Nota Perkongsian 12.09.2020
Tadabbur Surah An-Naml Sesi 9 akan membincangkan ayat 15-17. Ayat-ayat menjelaskan tentang teladan baik daripada dua orang utusan Allah yang mulia, iaitu Nabi Daud dan Nabi Sulaiman.
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman
Bersyukur kita ke hadrat Allah swt atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia kepada kita semua. Alhamdulillah pada pagi yang berbahagia ini, kita kembali dengan majlis ilmu kita iaitu tadabbur Al-Quran. Alhamdulillah kita diberi peluang dan kesempatan untuk bersama-sama dan mudah-mudahan kita dapat manfaat daripada majlis ilmu ini. Dan juga kita tidak lupa menyampaikan selawat dan salam kita pada baginda Rasullullah saw. Mudah-mudahan kita dapat mengamalkan ajaran beliau dan sunnah-sunnah yang ditinggalkan beliau dapat kita tunaikannya.
Mudah-mudahan perkongsian kita pada hari ini dapat memberi manfaat. Hari ini, insyaalah kita akan menyambung perbincangan kita pada Surah An-Naml, yang mana minggu lepas kita berhenti pada ayat 14. Pagi ini kita akan sambung daripada ayat 15 dan baca sehingga ayat 18. Sila buka Al-Quran dan mari kita baca Surah An-Naml ayat 15 sampai ayat 17
Bacaan:
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا دَاوُۥدَ وَسُلَيْمٰنَ عِلْمًا ۖ وَقَالَا ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى فَضَّلَنَا عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ ٱلْمُؤْمِنِينَ Dan sesungguhnya Kami telah memberi ilmu kepada Daud dan Sulaiman; dan keduanya mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang melebihkan kami dari kebanyakan hamba-hambanya yang beriman".(An Naml 27:15)
وَوَرِثَ سُلَيْمٰنُ دَاوُۥدَ ۖ وَقَالَ يٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ عُلِّمْنَا مَنطِقَ ٱلطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَىْءٍ ۖ إِنَّ هٰذَا لَهُوَ ٱلْفَضْلُ ٱلْمُبِينُ
Dan Sulaiman telah mewarisi Daud, dan dia berkata: "Hai Manusia, kami telah diberi pengertian tentang suara burung dan kami diberi segala sesuatu. Sesungguhnya (semua) ini benar-benar suatu kurnia yang nyata".(An Naml 27:16)
وَحُشِرَ لِسُلَيْمٰنَ جُنُودُهُۥ مِنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ وَٱلطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tentaranya dari jin, manusia dan burung lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan).(An Naml 27:17)
حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوْاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يٓأَيُّهَا ٱلنَّمْلُ ٱدْخُلُواْ مَسٰكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyadari";(An Naml 27:18)
فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صٰلِحًا تَرْضَىٰهُ وَأَدْخِلْنِى بِرَحْمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصّٰلِحِينَ
maka dia tersenyum dengan tertawa karena (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh".(An Naml 27:19)
وَتَفَقَّدَ ٱلطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِىَ لَآ أَرَى ٱلْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ ٱلْغَآئِبِينَ
Dan dia memeriksa burung-burung lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat hud-hud, apakah dia termasuk yang tidak hadir.(An Naml 27:20)
Maha Benar Allah ke atas firman-firmannya.
Ketika kita bertadabbur Surah An-Naml, kita naikkan satu tema khusus yang kita cuba fahami. Tema tersebut ialah membina tamadun ataupun peradaban yang unggul. Islam bukan lah agama yang hanya setakat ibadah hubungan dengan Allah sahaja. Islam adalah agama yang syamil. Agama yang komprehensif, yang mencakup segala aspek kehidupan.
Maka ia adalah cara hidup kita. Cara hidup peribadi kita, cara hidup keluarga kita dan cara hidup berbangsa dan bernegara. Islam mempunyai aturan yang lengkap tentang itu. Oleh itu, Allah swt jadikan Islam agama akhir zaman , terutama buat umat Nabi Muhammad saw . Yang mana Allah ingin kehidupan kita dipengaruhi oleh agama Islam ini.
Adakah sebelum Nabi Muhammad tiada peradaban Islam? Ada, peradaban yang dibina oleh nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad saw. Dan diantara mereka adalah nabi Daud dan nabi Sulaiman yang pernah dengan jayanya dan gemilangnya membina satu tamadun atau peradaban yang berlandaskan wahyu dan apa yang diminta Allah swt.
Pada pertemuan lepas, kita membincangkan bagaimana Nabi Musa memulai pembinaan peradabannya dengan mendapatkan wahyu daripada Allah swt. Dan bagaimana ketika dia menyampaikan wahyu tersebut perlu berhadapan dengan orang-orang seperti Fir’aun dan kaumnya yang anti terhadap usaha-usaha seperti itu.
Maka kali ini kita dibawa oleh Allah swt, untuk memahami bagaimana nabi Daud as dan nabi Sulaiman as (anak kepada nabi Daud as) membina peradaban tamadun yang sesuai dengan kehendak Allah swt. Maka nabi Daud as membina satu kerajaan dan pemerintahan yang sangat besar sekali. Maka mari kita mengambil pengajaran dan pelajaran daripada kehidupan mereka berdua ini, daripada usaha-usaha yang telah mereka lakukan.
Allah memulakan ayat dengan وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْماً , sungguh kami telah menganugerahkan kepada Daud dan Sulaiman ilmu. Allah anugerahkan kepada nabi Daud dan nabi Sulaiman satu perkara yang sama kepada mereka iaitu ilmu. Dan ilmu merupakan kunci untuk peradaban Islam untuk berdiri tegak dengan kuat.
Maka kepada nabi Muhammad juga, dimulai dengan ilmu. Tetapi secara lebih spesifik, Allah swt menyebut cara untuk mendapatkan ilmu tersebut dengan berfirman اقْرَأْ , bacalah.
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ , bacalah dengan nama tuhanmu yang telah menciptakan kamu. Ini merupakan cara kita untuk dapatkan ilmu. Ia merupakan asas bagi agama ini. Dan bagi peradaban Islam berdiri ia perlu ilmu.
Maka Allah swt menceritakan bagaimana Allah swt telah memberikan nabi Daud dan nabi Sulaiman ilmu. Kalau kita lihat kisah nabi Daud, baginda hanya orang biasa sahaja. Dalam surah Al-Baqarah ada menceritakan tentang nabi Daud iaitu dihujung juzuk kedua sebelum masuk juzuk ketiga. Diceritakan nabi Daud hidup pada zaman Thalut. Memimpin orang-orang bani Israel. Sewaktu itu, nabi Daud hanyalah seorang pengembala.
Ketika diwajibkan berperang untuk menakluk palestin, baginda ikut sekali. Baginda menyertai perang tersebut dan beliau antara 300 orang yang berjaya selamat daripada ujian-ujian yang didatangkan oleh Allah sebelum berlakunya perperangan tersebut.
Maka beliau diantara كَم مِّن فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً , beliau adalah orang-orang yang jumlahnya sedikit tapi berjaya menaklukkan jumlah yang besar iaitu tentera Jalud. Ketika peperangan itulah terselahnya kehebatan nabi Daud yang mana beliau berjaya membunuh pemimpin musuh pada ketika itu, Jalud dengan tanggannya sendiri.
Kejayaan itu menyebabkan Allah menganugerahnya hal-hal yang lain. Yang mana dalam surah Al-Baqarah, Allah memberikan kepadanya hikmah, ilmu. Mari kita lihat surah Al-Baqarah untuk memahami sedikit tentang nabi Daud yang merupakan individu yang disebutkan oleh Allah dalam ayat Ayat 251 di mukasurat 41. Allah swt berfirman, فَهَزَمُوهُم بِإِذْنِ اللّهِ وَقَتَلَ دَاوُودُ جَالُوتَ , jika mereka berjaya menakluk kan musuh mereka, Jalud dan bala tenteranya dengan izin Allah iaitu dengan pertolongan Allah swt.
Dan وَقَتَلَ دَاوُودُ جَالُوتَ secara spesifik Allah menyatakan bahawasanya yang membunuh Jalud itu adalah Daud as. Dan kata Allah وَآتَاهُ اللّهُ الْمُلْكَ وَالْحِكْمَةَ , kepada Daud Allah swt anugerahkan satu kerajaan atau kekuasaan. Di mana Thalut ketika itu menyerahkan kuasa kepada nabi Daud as yang sebelumnya dipegang oleh Thalut. Thalut juga dilantik dan ditunjuk oleh Allah swt berdasarkan permintaan bani Israel pada waktu itu. Lalu apabila sudah menang, disuruhlah Daud untuk mengetuai bani Israel pada waktu itu.
Kelebihan yang Allah beri pada nabi Daud pada ketika itu adalah bukan hanya kuasa tetapi juga hikmah وَالْحِكْمَةَ . Allah anugerahkan padanya hikmah dan juga kebijaksanaan. Allah kurniakan kata ulama’ hikmah iaitu kenabian atau kerasulan. Allah bagi ilmu dan wahyu. Kemudian yang ketiga kata Allah, وَعَلَّمَهُ مِمَّا يَشَاءُ dan Allah swt mengajarkan padanya apa yang dikehendaki.
Allah memberikan nabi Daud ilmu yang bermacam-macam sesuai yang diinginkan oleh Allah swt. Diantaranya ialah ilmu menggunakan dan memanfaatkan besi. Sehingga dikatakan, orang yang pertama membuat baju besi adalah nabi Daud as. Allah bagi padanya ilmu tersebut.
Juga ilmu mencipta alat-alat perang. Ilmu-ilmu ini dimanfaatkan oleh nabi Daud dijalan Allah. Jadi inilah yang dianugerahkan oleh Allah. Allah anugerahkan kuasa dan hikmah iaitu kenabian dan kerasulan. Dan yang ketiga adalah Allah anugerahkan ilmu-ilmu yang lain yang tiada pada orang sewaktu itu.
Maka dalam Surah An-Naml, Allah menyebutkan tentang itu juga وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْماً ,yang mana ilmu itu bukan hanya diberikan kepada nabi Daud as, tetapi juga diberikan kepada anaknya iaitu nabi Sulaiman. Nabi Daud sebenarnya mempunyai ramai anak tetapi yang menyerlah adalah nabi Sulaiman yang akhirnya Allah swt beri beliau ilmu. Kata Allah عِلْماً ,kami juga beri ilmu pada nabi Sulaiman. Beliau adalah contoh teladan.
Ketahuilah, ilmu adalah anugerah paling besar. Ilmu yang dimaksudkan bukan ilmu agama sahaja, ilmu yang lain yang dipelajari. Semua orang yang ada di zaman sekarang ini mengalami satu proses memperoleh ilmu dari tiada dan susah orang nak belajar dahulu.
Kini diberi peluang untuk belajar. Yang mana habis sekolah menengah dan masuk universiti ataupun kemahiran-kemahiran yang lain yang ada padanya, itu dinamakan ilmu juga. Alangkah lebih baiknya jika diberi ilmu agama juga. Ilmu teknikal ada, ilmu agama itu adalah anugerah Allah swt. Ilmu yang umum itu adalah ilmu juga, tak dinafikan.
Maka Allah swt berikan pada nabi Daud, ilmu bagaimana membina peradaban,menggunakan besi , senjata dan baju perang. Lihat, peradaban Islam bermula dengan ilmu. Dan kunci untuk medapat ilmu lebih banyak lagi adalah bersyukur.
Maka Allah swt menyebutkan, وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ yang mana nabi Daud dan nabi Sulaiman sangat bersyukur dengan kelebihan ilmu yang Allah bagi kepada mereka. Makna nikmat yang ada pada nabi Daud dan nabi Sulaiman disedari oleh mereka. Kesedaran mereka itu membawa mereka untuk bersyukur.
Bersyukur itu adalah dengan tiga cara seperti yang telah saya sebut sebeum ini.
Pertama ialah dengan menyedari nikmat tersebut datang daripada Allah swt. Jika pandai, sedar pandai itu dari Allah. Sekiranya mahir dalam bidang sesuatu seperti bidang kejuruteraan , perubatan atau hal-hal yang lain. Itu adalah ilmu yang perlu disyukuri dan sedari bahawa itu adalah anugerah Allah swt. Jangan sampai kita merasa bangga dengan apa yang kita dapat itu dan kita rasa ia daripada usaha kita. Ia adalah anugerah Allah swt. وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ
Maka cara kedua ialah dengan mengucapkan Alhamdulillah. Dengan bersyukur dan memuji Allah, mengagungkanNya serta mensucikanNya daripada segala kekurangan.
Dan cara syukur yang ketiga adalah dengan menggunakan dan memanfaatkan nikmat tersebut di jalan yang diredhai oleh Allah swt.
Maka gunakanlah ilmu sekiranya bidang IT, gunakan di jalan Allah swt. Tidak digunakan untuk perkara yang dibenci oleh Allah swt seperti merosak, mencuri atau merompak. Jadi, jangan kita lakukan hal yang sedemikian. Jadi, Allah nak highlight di sini, satu adalah kunci peradaban Islam daripada Ilmu dan ilmu yang itu adalah ilmu yang betul-betul membina tamadun. Ilmu yang dilapisi ataupun ilmu yang dipakaikan kepadanya syukur dengan menyedari Ilmu itu daripada Allah swt, bukan daripada kelebihan.
Terus terang satu masa dahulu saya pun lupa diri juga. Alhamdulillah semenjak saya kecil sampailah saya masuk universiti Allah anugerahkan saya, saya tak pernah tak dapat tiga besar dalam kelas, paling teruk nombor tiga, sampai universiti. Saya dapat Mumtaz empat tahun berturut-turut. Dan masa itu ada juga rasa syok, rasa bangga sikit sehingga satu hari untuk tahun akhir yang mana saya sangat berharap dapat pergi haji sebab kita dah dekat negara arab, tak dapat pergi haji sayang.
Cuma waktu haji tersebut betul-betul bertemu dengan masa saya exam dekat universiti. Maka, orang-orang yang minta pergi haji sebelum tu ditolak, tak dibagi. Pihak universiti pada masa itu memberi pilihan, kalau pergi haji terus balik kampung dan kalau nak belajar lagi, stay sini ambil exam. Sehingga ramai orang pada waktu itu tak pergi langsung.
Cuma pada masa saya itu, saya ada kawan kata apa kata kita try, kalau tahun lepas kita tak lepas. Kita cuba mana tahu rezeki kita tahun ini. Jadi, kami cuba. Ternyata kami berdua diizinkan untuk pergi, tak tahu apa sebab tapi sebenarnya masa tu sama dengan sebelum tu, bertemu dengan waktu exam dan masa tu saya dah tahun akhir. Kalau di sana, sijil kita atau syahadah kita yang akan dikeluarkan adalah result kita yang terakhir. Kalau kita dapat Mumtaz 3 tahun, tahun kita yang terakhir Makbul atau Jaid sahaja maka itu akan ditulis. Masa tu saya dalam dilemma juga la, ingin sangat nak pergi haji. Ketika dapat kebenaran pening pula, macam mana ni exam.
Tapi masa tu saya kuatkan hati saya dan kami pun pergi berdua dengan izin Allah selain dapat haji jadi mutawwif, tolong orang untuk haji. Jadi, dapatlah saguhati sikit, dapat duit Alhamdulillah. Cuma masalahnya, ketika pergi haji tersebut saya bawalah buku-buku saya, ingat dekat sana boleh baca buku sebab balik nanti mesti kami kena exam. Kalau tak baca apa-apa macam mana nak jawab exam nanti. Masa di sana saya ingat lagi buku yang saya bawa sekali sahaja saya pegang dan tak sampai setengah jam saya tidur, tak baca. Pada tahun itu, usaha daripada saya minimum sekali, saya belajar sedikit sekali. Dan peluang saya untuk dapat Mumtaz boleh dikatakan impossible, takkan mungkin saya dapat. Jadi, kita pun haji lah dan dalam hati “macam mana lah aku balik nanti, jawab periksa nanti”.
Jadi, memang ditakdirkan selesai haji kami pun balik. Satu, kami bersyukur bahawa kami diberi pergi haji. Sebelum itu, orang tak dibagi langsung. Macam mana exam nanti, kita tengok kemudian. Balik daripada haji tersebut kami pergi jumpa dekan universiti. Dekan kami suruh kami jumpa pensyarah dan ketika jumpa pensyarah dan setiap pensyarah tersebut kata suruh jawab exam serta merta. Maka, tak sempat kami untuk persiapan, bacaan tiada, ulang kaji tak sempat.
Di sini saya belajar Ilmu itu adalah anugerah Allah swt, Allah yang bagi. Kejayaan itu bukanlah betul-betul usaha kita. Maka, setiap kali exam ringan ja tangan menjawab soalan tersebut dan saya tak pasti betul ke tak betul. Ada belasan mata pelajaran dan saya lalui dengan tenang, saya serahkan kepada Allah swt. Dan tahun itu, Alhamdulillah saya dapat keputusan Mumtaz kali ke empat yang saya tak sangka, yang ikut kemampuan saya, saya takkan dapat. Dan ditakdirkan Allah swt saya dapat Mumtaz empat tahun berturut-turut, dan ini jarang orang dapat terutama yang dari Asia Tenggara.
Saya belajar daripada peristiwa tersebut adalah Mumtaz itu bukan bergantung pada usaha tapi adalah anugerah Allah. Saya baru yakin pada waktu itu bahawa kejayaan saya bukanlah pure usaha saya. Kalau dulu saya yakin, ini sebab saya belajar, saya ulangkaji, saya berdiskusi. Jadi, itu yang menjadi landasan saya mendapat Mumtaz. Tapi tahun terakhir itu, Allah ajar saya kejayaan ini bukan dari usaha tapi anugerah dari Allah. Bahkan dalam ceramah saya selalu katakan usaha kita kadang-kadang hanyalah 20% tapi result Allah tapi result yang Allah bagi adalah 100% atau 95%.
Erti kata anugerah Allah biasanya lebih besar daripada usaha kita. Kalau kita lihat pada usaha kita sahaja sebenarnya tak layak maka perlu kita sedar anugerah yang Allah bagi pada kita merupakan satu keistimewaan kepada kita yang mana Allah nak minta daripada kita bersyukur sebenarnya.
Dan Nabi Sulaiman, Nabi Daud as, ini yang diamalkan. Apa kata Allah swt;Segala puji bagi Allah yang telah melebihkan kami dari ramai hamba-hambanya yang beriman. Ada orang-orang beriman yang tak kalah hebatnya daripada mereka tetapi Allah swt bagi dia kelebihan dapat ilmu yang lebih, diberi Allah swt hikmah.
Allah beri kepada mereka kuasa. Maka, mereka menyedari ia adalah anugerah Allah swt sebab dia bermula daripada rendah, bermula daripada bawah, dia daripada pengembala kambing, kemudian jadi pasukan biasa, boleh dikatakan corporal sehingga Allah melantik dia menjadi raja dan pemimpin pada waktu itu. Bahawasanya orang yang melalui menyedari bahawa betul itu anugerah Allah swt.
Yang isunya kadang-kadang anak yang datang selepas itu tidak mengalami proses yang susah untuk mendapatkan sesuatu biasanya dia lupa untuk bersyukur. Tapi Alhamdulillah Allah bagi pada Nabi Sulaiman yang merupakan pewaris kepada Nabi Daud turut bersyukur. وَقَالَا, dalam bentuk dua orang, iaitu mereka berdua orang yang amat bersyukur kepada Allah swt, menyedari nikmat daripada Allah swt lalu menyebut Alhamdulillah lalu menggunakan nikmat tersebut ke jalan Allah.
Maka, kalau ditanya pada saya apa yang rasa bertuah. Saya nak bagitahu saya paling rasa bertuah saya dapat belajar bahasa Arab iaitu bahasa Al-Quran. Maka, saya secara peribadi menunjukkan rasa syukur saya pertama iaitu dengan mengajar. Satu, untuk memanfaatkan diri saya sendiri, untuk baca Al-Quran, untuk faham kitab-kitab dan hukum-hakam Allah.
Yang, kedua saya nak mengajarkan. Ada tempat yang bertanyakan, kami nak bayar berapa ustaz? Saya terus terang kata saya tak kesah bayaran, saya diberi peluang untuk mengajar saja, saya bersyukur. Alhamduilllah. Saya rasa dapat peluang itu satu nikmat yang mana dengan nikmat itu saya boleh berkongsi apa yang Allah bagi kepada saya.
Allah tak beri saya harta kekayaan tapi yang Allah bagi terserlah pada diri saya, Ilmu. dan tandanya Allah memudahkan saya untuk menuntut ilmu dahulu. Duit menjadi mutawwaf haji itulah saya gunakan untuk buat master. Saya simpan duit tu dan tak minta pada keluarga. Habis master pula Allah mudahkan saya untuk mengajar pula kerana niat untuk belajar dan mengajarkan ilmu, ternyata Allah lorongkan sehingga 2nd year saya di Universiti Malaysa untuk ambil master, saya dapat mengajar.
Masa itu bolehlah untuk makan sendiri, kemudian niat simpan untuk sambung phD. Alhamdulillah saya dapat sambung phD, banyak dugaan, halangan. Tapi alhamdulillah selesai juga. Dan semua itu saya rasa semua anugerah Allah, bukan saya hebat pun. Cuma Allah mudahkan, tolong untuk itu.
Point kita di sini syukuri ilmu yang Allah bagi, ilmu yang Allah anugerahkan. Syukuri yang ada dan dalam masa yang sama, tambahkanlah. Ilmu yang ada perlu disyukuri supaya Allah anugerahkan ilmu-ilmu yang lain, perkara-perkara yang lain yang membantu kita lebih dekat lagi kepada Allah swt.
Jadi, point kita pada ayat 15 ini adalah Allah anugerahkan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman ilmu dan mereka mensyukurinya. Maka, peradaban yang unggul ialah peradaban yang di bina di atas landasan ilmu dan orang-orang yang berilmu itu orang-orang yang bersyukur, orang-orang yang tahu ilmu yang dia dapat daripada Allah swt, anugerah Allah, bukanlah ilmu yang berada pada orang yang sombong, angkuh, yang merasa hebat dengan usaha-usahanya, disebabkan oleh kepintaran dan kecerdasan.
Dan ini akan membawa kepada kerosakan. Orang-orang seperti ini, itulah Firaun, itulah Haman, itulah Qarun yang mana kelebihan mereka dijadikan untuk mendabik dada, akulah hebat, akulah yang usaha semua ini. Inilah ilmu yang hanya membawa kepada kerosakan. Pada hujung ayat ke 14, فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ
Jadi, ilmu yang betul adalah ilmu yang dibungkus dengan syukur, rasa anugerah Allah swt pada apa yang didapatkan. insyaaAllah Allah akan berikan kepada kita kelebihan-kelebihan yang banyak nanti. Lihat, apabila syukur yang menjadi landasan kepada semua yang kita dapat, apa kata Allah? وَوَرِثَ سُلَيْمَانُ دَاوُودَ
Nabi Sulaiman mewarisi apa yang ada pada Nabi Daud as. Ulama’ tafsir berpendapat bahawasanya yang diwarisi oleh Nabi Sulaiman daripada Nabi Daud as. Satu adalah kerasulan atau kenabian. Yang kedua, kekuasaan.
Dan Nabi Sulaiman bukan mewarisi harta sebab kata Rasulullah, para Nabi tidak mewariskan harta, harta itu akan jadi sedekah. Bukan Nabi Muhammad sahaja. Harta-harta itu tidak boleh dijadikan harta pusaka. Jadi, apa yang ditinggalkan akan menjadi harta umat. Anak cucu nabi tidak mewarisi harta.
Maka, Nabi Sulaiman berkata “wahai manusia, kami diajarkan bahasa burung, dan dianugerahkan banyak perkara. Segala sesuatu diberikan kepada kami”. Daripada ayat ini, kita dapatkan bahawasanya Nabi Sulaiman memberitahu kepada orang ramai tentang nikmat yang dia dapat.
Point yang kita dapat daripada ayat ini adalah At-Tahadduth binni’mah iaitu tanda syukur yang mana Nabi Sulaiman as menceritakan/ menyampaikan kepada manusia tentang nikmat yang dia dapat. Maka, dia bagitahu, عُلِّمْنَا مَنطِقَ الطَّيْرِ “kami diajarkan” , maksudnya disini dia dan ayahnya, Nabi Daud dianugerahkan Allah ilmu untuk memahami bahasa burung. وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَيْءٍ
Bukan hanya setakat itu, perkara-perkara banyak yang lain kami diajar oleh Allah swt dengan mudah. Maka, di sini ada unsur At-Tahadduth binni’mah iaitu berkongsi/ bercerita tentang nikmat. Dan bagi kita orang melayu kadang-kadang jadi salah faham, dikata berlagak, menunjuk-nunjuk. Allah dalam surah Ad-dhuha ada menyebutkan, وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ Nikmat Tuhan kau cerita-ceritalah.
Jadi, menceritakan nikmat seperti saya kongsikan tadi. Mungkin kalau orang biasa kata nak menunjukkan dan berlagak pandai. Tidak, saya hanya ingin menzahirkan nikmat Allah swt. At-Tahadduth binni’mah ialah menceritakan sesuatu yang sesuatu yang pasti dapat, sudah perolehi dan ia bererti sesuatu yang sudah berlalu.
Jangan cerita benda yang tak dapat lagi. Setengah ulama’ kata sembunyikanlah perkara yang kamu usahakan dan kamu tak dapatkan lagi sebab ada orang yang hasad dengki. Ketika kita tak dapatkan lagi dia cuba macam-macam cara untuk menggagalkan kita. Kalau dah confirm dapat, kita boleh cerita.
Dan bila cerita nikmat ini, jangan lupa untuk menisbahkan/ menyandarkan nikmat kepada Allah, tunjukkan bahawa kita makin rendah, makin hina dihadapan Allah swt. Jangan bercerita dengan nikmat tersebut menunjukkan kehebatan diri, menambahkan kesombongan. Itu tak boleh.
At-Tahadduth binni’mah tujuannya adalah untuk bagi orang rasa bahawa segala yang dia dapatkan itu daripada Allah swt menunjukkan dia lemah dan Allah swt yang besar. Kalau Allah tak bagi, tak dapat. Yang kerap berlaku, orang cerita kehebatan lepas dan kemudian dia mendabik dada. Ini yang menjadi punca orang bengang. Oleh itu, jaga adab-adab At-Tahadduth binni’mah ini.
At-Tahadduth binni’mah adalah tanda syukur kita. Selain daripada kita menyedari nikmat itu daripada Allah swt dan mulut kita memuji-muji Allah, dan inilah antara cara memuji Allah dengan menyebut nikmat tersebut kemudian kita kaitkan dengan Allah swt.
Yang ketiga, kita cuba manfaatkan kurniaan Allah tersebut. Seperti saya, saya cari peluang untuk berkongsi ilmu untuk menzahirkan syukur, rasa berdosa tak mengajarkan ilmu yang saya dapat. Saya mengajar bukan untuk mendapatkan duit, saya mengajar untuk berkongsi ilmu dan di sana saya dapat kepuasan, saya rasa seronok.
Ia merupakan satu passion bagi saya sebab saya rasa syukur saya kepada Allah swt. Mudah-mudahan Allah menganggap ini sebagai ibadah dan amal soleh. Kita tak tahu berapa lama kita hidup dan hidup kita ini perlu diisi dengan kebaikan. Hidup kita perlu menanam, menyemai sesuatu. Mudah-mudahan ketika jumpa Allah nanti, kita tinggal mengautnya, manfaatkan sahaja.
Sampai situ sahaja dahulu perkongsian kita. Jumpa lagi esok kalau tidak ada halangan, kata akan sambung esok. Harini kita sempat bincangkan ayat 15&16. Nanti kita akan bincangkan ayat 17 dan selanjutnya. Yang baik ambillah daripada saya, dan yang lemah-lemah tersebut ketepikan. Yang baik dan benar daripada Allah swt, salah silap daripada diri saya sendiri. Daripada Allah saya memohon keampunannya; daripada kita semua, saya mohon kemaafannya. Saya tutup dengan tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr. Assalamualaikum
No comments:
Post a Comment