Nota Perkongsian 29.08.2020
Tadabbur Surah An-Naml Sesi 5 akan membahas surah An-Naml Ayat 7-11
Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman
Assalamualaikum
Puji syukur kita ke hadrat Allah swt atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia kepada kita semua, Alhamdulillah. Padi pagi yang berbahagia ini kita kembali bersama dalam majlis ilmu ini iaitu tadabbur Al-Quran. Mudah-mudahan Allah swt memberkati dan merahmati majlis kita ilmu kita ini dan menganugerahkan kepada kita ilmu yang bermanfaat. Amin. Kemudian, selawat dan salam kepada junjungan besar kita, Nabi Muhammad saw. Semoga kita menjadi di antara umatnya yang akan mendapatkan syafaatnya dan duduk bersama beliau di syurga firdaus kelak. Amin ya rabbal alamin.
Hari ini merupakan sesi yang kelima daripada tadabbur surah An-Naml ini. Pada pertemuan yang lepas kita sempat membincangkan dan mentafsirkan sampai ayat yang kelapan tapi saya akan kembali membincangkannya dan mentaddaburinya dengan lebih dalam lagi iaitu daripada ayat 7 sampailah ayat 11. Ini yang akan kita bincangkan pada hari ini, insyaaAllah. Mari kita lanjutkan perbincangan ini. Kita akan membacanya dari ayat 7 sampai ayat 11.
Bacaan :
إِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِأَهْلِهِۦٓ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا سَـَٔاتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ ءَاتِيكُم بِشِهَابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ
(Ingatlah) ketika Musa berkata kepada keluarganya: "Sesungguhnya aku melihat api. Aku kelak akan membawa kepadamu khabar daripadanya, atau aku membawa kepadamu suluh api supaya kamu dapat berdiang".(An Naml 27:7)
فَلَمَّا جَآءَهَا نُودِىَ أَنۢ بُورِكَ مَن فِى ٱلنَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلْعٰلَمِينَ
Maka tatkala dia tiba di (tempat) api itu, diserulah dia: "Bahwa telah diberkati orang-orang yang berada di dekat api itu, dan orang-orang yang berada di sekitarnya. Dan Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam".(An Naml 27:8)
يٰمُوسَىٰٓ إِنَّهُۥٓ أَنَا ٱللَّهُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
(Allah berfirman): "Hai Musa, sesungguhnya, Akulah Allah, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.(An Naml 27:9)
وَأَلْقِ عَصَاكَ ۚ فَلَمَّا رَءَاهَا تَهْتَزُّ كَأَنَّهَا جَآنٌّ وَلَّىٰ مُدْبِرًا وَلَمْ يُعَقِّبْ ۚ يٰمُوسَىٰ لَا تَخَفْ إِنِّى لَا يَخَافُ لَدَىَّ ٱلْمُرْسَلُونَ
dan lemparkanlah tongkatmu". Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya bergerak-gerak seperti dia seekor ular yang gesit, larilah ia berbalik ke belakang tanpa menoleh. "Hai Musa, janganlah kamu takut. Sesungguhnya orang yang dijadikan rasul, tidak takut di hadapan-Ku.(An Naml 27:10)
Saudara fillah yang dikasihi sekalian, pada pertemuan lepas kita menjelaskan bahawasanya nabi Musa as merasa rindu untuk kembali bertemu dengan ahli keluarganya di Mesir. Maka, apabila dah habis masa bekerjanya dengan Nabi Syuaib, maka Nabi Musa as meminta kepada Nabi Syuaib untuk menziarahi ahli keluarganya ayang ada di Mesir.
Maka, Nabi Musa as kembali ke Mesir melalui jalan yang dia tak tahu atau diriwayatkan bahawa dia tersesat dan waktu itu pada malam hari, sejuk. Maka, ketika itu Nabi Musa jalan dalam kegelapan malam dan kesejukan malam itu. Dia lihat ada semacam api daripada kejauhan.
Maka, Nabi Musa berpesan kepada keluarganya “Maka kamu tetaplah di sini, saya akan pergi melihat api tersebut. Mudah-mudahan di sana ada orang, kita dapat tahu jalan sesuai untuk kita kembali ke Mesir dengan selamat atau kalau tidak dapat berita tentang jalan, kita dapat api sikit untuk memanaskan badan.” Ini yang dikatakan Musa kepada ahli keluarganya.
Nabi Musa ketika itu dan sampainya dia kepada api tersebut lalu datangnya satu suara yang dia dengar yang mana suara tersebut berbunyi,
أَن بُورِكَ مَن فِي النَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Berkatilah orang yang ada dekat api tersebut dan ada di sekelilingnya dan maha suci Allah sekalian alam”.
Ayat ini mengingatkan kita tentang siapa yang ada dekat api tersebut ataupun boleh dikatakan kawasan itu kata ulama’ kawasan yang diberkati. Tanah yang berkat itu adalah tanah yang berada di kawasan Bukit Tursina, diberkatilah orang yang berada di sekelilignya dan tanah tempat tersebut oleh Allah swt.
Dan Allah swt mengingatkan pada hujung ayat tersebut bagaimana Nabi Musa as mendengar kalamullah yang ulama’ sepakat bahawasanya Nabi Musa mendengar langsung kalamullah itu dan kita mungkin tidak dapat membayangkan bagaimana caranya sehingga Allah swt mengingatkan kita jangan berfikiran macam-macam yang menunjukkan kelemahan Allah swt. Maka Allah kata وَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ (Maha Suci Allah yang mana Dia tuhan sekalian alam).
Yang ingin saya highlight pada hari ini adalah tentang tadabbur pada ayat 7 yang pernah kita tafsirkan sebelum ni yang mana Nabi Musa as apabila melihat api itu, apa yang terbayang/ terfikir bagi dia? Dia ingin mendapat khabar atau informasi tentang jalan yang dia akan tempuhi atau apa yang akan berlaku di dalam perjalanan nanti. Dan juga dia ingin mendapatkan api yang boleh memanaskan atau membantunya untuk menyuluh jalan sehingga dia tahu jalan yang dia tempuh tersebut.
Nabi Musa as pada waktu itu berharap agar dia dapat khabar dan petunjuk jalan yang bersifat duniawi tetapi Allah swt tidak hanya memberikan yang bersifat duniawi tetapi Allah beri anugerah khabar petunjuk jalan dunia Akhirat iaitu wahyu, wahyu yang membimbing dia untuk selamat sampai di Mesir dan juga selamat keluar daripada dunia ini.
Kadang-kadang kita berharap sesuatu yang bersifat duniawi tetapi Allah swt menginginkan kita sesuatu yang lebih besar lagi. Sesuatu yang besar itu adalah sesuatu yang bermanfaat kepada dunia dan Akhirat kita.
Perancangan Allah kita tak tahu, perancangan Allah yang terbaik selalunya. Rasulullah saw seperti dalam ceramah maghrib saya semalam, pernah menjelaskan kepada sahabat-sahabat nabi bahawa masing-masing ini ada tempatnya di syurga atau tempat kita ada di neraka. Jadi, sahabat-sahabt bertanya “Jika itu ketentuanNya, adakah kami boleh ikut pada takdir itu sahaja, tak perlu berusaha apa-apa”. Maka, Rasulullah saw bersabda, beramallah, jangan hanya bergantung pada takdir. Dari ‘Imran, ia berkata, aku berkata,
يَا رَسُولَ اللَّهِ، فِيمَا يَعْمَلُ الْعَامِلُونَ؟، قَالَ: كُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ
“Wahai Rasulullah, lantas untuk apa orang-orang yang beramal melakukan amalan mereka?” Beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Setiap orang akan dimudahkan (menuju jalan) penciptaannya.” (HR. Bukhari, no. 7551)
Maka, pada asasnya ialah apabila seseorang itu diciptakan untuk menjadi ahli syurga, Allah swt akan mudahkan laluannya untuk menjadi ahli syurga. Kalau dia diciptakan oleh Allah swt untuk menjadi ahli neraka. Maka, yang mudah dan senang bagi dia adalah benda-benda yang menderhakai Allah swt sehingga dia menjadi ahli neraka pada hari Akhirat nanti.
Jadi, kita perlu berusaha. Ketentuan itu berjalan secara smooth, lembut. Dia heret kita. Maka saya mendapatkan di antara sahabat-sahabat yang berhijrah, kembali ke pangkal jalan yang sebelumnya itu mereka bergelumang dosa tetapi dia selalu merasa bahawa dia perlu kembali kepada kebenaran, perlu melakukan ketaatan sehinggalah bertemu dengan orang-orang yang menunjukkan jalan kepadanya. Dan inilah kadang-kadang, kamu menginginkan dunia tetapi Allah menginginkan Akhirat.
Jadi, Nabi Musa as pada awalnya hanya inginkan keinginan duniawi, hanya ingin mendapatkan berita untuk sampai ke Mesir dengan selamat dan mendapatkan api yang boleh memanaskan badan mereka dan mungkin juga membantu mereka untuk menempuh jalan dengan lebih mudah.
Tapi Allah swt tidak hanya inginkan yang itu sahaja, Allah ingin Nabi Musa as mendapat wahyu yang merupakan khabar atau informasi yang lebih luas lagi, informasi dunia dan informasi Akhirat. Wahyu merupakan sesuatu yang bermanfaat untuk dunia kita, memberi kita ilmu dunia dan juga memberi kita ilmu Akhirat sebenarnya.
Bukan hanya bab Akhirat sahaja. Al-Quran juga merupakan sesuatu yang membantu kita faham dunia dengan lebih baik. Maka dahulu sahabat-sahabat mengingatkan, ajarkan Al-Quran itu kepada anak-anak kamu, kepada ahli keluarga itu sebabnya dalamnya ada ilmu tentang generasi yang pertama hinggalah generasi yang terakhir, ilmu tentang dunia, ilmu tentang Akhirat. Maka, jika dia dah ada Al-Quran dan Sunnah, maka semua dia pegang.
Jika hanya belajar ilmu dunia sahaja. Maka, ilmu dunia dia kuasai tetapi dia jahil tentang ilmu Akhirat. Ini menyebabkan dia belum seimbang lagi. Maka, dia perlu gabungkan dengan ilmu wahyu yang menyebabkan ia menjadi lebih teguh lagi kedudukannya. Perancangan Allah itu sangat cantik, maka bersyukurlah.
Tuan puan sekarang berkorban masa mendengar ilmu, ini menandakan Allah swt memudahkan tuan puan untuk menjadi ahli syurga. Saya selalu berbangga dengan orang yang rajin ke majlis ilmu sebab malaikat pun berbangga dengan orang yang rajin ke majlis ilmu. Mudah-mudahan tuan puan istiqamah dengan majlis ilmu ini sehingga tuan puan dikenali sebagai Nafsu Muthmainnah (jiwa yang tenang) dan doakan saya seperti itu juga, tak jauh dari majlis ilmu dan kalau boleh membantu orang-orang untuk menuntut ilmu dengan baik.
Kita nampak pada ayat 7 tersebut, Nabi Musa as hanya hendakkan api dan maklumat duniawi, maklumat perjalanan sahaja tetapi Allah nak bagi hidayah. Maka, sesiapa yang mendapat wahyu, mendapat Al-Quran, maka ia adalah satu nikmat yang besar.
Alhamdulillah Allah beri kelapangan atau kesempatan pada saya untuk belajar dari kecil dahulu, tak jauh daripada ilmu-ilmu Al-Quran, ilmu-ilmu sunnah ini. Salah satu cara saya bersyukur adalah saya berkongsi dengan tuan puan. Sekali lagi, saya berkongsi dengan tuan puan bukan bermakna saya pandai tetapi saya berkongsi kerana rasa syukur saya kepada Allah swt.
Kalau kita lihat, kenapa Allah swt menganugerahkan kepada Nabi Musa as anugerah yang bersifat duniawi dan ukhrawi tersebut? Dia berasal daripada niat murni Nabi Musa as untuk menghubungkan silaturrahimnya dengan keluarganya yang mana dia dah lama tak berjumpa. Dan niat murni tersebut akhirnya Allah swt menjadikannya buka hanya dapat yang bersifat duniawi tersebut sahaja tetapi dapat sesuatu yang bersifat ukhrawi.
Maka oleh itu, silaturrahim merupakan satu yang sangat besar. Maka, jagalah silaturrahim dan tetaplah menghubungkan. Maka, jika ada saudara mara yang jauh, cubalah mengenali dan ziarahi mereka, insyaaAllah perkara-perkara tersebut akan menjadi asbab kepada kebaikan sebagaimana Nabi Muhammad saw pernah bersabda, jiwa kamu ingin panjang umur dan dimudahkan rezeki, maka engkau hubungkanlah silaturrahim, jangan kau putuskan. Silaturahim ini sangat dahsyat peranannya pada manusia. Ia di antara asbab Allah angkatkan darjat kita di dunia dan di akhirat.
Dalam hal ini, kita boleh mengambil pengajaran mengenai tema surah An-Naml kita, membina peradaban unggul. Jadi, peradaban unggul bukan hanya menguasai informasi dan kehidupan duniawi. Kehebatan duniawi itu tidak akan sempurna kalau sekiranya tidak disekalikan dengan kita mengusai kehidupan ukhrawi.
Jangan kita mengabaikan ukhrawi, pendidikan anak-anak pun begitu. Nilai-nilai ukhrawi perlu kita tanamkan. Barulah terhasilnya peradaban yang seimbang. Peradaban yang unggul adalah peradaban yang seimbang. Jangan sampai peradaban dunia hebat tetapi suka bunuh diri, kehidupan huru-hara, porak peranda.
Seperti jepun mereka sangat maju tetapi setiap hari ada ada sahaja yang bunuh diri. Bahkan saya dengar ada satu pulau, satu kawasan yang memang kawasan untuk bunuh diri. Maka, setiap hari adalah yang mati. Mereka tidak kenal Allah, tak kenal nabi, tak kenal penciptaNya. Jadi, peradaban yang maju dan unggul secara seimbang adalah yang bukan hanya menguasai informasi kehidupan duniawi tetapi juga adalah menguasai kehidupan ukhrawi. Ini yang kita boleh ambil dalam tadabbur ayat ke 7.
Kita akan lanjutkan pada ayat ke 8. Jadi, pada ayat ke 8 kita boleh ambil tadabbur sebagai panduan hidup kita yang mana Allah swt mengisahkan tentang nabi Musa dekat dengan api tersebut. Keberkatan ini sangat penting dalam kehidupan manusia. Keberkatan itu akan membantu seseorang itu untuk bahagia.
Sesuatu yang besar, banyak tetapi tidak berkat, diri orang tersebut akan rasa penat zahir dan batin, fikiran bercelaru. Jadi, tak dapat kebahagian hakiki. Maka, keberkatan sangat penting pada rezeki, keluarga, kerjaya, setiap apa yang kita buat, kita perlukan keberkatan ini.
Bagaimana untuk mendapat keberkatan ini? Berusaha untuk taqarrub ilallah, berusaha mendekat diri dengan Allah. Macam mana nak dekat diri kepada Allah? Niatkan semua yang kita buat ini, aktiviti dunia ini apatah lagi bersifat Allah untuk Allah swt. Ketika kita kerja, niatkan untuk dekat kepada Allah. Bukan hanya nak meraih rezeki iaitu gaji yang kita dapatkan hujung bulan tetapi untuk sumbangkan apa yang Allah bagi kepada kita.
Kerja untuk Allah swt menyebabkan kita ikhlas, menyebabkan kita tidak kedekut, buat lebih daripada patut. Dan ketahuilah, jika tidak dapat balasan berbentuk duit, pangkat, jawatan, nanti kesannnya pada anak-anak kita, pasangan kita yang sihat, taat patuh, soleh, berbudi pekerti. Ini satu rezeki yang lebih hebat daripada rezeki fulus tadi.
Maka, nabi Musa as ketika melihat api tersebut, kita gambarkan ia sebagai hidayah Allah, kita dekat dengan ia. Ditunjukkan api kepada Musa, tapi mungkin saja kita ditunjukkan sesuatu amalan yang buat kita boleh dekat dengan Allah swt.
Tuan puan ditunjukkan untuk mengaji Al-Quran, untuk pergi majlis ilmu, berbakti kepada anak yatim. Dan jika tuan puan niat untuk mendekati Allah, maka ini mendatangkan keberkatan. Jadi, jangan lupa bahawasanya dekat dengan Allah adalah matlamat yang perlu kita usahakan sebab ia akan membawa kepada kebaikan yang memastikan kita bahagia dunia, Akhirat.
Bagaimana cara kita dekat kepada Allah? Pada ayat ke 9, Allah berfirman “Wahai Musa, sesungguhnya aku adalah Allah yang maha perkasa lagi maha bijaksana”. Di sini, Allah swt memanggil Musa dan kemudian memperkenalkan dirinya. Pada ayat ini, ada kelainan sikit, إِنَّهُ أَنَا اللَّهُ . kalau tuan puan buka Surah Taha ayat 14. Allah swt berkata إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ“Sesungguhnya aku ini adalah Allah”.
Ini mengisyaratkan kepada kita untuk dekat kepada Allah swt, kita perlu kenal Allah. Kenal Allah macam mana? Kenal yang menyebabkan kita merasa bahawa Dialah yang layak kita sembah.
Kalau tuan puan lihat di surah Taha, Allah sambung ayat tersebut dengan فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي “Sesungguhnya, Aku ini adalah Allah, tiada tuhan yang layak disembah. Maka, sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku”
Maka, kenal Allah kenal yang menyebabkan kita sembahNya dengan cara yang betul, kita memperhambakan diriNya dengan cara yang benar. Solat adalah salah satu proses untuk mengingat Allah swt. Jangan sampai solat kita hanya ritual yang tak ada satu prinsip yang mengingatkan Allah swt.
Ada ajaran sesat yang buang solat semua, hanya zikir sahaja. Ayat Al-Quran dengan tegas mengatakan sembah dan dirikan solat. Kenal yang betul ini akan buatkan kita tidak boleh bertolak ansur soal ibadah ini dan menyerahkan semua yang kita lakukan untuk Allah swt. Kena faham betul makna LailahaillAllah, Asmaul Allah. Hayati dengan baik. insyaaAllah akan melahirkan ketundukan kepada Allah.
Pada ayat ini Allah mengenalkan dirinya dengan nama Allah yang paling agung dan kemudian Dia memperkenalkan diriNya sebagai Al-’Aziz (yang maha perkasa). Kerana dengan memperkenalkan Maha perkasa tersebut menyebabkan Nabi Musa faham Dia boleh buat apa-apa pun juga, tak ada yang mustahil bagi Allah.
Dan kuasa Allah tersebut dipandu dengan Al-Hakim, kebijaksanaan. Kadang-kadang Dia tidak bagi pada kita. Dia mampu tapi Dia tidak bagi, di dalam ada hikmah. Jangan pandang dengan pandangan yang zahir sahaja. Maka, kerana Allah telah menentukan dengan kuasaNya, dengan kebijaksanaanNya dan disambung ayat tersebut dengan;Allah swt perintahkan kepada Nabi Musa untuk melemparkan tongkatnya.
Pada ayat lain surah Taha, sebelum suruh buang, Dia tanya dahulu, “Wahai Musa, itu apa di tangan kau, Musa?”. Nabi Musa ketika itu menjawab “Ini adalah tongkat saya, saya gunakan untuk menghalau kambing-kambing saya dan saya gunakan juga ada fungsi-fungsi yang lain. Saya bergantung pada tongkat saya ini”. Ini kata Nabi Musa seolah-olah ia mempunyai kegunaan dan manfaat yang besar kepada Nabi Musa as.
Tapi Allah swt berkata, وَأَلْقِ“Lemparkanlah tongkat itu”. Dan ketika Nabi Musa as membuang tongkat itu berubah menjadi ular dan ular itu bergerak dengan pantas. جَانٌّ ini bermakna ular, bergerak dengan pantasnya. Nabi Musa as pertama kali melihatnya takut وَلَّى مُدْبِراً وَلَمْ يُعَقِّبْ dan dia lari membelakangi tak menoleh langsung.
Dan Allah memanggil Musa لَا تَخَفْ إِنِّي لَا يَخَافُ لَدَيَّ الْمُرْسَلُونَ “Jangan takut, sesungguhnya rasul-rasul/ utusan-utasan aku yang lain tidak takut pada Aku”. إِلَّا مَن ظَلَمَKecuali yang berlaku zalim tapi sekiranya dia bertaubat فَإِنِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ “Sesungguhnya Aku ini maha pengampun lagi maha penyayang. Ini kata Allah pada Nabi Musa as. Ini yang terjadi pada Nabi Musa waktu menghadap Allah di Bukit Tursina pada pertama kali.
Dari segi tadabbur ayat ke 10 ini, kita lihat Nabi Musa awalnya amat bergantung pada tongkatnya. Untuk dekat dengan Allah yang mana caranya untuk kenal Allah melalui Asmaul Husna, penjelasan Allah dalam Al-Quran dan Sunnah, daripada alam.
Selain daripada kenal Allah, membuang tongkat maknanya membuang kebergantungan dengan selain Allah walaupun secara zahir bermanfaat tetapi dalam hati kena jadikan Allah tempat pergantungan, Allah yang boleh beri manfaat satu-satunya. Allah dahulu. Ketepikan yang lain. Di mana kita perlu tanamkan? Dalam hati kita. Dia yang menghidupkan, dan mematikan.
Dia yang mengangkat seseorang menjadikan seseorang mulia. Dia yang beri rezeki dan mengambil rezeki tersebut. Dan dia membukakan, segalanya berbalik pada Dia. Kalau semuanya daripada Allah, kenapa kita perlu bergantung kepada yang lain?
Orang beriman hanya bergantung kepada Allah swt sebab dia tahu segalanya dari Allah swt. Jadikan pergantungan hanya pada Allah swt walaupun pada zahirnya ia adalah asbabnya.
Jadi, ketika kenal Allah swt, kita tahu Allah lah tempat kita tempat bergantungharap. Saya rasa setakat itu dahulu, perbincangan kita tentang ayat ke 10 An-Naml ini akan kita sambung esok. InsyaaAllah esok kita akan sambung ayat 10 esok hari. Kita tutup dengan Tasbih Kaffarah dan Surah Al-’Asr. Jumpa lagi pada pertemuan akan datang. Assalamualaikum wrbt.
No comments:
Post a Comment