Friday, 28 August 2020

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 4 AYAT 6-9 : 23 Aug 2020M

 Nota Perkongsian 23.08.2020

Tadabbur Surah An-Naml Sesi 4 akan membahas surah An-Naml Ayat 6-9

Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 

Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Assalamualaikum wrbt

Bersyukur kita ke hadrat Allah swt atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia kepada kita semua, Alhamdulillah. Pada pagi yang berbahagia ini kita kembali bersama-sama dalam majlis ilmu kita tadabbur Al-Quran yang mana kita akan fokus membincangkan iaitu surah An-Naml yang mana surah An-Naml kita sudah sampai pertemuan yang keempat hari ini. insyaaAllah hari ini kita akan sambung tadabbur surah An-Naml yang mana kita berhenti pada ayat kelima semalam yang mana kita akan sambung hari ini ayat yang keenam dan kita akan baca sampai ayat yang kesembilan.

Bacaan:

وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى ٱلْقُرْءَانَ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ عَلِيمٍ

Dan sesungguhnya kamu benar-benar diberi Al Quran dari sisi (Allah) Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.(An Naml 27:6)

إِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِأَهْلِهِۦٓ إِنِّىٓ ءَانَسْتُ نَارًا سَـَٔاتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ أَوْ ءَاتِيكُم بِشِهَابٍ قَبَسٍ لَّعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ

(Ingatlah) ketika Musa berkata kepada keluarganya: "Sesungguhnya aku melihat api. Aku kelak akan membawa kepadamu khabar daripadanya, atau aku membawa kepadamu suluh api supaya kamu dapat berdiang".(An Naml 27:7)

فَلَمَّا جَآءَهَا نُودِىَ أَنۢ بُورِكَ مَن فِى ٱلنَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا وَسُبْحٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلْعٰلَمِينَ

Maka tatkala dia tiba di (tempat) api itu, diserulah dia: "Bahwa telah diberkati orang-orang yang berada di dekat api itu, dan orang-orang yang berada di sekitarnya. Dan Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam".(An Naml 27:8)

يٰمُوسَىٰٓ إِنَّهُۥٓ أَنَا ٱللَّهُ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

(Allah berfirman): "Hai Musa, sesungguhnya, Akulah Allah, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana(An Naml 27:9)

Pada pertemuan lepas kita telah membincangkan bahawasanya peradaban Islam adalah peradaban unggul, peradaban berdasarkan wahyu illahi dan pelaksana dari peradaban tersebut adalah orang-orang yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia serta membalut semua hubungan itu dengan keyakinan kepada hari Akhirat. Inilah yang dikatakan oleh Allah pada ayat yang ketiga;Mereka mendirikan solat, mereka menunaikan zakat dan dengan akhirat mereka amat meyakininya. 

Dan sebaliknya peradaban akan hancur binasa apabila berada di tangan orang-orang yang tidak beriman dengan Akhirat. Iman dengan Akhirat sangat penting untuk mengikat setiap kegiatan ataupun aktiviti kehidupan duniawi kita agar dia memberi manfaat ukharawi nanti. 

Dalam Islam, kita berkeyakinan bahawasanya ini hanyalah tempat persinggahan kita sahaja dan kita ada Akhirat yang merupakan destinasi utama kita dan kita akan hidup lama di sana. Bahkan, bukan lama sahaja tetapi akan kekal abadi. 

Di sanalah kehidupan yang sebenarnya. Orang yang tidak beriman dengan Akhirat inilah yang akan memandang kejahatan/ keburukan yang mereka lakukan itu sebagai satu kebaikan. Mereka tidak sedar bahawa itu adalah perkara yang merosakkan, perkara yang membinasakan.  

Ini yang seperti disebutkan oleh oleh dalam surah Al-Baqarah, Apabila dikatakan kepada mereka, “janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi”. Apa jawapan mereka? “Tidak, kami tidak melakukan kerosakan, kami justeru yang melakukan kebaikan/ melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk dunia ini”. 

Ini pandangan mereka. Ini adalah tipu daya yang mereka tak sedar bahawa perbuatan buruk mereka itu tidak mereka lihat sebagai satu keburukan. Selanjutnya, kerana mereka tidak menyedari mereka melakukan keburukan/kejahatan, maka mereka berleluasa dalam kezaliman, berleluasa dalam kesesatan, dalam dosa yang mereka tidak keluar daripada lingkaran dosa dan maksiat sebab mereka tidak lihat perbuatan mereka itu sebagai perbuatan buruk. 

Maka, orang beriman dan bertaqwa justeru terbalik. Di antara yang mereka rasakan apabila mereka melakukan kesalahan adalah Allah tunjukkan kesalahan mereka itu, Allah nampakkan bahawa itu adalah salah sehingga apa ذَكَرُواْ اللّهَ فَاسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ (Imran:135), mereka Allah swt lalu mereka memohon agar Allah ampunkan dosa-dosanya. 

Jadi, orang beriman tahu itu adalah perbuatan salah, perbuatan maksiat lalu dia cepat-cepat bertaubat kepada Allah swt. Sedangkan orang yang membuat kerosakan ini, mereka tidak sedar dengan perbuatan kerosakan mereka itu sehingga tidak berhenti melakukan kerosakan dan maksiat yang mereka lakukan. 

Mereka tidak ada keinginan untuk bertaubat sebab mereka tidak merasa bersalah. Perasaan tidak merasa bersalah merupakan punca kepada kejahatan/ keburukan yang berterusan. Jadi, tanda Allah sayang kita adalah apabila Dia ingatkan kita bahawa kesalahan itu adalah kesalahan, bahawa dosa itu adalah dosa lalu kita cepat-cepat bertaubat pada Allah swt.  

Sedangkan orang-orang yang tidak beriman, mereka tidak menyedari itu, tak perasan bahawa itu adalah kesalahan. Apabila hilang iman kepada Akhirat ini, inilah mukmin tanpa sedar mereka melakukan kesalahan. Maka Rasulullah saw ada berpesan bahawasanya;

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Maksudnya: “Tidaklah seorang pengzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman.” [Riwayat al-Bukhari (5578) dan Muslim (100)]

Iman yang betul ketika mana nak melakukan dosa, dia teringat cepat lalu dia tarik diri. Orang yang imannya lemah, ketika melakukan dosa, dia teruskan sahaja, dia tidak mampu untuk menahan dirinya. 

Maka, siapa yang mampu menahan dirinya dari maksiat dan dosa tanda ada iman. Orang yang tidak mampu menahan diri dariapda maksiat dan dosa, maknanya imannya tercabut. Oleh itu, penting untuk kita mengikat setiap aktiviti dan amalan dunia kita dengan ukhrawi. 

Kenapa Allah swt titikberatkan tentang Akhirat? Kerana keyakinan terhadap Akhirat ini hilang pada orang Quraisy semasa itu. Orang Quraisy zaman Rasulullah dahulu menganggap dunia inilah kehidupan, selepas itu tiada lagi kehidupan. Maka, Allah swt menitikberatkan keimanan kepada Akhirat ini. Dan apabila tiada iman kepada Akhirat menjadi punca seksa. Kata Allah pada ayat kelima;

Mereka akan mendapat azab, di dunia dan Akhirat. Secara zahir mungkin harta mereka melimpah ruah, kekayaan mereka banyak tetapi mereka terseksa.

سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.” Surah al-Qalam (44)

Istidraj ini adalah seksaan tersebut perlahan-perlahan. Slow but sure, sedikit tapi pasti. Dia tanpa sedar azab tersebut dan membinasakannya. Dan mereka juga di Akhirat nanti akan masuk dalam golongan yang paling merugi. Orang yang paling merugi ini adalah mereka yang tidak ada dalam fikiran mereka adanya Akhirat. 

Kita itu jelaslah mereka akan menyesal. Perkara akhirat adalah perkara yang akan datang berlaku yang mana dia boleh saja berlaku dan boleh saja tidak berlaku. Tapi Allah swt meyakinkan kita bahawa ia pasti terjadi. Jadi, tidak rugi pun kalau kita percaya. Rugi kita kalau kita tak percaya. 

Kalau nanti apa yang dikatakan Allah itu benar, kita tak percaya dan kita tidak mengambil persiapan untuk menghadapi tentulah kita akan menyesal. 

Contohnya, cikgu memberitahu bahawa akan ada peperiksaan pada minggu hadapan. Ada sebahagian percaya dan ada sebahagian tidak percaya. Jadi, mereka yang percaya akan membuatkan persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut. Maka, bilamana terjadinya peperiksaan tersebut yang bersiap ini berseronok manakala yang tidak mempercayai hanya mampu menyesal. 

Iman pada Akhirat ini menjadikan kita manusia yang berguna, manusia yang menghindarkan dosa. insyaaAllah orang yang mempunyai keyakinan kepada Akhirat ini tidak akan membuat kerosakan terhadap orang lain. Oleh itu, yakinlah bahawa ada Akhirat. Diulang “هم” dua kali menunjukkan mereka benar-benar yakin akan adanya hari Akhirat. 

Allah swt menegaskan, Kalau dalam bahasa Arab, di sini ada dua penegasan iaitu huruf  أِنَّ dan ل taukid. Contohnya,  إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ. Manusia itu benar-benar dalam kerugian. Jadi, Allah swt menegaskan, وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى الْقُرْآنَ. Dalam bahasa Arab ada namanya ilmu Balaghah juga; ilmu yang menjelaskan tentang rahsia susunan ayat-ayat Arab.

Di antaranya, apabila jumpa huruf taukid banyak dalam ayat tersebut menunjukkan ayat ini ditujukan kepada orang yang ingkar, orang yang menentang. Orang yang percaya tak perlu bersumpah-sumpah, tak perlu taukid. Waktu ayat ini diturunkan ia ditujukan kepada orang kafir.

 Mereka tidak percaya bahawa Al-Quran ini daripada Allah swt, ada yang mengatakan bahawa Al-Quran ini daripada penyair, tukang sihir, syaitan. Jadi, Allah swt membantah dakwaan mereka dengan وَإِنَّكَ لَتُلَقَّى الْقُرْآنَ wahai Muhammad, sesungguhnya Engkau benar-benar mendapatkan Al-Quran itu daripada Allah yang maha bijaksana lagi maha mengetahui.

Satu, memberikan keyakinan kepada nabi Muhammad saw dan dalam masa yang sama membantah dakwaan kafir Quraisy. Nak menunjukkan peradaban unggul itu daripada yakinnya kepada Al-Quran itu dan datangnya Al-Quran itu daripada Allah swt. 

Maka, dalam surah Al-Baqarah yang merupakan surah kedua selepas Al-Fatihah dari segi susunannya, Allah mengatakan ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ kitab ini iaitu Al-Quran tiada keraguan padanya. Maknanya, dalamnya ialah yakin, sesuatu yang pasti, sesuatu yang benar.  

Dan Allah yang menurunkan Al-Quran itu hakim, yang maha bijaksana. Maha bijaksana maknanya Dia tahu orang yang paling layak menerima Al-Quran itu nabi Muhammad saw sebab dia adalah manusia terbaik pada waktu itu, manusia yang boleh diteladani dari dulu sampailah sekarang. Sampai akhir zaman dia tetap “the best person”, khairul bariyyah (sebaik-baik manusia). 

Kemudian, bijaksana Allah Allah turunkan Al-Quran pada zaman Rasulullah saw, pada zaman orang Quraisy hilang keyakinan dengan agama. Mereka mereka-reka agama mereka sendiri sesuai dengan hawa nafsu mereka. Maka, Allah swt turunkan Al-Quran kepada mereka. Dan semua itu atas landasan kebijaksanaan yang jelas daripada Allah swt. 

Kemudian, atas asas ilmunya yang pasti, yang jelas dengan semua yang telah ditetapkan dalam Al-Quran dan dengan apa yang akan diselesaikan dengan Al-Quran dalam kehidupan manusia. Allah swt menegaskan bahawa Al-Quran yang diperoleh oleh Rasulullah saw yang disampaikan kepada umat manusia, مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ عَلِيمٍ ia berasal dari Allah yang maha bijaksana lagi maha mengetahui. 

Maka Allah swt menyambung kisah tersebut dengan kisah nabi Musa memperoleh wahyu seolah-olah Allah swt menunjukkan kepada nabi Muhammad saw, “wahyu yang kau dapat ni Muhammad , bukan kau seorang sahaja yang dapat. Wahyu yang dapat ini sebenarnya sudah pernah diberi kepada nabi Musa. Bukan Musa sahaja, bahkan nabi-nabi sebelum kamu pun pernah mendapat wahyu”. 

Jadi, ini yang Allah ingin datangkan kisah nabi musa. Kisah nabi Musa tidak bermula dengan kisah awal kelahirannya tetapi terus dengan kisah bagaimana dia memperoleh wahyu yang mana Allah swt berfirman, Ingatlah, ketika Musa berkata kepada keluarganya “Sungguh aku melihat api, aku akan membawa khabar tentang itu kepada kamu atau aku akan membawa suluh api kepada kamu agar kamu dapat menghangatkan badan dengan api tersebut”. Ini merupakan cerita pertengahan tentang nabi Musa.

 Kalau tuan puan lihat, cerita nabi Musa ini di antara cerita nabi yang paling lengkap, dari lahir sampai hari penghujungnya tetapi cerita tentang nabi Musa meninggal tidak dirakamkan di dalam Al-Quran dan cerita nabi Musa ini adalah cerita yang paling banyak kita jumpa dalam Al-Quran. 

Kadang-kadang saya tertanya juga, kenapa cerita nabi Musa ini banyak kita jumpa dalam Al-Quran. Satu yang saya nampak, mengingatkankan nabi Muhammad saw apa yang dihadapi oleh nabi Muhammad saw tak seberapa dengan apa yang dihadapi dengan Musa. Nabi Musa ketika dia lahir, dihantui oleh pembunuhan. Nabi saw ketika lahir, tidaklah sampai seperti itu; ketika dia lahir ada lagi orang nak menyambutnya. 

Bahkan Abu Lahab bapa saudaranyanya yang kemudiannya menjadi musuhnya, masa nabi Muhammad lahir, dia gembira. Dia yang mengakikahkan, dia yang menyuruh Thuwaibah, pembantunya untuk menolong Aminah, ibunda Rasulullah saw. 

Jadi, berbeza dengan Musa. Musa ketika dia lahir, ibunya penuh dengan ketakutan, kerisauan tentangnya sehingga dia dihanyutkan. Nabi Muhammad saw tak sampai ke tahap itu. Nabi Muhammad cuma lahir dalam keadaan yatim. Kata Allah dalam surah Dhuha; “Wahai Muhammad, jangan kau herdik anak-anak yatim, jangan kau caci maki dia” Sebab apa? Sebab dulu kau pernah jadi yatim. 

Jadi, Rasulullah saw mempunyai simpati yang tinggi terhadap anak yatim sebab dia dulu adalah anak yatim juga. Saya secara peribadi, ayah saya meninggal ketika saya berumur 10 tahun. Jadi, kepada anak yatim ni kita ada perasaan lain sikit, cerita anak yatim kita cepat untuk beraksi. Tak sedap melihat anak yatim tiada rumah, kita bangunkan rumah. Apabila dengar anak yatim takda makan, cepat kita bantu sebab kita pernah mengalami seperti itu juga. 

Nabi Muhammad saw menjalani kehidupan yang lebih senang sebenarnya berbanding Musa. Musa hidup dengan musuh dia yang kemudiannya iaitu hidup dengan Firaun. Nabi Muhammad Alhamdulillah hidup dengan maknya, dengan Halimatus Sa’diah (pembantu yang menyusukannya), kemudian dibalikkan kepada ibunya semula, kemudian dijaga oleh atuknya yang sayang kepadanya, dan dijaga pula oleh bapa saudaranya, Abi Talib sehinggalah menjadi besar berkahwin dan mereka itu sayang kepada Nabi Muhammad saw. 

Jadi, berbeza dengan Nabi Musa as. Nabi Musa as dijaga oleh Firaun. Kalau Firaun tahu Nabi Musa as adalah anak bani Israel, dia cuba untuk halau atau binasakan Nabi Musa as. Dan dalam kisah bahawasanya firaun tidak percaya dengan isterinya, Asiah bahawa Musa ini tidak reti apa-apa, dia tidak akan datangkan mudharat apa-apa. 

Maka, dia cuba masukkan bara api ke mulut Nabi Musa as semasa kecil sehingga Nabi Musa as ketika itu menelan bara api tersebut. Itu yang menyebabkan Nabi Musa tidak lancar bercakap, gagap dalam bercakap. 

Nabi Muhammad hidup dalam sekeliling yang sayangkan dia. Bahkan sampai dia besar, orang percayakan dia dan dia digelar dengan Al-Amin, orang yang diberi kedudukan mulia di tengah masyrakat meraka. Berbeza. Jadi, Rasulullah saw mungkin merasa dia tidak beruntung, hidup susah. Maka, Allah swt mendatangkan kisah Nabi Musa as dalam Al-Quran banyak supaya Nabi Muhammad saw bercermin bahawa engkau bukanlah orang yang paling susah, ada orang yang lagi susah. 

Pengajarannya seperti apa yang Rasulullah pernah bersabda, untuk kamu merasa syukur, kamu lihatlah orang yang lebih rendah, lebih di bawah. Dengan itu, kamu akan berasa lega, bahawa kamu bukanlah orang yang paling teruk. Ada orang yang lebih parah lagi, mendatangkan perasaan ini sangat penting. Maka, Rasulullah saw didatangkan dengan kisah Nabi Musa as. 

Di antaranya kisah yang ada dalam surah An-Naml ini, Allah swt menceritakan awal nabi Musa memperoleh wahyu yang mana permulaannya Nabi Musa as juga tak menyangka bahawa dia akan dapat wahyu. Nabi Muhammad saw pun tak menyangka dia akan dapat wahyu. Ketika dia bertahanus (mengasingkan diri) di Gua Hira’, maka datang Jibril tiba-tiba. 

Nabi Musa as juga begitu, dia dapat wahyu ketika dia nak balik ke Mesir. Ketika dia dengan Firaun, membunuh orang Qibti lalu melarikan diri ke Madyan, kemudian duduk di rumah Nabi Syuaib dan berkahwin dengan anaknya dan bekerja sebagai ganti kepada maharnya selama 8 tahun atau 10 tahun, pada waktu itu Nabi Musa belum lagi seorang nabi. 

Dia baru seorang manusia biasa yang memperoleh firasat dan pertolongan Allah swt dan Nabi Musa baru dilantik menjadi nabi pada masa inilah yang mana ketika Nabi Musa tinggal bersama Nabi Syuaib as dan rindu nak balik ke Mesir semula, rindu melihat mak ayah, adik beradiknya. 

Maka ketika itu, Nabi Musa minta izin Nabi Syuaib as untuk kembali ke Mesir. Tujuan asalnya cuma untuk berjumpa dengan ahli keluarganya. Maka, mereka merancanglah untuk balik ke Mesir kerana ketika itu Nabi Musa as masih lagi dihantui dengan perasaan bahawasanya Firaun pasti mencari dia, pasti akan mengejarnya. Maka, Nabi Musa as merancang untuk pulang ke Mesir pada waktu malam, waktu orang tak tahu. Dalam masa yang sama, pada masa itu adalah musim sejuk. Kemudian, dia lalu ke jalan yang orang tak biasa lalu. Sebab dia takut kalau dia lalu jalan yang orang awam lalu, orang kenal dia. Ini menyebabkan mereka tersesat. Maka diceritakan disini (Surah An-Naml ini), 

“Musa berkata dengan keluarganya” maknya Musa di sini balik (ke Mesir) dengan keluarganya, bukan balik sendiri, ada isterinya, ada anaknya kalau tak silap dia bawa sekali kambing-kambingnya yang akan digunakan semasa dalam perjalanannya. إِنِّي آنَسْتُ Ini kata ulama’ masa malam “Aku melihat api”, سَآتِيكُم مِّنْهَا بِخَبَرٍ“Nanti aku nampak api, mudah-mudahan aku akan pergi ke tempat tersebut, aku dapat mengetahui berita (jalan betul atau tidak)” sebab mereka dah mula tersesat. Ini yang ingin dipastikan oleh Nabi Musa as. أَوْ آتِيكُم بِشِهَابٍ قَبَسٍ  “Kalau pun tak dapat berita, mungkin aku dapat api, aku mintak pada mereka api dan dengan api tersebut  لَّعَلَّكُمْ تَصْطَلُونَ boleh kita panaskan badan kita sebab musim sejuk, malam hari. 

Maka, Nabi Musa as melihat api dan dia berharap agar api tersebut dia boleh dapat ataupun bertanya pada orang yang ada di tempat api tersebut mengenai laluan yang mereka lalui ataupun berita yang mereka ketahui tentang kerajaan Firaun. 

Nabi Musa as melihat sayup-sayup dari jauh. Kata ulama’ tempat Nabi Musa as melihat api itu ialah di Bukit Tursina, bukit yang terletak antara Palestin dan Mesir, dekat Sinai. Maka, Nabi Musa as ketika itu lari dari Mesir ke Madyan, Madyan itu terletak di kawasan Jordan, Syria sekarang, kalau tak silap saya. Dia tak tahu bahawasanya di tempat api itu dia akan mendapatkan sesuatu yang lain daripada apa yang dia harapkan. Bahkan, lebih hebat dari apa yang dia harapkan. 

Dan ketika sampai ke tempat api tersebut, ternyata ia bukan api betul-betul. Ternyata yang dia nampak itu adalah cahaya yang ada pada satu pokok yang ada di Bukit Tursina tersebut. Cahaya itu kata ulama’, cahaya Illahi yang mana Allah swt menempatkan cahayanya pada pokok tersebut. 

Ketika dia mendapatkan cahaya tersebut, ada cahaya yang suara yang memanggilnya iaitu,  نُودِيَ أَن بُورِكَ مَن فِي النَّارِ وَمَنْ حَوْلَهَا “diberkatilah orang-orang yang berada di dekat api dan orang-orang yang berada di sekitarnya”. Dalam hal ini, saya suka untuk saya membacakan pada tuan puan tafsiran berdasarkan kitab tafsir sebab ayat ini di antara ayat yang mungkin boleh orang keliru mengenai perkara tersebut. Saya suka memetik kata Ar-Razi ini kerana tafsir Ar-Razi ini lebih lengkap perbincangannya antaranya menjelaskan rahsia-rahsia ayat dan kenapa Allah swt menurunkan ayat ini. 

Dari segi riwayat-riwayat, saya suka merujuk Tafsir Ibu Kathir tapi untuk memahami rahsia-rahsia ayat anatara tafsir yang baik untuk kita rujuk. Ada satu lagi tafsir, tafsir Ibnu ‘Asyur, At-Tahrir wa Tanwir. 

Kata Imam Ar-Razi ketika menafsirkan ayat ini, dalam ayat ini ada perbincangan. Pertama adalah نُودِيَ أَن بُورِكَ dia diseru dan dia kata ia merupakan penjelasan bagi panggilan yang ada dihadapannya tersebut. Dipanggil Musa dengan “wahai Musa, semoga engkau diberkati”. dan yang kedua, مَن فِي النَّارِ di ayat tersebut ada mengatakan orang yang ada dekat api. Apa yang dimaksudkan dengan orang-orang yang berada dekat api dan orang-orang yang berada di sekitarnya? 

Di sini, ulama’ tafsir iaitu Imam Ar-Razi, pertamanya, النَّارِ tersebut bukanlah bermaksud api tapi cahaya. Yang dimaksudkan dengan orang yang berada dekat api itu ia adalah Allah, ini menurut satu pendapat. وَمَنْ حَوْلَهَا Dan orang yang berada disekitarnya maksudnya Malaikat. Jadi maksudnya, mahasucilah/ diberkatilah Allah swt dan malaikat yang berada disekelilingnya. Ini riwayat darpada Ibnu Abbas. Akan tetapi kata Ar-Razi, kami pastikan riwayat ini adalah riwayat yang maudhu’, dia bukan benar. 

Dan pendapat kedua, orang yang berada di tempat api tersebut adalah cahaya Allah dan yang berada di sekitar api tersebut adalah malaikat dan itu merupakan pendapat Al-Qatadah dan Al-Zujaj. 

Dan pendapat ketiga mengatakan, Allah swt memanggil Nabi Musa as dengan kata-kata yang dia dengar daripada pokok yang ada di dataran suci iaitu yang berada di tanah Tur tersebut. Maka, Allah swt memanggil dia melalui pokok tersebut tapi bukan bermakna Allah berada di tempat pokok tersebut. Yang bercakap bukan pokok tetapi Allah swt. Dan orang yang berada di sekitar itu adalah para malaikat. Maka, inilah pendapat Al-Juba’ie. 

Dan pendapat yang keempat adalah diberkati orang yang berada dekat pokok, bukan Allah, bukan pokok tetapi yang dimaksudkan pada pendapat keempat adalah Nabi Musa as sendiri dan yang sekelilingnya malaikat. Dan ini yang lebih dekat menurut Imam Ar-Razi. 

Dan Allah swt pada ayat tersebut menyucikan dirinya, وَسُبْحَانَ اللَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ nak mengingatkan kita jangan kita membayangkan Allah macam makhluk. Mungkin ketika baca ayat ini, kita terfikir bahawa Allah bertempat di pokok. Tetapi Allah ingatkan Allah maha suci daripada bayangan-bayangan, fikiran-fikiran yang wujud pada diri kita yang biasanya berlandaskan pada bentuk makhluk. 

Yang penting, Nabi Musa as mendapat wahyu, mendengar kata-kata daripada Allah swt. Bagaimana bentuknya, kita perlu kembalikannya kepada Allah swt, Allah swt sahaja tahu bagaimana pokok itu boleh bercakap lalu Nabi Musa as mendengar. 

Sebenarnya dalam ayat ini, ada beberapa perkara yang perlu kita jadikan bahan tadabbur terutama dalam perbincangan kita dalam membina peradaban unggul berdasarkan pada panduan illahi tapi insyaaAllah kita akan tunda perbincangan tersebut pada pertemuan akan datang iaitu sabtu akan datang kalau tiada hal dan juga hari ahad, pukul 8 sehingga 9 pagi. Demikian sahaja, kita tutup dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr. Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment