Tuesday, 22 September 2020

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 11 AYAT 18-19 : 19 Sept

Nota Perkongsian 19.09.2020

Tadabbur Surah An-Naml Sesi 11 ini akan membincangkan ayat 18-19. Ayat-ayat ini menjelaskan tentang kelebihan yang Allah anugerahkan kepada Nabi Sulaiman. 

Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Assalamualaikum Bersyukur kita ke hadrat Allah swt atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia kepada kepada kita semua. Alhamdulillah, pada pagi yang berbahagia ini kita kembali bersama-sama dalam majlis ilmu kita tadabbur Al-Quran. Mudah-mudahan Allah swt memberkati dan merahmati majlis kita ini dan menganugerahkan kepada kita ilmu yang bermanfaat. Aaminn Ya Rabb. Tak lupa juga kita menyampaikan selawat dan salam kita kepada Baginda Rasulullah saw, mudah-mudahan kita dapat menunaikan ajaran beliau dan melaksanakan sunnah-sunnah yang beliau tinggalkan kepada kita.

InsyaaAllah hari ini kita akan sambung perbincangan kita tentang Surah An-Naml tapi kita fokus hari ini tentang kelebihan, keutamaan serta kelebihan yang boleh kita ambil daripada An-Naml. An-naml bermakna semut, ia merupakan makhluk Allah swt dan Allah swt tak pernah mensia-siakan, menciptakan sesuatu tanpa tujuan. Dalam penciptaan Allah swt terkandung pelajaran dan pengajaran bagi golongan yang dinamakan oleh Allah dalam al-Quran sebagai Ulil Absor ataupun Ulul Albab. Maka, mereka ini mengambil iktibar dan pengajaran daripada makhluk-makhlukNya ini termasuklah An-naml ini ataupun semut. 

Dan kita pada perbincangan An-Nahl kita, kita membincangkan An-Nahl (lebih) banyak perumpamaannya dan Rasulullah saw mengatakan bahawasanya perumpamaan mukmin itu seperti lebah. Maka kita telahpun membincangkan dengan detail pada pertemuan-pertemuan yang lepas tentang kelebihan lebah ini. Hari ini kita akan membincangkan tentang kelebihan lebah yang mana disebutkan pada Surah An-Naml kita ini pada ayat ke 18 dan 19. Sebelum itu, mari kita baca terlebih dahulu ayat-ayat ini;

Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,

حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِي النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوامَسَاكِنَكُمْ 

لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Hingga ketika mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut “Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan bala tenteranya” sedangkan mereka tidak menyedari. (An Naml 27:18)

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكاً مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ

 وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحاً تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

 Maka dia tersenyum dengan tertawa karena (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap bersyukur terhadap nikmat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan kebajikan yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu, dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh"(An Naml 27:19)

Maha Benar Allah keatas firman-firmannya. 

Maka, tema yang kita angkat daripada tadabbur kita ini membina peradaban yang unggul berdasarkan wahyu illahi. Kita bincang sebelum ini bagaimana Allah swt membawa kita kepada cerita Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang merupakan dua orang nabi yang pernah membina peradaban Islam. Islam bukan bermula dengan zaman Nabi Muhammad saw tetapi Islam itu sudahpun bermula daripada bermulanya manusianya pertama iaitu Nabi Adam sampailah kepada zaman kita. Ia bukan agama baru tetapi agama yang lama selama mana wujud manusia ini. Tak pernah Allah tidak mengutus seorang Nabi dan Rasul yang mengarahkan mereka kepada ketuhanan, kepada agama Islam ini. 

Mungkin orang Yahudi mendakwa bahasanya peradaban yang dibina oleh Nabi Daud dan Nabi Sulaiman merupakan peradaban Yahudi, itu salah. Sebab Nabi Daud dan Nabi Sulaiman tidak pernah mendakwa mereka Yahudi. Yahudi itu adalah agama buatan. Agama betul adalah agama Islam yang mereka semua adalah agama Islam dahulunya. Cuma nanti pengikut-pengikutnya sahajalah yang akan menisbahkan pada golongan mereka tertentu. Berdasarkan sebahagian ulama’, Yahudi berasal daripada Yahuza yang merupakan anak Nabi Yaakub paling besar, paling berkuasa, yang mempunyai keturunan yang paling ramai. Ada yang mengatakan Yahudi berasal daripada Hada, Yuhadu iaitu yang kembali. Ada beberapa pendapat.

Sebenarnya Nabi Isa adalah Muslim, yang bermakna orang yang berserah diri kepada Allah swt tapi kemudian pengikut-pengikutnya menamakan sebagai Nasrani ataupun Kristian. Itu adalah penisbahan yang datang kemudian. Nabi dan Rasul itu adalah semuanya Muslim dan kita berkeyakinan bahawa mereka adalah sama. 

  لاَ نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ (Al-Baqarah 2:285)

Kita tidak membeza-bezakan mereka. Kesemua mereka adalah orang-orang mulia yang kita hargai. Oleh itu, peradaban Nabi Daud dan Nabi Sulaiman peradaban yang tinggi, peradaban yang dibina di atas keadilan, dibina di atas wahyu yang diperintahkan oleh Allah untuk ditegakkan di muka bumi ini. Maka, Nabi Sulaiman berjaya. Kita dah bincang dahulu tentang bahagaimana peradaban yang dibina oleh Nabi Sulaiman ini. 

Hari ini kita akan membincangkan tentang kelebihan daripada An-naml yang disebutkan dalam kisah Nabi Sulaiman ini yang mana Nabi Sulaiman ketika bersama bala tenteranya melalui satu kawasan yang dinamakan sebagai Wadi Naml (Lembah Semut) yang menunjukkan komuniti yang duduk di sana adalah semut. Jadi, kita kata sebelum ini, semut ini adalah di antara contoh-contoh peradaban juga sebenarnya yang mana apabila semut sampai ke satu tempat, dia akan bentuk satu kominiti/ persatuan mereka sendiri yang kuat yang dipimpin oleh satu pemimpin. Dan pemimpin bagi semut atau serangga yang lain biasanya betina. 

Maka, Allah swt dalam Al-Quran mengatakan قَالَتْ نَمْلَةٌ, Muannath dan ditambahkan ta marbuthah belakang tersebut menunjukkan bahawasanya pemimpin semut adalah betina sebagaimana dulu kita membincangkan pemimpin bagi lebah pun betina. Seolah-olah makluk Allah yang berbentuk serangga ini dipimpin oleh pemimpin yang betina. Jadi, semut selalu membuat satu komuniti. Komuniti inilah yang akan melahirkan satu masyarakat kalau kita lihat dari segi kemanusiaannya yang mana komuniti ini akan ada pemimpinnya, akan ada pembahagian-pembahagian tugasnya. Ini yang kita cuba lihat bagaimana lebah ini membina peradaban dan tamadunnya sendiri, boleh kita cakap begitu. 

Tapi sebenarnya peradaban atau tamadun ini dia mempunyai bahasa yang lebih spesifik lagi kalau kita kaji daripada sosiologinya tapi kita bincang sekarang dari segi secara umum, tidak spesifik dengan istilah-istilah keilmuan yang ada. Allah tidak menjadikan setiap makhlukNya melainkan ada manfaatnya, ada kegunaannya dan bahkan dalamnya ada pengajaran dan pelajaran berharga untuk kita ambil daripada kehidupan mereka ini. Maka, demikian juga dengan semut. Semut mempunyai pengajaran, pelajaran berharga. 

Jadi, kalau dalam Al-Quran ada makhluk-makhluk yang disebutkan biasanya makhluk-makhluk itu mempunyai keistimewaan tersendiri yang perlu kita fikirkan/ tafakkur apa yang boleh kita ambil daripada kehidupan mereka. Berdasarkan pembacaan saya dan juga mughahazah, bahawa ada beberapa pelajaran yang boleh kita ambil daripada semut ini.  

Di antaranya, satu adalah semut ini di antara makhluk Allah yang berani, berani dalam erti kata pergi ke mana pun dia akan pergi dulu, dia akan berjalan. Dia kadang-kadang tak risau pun, yang dia naik tu kita, dia berjalan atas badan kita. Dia berjalan di kulit kita macam tak kisah kita nak pukul/ marah dia. 

Jadi, dia berani untuk menerokasi sesuatu, berani untuk menghadapi sesuatu. Dia tak gentar. Ada sahaja peluang, dia naik. Nampak kaki kita, dia naik. Nampak kayu, dia naik kayu tersebut. Jadi, semut ini di antara makhluk Allah yang berani, tak takut dengan apa yang ada dihadapannya. Dia cuba dahulu. Dia hadapi dahulu. Tak kisah macam mana nanti, sekarang dia cuba. 

Sebenarnya, masing-masing kita ketika dilahirkan kita ada kecenderungan berani seperti semut ini. Cuba lihat kanak-kanak, baru nak merangkak, semua dia nak panjat, nak naik. Anak saya tangga paling suka sekali. Nampak tangga, dia naik. Dia tak takut pun. Yang takut siapa? Mak bapaknya. Ketika melihat anaknya, dia risau. Basically, kita ada kecenderungan berani itu juga. 

Maka, setengah pengkaji mengatakan kalaulah keberanian seperti keberanian waktu kecil itu ada pada kita, maka banyaklah perkara-perkara yang kita buat. Akan tetapi kadang-kadang disebabkan pendidikan, pengaruh persekitaran kita yang tadinya berani jadi penakut, kita ditakut-takutnya. Semestinya, kita diarahkan kepada yang betul. Saya secara peribadi ketika melihat anak saya naik tangga, saya bimbing dia. Saya tak suruh dia turun, saya bimbing. Nanti dia dah biasa naik tangga, dia akan terlatih. Dia bukan lari/ takut daripada naik tangga tersebut. Sebahagian ibu bapa, apabila melihat anaknya naik tangga, dia larang walaupun satu hari anaknya pasti naik tangga. Apa yang harus kita lakukan? Bimbing dia. Bagi dia naik, kita jaga. 

Hal-hal seperti ini membantu keberanian tersebut kekal, terarah. Jangan keberanian yang sembrono pula, tanpa kita bimbing/ pandu. Ada orang berani sembrono (berani tanpa pertimbangan). Ini salah. Kalau boleh kita berani dengan pertimbangan. Apabila kita dah tahu tentang perkara tersebut dan dia bermanfaat untuk kita dan dia bukanlah benda yang haram ataupun makruh. Dan ia adalah benda yang harus, justeru ada kebaikan di belakang tersebut dan yang kita perlukan adalah keberanian sedikit. Ramai orang tak berani. Tak berani untuk mencuba, menghadapi. Sebab muncul dalam fikirannya, sangka-sangkaan, fikiran negatif. “Kalau aku buat nanti macam mana”. 

Dari mana asalnya sangkaan ini? Daripada didikan sebagaimana syaitan menggunakan program daripada ibu bapa, keluarga kita atau persekitaran kita untuk membentuk kita juga ikut kehendak dia, dia tambah sangka-sangkaan sehingga kita duduk je tak berbuat apa, jadi pemalas. 

Peradaban semut adalah peradaban yang berani. Peradaban yang berusaha untuk menghadapi sesuatu dengan konfiden, kepercayaan, keyakinan yang tinggi. Memang lah akan berlaku kegagalan. Dia naik tangan kita, kita pukul, mati dia. Tapi adakah berhenti peradaban semut? Adakah berhenti kehidupan semut yang lain? semut yang lain buat cara dia. 

Halau semut, dia datang lagi dari pintu lain, arah yang lain. Ini menunjukkan bahawasanya mereka ini sangat berani dan agresif sikit. Mukmin yang berani itu berani dalam kebaikan. Kadang-kadang budak-budak kita berani merempit di tengah jalan tapi tak berani melangkah kakinya ke masjid. Ini kata-kata setengah ustaz. Mampu mendaki gunung Kinabalu tapi tak mampu mendaki anak tangga ke masjid atau surau. Ini satu yang sangat tragis, satu yang mengecewakan. Semestinya, kemampuan dan kekuatannya tersebut digunakan untuk kebaikan. Kita nak seperti itu. 

Masyarakat  kita yang berani dalam kebaikan sehingga mereka mencipta peluang-peluang baru yang bermanfaat untuk generasinya bahkan generasi akan datang. Jadi, jangan kita statik, tidak berkembang/maju. Maka, peradaban yang baik adalah peradaban yang berani untuk berbuat sesuatu yang manfaat. Kalau bermanfaat, dia cuba, dia cuba lakukan. Itu yang dilakukan oleh generasi awal pada umat islam ini. Mereka adalah generasi muqtashifun (adventure dan cuba untuk mendapat dan mengetahui sesuatu). 

Muqtashifun ini menunjukkan kepada penemuan-penemuan mereka yang cuba/cari. Maka, mereka buat penemuan, bidang perubatan, ilmu falak, matematik, sains. Dalam bahasa Inggerisnya ‘Inventor’, orang-orang yang mengkaji dan menghasilkan sesuatu. Ini dari mana wujudnya? Wujud kalau ada keberanian yang tadi. 

Keberanian tu mesti ada. Didik anak-anak kita untuk jadi berani. Jangan jadi penakut; sikit-sikit tak boleh. Sikit sikit kata jangan. Kita boleh kata jangan tetapi ada batasnya, kita kena bimbingnya. Kadang itulah ayah tahu, mak tak tahu ataupun mak tahu, ayah tak tahu. Anak-anak kita jadi confuse sebab apa, mak kata boleh, ayah kata tak boleh; ayah kata boleh mak kata tak boleh. Anak jadi pening kepala. Lastlast, takpayah buatlah kata dia. Ini kalau boleh kita serasikanlah cara mendidik anak kita agar dia berkembang menjadi manusia yang positif dan produktif seperti kita bincangkan dalam Surah An-Nahl. 

Kita lihat kelebihan kedua yang ada pada semut ini. Semut ini di antara makhluk Allah yang suka berkongsi dengan rakan-rakannya. Kalau nampak, kalau dia ada nampak makanan yang boleh dimakan, maka dia akan panggil kawan-kawanya kemudian berusaha untuk mengangkat bersama-sama. 

Kajian mengatakan semut addalah di antara makhluk Allah yang kuat yang mana dia boleh mengangkat satu benda yang mana berat benda itu dua puluh kali berat dia sendiri. Ktia akan badan kita pun dah berat, tak larat tapi 20 kali berat badan dia. Kalau badan kita 60kg, maka dia boleh bawak barang yang 20 kali 60kg tadi tu. Bayangkan. 1200kg berat dia boleh bawa. 

Kita macam mana?Separuh daripada berat badan kita pun kita tak larat. 10kg pun dah rasa nak putus tangan kita. Pergi pasar, beli barang, banyak barang tersebut. Last, bawak troli. Pergi pasar saya tengok bawak beg tarik tu. MasyaAllah. Jadi, dia (semut) makhluk Allah yang kuat. Sebenarnya apa yang dia dapatkan tu boleh dia makan sendiri tapi semut di antara makhluk kalau dia jumpa makanan dia akan panggil kawan-kawannya. Dan untuk membawa makanan tersebut, dia akan pindah satu tempat ke satu tempat yang lain. Semut kalau membawa makanan, masyaaAllah! Kerjasama yang hebat. Yang tadinya ikut ukuran kita jauh tapi dia boleh sampai ke tempatnya, ke sarangnya. 

Apa rahsianya? Iaitu semut ini makhluk Allah yang taknak makan sendiri. Dia ingin makan bersama-sama. Kalau kita lihat ajaran Islam pun seperti itu juga. Nabi-nabi dahulu dia tak boleh makan seorang, makan berjamaah, sama-sama, panggil orang lain. 

Di antara kisah paling mahsyur Nabi Ibrahim. Dia takkan makan selagi tak ada orang lain makan bersamanya. Ini Nabi Ibrahim as. Kita kalau ada orang ramai taknak makan, takut orang lain nak apa yang kita makan tersebut tapi nabi-nabi dan rasul-rasul ini, mereka mengambil falsafah semut ini, makan bersama-sama. Dalam Islam pun diajarkan untuk makan berjamaah. Maka, hidup berkongsi yang menjadi falsafah hidup semut ini sangat baik untuk kita amalkan. Dia sangat betul dengan prinsip Islam. 

Jadi, peradaban Islam adalah peradaban perkongsian. Selagi tidak berniat untuk berkongsi selagi itu kita tidak produktif sebab kalau kita fikir untuk diri sendiri, kita perlukan apa sebenarnya? Makan, minum, pakaian, tak berapa sangat pun keperluan kita sebenarnya. 

Jadi, kalau kita hanya fikir untuk diri kita sendiri, maka kita tidak akan berbuat apa-apa, setakat itu sahajalah. Kais pagi makan pagi. Kita tidak ada sebarang improvement. Tetapi ketika kita fikir untuk orang lain, maka kita mempunyai attitude berbeza, cara membuat sesuatu pun berbeza kerana kita melakukan bukan untuk kita sahaja, tetapi untuk orang lain agar orang lain dapat manfaat. 

Saya secara peribadi, apa yang saya buat, tujuan saya bukan untuk diri saya tetapi untuk orang lain, untuk dimanfaatkan. Mudah-mudahan manfaat ini nanti dibuat oleh orang tersebut, Allah swt limpahkan kepada saya pahala. Bayangkan hanya untuk diri sendiri, buat apalah nak penat-penat. Baik kita duduk sorang-sorang. Tapi Islam mendidik kita untuk berkongsi, berfikir bagaimana orang lain pun boleh kita tolong. Kalau lebih banyak kita ada, maka lebih banyak kita boleh kongsikan. Jadi, kata Rasulullah saw; خير الناس أنفعهم للناس

“Sebaik baik manusia adalah manusia yang memberi manfaat kepada manusia yang lain”. Dan semut seperti itu. Dia akan cuba dapatkan makanan, dibawa ke sarang, dinikmati oleh semut-semut yang ada di sarang tersebut. MasyaAllah. Ini dia point kedua iaitu berkongsi dengan orang lain/ makhluk lain, bukan untuk diri sendiri.  

Jadi, peradaban Islam, peradaban yang unggul adalah peradaban yang berfikir untuk generasi ke depan. Maka, kita berbuat sesuatu semoga generasi selepas kita ini mendapatkan manfaat-manfaat ini. Demikianlah yang terjadi pada orang-orang terdahulu daripada umat Islam. Apa yang mereka fikir adalah generasi selepas itu mendapatkan kehidupan yang lebih baik daripada kehidupan sekarang. 

Dia tidak ingin generasi selepasnya itu susah seperti mana mereka susah. Maka, mereka berbuatlah sesuatu bagaimana untuk memudahkan walaupun pada waktu dia membuat tersebut dia susah. Tapi dia fikir kemudahan yang akan didapatkan oleh orang-orang yang selepasnya. Ini yang menyebabkan dia berbuat lebih lagi. 

Ada orang yang tak ingin usaha lebih. ini tidak faham prinsip bahawa kita bukan hanya membina kesenangan diri kita sendiri, tetapi kita membina kesenangan manusia, umat, bagi makhluk-makhluk Allah di bumi ini. Setiap kesenangan itu dinikmati oleh orang-orang tersebut, kita akan dapat pahala. Pahala ini yang untuk kita yang mana tak kita nikmati di dunia ini tapi kita akan nikmati di alam sana, di alam yang kita tak boleh buat apa-apa lagi dah, alam ukhrawi, alam Akhirat yang mana masa tu kita menerima sahaja, menikmati usaha-usaha kita tadi (di dunia). Maka, dengan demikian kita akan menjadi hebat lagi, umat ini menjadi lebih hebat lagi. 

Kenapa umat Islam sekarang ini mundur? Sebab majoriti umat Islam selfish, fikir diri sendiri, tak sayang saudara, manusia, alam ciptaan Allah.  Kalau kita sayang saudara kita, kita fikir macam mana nak tolong saudara kita yang susah. Kalau kita sayang alam anugerah Allah kepada kita, semestinya kita berusaha untuk menjaganya dengan lebih baik. Dan manusia-manusia yang selfish inilah yang membuat kerosakan di muka bumi ini. 

Mereka ambil kekayaan alam ini untuk diri sendiri, dia tak ingat generasi selepasnya mungkin tidak dapat menikmatinya lagi dengan perbuatannya ini. Dia fikir diri sendiri sahaja. Manusia selfish ini adalah perosak peradaban, tamadun. Ini berlaku sejak dahulu lagi. 

Maka, Allah menyebut; وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الأرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ (Al-Baqarah 2:11). Dan apabila dikatakan kepada mereka “Jangan kamu buat kerosakan di muka bumi”. Apa mereka kata?  “Tak, kami tidak membuat kerosakan, kami buat baik sebenarnya”.  Kata Allah  أَلا إِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُونَ وَلَكِنْ لَا يَشْعُرُونَ . Mereka itu betul-betul orang yang membuat kerosakan tapi mereka tak perasan. Maka, oleh itu peradaban Islam adalah peradaban yang dibina atas asas ingin berkongsi kebaikan dengan orang-orang sekeliling kita. Dan semut mempunyai prinsip yang sama seperti itu. 

Jadi, kita didik mereka untuk mencuba sesuatu yang baru. Jangan apa yang ada sahaja. Kita tahu bahawasanya hidup akan terus berkembang, mengalami perubahan. Kalau kita bagi mereka terus selesa dengan apa yang mereka ada sahaja tanpa berusaha untuk membuat sesuatu yang baru, maka tak ada perkembangan. 

Mereka hanya akan menjadi mustahlik dalam bahasa arab, consumer yang hanya mengguna, pengguna sahaja. Mereka tidak menjadi provider; yang menyediakan benda yang diperlukan oleh umat. Ini yang berlaku pada kita, umat Islam. Kita hanya menerima apa-apa yang orang buat sahaja tanpa berusaha untuk membuat agar manfaat itu dirasakan oleh manusia lain. Ini minda peradaban, minda yang mana bertujuan untuk memberi kebaikan kepada orang lain. 

Point yang ketiga adalah semut adalah di antara makhluk Allah yang tidak mudah menyerah kalah. Dalam kamus dia give up itu susah dijumpai. Semut adalah makhluk Allah yang gigih yang mana dia akan berusaha juga, sedaya upaya selagi tak dapat dia akan cuba lagi, cuba lagi. Cuba kita tengok kalau sekiranya kena siram air, dia cuba keluar daripada air tersebut sedaya upaya sehingga dia dapat keluar, selamat daripada wabak, bencana tersebut. 

Apabila nak memanjat mendapatkan sesuatu, dia cuba. Ada makanan dia nak tarik/heret, dia cuba. Ini, tidak mudah putus menyerah kalah. Jadi, ada sifat persistent, terus membuat sesuatu sampai meraih kejayaan. Ini penting; jangan kita cepat putus asa, cepat menyerah. Baru beberapa kali kita dah meninggalkan apa yang sepatutnya kita teruskan dan kita tahu dia adalah benda baik untuk kita. Jadi, berusaha tak henti. 

Selagi dalam kebaikan, kita usahakan terus. Kita cari  jalan macam mana nak dapatkannya. Tak dapat dengan cara ini, maka kita akan cuba dengan cara yang lain pula sehingga Allah swt mudahkan untuk kita. Dan Allah swt dalam Al-Quran, Surah Al-Ankabut ayat terakhir mengatakan bahasawanya وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا pada hakikatnya, orang yang tak putus asa ini dan terus berusaha, bersungguh-sungguh dalam melaksanakan apa yang diinginkan tersebut لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا Allah takkan biarkan dia dalam kesusahan. Allah pasti akan tunjukkan jalan kepadanya bagaimana dia boleh keluar daripada kesusahan tersebut, bagaimana dia dapat memberikan hasil yang lebih baik. 

Allah akan bantu, Allah akan tolong, Allah akan tunjukkan. Dengan syarat, orang itu bersungguh-sungguh dalam kebaikan, Allah bersama orang-orang yang baik وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ. Jadi, jangan mudah menyerah kalah. Berusahalah selalu. Cari jalan! Jangan putus asa. insyaaAllah, Allah swt akan bantu kita, akan bimbing kita. Semut di antara makhluk Allah yang mengajar kita untuk tidak putus asa, tidak menyerah kalah.  

Yang keempat, antara yang kita boleh ambil daripada semut adalah bekerjasama. Taawun dalam bahasa Al-Quran yang mana Allah swt berfirman (Al-Maidah 5:2);

 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ 

Bekerjasamalah kamu dalam kebaikan. Maka, dalam kebaikan kita bekerjasama, tolong-menolong, bantu-membantu satu sama lain. Dan juga dalam ketaqwaan, melaksanakan perintah Allah, meninggalkan larangan Allah swt, kita tolong-menolong, bantu-membantu sesama kita. Dan itu nampak jelas dalam kehidupan semut. Maka, peradaban Islam adalah peradaban yang bekerjasama, operatif antara satu sama lain, bukan peradaban yang sendiri-sendiri sepertimana yang kita katakan tadi. 

Kalau kawan nampak susah, kita tolong apa yang kita boleh, mampu. Jangan biarkan dalam kesusahan. Sekarang, itulah realiti kita umat Islam. Susah nak menghulurkan bantuan kepada sesama umat Islam. 

Dalam ekonomi Islam, kita terkial-kial dalam membina ekonomi sebab kita lebih mementingkan bagaimana dapat murah sahaja. Kita tak nafikan kita semua nak dapat murah tapi apabila kita melihat ada misi penting bagi kita untuk menaikkan ekonomi Islam, kita tolong orang-orang Islam, orang-orang yang baru bermula yang secara asasnya mereka memerlukan kepada support/dorongan dan sokongan kita. Bantulah, terlebih sikit tak apa sebab kalau dia kaya, dia tolong orang lain pula. Saya ada share satu video dalam page saya tentang kebiasaan orang di Turki. 

Ketika memberi roti sebenarnya yang diperlukan hanya dua tetapi diberi empat, dua lagi tolong simpan, kalau ada orang perlu nanti bagi pada dia. Jadi, datang orang susah memang tak ada duit lalu dia berkata “saya perlukan roti, maka teringatlah kedai tadi tu ada dua yang orang bagi, sila makan”. Dia beli empat, dia tolong peniaga tersebut untuk menjual barangnya, nanti orang yang susahpun tertolong. Nanti orang yang susah ini senang lalu dia berkata ada pengalaman ada orang tolong, maka dia buat seperti itu juga. Jadi, apabila sikap seperti ini ada pada umat kita. Maka, hidup kita akan jadi lebih seronok lagi. 

Tapi ada sistem kapitalis yang kadang-kadang menyebabkan dia tak pandang semua ini, nilai-nilai seperti ini; nilai kerjasama, nilai tolong-menolong. Dia fikir macam-mana untuk mengkayakan diri sendiri. Jadi, peniaga macam mana nak kayakan diri sendiri dan pembeli pun begitu, macam mana nak dapat murah sahaja sehingga terlupa bahawasanya dia perlu menolong orang lain. 

Saya sangat seronok mendengar Al-Fadhil Ustaz Ebit Lew membuka mini market yang banyak dan terbaru saya dengar dia akan ada di depan kedai tersebut barang yang mana dikhususkan untuk siapa yang susah, ambil sahaja. masyaAllah. Saya berharap kita supportlah Ustaz Ebit Lew kalau sekiranya ada mini market dengan tempat kita, carilah, belilah. Kalau mahal sikit daripada tempat lain, pandanglah dengan pandangan positif bahawa untung yang dia dapat tu untuk orang-orang susah, orang yang memerlukan, tak ada duit. 

Di zaman pkp, zaman wabak penyakit ini, ramai orang susah tapi mereka tak tunjukkan pada kita kesusahan tersebut. Dia cuba pendam sendiri. Maka, usaha mulia yang dibuat oleh Al-Fadhil Ustaz Ebit Lew ini, semoga Allah merahmatinya dan memberkati usahanya, kita sokong. Saya sangat bangga, merasa bertuah umat Islam kita di Malaysia mempunyai contoh teladan seperti ini dan kita doakan. Beliau masih muda lagi, kuat, mempunyai kesihatan yang baik sehingga berbuat lebih banyak lagi. 

Saya secara peribadi tak sampai lagi ke tahap tersebut tapi mudah-mudahan dengan support doa dan perkongsian, Allah jadikan asbab dia menjadi lebih berjaya lagi. Tolong support saudara-saudara kita, kawan-kawan kita yang buka usaha dan kita tahu usaha tersebut di belakangnya adalah manusia-manusia yang mulia seperti ini. 

Oleh itu, bekerjasama, bantu-membantu, tolong-menolong mesti kita jadikan sebagai satu kebiasaan, satu norma baru. Kalau orang kata norma baru pakai mask (pelitup muka), sekarang norma baru kita adalah bekerjasama, tolong-menolong, support satu sama lain sehingga kita kembali bangkit bersama-sama, kita kembali maju bersama-sama. 

Tamadun Islam, peradaban Islam takkan dibina oleh satu orang, dua tiga orang tapi dibina oleh masyarakat, manusia keseluruhannya. Jadi, benda-benda baik yang ada di kalangan kita ini, benda mulia ini kita sokong, kita bantu, kita sama-sama untuk menggalakkan sehingga ada soalan apabila saya share video tersebut “Bila lah kita dapat buat macam ini di negeri kita”. Di Turki Alhamdulillah. Bila lagi? Sekarang lah. Masa kita tengok video tersebut, kita cuba untuk memulai.   

Pergi kedai, cakap pada kedai tersebut “saya beli banyak ni, tapi dua nanti tolong siapa yang perlu, bagi pada dia”. Selain memulai tersebut, mungkin mendidik peniaga tersebut  untuk ambil berat orang susah. Dan dia tahu bahawasanya ini bukan duit dia, orang dah bayar dah, awak tinggal bagi sahaja. Nanti dia amanah tak amanah, serah kepada dia. Allah swt yang akan menentukan. Kita sebagai mukmin, kita start. insyaaAllah niat mulia tersebut kalau memang ikhlas kepada Allah akan menjadi asbab-asbab kebaikan, orang lain akan ikut, orang lain akan beramal. 

Saya rasa dekat Masjid Ghufran, dekat cafe tersebut dahulu ada seperti itu. Ada kupon kalau tak silap saya yang mana ada kupon makan. Orang yang datang makan sebelum itu, dia akan kata ini saya ada duit lebih sikit, tolong bagi pada siapa yang perlukan. Maka, kedai tadi akan tulis ada RM5, dia letak kupon tu. Orang datang nanti tak ada duit, dia ambil kupon tu kemudian dia bayar. Kalau tak silap ada, nampak haritu. Ada lagi ke tidak tak tahu la. Saya rasa ini amalan baik yang perlu kita sokong dan kita hargai. Semoga usaha yang baik ini makin berkembang, makin maju. Saya dengar memang, Alhamdulillah dapat support tersebut, dia nak buka banyak lagi mini market yang dilandaskan kepada membantu orang yang susah ini. 

MasyaAllah, ternyata pkp melahirkan manusia-manusia mulia. Doa kita, kita jangan mendengki tapi doa kita agar dia selamat, sihat walafiat, diberi kekuatan berbuat lebih baik lagi, amanah ini dia tetap jaga. Jangan kita buruk sangka pula. Kita doakan agar  dia istiqamah dalam kebaikan yang dia lakukan sebagaimana kita minta pada Allah agar istiqamah dalam kebaikan yang kita lakukan.

Kita sambung point seterusnya iaitu point yang kelima iaitu semut di antara makhluk Allah yang mudah beradaptasi dengan persekitarannya, menyesuaikan diri dengan tempat dia. Maka, apabila dia membuat rumah ataupun sarang di pokok-pokok, dia buat sesuai untuk tempat tinggal dia. Depan rumah mertua saya ada pokok mangga dan dekat pokok mangga tersebut ternyata banyak semut kerengga. Pokok itu di tepi jalan dan biasa orang lalu memang kutip mangga tersebut tapi semenjak ada serangga itu takut pula orang nak kutip. Jadi, ada hikmahnya. Kerengga ini kalau kita tengok dia buat rumah-rumahnya daripada daun-daun, dia jadikan daun mangga itu melekat-lekat satu sama lain. Tak silap saya nama kerengga ini semut penenun. Dia boleh menenun. Dia jadikan daun mangga tersebut berlipat-lipat macam satu kumpulan melekat lalu dia bersaranglah dalam tu. jadi, dia sesuaikan. Tempat di pokok, dia buat daun tu jadi sarang. Kalau di akar, dia buat di bawah-bawah akar tersebut. Ini dia semut. Dia pandai beradaptasi. 

Dan mukmin seperti juga.  Dia pandai beradaptasi. Orang minang mengatakan di mana  bumi dipijak, di sana langit dijunjung. Dia mana kamu berada, di sana kamu perlu meraikan adat tradisi tempat tersebut selagi mana cara tidak bercanggah dengan ajaran agama kita, pegangan prinsip hidup kita. 

Kalau hanya setakat benda-benda yang bersifat mubah, perkara yang harus. Maka, kita ikut rentak mereka, bergaul, berinteraksi sehingga tidak muncul pembantas antara kita dengan di mana kita berada. Oleh itu ketika sahabat nabi ketika dari Makkah berhijrah ke Madinah, orang Makkah mempunyai kebiasaan, orang Madinah mempunyai kebiasaan juga. Ternyata apa yang berlaku? Orang Makkah ketika sampai ke Madinah, mereka cuba untuk beradaptasi sehingga Rasululla saw mengatakan bahawasanya “Wahai kamu perempuan-perempuan Muhajirin dah berubah macam perempuan Ansar pula” 

Apa bezanya? Perempuan-perempuan ansar mempunyai karakter mempengaruhi, lebih kuat’ erti kata dia mempengaruhi suami berbeza dengan perempuan Muhajirin, suami itu lebih dominan sehingga mereka taat dengan suami. Ketika mereka berpindah ke Madinah, perempuan Muhajirin ini belajar dengan perempuan Ansar bahawasanya tak semua kena cakap suami, kita pun kena ada juga komunikasi, bermusyawarah. Maka, berlakulah perubahan tersebut yang menyebabkan sahabat sahabat nabi complaint. Dan Rasulullah berkata “selagi itu dalam benda yang harus, tak ada masalah.” begitulah seharusnya suami isteri berbincang. 

Jadi, beradaptasilah. Sebab proses beradaptasi inilah yang mencipta sesuatu yang baru. Kalau sekiranya kita tidak beradaptasi, berpegang dengan cara itu sahaja, tak berubah, tidak menyesuaikan diri dengan keadaan semasa dan tempat yang kita berada, kita takkan berkembang, takkan maju, tidak akan menjadi lebih baik. Jadi, lebih baik pada kita kemampuan beradaptasi, kemampuan untuk menyesuaikan diri kita dengan persekitaran kita. Semut di antara ikhtibar daripadanya adalah makhluk Allah yang mudah beradaptasi.  

Yang baik dan benar daripada Allah swt, salah silap daripada diri saya sendiri. Daripada Allah saya memohon keampunannya; daripada kita semua, saya mohon kemaafannya. Saya berharap tuan puan dapat manfaatnya pada perkongsian kita ini tentang kelebihan semut yang merupakan nama kepada surah yang kita bincangkan ini iaitu Surah An-naml. Jumpa lagi akan datang, mungkin saya akan fokuskan tentang semut ini, apa ikhtibar, pengajaran yang boleh kita ambil daripada semut ini. Saya tutup dengan tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr. Assalamualaikum.




No comments:

Post a Comment