Tuesday 8 September 2020

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 7 AYAT 12 : 5 Sept

  Nota Perkongsian 05.09.2020

Tadabbur Surah An-Naml Sesi 7 akan membahas surah An-Naml Ayat 12-14
Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Assalamualaikum 
Puji syukur kita ke hadrat Allah swt atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia kepada kita semua, Alhamdulillah. Pada pagi yang berbahagia ini, kita kembali dengan majlis ilmu kita iaitu tadabbur Al-Quran iaitu membincangkan Surah An-Naml. InsyaaAllah kita akan sambung, harini ini merupakan sesi ke 7 dan kita sudahpun membicangkan sehingga ayat ke 11, kalau saya tak silap. InsyaaAllah kita akan sambung dengan ayat yang ke 12 harini. Kita ambil iktibar dan pelajaran daripada ayat yang kita baca nanti, insyaaAllah. Kita baca terlebih dahulu ayat yang akan kita bincang hari ini iaitu ayat yang ke 12 sehingga ayat ke 14;

Bacaan:

وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِى جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَآءَ مِنْ غَيْرِ سُوٓءٍ ۖ فِى تِسْعِ ءَايٰتٍ إِلَىٰ فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِۦٓ ۚ إِنَّهُمْ كَانُواْ قَوْمًا فٰسِقِينَ
Dan masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, niscaya ia akan ke luar putih (bersinar) bukan karena penyakit. (Kedua mukjizat ini) termasuk sembilan buah mukjizat (yang akan dikemukakan) kepada Fir'aun dan kaumnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik".
(An Naml 27:12)

فَلَمَّا جَآءَتْهُمْ ءَايٰتُنَا مُبْصِرَةً قَالُواْ هٰذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Maka tatkala mukjizat-mukjizat Kami yang jelas itu sampai kepada mereka, berkatalah mereka: "Ini adalah sihir yang nyata".
(An Naml 27:13)

وَجَحَدُواْ بِهَا وَٱسْتَيْقَنَتْهَآ أَنفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا ۚ فَٱنظُرْ كَيْفَ كَانَ عٰقِبَةُ ٱلْمُفْسِدِينَ
Dan mereka mengingkarinya karena kezaliman dan kesombongan (mereka) padahal hati mereka meyakini (kebenaran)nya. Maka perhatikanlah betapa kesudahan orang-orang yang berbuat kebinasaan.
(An Naml 27:14)
 
Maha Benar Allah ke atas firman-firmannya.

Tema yang kita angkat terhadap tadabbur kita pada Surah An-Naml kita adalah membina tamadun yang unggul. Allah swt memberi contoh kepada kita melalui bagaimana Nabi Musa memulai membina tamadun Bani Israel yang hancur lebur disebabkan oleh kezaliman firaun. Dan dalam perbincangan lepas kita membincangkan bagaimana Allah swt memberikan wahyu kepada Nabi Musa as yang mana berlaku pada waktu Nabi Musa ingin kembali kepada keluarganya di Mesir dan pada waktu itu dia melihat api dan dia mendekat kepada api itu. 

Ternyata api itu adalah keberkatan yang mana di tempat itu Nabi Musa menerima wahyu daripada Allah swt. Bukan setakat itu, Allah memuliakan Nabi Musa dengan bercakap langsung denganNya. Ini keistimewaan yang ada pada nabi Musa AS. Kebanyakan nabi-nabi lain hanya melalui Jibril. 

Maka daripada perbincangan lepas, pengajaran daripada tadabburnya adalah Allah swt apabila bertemu dengan Musa, Allah swt memperkenalkan diriNya menunjukkan bahawa bagi mewujudkan/ membina tamaddun yang unggul berdasarkan wahyu adalah berdasarkan kenal Allah dahulu. Apabila seseorang kenal Allah, maka insyaaAllah banyak kebaikan yang dia dapatkan. 

Kemudian yang kedua kita bincang, selepas kita kenal Alllah swt, kita perlu bergantung kepada Allah swt sepenuhnya. Pergantungan kita kepada makhluk hendaklah kita ketepikan seperti Nabi Musa as ketika Nabi Musa as mempunyai tongkat dan sangat bergantung dengan tongkatnya ini. Maka, Allah swt kata kepadanya buang tongkatnya dahulu dan ini merupakan isyarat bahawasanya sesuatu yang kita bergantung biasanya kalau kita kenal Allah swt, kita ketepikannya dahulu. 

Dan apabila kita sudah dekat dengan Allah swt, jiwa kita sudah bergantung sepenuhnya kepada Allah, Allah akan anugerahkan kepada kita perkara-perkara luar biasa yang kita tak jangka. Kadang-kadang betapa hebat dan dahsyat perkara yang diberikan kepada kita tersebut maka kita rasa takut, khuatir sehingga kita lari daripada perkara yang Allah berikan itu. Tapi Allah insyaaAllah akan bimbing dan pandu kita kepada kita kebaikan yang diberikan kepada kita. Sepertimana Nabi Musa as ketika Allah tunjukkan tongkatnya menjadi ular, Nabi Musa as cabut lari. Bahkan, dia tak menoleh pun kebelakang. 

Tapi Tuhan berkata “Rasul-rasul tak pernah takut kepadaku kecualilah Nabi dan Rasul tersebut ada membuat kezaliman”. Kata ulama’ ayat ini adalah sindiran kepada nabi Musa as. Nabi Musa as pernah ke buat kezaliman sebelum ini? Dia pernah. Iaitu pernah membunuh seorang Qibti (orang Mesir asli). Kenapa Nabi Musa as lari? Kerana dia pernah melakukan dosa dahulu tapi Allah swt memberi peluang kepada Nabi Musa as , sesiapapun umat manusia yang pernah melakukan dosa/ kesilapan untuk bertaubat kepada Allah swt, Allah berkata “Apabila dia mengganti keburukannya itu dengan kebaikan, sesungguhnya Aku itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. 

Dan kepada Nabi Musa as jelaslah ini menunjukkan bahawasanya Nabi Musa as perlu bertaubat atas kesalahan yang lepas. Dia telah membunuh, maka dia perlu meminta ampun dengan Allah swt dan juga perlu bertemu dengan orang yang telah dia zalimi dahulu ataupun keluarga. 

Melalui ayat yang kita baca tadi, Allah swt menjelaskan tentang kejadian yang luar biasa lagi selain tongkatnya berubah menjadi ular. Kata Allah; 
وَأَدْخِلْ يَدَكَ فِي جَيْبِكَ تَخْرُجْ بَيْضَاء مِنْ غَيْرِ سُوءٍ
“Wahai Musa, masukkanlah tangan kamu ke leher bajumu” ada sebahagian yang mengatakan melalui lengan baju. Orang arab jubahnya besar, maka di sebelah ketiak ada rongga lalu dia letakkan disebahagian dadanya. Kemudian, dia keluarkan tangannya semula. Maka tangan nabi musa as pada waktu itu menjadi bersinar bersih. Ini mukjizat yang berlaku ke pada Nabi Muas as. 

Bercahaya, macam dia mempunyai mentol, seolah-olah ada lampu ditangannya, cerah betul. Dan kita tahu pada waktu itu malam hari, ketika dia keluarkan tangan itu, tentulah keluar cahaya. Ini menunjukkan kalau sekiranya Nabi Musa sebelum ini mencari api dari luar tapi Allah swt anugerahkan api itu keluar sendiri dari tangannya sendiri. Api ataupun cahaya, dia sebenarnya memerlukan cahaya.  

Jadi, inilah mukjizat yang Allah berikan kepada Nabi Musa as yang mana ketika Nabi Musa as bertaubat kepada Allah swt, jiwanya menjadi bersih maka berlakulah perkara luar biasa. Ini menunjukkan kita pentingnya kenal Allah bergantung kepada Allah sepenuhnya dan ketiga bertaubat. 

Bagi orang biasa mungkin tak dapat mukjizat tapi dapat ma’unah, pertolongan-pertolongan yang orang-orang biasa takkan mampu melakukan itu, takkan terdaya melaksanakannya tapi Allah swt bagi dengan syarat kenal Allah, bergantung kepada Allah, bertaubat kepada Allah. 

Maka insyaaAllah jiwanya suci maka akan mengeluarkan cahaya. Ini menunjukkan kesucian jiwa ini akan melahirkan petunjuk hidayah, bukan hanya dia sahaja yang akan mendapat petunjuk, orang lain pun akan dapat manfaat daripada kelebihan yang Allah bagi tersebut. 

Dalam suruh An-Nur ada Allah menyebutkan perumpaan Nur (cahaya) Allah swt. Surah An-Nur merupakan surah ke 24, mukasurat 254. Yang mana Allah swt mengatakan, 

“Perumpamaan cahaya Allah tersebut seperti sebuah lubang yang tidak tembus yang didalamnya ada pelita besar, pelita itu dalam tabung kaca dan tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkati iaitu dari zaitun yang tumbuh tidak di timur dan tidak pula di barat” maka di tumbuh di mana? Di timur tengah. 

Dia bawahnya ada minyak zaitun yang kualiti terbaik. Minyak zaitun yang kualiti terbaik ini dia akan jernih, dia akan keluarkan cahaya. “..Yang minyaknya hampir-hampir menerangi...” minyaknya sahaja boleh menerangi, dahsyatnya. “...Walaupun tidak disentuh api..” walaupun tidak disentuh api tetapi minyak itu sudah mengeluarkan cahaya. Tadi api pun ada cahaya, kaca pun ada cahaya, minyak pun ada cahaya, maka ada beberapa cahaya di sini. 

Maka Allah berkata cahaya di atas cahaya “Nurun ‘ala Nur” dalam erti kata ada cahaya yang berlapis-lapis, cahaya dari api, cahaya dari kaca, cahaya daripada minyak yang ada dibawahnya tersebut dan sebenarnya ayat ini tentang apa? Tentang petunjuk Allah swt. 

Kata Allah pada ayat tersebut “Allah memberi petunjuk kepada cahayaNya bagi orang-orang yang dikehendakinya.” Allah memberi petunjuk kepada cahaya yang berlapis-lapis kepada sesiapa yang Dia kehendaki, tak semua akan sampai kepada darjat tersebut. 

Dan Allah membuat perumpamaan bagi manusia, Allah maha mengetahui segala sesuatu. Di sini maksudnya apabila seseorang berjiwa bersih, dia akan memperoleh cahaya ini nanti. Kalau bagi Nabi Musa, tangannya mengeluarkan cahaya yang tidak ada cacat celanya; menunjukkan bahawasanya cahaya yang dikurniakan kepada Nabi Musa ini cahaya yang sempurna sebab Allah anugerahkan kepadanya, Allah pilih dia.

Adakah hanya untuk nabi musa atau nabi-nabi lain sahaja? Tidak, sebenarnya aturan yang Allah letakkan ini berlaku untuk semua orang. Sesiapa yang inginkan cahaya Allah ini, maka hendaklah ia mensucikan jiwa. 

Buktinya, ayat selanjutnya dalam surah An-Nur itu menjelaskan siapakah yang akan mengambil cahaya Allah itu? 

Yang mana cahaya itu di rumah-rumah yang disana telah diperintahkan oleh Allah untuk memuliakan dan menyebut nama-namaNya, disana bertasbih dan menyebut-nyebut namanya pada waktu pagi dan petang.” Maka cahaya ini berada di rumah-rumah yang disebut nama Allah swt, perintah Allah dilaksanakannya, ada solatnya, ada membaca Qurannya, ada zikurullah. 

Dan lebih lanjut, dalam ayat ke 37, surah An-Nur tersebut;

Allah menyebutkan manusia yang memperoleh cahaya ini. Siapakah mereka? Adakah mereka orang-orang yang khusus beribadah sahaja. Tidak. Orang yang sibuk bekerja pun akan dapat cahaya ini. Mereka ini adalah orang-orang yang tidak dilalaikan oleh perniagaan mereka ataupun jual beli daripada mengingat Allah swt. Dia menjaga zikrullah dan mendirikan solat dan membayar zakat. Sifatnya lagi dia ada rasa “Khauf”. Khauf disebabkan oleh kelemahan dirinya sendiri, takut terhadap hari kiamat.  

Allah swt mengingatkan kita untuk meraih cahaya ini yang mana Nabi Musa mendapatkan cahaya itu yang mana keluar daripada tangannya cahaya sebagai isyarat bahawasanya Nabi Musa as mempunyai jiwa yang suci ketika itu lalu dia boleh mendapat hidayah dan juga dapat memberi cahaya dan manfaat kepada orang-orang sekelilingnya itu. 

Apabila Nabi Musa as sudah mempunyai keilmuan tentang Allah swt, sudah mempunyai kebergantungan yang penuh dengan Allah swt dan dosa-dosanya sudah diampunkan dosanya, dibersihkan jiwa dan ketika itu sudah mendapat hidayah, Nur daripada Allah swt dan dia sudah bersedia untuk memberi manfaat juga kepada orang sekelilingnya, maka Allah mengutuskan kepadanya untuk berjumpa dengan Firaun. Allah katakan “Pergilah berjumpa dengan Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas”. 

Tapi pada ketika itu, Nabi Masa masih ada rasa gerun. Nabi Musa berkata “Wahai Allah, utuskanlah juga saudaraku yang bernama Harun membantu aku dalam dakwah ini sebab aku ada kekurangan, aku berkomunikasinya tidak jelas tetapi abang aku ini pandai bercakap, bahasanya jelas. Oleh itu, bantulah aku untuk mengutuskannya juga, insyaaAllah dia seorang yang amanah juga”. 

Dan Allah swt memakbulkan permintaan Nabi Musa tersebut dan diutuskanlah Harun untuk bersamanya. Maka, ada lah kawan Nabi Musa dalam berdakwah melawan Firaun. Pada awalnya, Nabi Musa bukan nak berlawan tapi untuk berdakwah kepada Firaun tetapi ternyata Firaun ini seorang yang zalim, orang yang Allah ciptakannya seorang yang kafir sehingga apa apapun mukjizat, dan hujah yang dikemukakan oleh Nabi Musa dia tolak. Maka disebutkan pada ayat ini; 
فِي تِسْعِ آيَاتٍ إِلَى فِرْعَوْنَ وَقَوْمِهِ
Ada sembilan mukjizat Nabi Musa as yang Allah kurniakan dan dia gunakan untuk berjumpa dengan Firaun. Jangan menganggap bahawasanya apabila kita sudah suci bersih, orang baik, kita takda musuh, takda cabaran dan tantangan. Justeru, orang yang berjiwa besar akan berhadapan dengan cabaran yang besar. 

Apa cabaran besar yang Allah hantar kepada Nabi Musa as? Firaun sendiri. Siapa Firaun ini? Dia adalah bapa angkat Nabi Musa as yang pernah membela dan menjaganya, memberinya makan dan tempat tinggal. Dan ini yang perlu dia hadapi, masih dia anggap keluarganya. Pelajaran kepada kita walaupun kita sudah menjadi insan yang baik, tetap ada cabaran. Bahkan, cabarannya lebih besar dan hebat tetapi kita sudah bersedia. Allah swt sudah beri bekalan untuk menghadapinya, insyaaAllah. 

Nabi Musa as ketika Allah dah anugerahkan kepadanya makrifat atau kenal Dia atau rasa bergantung kepada Allah yang tinggi serta taubat sehingga bersih jiwanya. Dan Allah swt bagi dia anugerah tangan yang bercahaya, isyarat kepada Nabi Musa as dapat hidayah dan dia ada kemampuan untuk memberi hidayah kepada orang sekelilingnya. Lalu Allah hantar dia kepada Firaun. 

Ini menunjukkan Allah sekiranya nampak kita dah bersedia untuk satu peringkat, Allah akan masukkan kita pada ujian baru, cabaran baru yang mana akan memastikan kualiti iman kita, diri kita betul kah sudah meningkat. Allah akan uji sepertimana selepas habis satu modul, kita ada peperiksaannya seperti itu juga apabila seseorang sudah dididik oleh Allah sampai satu tahap, maka Allah akan bawa dia kepada ujian selanjutnya. 

Maka, Nabi Muhammad saw pernah berkata bahawasanya ujian yang paling dahsyat itu adalah ujian kepada para nabi. Ujian itu bergantung kepada kualiti iman kita. Makin tinggi iman kita, makin dahsyatlah ujian kita. Jadi, oleh itu bagi mereka yang diuji oleh Allah swt dengan ujian yang berat jangan rasa terkilan tetapi bersyukur kerana Allah tengah upgrade diri kita. Ulama’ pernah menyebut bahawasanya ujian itu ada beberapa bentuk. 

Pertama, namanya musibah kasyaf. Kasyaf ini maknanya membongkar dan menzahirkan kepada kita siapa kita sebenarnya. Betul kah kita orang beriman, iman itu hanya di mulut sahaja. Dalam surah Al-Ankabut, Allah berfirman “Adakah mereka menyangka mereka akan dibiarkan begitu sahaja setelah mereka berkata mereka itu beriman sedangkan mereka tidak diuji lagi, sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum kamu. Maka dengan ujian itulah baru kami betul-betul tahu siapa yang betul-betul benar imannya tersebut dan siapa yang bohong”. 

Yang kedua, musibah yang dinamakan sebagai raf’ul darojat atau diringkaskan sebagai musibah rafa’. Musibah ini adalah musibah yang bertujuan untuk mengangkat darjat, daripada orang biasa kepada orang yang istimewa disisi Allah. Daripada Muslim kepada Mukmin, daripada Mukmin kepada Muttaqin. Setiap peringkat tersebut memerlukan kepada ujian yang mana apabila kita lulus ujian tersebut, maka naiklah darjat kita sepertimana kita naik kelas daripada darjah 1, darjah 2. Jadi, disebabkan itulah Allah swt menjadikan musibah ini untuk menaikkan darjat kita. 

Dan yang ketiga, namanya musibatul insof bermakna musibah atau ujian yang Allah datangkan kepada kita untuk kita sedar disebabkan kita telah melampaui batas atau keluar jauh dari garis panduan. Maka, Allah sayang kita, Allah taknak kita terus jauh daripada garis panduan tersebut, maka Allah datangkan satu ujian yang membuatkan kita tersedar. Orang beriman ini apabila dia merasa dia dalam dosa, maka dia cepat-cepat bertaubat. Jadi, ada musibah yang bertujuan untuk bagi kita insaf terutama orang yang melakukan kesalahan dan dosa. Maka, Allah tegur dia dengan mendatangkan musibah dan dengan musibah tersebut dia tersedar, kembali ke pangkal jalan. Jadi, musibah tersebut baik untuk dia. 

Dan yang keempat, musibatul azab, iaitu musibah yang bertujuan untuk menyiksa orang tersebut. Tiga tadi untuk orang Islam beriman, tapi yang keempat ini kata ulama’ musibah ini hanya khas untuk orang kafir sahaja. Maka, orang beriman Allah takkan datangkan azab ini kepada kita. Jika kita tak buat dosa, kita jaga semua yang diperintahkan oleh Allah swt, meninggalkan larangannya, tiba tiba ada musibah, perlu berbaik sangka. Ini mungkin cara Allah nak nampakkan siapa aku sebenarnya, Allah nak tahu aku ni orang beriman, bersabar atau tidak. Atau cara Allah nak naikkan darjat kita. 

Dan ketika kita ditimpa musibah dan ternyata kita ada dosa, ada kelalaian dalam kehidupan kita, maka ambillah musibah tersebut sebagai wasilah untuk menginsafkan, menyedarkan diri bahawa aku dah terbabas. Maka, Allah tegur aku dengan mendatangkan musibah ini. Jadi, bertaubatlah kepada Allah, Allah suka orang yang memohon ampun kepadaNya. Tetapi kepada orang kafir, itu betul betul namanya Azab.  

Secara asasnya, kepada orang kafir, ia adalah Musibatul Azab dan barangkali ada musibah yang ditimpakan kepada orang kafir tersebut menyebabkan orang kafir tersebut masuk Islam, dia sedar. Maknanya, musibah yang terkena pada dia itu menjadi musibah insaf lah maknanya, menyebabkan dia kembali ke pangkal jalan. Itu cara Allah swt membimbing dia. 

Jadi, kita tidak perlulah menilai apa yang berlaku pada orang. Lebih baik kita menilai kalau musibah itu berlaku pada kita. Cara pandang kita dalam melihat musibah adalah sangat penting. 

Kalau kita lihat dalam Surah Al-Fajr, Allah ada menyebutkan bahawasanya musibah pada asalnya apa yang sampai pada kita. Allah menyebut manusia ini ada dua kategori;

Allah swt ada menguji manusia dengan dimuliakan. Maka, ketika itu dia berasa seronok bahawa itu adalah cara Allah memuliakannya. Dan ada di antara meraka yang diuji oleh Allah swt memang dikurangkan rezekinya. Sebenarnya ujian kebaikan juga ujian. Kalau kita hidup biasa biasa, tiada ujian berat. Satu adalah kita perlu faham bahawa itu adalah yang terbaik untuk kita sebab ada Rasulullah saw berkata “Ada orang yang tak layak bagi dia melainkan kekayaan ataupun kesenangan. 

Kalaulah Allah bagi kepadanya kesusahan, maka dia akan jatuh kafir, akan merosakkan imannya. Dan ada sebahagian kita yang tak layak bagi dia kemiskinan yang mana kalau bagi senang, dia akan menjadi leka dan lupa diri. Maka, Allah selalu uji dia supaya dia maintain dia sentiasa ingat Allah swt.” 

Dalam hal ini, jika kita berasa senang, jangan pula minta diuji. Sebab kira itulah yang terbaik untuk kita. Kita mestilah minta yang mudah, senang. Sekiranya Allah betul bagi yang susah dan atas permintaan kita lalu kita tak mampu, ini bahaya. Ini akan menjadikan kita dimurkai oleh Allah nanti. Oleh itu, jangan. Kalau kita tak terdaya untuk itu, kita jangan minta kepada Allah. Kita disuruh untuk minta yang senang-senang. Maka, kita berdoa;
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Ya Allah, bagilah aku kesenangan di dunia ataupun kebahagiaan, ketenteraman di dunia dan juga ketenteraman di Akhirat” jadi, apa yang ada, Alhamdulillah syukuri. 

Minta pada Allah swt agar kita sentiasa dalam kebaikan, kedamaian, ketenangan dan ketenteraman. Apa pun juga, bersyukur kepada Allah. Boleh jadi kerana syukurnya kita pada Allah, kita diuji dengan ujian yang mampu untuk kita tanggung. Bagi kita mungkin ringan tapi bagi orang lain akan menjadi huru-hara tapi bagi kita Alhamdulillah Allah bagi kekuatan kepada kita maka kita dapat melaluinya dengan baik.  

Sebelum saya mengakhiri, saya kembali mengingatkan kepada kesimpulan perbincangan kita pada hari ini yang mana Allah swt menganugerahkan kepada Nabi Musa as keistimewaan tetapi dalam masa yang sama Allah swt membawa Nabi Musa kepada satu benda yang besar, berat bagi dia iaitu terpaksa berdakwah kepada Firaun tapi ketahuilah itulah yang paling sesuai untuk Nabi Musa, sesuai untuk iman Nabi Musa, Allah nak zahirkan betulkah engkau ini orang yang layak aku utuskan. Dan biasanya Allah tak pernah salah pilih dalam mengutus seseorang untuk menjadi nabi dan rasulnya. Maka Allah mengatakan Nabi Musa ini diperkuatkan oleh Allah lagi dengan 9 mukjizat. 

Apakah 9 mukjizat ini? Diantaranya, tongkat bertukar menjadi ular, tangannya bertukar menjadi cahaya dan nanti ada mukjizat-mukjizat lain iaitu Allah hantarkan belalang yang banyak datang ke negeri Mesir pada waktu itu yang menyebabkan orang-orang Mesir ketakutan. Akhirnya, Firaun minta kepada Nabi Musa as agar diangkatkan kepadanya musibah ini dan Allah swt memakbulkan permintaan Nabi Musa as lalu hilanglah belalang-belalang tersebut.

Awalnya orang-orang Mesir atau Firaun secara khususnya ingin beriman kepada apa yang dibawa oleh Nabi Musa as tetapi dia kembali lupa diri. Dah selamat daripada belalang, dia kembali kafir. Datang lagi mukjizat yang lain dalam bentuk kutu, kutu yang banyak di badan, kepala menyebabkan mereka tak selesa hidup dan akhirnya mereka jumpa lagi Nabi Musa as agar diangkat daripada mereka musibah tersebut dan dengan janji mereka akan beriman tetapi masih mereka kufur lagi menyebabkan Allah datangkan lagi ujian yang lain iaitu kata yang banyak dan kufur lagi, datang kemudian perigi-perigi mereka, berubah air itu menjadi darah sehingga mereka tidak dapat menfaatkan air perigi itu. Ini ujian Allah kepada mereka, musibah. 

Dan kemudian, datang pula banjir besar. Kemudian, laut terbelah dan kepada Bani Israel ada gunung Sinai yang Allah tunjukkan kepada Nabi Musa dan Bani Israel yang mana gunung Sinai itu diangkat sehingga nak hempap bani Israel ketika itu sebab degil sangat. Maka, diminta untuk melaksanakan apa yang ada dalam taurat waktu itu. Iman mereka iman yang diancam, bukan dengan sukarela. 

Baik, nanti kita akan sambung lagi. Hari ini maknanya kita berhenti pada ayat 12. Setakat itu perkongsian kita pada pagi ini. Yang baik dan benar daripada Allah swt, salah silap daripada diri saya sendiri. Daripada Allah saya memohon keampunannya; daripada kita semua, saya mohon kemaafannya. Semoga Allah panjangkan umur kita dan dipermudahkan urusan kita. Jazakumullahu khairan kathira. Kita tutup dengan tasbih kaffarah dan Surah Al-Asr. Assalamualaikum wrbt.

No comments:

Post a Comment