke 8 kita boleh ambil tadabbur sebagai panduan hidup kita yang mana Allah swt mengisahkan tentang nabi Musa dekat dengan api tersebut. Keberkatan ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Keberkatan itu akan membantu seseorang itu untuk bahagia. 

Sesuatu yang besar, banyak tetapi tidak berkat, diri orang tersebut akan rasa penat zahir dan batin, fikiran bercelaru. Jadi, tak dapat kebahagian hakiki. Maka, keberkatan sangat penting pada rezeki, keluarga, kerjaya, setiap apa yang kita buat, kita perlukan keberkatan ini. 

Bagaimana untuk mendapat keberkatan ini? Berusaha untuk taqarrub ilallah, berusaha mendekat diri dengan Allah. Macam mana nak dekat diri kepada Allah? Niatkan semua yang kita buat ini, aktiviti dunia ini apatah lagi bersifat Allah untuk Allah swt. Ketika kita kerja, niatkan untuk dekat kepada Allah. Bukan hanya nak meraih rezeki iaitu gaji yang kita dapatkan hujung bulan tetapi untuk sumbangkan apa yang Allah bagi kepada kita.

 Kerja untuk Allah swt menyebabkan kita ikhlas, menyebabkan kita tidak kedekut, buat lebih daripada patut. Dan ketahuilah, jika tidak dapat balasan berbentuk duit, pangkat, jawatan, nanti kesannnya pada anak-anak kita, pasangan kita yang sihat, taat patuh, soleh, berbudi pekerti. Ini satu rezeki yang lebih hebat daripada rezeki fulus tadi. 

Maka, nabi Musa as ketika melihat api tersebut, kita gambarkan ia sebagai hidayah Allah, kita dekat dengan ia. Ditunjukkan api kepada Musa, tapi mungkin saja kita ditunjukkan sesuatu amalan yang buat kita boleh dekat dengan Allah swt. 

Tuan puan ditunjukkan untuk mengaji Al-Quran, untuk pergi majlis ilmu, berbakti kepada anak yatim. Dan jika tuan puan niat untuk mendekati Allah, maka ini mendatangkan keberkatan. Jadi, jangan lupa bahawasanya dekat dengan Allah adalah matlamat yang perlu kita usahakan sebab ia akan membawa kepada kebaikan yang memastikan kita bahagia dunia, Akhirat. 

Bagaimana cara kita dekat kepada Allah? Pada ayat ke 9,  Allah berfirman “Wahai Musa, sesungguhnya aku adalah Allah yang maha perkasa lagi maha bijaksana”. Di sini, Allah swt memanggil Musa dan kemudian memperkenalkan dirinya. Pada ayat ini, ada kelainan sikit, إِنَّهُ أَنَا اللَّهُ . kalau tuan puan buka Surah Taha ayat 14. Allah swt berkata إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ“Sesungguhnya aku ini adalah Allah”. 

Ini mengisyaratkan kepada kita untuk dekat kepada Allah swt, kita perlu kenal Allah. Kenal Allah macam mana? Kenal yang menyebabkan kita merasa bahawa Dialah yang layak kita sembah. 

Kalau tuan puan lihat di surah Taha, Allah sambung ayat tersebut dengan فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي  “Sesungguhnya, Aku ini adalah Allah, tiada tuhan yang layak disembah. Maka, sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku” 

Maka, kenal Allah kenal yang menyebabkan kita sembahNya dengan cara yang betul, kita memperhambakan diriNya dengan cara yang benar. Solat adalah salah satu proses untuk mengingat Allah swt. Jangan sampai solat kita hanya ritual yang tak ada satu prinsip yang mengingatkan Allah swt. 

Ada ajaran sesat yang buang solat semua, hanya zikir sahaja. Ayat Al-Quran dengan tegas mengatakan sembah dan dirikan solat. Kenal yang betul ini akan buatkan kita tidak boleh bertolak ansur soal ibadah ini dan menyerahkan semua yang kita lakukan untuk Allah swt. Kena faham betul makna LailahaillAllah, Asmaul Allah. Hayati dengan baik. insyaaAllah akan melahirkan ketundukan kepada Allah. 

Pada ayat ini Allah mengenalkan dirinya dengan nama Allah yang paling agung dan kemudian Dia memperkenalkan diriNya sebagai Al-’Aziz (yang maha perkasa). Kerana dengan memperkenalkan Maha perkasa tersebut menyebabkan Nabi Musa faham Dia boleh buat apa-apa pun juga, tak ada yang mustahil bagi Allah. 

Dan kuasa Allah tersebut dipandu dengan Al-Hakim, kebijaksanaan. Kadang-kadang Dia tidak bagi pada kita. Dia mampu tapi Dia tidak bagi, di dalam ada hikmah. Jangan pandang dengan pandangan yang zahir sahaja. Maka, kerana Allah telah menentukan dengan kuasaNya, dengan kebijaksanaanNya dan disambung ayat tersebut dengan;Allah swt perintahkan kepada Nabi Musa untuk melemparkan tongkatnya. 

Pada ayat lain surah Taha, sebelum suruh buang, Dia tanya dahulu, “Wahai Musa, itu apa di tangan kau, Musa?”. Nabi Musa ketika itu menjawab “Ini adalah tongkat saya, saya gunakan untuk menghalau kambing-kambing saya dan saya gunakan juga ada fungsi-fungsi yang lain. Saya bergantung pada tongkat saya ini”. Ini kata Nabi Musa seolah-olah ia mempunyai kegunaan dan manfaat yang besar kepada Nabi Musa as. 

Tapi Allah swt berkata, وَأَلْقِ“Lemparkanlah tongkat itu”. Dan ketika Nabi Musa as membuang tongkat itu berubah menjadi ular dan ular itu bergerak dengan pantas. جَانٌّ ini bermakna ular, bergerak dengan pantasnya. Nabi Musa as pertama kali melihatnya takut وَلَّى مُدْبِراً وَلَمْ يُعَقِّبْ dan dia lari membelakangi tak menoleh langsung. 

Dan Allah memanggil Musa لَا تَخَفْ إِنِّي لَا يَخَافُ لَدَيَّ الْمُرْسَلُونَ “Jangan takut, sesungguhnya rasul-rasul/ utusan-utasan aku yang lain tidak takut pada Aku”. إِلَّا مَن ظَلَمَKecuali yang berlaku zalim tapi sekiranya dia bertaubat فَإِنِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ “Sesungguhnya Aku ini maha pengampun lagi maha penyayang. Ini kata Allah pada Nabi Musa as. Ini yang terjadi pada Nabi Musa waktu menghadap Allah di Bukit Tursina pada pertama kali. 

Dari segi tadabbur ayat ke 10 ini, kita lihat Nabi Musa awalnya amat bergantung pada tongkatnya. Untuk dekat dengan Allah yang mana caranya untuk kenal Allah melalui Asmaul Husna, penjelasan Allah dalam Al-Quran dan Sunnah, daripada alam. 

Selain daripada kenal Allah, membuang tongkat maknanya membuang kebergantungan dengan selain Allah walaupun secara zahir bermanfaat tetapi dalam hati kena jadikan Allah tempat pergantungan, Allah yang boleh beri manfaat satu-satunya. Allah dahulu. Ketepikan yang lain. Di mana kita perlu tanamkan? Dalam hati kita. Dia yang menghidupkan, dan mematikan. 

Dia yang mengangkat seseorang menjadikan seseorang mulia. Dia yang beri rezeki dan mengambil rezeki tersebut. Dan dia membukakan, segalanya berbalik pada Dia. Kalau semuanya daripada Allah, kenapa kita perlu bergantung kepada yang lain? 

Orang beriman hanya bergantung kepada Allah swt sebab dia tahu segalanya dari Allah swt. Jadikan pergantungan hanya pada Allah swt walaupun pada zahirnya ia adalah asbabnya. 

Jadi, ketika kenal Allah swt, kita tahu Allah lah tempat kita tempat bergantungharap. Saya rasa setakat itu dahulu, perbincangan kita tentang ayat ke 10 An-Naml ini akan kita sambung esok. InsyaaAllah esok kita akan sambung ayat 10 esok hari. Kita tutup dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-’Asr. Jumpa lagi pada pertemuan akan datang. Assalamualaikum wrbt.

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 4 AYAT 6-9 : 23 Aug 2020M

 Nota Perkongsian 23.08.2020

Tadabbur Surah An-Naml Sesi 4 akan membahas surah An-Naml Ayat 6-9

Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 

Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Assalamualaikum wrbt

Bersyukur kita ke hadrat Allah swt atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia kepada kita semua, Alhamdulillah. Pada pagi yang berbahagia ini kita kembali bersama-sama dalam majlis ilmu kita tadabbur Al-Quran yang mana kita akan fokus membincangkan iaitu surah An-Naml yang mana surah An-Naml kita sudah sampai pertemuan yang keempat hari ini. insyaaAllah hari ini kita akan sambung tadabbur surah An-Naml yang mana kita berhenti pada ayat kelima semalam yang mana kita akan sambung hari ini ayat yang keenam dan kita akan baca sampai ayat yang kesembilan.

Bacaan:

وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى ٱلْقُرْءَانَ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ عَلِيمٍ

Dan sesungguhnya kamu benar-benar diberi Al Quran dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.(An Naml 27:6)

إِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِأَهْلِهِۦٓ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا سَـَٔاتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ ءَاتِيكُم بِشِهَابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ

(Ingatlah) ketika Musa berkata kepada keluarganya: "Sesungguhnya aku melihat api. Aku kelak akan membawa kepadamu khabar daripadanya, atau aku membawa kepadamu suluh api supaya kamu dapat berdiang".(An Naml 27:7)

فَلَمَّا جَآءَهَا نُودِىَ أَنۢ بُورِكَ مَن فِى ٱلنَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلْعٰلَمِينَ

Maka tatkala dia tiba di (tempat) api itu, diserulah dia: "Bahwa telah diberkati orang-orang yang berada di dekat api itu, dan orang-orang yang berada di sekitarnya. Dan Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam".(An Naml 27:8)

يٰمُوسَىٰٓ إِنَّهُۥٓ أَنَا ٱللَّهُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

(Allah berfirman): "Hai Musa, sesungguhnya, Akulah Allah, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana(An Naml 27:9)

Pada pertemuan lepas kita telah membincangkan bahawasanya peradaban Islam adalah peradaban unggul, peradaban berdasarkan wahyu illahi dan pelaksana dari peradaban tersebut adalah orang-orang yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia serta membalut semua hubungan itu dengan keyakinan kepada hari Akhirat. Inilah yang dikatakan oleh Allah pada ayat yang ketiga;Mereka mendirikan solat, mereka menunaikan zakat dan dengan akhirat mereka amat meyakininya. 

Dan sebaliknya peradaban akan hancur binasa apabila berada di tangan orang-orang yang tidak beriman dengan Akhirat. Iman dengan Akhirat sangat penting untuk mengikat setiap kegiatan ataupun aktiviti kehidupan duniawi kita agar dia memberi manfaat ukharawi nanti. 

Dalam Islam, kita berkeyakinan bahawasanya ini hanyalah tempat persinggahan kita sahaja dan kita ada Akhirat yang merupakan destinasi utama kita dan kita akan hidup lama di sana. Bahkan, bukan lama sahaja tetapi akan kekal abadi. 

Di sanalah kehidupan yang sebenarnya. Orang yang tidak beriman dengan Akhirat inilah yang akan memandang kejahatan/ keburukan yang mereka lakukan itu sebagai satu kebaikan. Mereka tidak sedar bahawa itu adalah perkara yang merosakkan, perkara yang membinasakan.  

Ini yang seperti disebutkan oleh oleh dalam surah Al-Baqarah, Apabila dikatakan kepada mereka, “janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi”. Apa jawapan mereka? “Tidak, kami tidak melakukan kerosakan, kami justeru yang melakukan kebaikan/ melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk dunia ini”. 

Ini pandangan mereka. Ini adalah tipu daya yang mereka tak sedar bahawa perbuatan buruk mereka itu tidak mereka lihat sebagai satu keburukan. Selanjutnya, kerana mereka tidak menyedari mereka melakukan keburukan/kejahatan, maka mereka berleluasa dalam kezaliman, berleluasa dalam kesesatan, dalam dosa yang mereka tidak keluar daripada lingkaran dosa dan maksiat sebab mereka tidak lihat perbuatan mereka itu sebagai perbuatan buruk. 

Maka, orang beriman dan bertaqwa justeru terbalik. Di antara yang mereka rasakan apabila mereka melakukan kesalahan adalah Allah tunjukkan kesalahan mereka itu, Allah nampakkan bahawa itu adalah salah sehingga apa ذَكَرُواْ اللّهَ فَاسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ (Imran:135), mereka Allah swt lalu mereka memohon agar Allah ampunkan dosa-dosanya. 

Jadi, orang beriman tahu itu adalah perbuatan salah, perbuatan maksiat lalu dia cepat-cepat bertaubat kepada Allah swt. Sedangkan orang yang membuat kerosakan ini, mereka tidak sedar dengan perbuatan kerosakan mereka itu sehingga tidak berhenti melakukan kerosakan dan maksiat yang mereka lakukan. 

Mereka tidak ada keinginan untuk bertaubat sebab mereka tidak merasa bersalah. Perasaan tidak merasa bersalah merupakan punca kepada kejahatan/ keburukan yang berterusan. Jadi, tanda Allah sayang kita adalah apabila Dia ingatkan kita bahawa kesalahan itu adalah kesalahan, bahawa dosa itu adalah dosa lalu kita cepat-cepat bertaubat pada Allah swt.  

Sedangkan orang-orang yang tidak beriman, mereka tidak menyedari itu, tak perasan bahawa itu adalah kesalahan. Apabila hilang iman kepada Akhirat ini, inilah mukmin tanpa sedar mereka melakukan kesalahan. Maka Rasulullah saw ada berpesan bahawasanya;

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Maksudnya: “Tidaklah seorang pengzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman.” [Riwayat al-Bukhari (5578) dan Muslim (100)]

Iman yang betul ketika mana nak melakukan dosa, dia teringat cepat lalu dia tarik diri. Orang yang imannya lemah, ketika melakukan dosa, dia teruskan sahaja, dia tidak mampu untuk menahan dirinya. 

Maka, siapa yang mampu menahan dirinya dari maksiat dan dosa tanda ada iman. Orang yang tidak mampu menahan diri dariapda maksiat dan dosa, maknanya imannya tercabut. Oleh itu, penting untuk kita mengikat setiap aktiviti dan amalan dunia kita dengan ukhrawi. 

Kenapa Allah swt titikberatkan tentang Akhirat? Kerana keyakinan terhadap Akhirat ini hilang pada orang Quraisy semasa itu. Orang Quraisy zaman Rasulullah dahulu menganggap dunia inilah kehidupan, selepas itu tiada lagi kehidupan. Maka, Allah swt menitikberatkan keimanan kepada Akhirat ini. Dan apabila tiada iman kepada Akhirat menjadi punca seksa. Kata Allah pada ayat kelima;

Mereka akan mendapat azab, di dunia dan Akhirat. Secara zahir mungkin harta mereka melimpah ruah, kekayaan mereka banyak tetapi mereka terseksa.

سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” Surah al-Qalam (44)

Istidraj ini adalah seksaan tersebut perlahan-perlahan. Slow but sure, sedikit tapi pasti. Dia tanpa sedar azab tersebut dan membinasakannya. Dan mereka juga di Akhirat nanti akan masuk dalam golongan yang paling merugi. Orang yang paling merugi ini adalah mereka yang tidak ada dalam fikiran mereka adanya Akhirat. 

Kita itu jelaslah mereka akan menyesal. Perkara akhirat adalah perkara yang akan datang berlaku yang mana dia boleh saja berlaku dan boleh saja tidak berlaku. Tapi Allah swt meyakinkan kita bahawa ia pasti terjadi. Jadi, tidak rugi pun kalau kita percaya. Rugi kita kalau kita tak percaya. 

Kalau nanti apa yang dikatakan Allah itu benar, kita tak percaya dan kita tidak mengambil persiapan untuk menghadapi tentulah kita akan menyesal. 

Contohnya, cikgu memberitahu bahawa akan ada peperiksaan pada minggu hadapan. Ada sebahagian percaya dan ada sebahagian tidak percaya. Jadi, mereka yang percaya akan membuatkan persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Maka, bilamana terjadinya peperiksaan tersebut yang bersiap ini berseronok manakala yang tidak mempercayai hanya mampu menyesal. 

Iman pada Akhirat ini menjadikan kita manusia yang berguna, manusia yang menghindarkan dosa. insyaaAllah orang yang mempunyai keyakinan kepada Akhirat ini tidak akan membuat kerosakan terhadap orang lain. Oleh itu, yakinlah bahawa ada Akhirat. Diulang “هم” dua kali menunjukkan mereka benar-benar yakin akan adanya hari Akhirat. 

Allah swt menegaskan, Kalau dalam bahasa Arab, di sini ada dua penegasan iaitu huruf  أِنَّ dan ل taukid. Contohnya,  إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ. Manusia itu benar-benar dalam kerugian. Jadi, Allah swt menegaskan, وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى الْقُرْآنَ. Dalam bahasa Arab ada namanya ilmu Balaghah juga; ilmu yang menjelaskan tentang rahsia susunan ayat-ayat Arab.

Di antaranya, apabila jumpa huruf taukid banyak dalam ayat tersebut menunjukkan ayat ini ditujukan kepada orang yang ingkar, orang yang menentang. Orang yang percaya tak perlu bersumpah-sumpah, tak perlu taukid. Waktu ayat ini diturunkan ia ditujukan kepada orang kafir.

 Mereka tidak percaya bahawa Al-Quran ini daripada Allah swt, ada yang mengatakan bahawa Al-Quran ini daripada penyair, tukang sihir, syaitan. Jadi, Allah swt membantah dakwaan mereka dengan وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى الْقُرْآنَ wahai Muhammad, sesungguhnya Engkau benar-benar mendapatkan Al-Quran itu daripada Allah yang maha bijaksana lagi maha mengetahui.

Satu, memberikan keyakinan kepada nabi Muhammad saw dan dalam masa yang sama membantah dakwaan kafir Quraisy. Nak menunjukkan peradaban unggul itu daripada yakinnya kepada Al-Quran itu dan datangnya Al-Quran itu daripada Allah swt. 

Maka, dalam surah Al-Baqarah yang merupakan surah kedua selepas Al-Fatihah dari segi susunannya, Allah mengatakan ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ kitab ini iaitu Al-Quran tiada keraguan padanya. Maknanya, dalamnya ialah yakin, sesuatu yang pasti, sesuatu yang benar.  

Dan Allah yang menurunkan Al-Quran itu hakim, yang maha bijaksana. Maha bijaksana maknanya Dia tahu orang yang paling layak menerima Al-Quran itu nabi Muhammad saw sebab dia adalah manusia terbaik pada waktu itu, manusia yang boleh diteladani dari dulu sampailah sekarang. Sampai akhir zaman dia tetap “the best person”, khairul bariyyah (sebaik-baik manusia). 

Kemudian, bijaksana Allah Allah turunkan Al-Quran pada zaman Rasulullah saw, pada zaman orang Quraisy hilang keyakinan dengan agama. Mereka mereka-reka agama mereka sendiri sesuai dengan hawa nafsu mereka. Maka, Allah swt turunkan Al-Quran kepada mereka. Dan semua itu atas landasan kebijaksanaan yang jelas daripada Allah swt. 

Kemudian, atas asas ilmunya yang pasti, yang jelas dengan semua yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan dengan apa yang akan diselesaikan dengan Al-Quran dalam kehidupan manusia. Allah swt menegaskan bahawa Al-Quran yang diperoleh oleh Rasulullah saw yang disampaikan kepada umat manusia, مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ عَلِيمٍ ia berasal dari Allah yang maha bijaksana lagi maha mengetahui. 

Maka Allah swt menyambung kisah tersebut dengan kisah nabi Musa memperoleh wahyu seolah-olah Allah swt menunjukkan kepada nabi Muhammad saw, “wahyu yang kau dapat ni Muhammad , bukan kau seorang sahaja yang dapat. Wahyu yang dapat ini sebenarnya sudah pernah diberi kepada nabi Musa. Bukan Musa sahaja, bahkan nabi-nabi sebelum kamu pun pernah mendapat wahyu”. 

Jadi, ini yang Allah ingin datangkan kisah nabi musa. Kisah nabi Musa tidak bermula dengan kisah awal kelahirannya tetapi terus dengan kisah bagaimana dia memperoleh wahyu yang mana Allah swt berfirman, Ingatlah, ketika Musa berkata kepada keluarganya “Sungguh aku melihat api, aku akan membawa khabar tentang itu kepada kamu atau aku akan membawa suluh api kepada kamu agar kamu dapat menghangatkan badan dengan api tersebut”. Ini merupakan cerita pertengahan tentang nabi Musa.

 Kalau tuan puan lihat, cerita nabi Musa ini di antara cerita nabi yang paling lengkap, dari lahir sampai hari penghujungnya tetapi cerita tentang nabi Musa meninggal tidak dirakamkan di dalam Al-Quran dan cerita nabi Musa ini adalah cerita yang paling banyak kita jumpa dalam Al-Quran. 

Kadang-kadang saya tertanya juga, kenapa cerita nabi Musa ini banyak kita jumpa dalam Al-Quran. Satu yang saya nampak, mengingatkankan nabi Muhammad saw apa yang dihadapi oleh nabi Muhammad saw tak seberapa dengan apa yang dihadapi dengan Musa. Nabi Musa ketika dia lahir, dihantui oleh pembunuhan. Nabi saw ketika lahir, tidaklah sampai seperti itu; ketika dia lahir ada lagi orang nak menyambutnya. 

Bahkan Abu Lahab bapa saudaranyanya yang kemudiannya menjadi musuhnya, masa nabi Muhammad lahir, dia gembira. Dia yang mengakikahkan, dia yang menyuruh Thuwaibah, pembantunya untuk menolong Aminah, ibunda Rasulullah saw. 

Jadi, berbeza dengan Musa. Musa ketika dia lahir, ibunya penuh dengan ketakutan, kerisauan tentangnya sehingga dia dihanyutkan. Nabi Muhammad saw tak sampai ke tahap itu. Nabi Muhammad cuma lahir dalam keadaan yatim. Kata Allah dalam surah Dhuha; “Wahai Muhammad, jangan kau herdik anak-anak yatim, jangan kau caci maki dia” Sebab apa? Sebab dulu kau pernah jadi yatim. 

Jadi, Rasulullah saw mempunyai simpati yang tinggi terhadap anak yatim sebab dia dulu adalah anak yatim juga. Saya secara peribadi, ayah saya meninggal ketika saya berumur 10 tahun. Jadi, kepada anak yatim ni kita ada perasaan lain sikit, cerita anak yatim kita cepat untuk beraksi. Tak sedap melihat anak yatim tiada rumah, kita bangunkan rumah. Apabila dengar anak yatim takda makan, cepat kita bantu sebab kita pernah mengalami seperti itu juga. 

Nabi Muhammad saw menjalani kehidupan yang lebih senang sebenarnya berbanding Musa. Musa hidup dengan musuh dia yang kemudiannya iaitu hidup dengan Firaun. Nabi Muhammad Alhamdulillah hidup dengan maknya, dengan Halimatus Sa’diah (pembantu yang menyusukannya), kemudian dibalikkan kepada ibunya semula, kemudian dijaga oleh atuknya yang sayang kepadanya, dan dijaga pula oleh bapa saudaranya, Abi Talib sehinggalah menjadi besar berkahwin dan mereka itu sayang kepada Nabi Muhammad saw. 

Jadi, berbeza dengan Nabi Musa as. Nabi Musa as dijaga oleh Firaun. Kalau Firaun tahu Nabi Musa as adalah anak bani Israel, dia cuba untuk halau atau binasakan Nabi Musa as. Dan dalam kisah bahawasanya firaun tidak percaya dengan isterinya, Asiah bahawa Musa ini tidak reti apa-apa, dia tidak akan datangkan mudharat apa-apa. 

Maka, dia cuba masukkan bara api ke mulut Nabi Musa as semasa kecil sehingga Nabi Musa as ketika itu menelan bara api tersebut. Itu yang menyebabkan Nabi Musa tidak lancar bercakap, gagap dalam bercakap. 

Nabi Muhammad hidup dalam sekeliling yang sayangkan dia. Bahkan sampai dia besar, orang percayakan dia dan dia digelar dengan Al-Amin, orang yang diberi kedudukan mulia di tengah masyrakat meraka. Berbeza. Jadi, Rasulullah saw mungkin merasa dia tidak beruntung, hidup susah. Maka, Allah swt mendatangkan kisah Nabi Musa as dalam Al-Quran banyak supaya Nabi Muhammad saw bercermin bahawa engkau bukanlah orang yang paling susah, ada orang yang lagi susah. 

Pengajarannya seperti apa yang Rasulullah pernah bersabda, untuk kamu merasa syukur, kamu lihatlah orang yang lebih rendah, lebih di bawah. Dengan itu, kamu akan berasa lega, bahawa kamu bukanlah orang yang paling teruk. Ada orang yang lebih parah lagi, mendatangkan perasaan ini sangat penting. Maka, Rasulullah saw didatangkan dengan kisah Nabi Musa as. 

Di antaranya kisah yang ada dalam surah An-Naml ini, Allah swt menceritakan awal nabi Musa memperoleh wahyu yang mana permulaannya Nabi Musa as juga tak menyangka bahawa dia akan dapat wahyu. Nabi Muhammad saw pun tak menyangka dia akan dapat wahyu. Ketika dia bertahanus (mengasingkan diri) di Gua Hira’, maka datang Jibril tiba-tiba. 

Nabi Musa as juga begitu, dia dapat wahyu ketika dia nak balik ke Mesir. Ketika dia dengan Firaun, membunuh orang Qibti lalu melarikan diri ke Madyan, kemudian duduk di rumah Nabi Syuaib dan berkahwin dengan anaknya dan bekerja sebagai ganti kepada maharnya selama 8 tahun atau 10 tahun, pada waktu itu Nabi Musa belum lagi seorang nabi. 

Dia baru seorang manusia biasa yang memperoleh firasat dan pertolongan Allah swt dan Nabi Musa baru dilantik menjadi nabi pada masa inilah yang mana ketika Nabi Musa tinggal bersama Nabi Syuaib as dan rindu nak balik ke Mesir semula, rindu melihat mak ayah, adik beradiknya. 

Maka ketika itu, Nabi Musa minta izin Nabi Syuaib as untuk kembali ke Mesir. Tujuan asalnya cuma untuk berjumpa dengan ahli keluarganya. Maka, mereka merancanglah untuk balik ke Mesir kerana ketika itu Nabi Musa as masih lagi dihantui dengan perasaan bahawasanya Firaun pasti mencari dia, pasti akan mengejarnya. Maka, Nabi Musa as merancang untuk pulang ke Mesir pada waktu malam, waktu orang tak tahu. Dalam masa yang sama, pada masa itu adalah musim sejuk. Kemudian, dia lalu ke jalan yang orang tak biasa lalu. Sebab dia takut kalau dia lalu jalan yang orang awam lalu, orang kenal dia. Ini menyebabkan mereka tersesat. Maka diceritakan disini (Surah An-Naml ini), 

“Musa berkata dengan keluarganya” maknya Musa di sini balik (ke Mesir) dengan keluarganya, bukan balik sendiri, ada isterinya, ada anaknya kalau tak silap dia bawa sekali kambing-kambingnya yang akan digunakan semasa dalam perjalanannya. إِنِّي آنَسْتُ Ini kata ulama’ masa malam “Aku melihat api”, سَآتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ“Nanti aku nampak api, mudah-mudahan aku akan pergi ke tempat tersebut, aku dapat mengetahui berita (jalan betul atau tidak)” sebab mereka dah mula tersesat. Ini yang ingin dipastikan oleh Nabi Musa as. أَوْ آتِيكُم بِشِهَابٍ قَبَسٍ  “Kalau pun tak dapat berita, mungkin aku dapat api, aku mintak pada mereka api dan dengan api tersebut  لَّعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ boleh kita panaskan badan kita sebab musim sejuk, malam hari. 

Maka, Nabi Musa as melihat api dan dia berharap agar api tersebut dia boleh dapat ataupun bertanya pada orang yang ada di tempat api tersebut mengenai laluan yang mereka lalui ataupun berita yang mereka ketahui tentang kerajaan Firaun. 

Nabi Musa as melihat sayup-sayup dari jauh. Kata ulama’ tempat Nabi Musa as melihat api itu ialah di Bukit Tursina, bukit yang terletak antara Palestin dan Mesir, dekat Sinai. Maka, Nabi Musa as ketika itu lari dari Mesir ke Madyan, Madyan itu terletak di kawasan Jordan, Syria sekarang, kalau tak silap saya. Dia tak tahu bahawasanya di tempat api itu dia akan mendapatkan sesuatu yang lain daripada apa yang dia harapkan. Bahkan, lebih hebat dari apa yang dia harapkan. 

Dan ketika sampai ke tempat api tersebut, ternyata ia bukan api betul-betul. Ternyata yang dia nampak itu adalah cahaya yang ada pada satu pokok yang ada di Bukit Tursina tersebut. Cahaya itu kata ulama’, cahaya Illahi yang mana Allah swt menempatkan cahayanya pada pokok tersebut. 

Ketika dia mendapatkan cahaya tersebut, ada cahaya yang suara yang memanggilnya iaitu,  نُودِيَ أَن بُورِكَ مَن فِي النَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا “diberkatilah orang-orang yang berada di dekat api dan orang-orang yang berada di sekitarnya”. Dalam hal ini, saya suka untuk saya membacakan pada tuan puan tafsiran berdasarkan kitab tafsir sebab ayat ini di antara ayat yang mungkin boleh orang keliru mengenai perkara tersebut. Saya suka memetik kata Ar-Razi ini kerana tafsir Ar-Razi ini lebih lengkap perbincangannya antaranya menjelaskan rahsia-rahsia ayat dan kenapa Allah swt menurunkan ayat ini. 

Dari segi riwayat-riwayat, saya suka merujuk Tafsir Ibu Kathir tapi untuk memahami rahsia-rahsia ayat anatara tafsir yang baik untuk kita rujuk. Ada satu lagi tafsir, tafsir Ibnu ‘Asyur, At-Tahrir wa Tanwir. 

Kata Imam Ar-Razi ketika menafsirkan ayat ini, dalam ayat ini ada perbincangan. Pertama adalah نُودِيَ أَن بُورِكَ dia diseru dan dia kata ia merupakan penjelasan bagi panggilan yang ada dihadapannya tersebut. Dipanggil Musa dengan “wahai Musa, semoga engkau diberkati”. dan yang kedua, مَن فِي النَّارِ di ayat tersebut ada mengatakan orang yang ada dekat api. Apa yang dimaksudkan dengan orang-orang yang berada dekat api dan orang-orang yang berada di sekitarnya? 

Di sini, ulama’ tafsir iaitu Imam Ar-Razi, pertamanya, النَّارِ tersebut bukanlah bermaksud api tapi cahaya. Yang dimaksudkan dengan orang yang berada dekat api itu ia adalah Allah, ini menurut satu pendapat. وَمَنْ حَوْلَهَا Dan orang yang berada disekitarnya maksudnya Malaikat. Jadi maksudnya, mahasucilah/ diberkatilah Allah swt dan malaikat yang berada disekelilingnya. Ini riwayat darpada Ibnu Abbas. Akan tetapi kata Ar-Razi, kami pastikan riwayat ini adalah riwayat yang maudhu’, dia bukan benar. 

Dan pendapat kedua, orang yang berada di tempat api tersebut adalah cahaya Allah dan yang berada di sekitar api tersebut adalah malaikat dan itu merupakan pendapat Al-Qatadah dan Al-Zujaj. 

Dan pendapat ketiga mengatakan, Allah swt memanggil Nabi Musa as dengan kata-kata yang dia dengar daripada pokok yang ada di dataran suci iaitu yang berada di tanah Tur tersebut. Maka, Allah swt memanggil dia melalui pokok tersebut tapi bukan bermakna Allah berada di tempat pokok tersebut. Yang bercakap bukan pokok tetapi Allah swt. Dan orang yang berada di sekitar itu adalah para malaikat. Maka, inilah pendapat Al-Juba’ie. 

Dan pendapat yang keempat adalah diberkati orang yang berada dekat pokok, bukan Allah, bukan pokok tetapi yang dimaksudkan pada pendapat keempat adalah Nabi Musa as sendiri dan yang sekelilingnya malaikat. Dan ini yang lebih dekat menurut Imam Ar-Razi. 

Dan Allah swt pada ayat tersebut menyucikan dirinya, وَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ nak mengingatkan kita jangan kita membayangkan Allah macam makhluk. Mungkin ketika baca ayat ini, kita terfikir bahawa Allah bertempat di pokok. Tetapi Allah ingatkan Allah maha suci daripada bayangan-bayangan, fikiran-fikiran yang wujud pada diri kita yang biasanya berlandaskan pada bentuk makhluk. 

Yang penting, Nabi Musa as mendapat wahyu, mendengar kata-kata daripada Allah swt. Bagaimana bentuknya, kita perlu kembalikannya kepada Allah swt, Allah swt sahaja tahu bagaimana pokok itu boleh bercakap lalu Nabi Musa as mendengar. 

Sebenarnya dalam ayat ini, ada beberapa perkara yang perlu kita jadikan bahan tadabbur terutama dalam perbincangan kita dalam membina peradaban unggul berdasarkan pada panduan illahi tapi insyaaAllah kita akan tunda perbincangan tersebut pada pertemuan akan datang iaitu sabtu akan datang kalau tiada hal dan juga hari ahad, pukul 8 sehingga 9 pagi. Demikian sahaja, kita tutup dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr. Assalamualaikum.