Tuesday, 8 September 2020

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 8 AYAT 12-14 : 6 Sept

  Nota Perkongsian 06.09.2020

Tadabbur Surah An-Naml Sesi 8 akan membahas surah An-Naml Ayat 12-14
Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

 Assalamualaikum

Puji syukur ke hadrat Allah swt di atas limpah kurnia kepada kita semua, Alhamdulillah. Pada pagi yang berbahagia ini, kita kembali bersama-sama dalam majlis ilmu kita tadabbur Al-Quran. Mudah-mudahan Allah swt memberkati, merahmati majlis kita ini dan menganugerahkan kita ilmu yang bermanfaat ilmu yang bermanfaat. Amin ya rabbal alamin. Kemudian selawat dan salam tidak lupa juga kita sampaikan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad saw, mudah-mudahan kita di antara umatnya yang akan bersamanya di dalam syurga kelak. 

Mari kita mulakan perbincangan kita pada harini dengan membaca Surah An-naml, kita ulang semula dari ayat 12 sehingga 14. Kita ambil pengajaran daripada ayat-ayat ini insyaaAllah. Mari kita baca terlebih dahulu;

وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِى جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ ۖ فِى تِسْعِ ءَايٰتٍ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِۦٓ ۚ إِنَّهُمْ كَانُواْ قَوْمًا فٰسِقِينَ
Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, niscaya ia akan ke luar putih (bersinar) bukan karena penyakit. (Kedua mukjizat ini) termasuk sembilan buah mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Fir'aun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik".
(An Naml 27:12)

فَلَمَّا جَآءَتْهُمْ ءَايٰتُنَا مُبْصِرَةً قَالُواْ هٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Maka tatkala mukjizat-mukjizat Kami yang jelas itu sampai kepada mereka, berkatalah mereka: "Ini adalah sihir yang nyata".
(An Naml 27:13)

وَجَحَدُواْ بِهَا وَٱسْتَيْقَنَتْهَآ أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا ۚ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ
Dan mereka mengingkarinya karena kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.
(An Naml 27:14)

Maha Benar Allah ke atas firman-firmannya.

Pada pertemuan lepas kita menjelaskan bahawasanya Allah anugerah Nabi Musa as dengan beberapa kelebihan dalam bentuk mukjizat-mukjizat dan itu menjadi tanda diangkatnya darjat nabi Musa as, ditinggikan kedudukannya daripada orang-orang ada pada zamannya. Dan kelebihan dan kedudukan yang tinggi itu akan diiringi dengan ujian, cabaran. Biasanya seperti itu terutamanya nabi dan rasul. Allah pasti akan menguji dia, Allah pasti akan hadapkan mereka dengan perkara yang berat sesuai dengan kedudukannya. 

Apakah perkara yang berat yang dihadapi oleh Nabi Musa as? Iaitu berdakwah pada bapa angkatnya sendiri, Firaun. Firaun yang telah membesarkannya dan membenarkan Nabi Musa hidup di dalam istananya sampai dia dewasa, sampailah perkara yang tak disangka iaitu Nabi Musa memukul orang Qibti dan ternyata pukulan terlalu kuat sehingga mati orang Qibti (Mesir) ini. 

Ini menyebabkan Nabi Musa melarikan diri ke Madyan iaitu negeri dimana Nabi Syuaib berada dan berkahwin dengan anak Nabi Syuaib. Dan kita tahu setelah beberapa tahun bekerja dengan Nabi Syuaib, dia pun berhasrat menziarahi keluarganya di Mesir. 

Jadi, hidup dengan Firaun, hidup yang berkecukupan, mewah, tiada gangguan sebab dia dikira sebagai anak raja, anak penguasa pada waktu itu. Jelaslah kehidupan Nabi Musa di dalam istana tersebut berkecukupan tapi inilah ketentuan Allah yang mana Nabi Musa perlu berhadapan dengan orang yang telah berjasa kepadanya, orang yang  telah memberinya pertolongan/ bantuan membesarkannya. Inilah perkara yang berat sebenarnya apatah lagi Nabi Musa telah melakukan kesalahan yang menyebabkan Firaun marah/murka mencarinya.

Dan ini menjadikan Nabi Musa takut kepada Firaun dan ini dinyatakan di dalam Surah Al-Isra’, Nabi Musa mengaku sendiri dia takut. Dalam Surah Taha juga ada disebutkan. Tapi Allah swt memberinya keyakinan bahawa engkau boleh berhadapan dengan Firaun dan Aku akan sediakan kepada engkau mukjizat, kehebatan yang mana Firaun nanti akan mahu tak mahu akan meyakini apa yang kau bawa nanti. 

Ini lah antara 9 mukjizat yang Allah anugerahkan kepada Nabi Musa as. Dan 9 mukjizat itu perkara yang luar biasa yang menyebabkan Firaun tahu apa yang dibawa oleh Nabi Musa ini bukanlah sesuatu yang calang-calang, ia adalah kebenaran. Nanti dia ayat ke 14, kita lihat bahawasanya Firaun menyedari kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa as. 

Dan di hayat hujung Firaun sendiri ketika berada di dalam lautan, dia sendiri mengatakan ‘Amantu’ Dia beriman kepada apa yang dipercayai oleh bani Israel tapi masa tu dah terlambat sebab dia sudah dalam sakaratul maut. 

Dan ingat, taubat akan terhalang atau tidak diterima ketika dalam dua keadaan. Satu, apabila nyawa dan di sampai di kerongkong, masa tu dah terlambat. Yang kedua, apabila matahari sudah terbit di sebelah barat, ia menunjukkan bahawasanya kiamat sudah betul-betul dekat. 

Firaun ternyata mempercayai apa yang dibawa oleh Nabi Musa as. Dengan mukjizat-mukjizat yang diberikan kepada Nabi Musa as sudah cukup meyakinkan Firaun akan tetapi Firaun melakukan perkara-perkara yang menyebabkan hidayah itu tidak mampu menjelma dalam bentuk tindakan. Dia nampak kebenaran tapi tidak mampu menzahirkannya. 

Apakah puncanya? Maka hujung ayat yang ke12, Allah menjelaskan tentang kenapa Firaun tidak berjaya menzahirkan kepercayaannya kepada apa yang dibawakan oleh Nabi Musa as itu, apa kata Allah?إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْماً فَاسِقِينَ Apa yang menyebabkan Firaun dan orang-orangnya tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa as? Iaitu disebabkan mereka fasik. 

Apa makna fasik? Orang yang tahu kebenaran akan tetapi bertindak menyalahi kebenaran tersebut. Dia tahu ini yang betul tetapi dia buat yang salah juga. Maka, fasik ini dia ada ilmu, pengetahuan tentang sesuatu tetapi pengetahuannya tidak membantunya untuk memilih yang betul, tidak menyebabkannya mengamal yang benar.  العِلْمُ بِلاَ عَمَلٍ كَالشَّجَرِ بِلاَ ثَمَر, orang arab kata “Ilmu tanpa diamalkan seperti pokok tanpa buah. 

Pokok mungkin ada lagi dahan-dahannya, daun-daunnya orang boleh berteduh dibawahnya tetapi orang yang ada ilmu tapi tidak mengamalkan dan dia mengamalkan pula menyalahi ilmu tersebut, ini fasik namanya. Maka kefasikan menghalang hidayah daripada Allah swt. 

Kita ada dua jenis hidayah. Hidayah ini sangat penting. Di antara nikmat Allah swt yang berharga kepada kita. Satu, hidayah irsyad iaitu hidayah yang Allah nampakkan kebenaran tersebut. Allah tunjukkan kepada kita yang Haq itu. Tetapi dalam nampak kebenaran, tak semestinya orang akan ikut kebenaran tersebut. 

Nampak yang betul tidak semestinya orang ikut yang betul itu. Ini menunjukkan hidayah Irshad Allah bagi secara am, secara umum kepada semua orang tak kira Muslim, Kafir. Dia nampakkannya kebenaran itu sehingga ada dua golongan yang mana ketika nampak hidayah itu dia ikuti, dia beramal mengikut hidayah tersebut. Ketika dia beramal mengikut hidayah irshad tersebut, itu dinamakan taufiq. 

Dan ada golongan yang nampak kebenaran tersebut, melihat yang Haq tetapi dia mengabaikan, tidak memperdulikannya, dia mengamalkan yang sebaliknya. Inilah yang dinamakan orang fasik, lawan kepadanya adalah orang yang dapat taufiq. 

Maka, Allah menyebutkan tentang Firaun dan kaumnya macam mana? إِنَّهُمْ كَانُوا قَوْماً فَاسِقِينَ Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik iaitu kaum yang nampak kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa as. Macam mana tak nampak? Ada 9, ada banyak mukjizat  yang Allah tunjukkan kepada mereka. Yang secara asasnya, mukjizat dinamakan mukjizat kerana lawannya ketika itu tak mampu untuk menandinginya. Mukjizat berasal daripada perkataan “a’jaza”, menyebabkan musuh itu lemah tak mampu untuk mendatangkan seumpama mukjizat itu. Mukjizat mesti hebat.  

Allah sentiasa menghantarkan kita hidayah, petunjuk, bimbingan. Boleh dikatakan setiap hari, sepanjang masa Allah menghantarkan kepada kita isyarat-isyarat yang menghalakan kita kepada hidayah tadi itu. cuma, ada yang boleh melihatnya dengan baik dan mengikutinya dan ada yang nampak tapi dia abaikan. Dan inilah menjadi sebab dalam ayat ke 13, Allah swt berfirman;

 فَلَمَّا جَاءتْهُمْ آيَاتُنَا مُبْصِرَةً قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ

“Dan ketika ayat-ayat kami, tanda-tanda mukjizat yang kami berikan kepada Nabi Musa itu nampak dengan jelas dan terangnya oleh Firaun dan kaumnya, tapi dia cuba alihkan, putar belitkan kebenaran tersebut dengan mengatakan “ia adalah sihir”.” Inilah perangai orang yang fasik, yang mana hidayah yang jelas tu pun mereka tolak disebabkan oleh kefasikan mereka lalu mereka tukar, cuba alihkan perhatian manusia daripada kebenaran tersebut. 

Dan sihir adalah sesuatu yang masyhur di kalangan orang-orang Mesir pada waktu itu. Boleh katakan, sihir adalah perkara lazim yang mereka lakukan. Dan sihir menurut pengalaman mereka itu adalah sesuatu yang tipu, sesuatu yang bersifat trick, bukan kebenaranpun. Ia hanya mengaburi atau menyebabkan mata orang yang memandang tersebut dia macam benar tetapi salah. 

Jadi mereka tahu itu. Jadi mereka cuba untuk mengalihkan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa as seperti sihir itu yang mana yang dibawa oleh Nabi Musa ini nampak sahaja benar tetapi tipu sebenarnya ni. Inilah dakwaan atau tuduhan yang dibawa oleh Firaun pada waktu itu. 

Dan sebahagian daripada sihir itu menggunakan jin dan syaitan untuk membantunya untuk nampak lebih real lagi. Kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa ini pun ditolak oleh orang ini. Puncanya, fasik, tidak mahu mengakui dan mengikuti hidayah yang Allah berikan. 

Hidayah Irshad adalah hidayah yang Allah swt berikan kepada setiap makhluk, manusia yang mana dengan itu mereka dapat mengakuinya tetapi tergantung kepada manusia untuk memilih samada nak mengikuti hidayah tersebut atau meninggalkannya dan berpaling kepada yang batil.

Jadi, Firaun menuduh Nabi Musa dengan tuduhan bahawa dia adalah penyihir dan ia dijadikan hujah untuk mengelak atau menghindar daripada kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa. kalau kita ambil pengajaran dalam kehidupan kita, kita akan jumpa orang yang macam ini juga. Orang-orang yang dah nampak kebenaran yang kita bawa, hujah yang kita sampaikan, tetapi dia masih lagi menolaknya bahkan dia menuduh kita dengan tuduhan-tuduhan yang tak berasas. 

Dan apabila berada dalam kebenaran, berdoalah agar dikurniakan kesabaran sehingga tetap dengan kebenaran tersebut, tidak terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan yang dikemukakan oleh orang yang anti kepada kebenaran ini sebab kebenaran ini umpama matahari kata ulama’, yang mana pada waktu malam, kegelapan memang dia tak nampak tetapi suatu hari matahari akan terus bergerak, kebenaran itu akan terus berjalan yang mana gelap ini akan hilang dan maka akan nampaklah matahari itu. Dan matahari yang nampak ini, ia umpama kebenaran. 

Dan matahari pada waktu siang pun kadang-kadang kita tak nampak, mungkin disebabkan oleh gerhana atau disebabkan oleh awan dan hujan yang menyebabkan kita tak nampak tetapi ketahuilah satu masa nanti mesti kebenaran itu juga yang akan zahir. 

Maka, orang kata kebaikan itu walaupun ditutup-tutupi akan terbuka juga sebagaimana keburukan yang ditutup-tutupi satu hari dia akan terbongkar dan terbau juga oleh orang. Hati-hati. Maka lebih baik kita menyimpan kebenaran dan ketika ia terbuka nanti orang akan tahu hakikat kita. 

Amalan sunat apabila kita amalkan, kita dapat pahala. Apabila kita tinggalkan kita kerugian. Oleh itu, dalam hal ini kita tak kata fasik. Fasik ini bahawasanya dia tahu benda ini adalah haram tapi dia buat juga. Fasik ini biasanya berkaitan dengan dosa. Jadi, apabila orang tahu arak itu haram tapi dia minum juga. Atau dia tahu rasuah itu dosa besar tetapi dia mengamalkan. 

Ketahuilah, orang-orang yang masih membiarkan diri mereka seperti ini akan susah mendapat hidayah Allah yang lain. Bagi yang meninggalkan amal yang sunat, cuma iman lemah, lalai, leka sehingga dipengaruhi oleh syaitan dan nafsunya untuk lebih rehat, rilek. Oleh itu, tidak masuk dalam kategori fasik yang kita katakan ini. Kita berdoa kepada Allah agar kita dilindungkan daripada fasik ini. 

Jangan lakukan keburukan walaupun orang tak nampak, dan lakukanlah kebaikan walaupun orang tak nampak. Bukan masalah orang nampak tak nampak, tetapi hal itu dibenarkan atau tidak. Jadi, Allah swt sentiasa nampak, maha melihat apa yang kita lakukan. 

Maka, bukan pandangan orang yang menjadi penentu kita melakukan sesuatu tetapi pandangan Allah swt yang menentukan apa yang kita lakukan. Maka, orang beriman jika dia tahu Allah suka akan perkara itu, dia akan buat walaupun orang tak hargainya, tak tahu dan demikian juga apabila Allah tak suka walaupun manusia disekelilingnya kata “takapalah”. Orang beriman tetap akan meninggalkannya. 

Cuba kita tengok ayat yang ke 14 yang mana allah menjelaskan lebih lanjut tentang Firaun dan kaumnya;

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنفُسُهُمْ ظُلْماً وَعُلُوّاً

“Mereka mengingkarinya, mereka melawan” ‘Jahadu’ ini root word kepada Jihad. “Mereka tak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa padahal kata Allah diri mereka pada ketika itu meyakini bahawa ia adalah kebenaran”. Iaitu hati mereka mengakui tetapi mereka melawan, mengingkari. 

Ada orang yang menerima kebenaran itu tetapi perbuatannya berbeza. Apa tindakan tersebut? Kata-katanya, perbuatan bercanggah dengan hatinya, apa maknanya? Dia melawan dirinya sendiri dan ini menyalahi tabiat, sesuatu yang semulajadi dalam diri manusia tersebut. Sepatutnya apa yang diingini oleh hati, itu yang patut kita ikuti tapi mereka ini macam mana? Hati mereka mengatakan seperi ini tetapi yang mereka buat bercanggah dengan hati ini menunjukkan nafsu lebih berkuasa daripada hati. 

Imam Al-Ghazali mengingatkan kita dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, bahawasanya pada diri kita ini umpama sebuah kerajaan yang mana dia ada rajanya, perdana menterinya, bala tentaranya, menteri pertahanannya dan yang sepatutnya raja itu adalah hati kita yang biasanya kalau hati ini nampak kebenaran, dia yang akan terima dahulu, memahami perkara tersebut dahulu, yang menentukan. 

Kita akan perdana menteri iaitu akal kita. Kata Al-Ghazali akal kita membantu raja mempertimbangkan baik buruk. Dan nafsu adalah menteri pertahanan atau askar yang membantu untuk mempertahankan diri kita.ini semestinya struktur organisasi, bentuk kerajaan yang ada dalam diri kita. 

Diketuai oleh hati, kemudian ada perdana menteri dalam bentuk akal fikiran dan dikawal oleh nafsu. Nafsu ini cuma pengawal, jangan jadikan ia raja ataupun perdana menteri. Dan orang-orang fasik biasanya tersalah dalam meletakkan struktur tadi. Apa yang dia buat? Nafsu yang sepatutnya menjadi pengawal tadi, menjadi raja. Kalau dia menjadi raja, maka perdana menteri kata ni tak bagus, maka kalau raja dah tak betul, maka dia buat juga sesuka hati dia. Ini yang berlaku. Perdana menteri seolah tiada fungsi. 

Kalau hati ini cuma dijadikan pengawal, tengok-tengok sahaja. Bukan yang memberi arahan utama. Maka apa akan berlaku? Dia tak boleh bertindak, bukan kuderatnya bukan untuk menjadi pengawal tapi penentu terakhir. Fikiran kita memberikan idea, yang mana satu nak pilih nanti ditentukan oleh hati. 

Maka nabi selalu kata “ kalau kamu berhadapan dengan sesuatu yang mengelirukan, banyak idea yang kamu dapatkan, tanya hati kamu, mana hati kamu rasa cenderung, maka itulah yang perlu kamu ambil”. 

Jadi, kita nampak orang kafir ini mengakui kebenaran tersebut oleh Nabi Musa as tetapi mereka melawan sebab apa nafsu yang lebih kedepan menyebabkan kita mudah melakukan kezaliman. Sebenarnya, merubah posisi yang sepatutnya itu pun dah zalim dah. Zalim itu lawannya adil. 

Adil adalah menempatkan sesuatu pada tempatnya, kedudukan yang sesuatu. Maka, manusia sudahpun zalim ketika mendahulukan nafsunya. Itu secara asasnya. Dan menjadikan hati hanya sebagai pengawal, tengok dari jauh sahaja. 

Jadi, selalulah mendahulukan hati tapi hati yang perlu dijadikan raja itu adalah hati yang bersih. Jangan pula letakkan hati yang sudah kotor. Kata ulama’ hati itu ada tiga bentuk. Satu, hati yang sihat. Kedua, hati yang berpenyakit. Ketiga, hati yang mati. 

Jadi, hati yang perlu kita jadikan raja itu adalah hati yang sihat. Kalau kita mahu jadikan hati raja, maka jadikan dia sihat dahulu. Sihat itu adalah dengan zikrullah, dengan majlis ilmu, bacaan Quran, duduk bersama orang soleh, apabila perlu membantu orang susah. Masa itulah hati yang akan kedepan. 

Mahu tak mahu nafsu akan kebawah nanti. Tetapi kalau nak jadikan hati itu raja tetapi yang kita datangi adalah orang maksiat, jauh daripada melaksanakan perintah Allah, bagaimana nak jadikan hati raja? Raja tak mampu buat apa apa sebab dia sakit. Dia tak mampu mengurus kerajaan dia. 

Oleh itu, penyucian hati, pembersihan jiwa sangat penting untuk memastikan hiraki dalam diri kita itu betul. Maka ulama’ sangat menekankan kita penyucian hati dan pembersihan jiwa. 

Semestinya jika engkau meyakini sesuatu, engkau tolong, bantu, terlibatlah dalam aktiviti yang membawa kita dalam apa yang kita yakini tersebut. Bukan hanya tengok. Apabila kebenaran ini tidak ada yang menyokong, dia akan jadi lemah dan kebatilan akan menjadi kuat. 

Imam Malik berkata “Kebatilan yang diurus secara teratur akan mengalahkan kebenaran yang diurus secara tidak sistematik”. Maka, perlu kita membantu kerja-kerja yang kita tahu ia adalah kebenaran. Kalau tidak mampu bantu dari segi harta, tenaga, paling tidak support dengan berkata “saya suka dengan apa yang awak buat”, nyatakan. Kadang-kadang orang yang melakukan kebenaran ini tidak perlukan duit atau pertolongan tetapi kalau kita nyatakan pertolongan itupun cukup bagi dia, buat dia kuat dalam menghadapi dugaan. Jangan kedekut dalam memberikan sesuatu sokongan. 

Allah menyebutkan dalam surah Al-lail, orang yang akan senang hidupnya adalah orang yang suka memberi dan bertaqwa dan membenarkan benda baik yang orang buat. Ini kadang-kadang lebih berharga daripada harta. 

Ada pula orang yang nampak kebenaran dan memberi harta tetapi mulutnya mengkritik membuatkan orang yang melakukan kebenaran menjadi down, kecil hati. Banyak di dunia ini orang melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hatinya. 

Orang ini akan stress, dalam tekanan. Sebab dia telah menyalahi tabiatnya dan biasanya akan hilang kebahagian, ketenangan. Sangat penting menyepadukan/ menyamakan keinginan hati dengan perbuatan dan kata-kata kita. 

Imam Ghazali pernah berkata iman itu hati yang membenarkan, bermula dengan hati dulu. Dan menyatakan dengan mulut kita, menyatakan apa yang ada dalam hati kita dan anggota badan melakukan apa yang ada dalam hati kita dan apa yang dikatakan kita. Maka, iman adalah serasi antara hati, mulut dan perbuatan. 

Dan iman ini yang membawa kepada aman, tenteram, tenang. Dan hasilnya kita akan banyak berbuat kebaikan. Tetapi apabila semua bercanggah, hati kata lain, mulut kata lain, kerja kata lain maka kita akan termasuk dalam golongan fasik itu dalam kata Allah dalam hujung ayat ini “orang yang seperti ini yang menyalahi hati mereka sendiri akan banyak membuat kerosakan”. 

Maka Allah kata “kau lihat sendirilah apa kesudahan orang-orang ini”. فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ Dan ini akan menyebabkan jiwa dan dirinya cedera sendiri, menyebabkan hilang apa yang hakiki dalam kehidupan kita ini iaitu kebahagian. 

Sampai di sini sahaja, jazakumullahu khairan kathiran. insyaaAllah selepas ini kita akan membincangkan ayat ke 15 yang mana merupakan cerita utama dalam surah An-Naml iaitu kisah Nabi Sulaiman. Ada sedikit highlight tentang Nabi Daud iaitu merupakan ayah Nabi Sulaiman. Cerita yang ada dalam Surah An-Naml ini merupakan cerita yang sangat menarik. Cerita tentang kejayaan, kehebatan Nabi Sulaiman. insyaaAllah kita akan bertemu di siri yang akan datang iaitu siri yang ke-9. Tutup dengan tasbih taffarah dan Surah Al-’Asr. Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment