Nota Perkongsian 13.09.2020
Tadabbur Surah An-Naml Sesi 10 ini akan membincangkan ayat 18-19. Ayat-ayat ini menjelaskan tentang kelebihan yang Allah anugerahkan kepada Nabi Sulaiman.
Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman
Assalamualaikum Bersyukur kita ke hadrat Allah swt atas pelbagai limpahan rahmat dan kurnia kepada kepada kita semua. Alhamdulillah, pada pagi yang berbahagia ini kita kembali bersama-sama dalam majlis ilmu kita tadabbur Al-Quran. Mudah-mudahan Allah swt memberkati dan merahmati majlis kita ini dan menganugerahkan kepada kita ilmu yang bermanfaat. Aaminn Ya Rabb. Tak lupa juga kita menyampaikan selawat dan salam kita kepada Baginda Rasulullah saw, mudah-mudahan kita dapat menunaikan ajaran beliau dan melaksanakan sunnah-sunnah yang beliau tinggalkan kepada kita. Apa yang kita akan bincangkan pada pagi ini, insyaaAllah kita akan bincangkan sambungan ayat kita iaitu ayat ke 18 dan 19 daripada Surah Al-Naml. Semalam kita berhenti pada ayat yang ke 17. InsyaaAllah hari ini kita akan membaca ayat 18, 19 sahaja dua ayat. Mudah-mudahan dua ayat ini dapat menjadi motivasi dan inspirasi bagi kita, bagaimana membina kehidupan yang lebih baik dan juga membina tamadun yang hebat. Kita baca tuan puan sekalian dan sila tuan puan buka Surah Al-Naml yang terdapat pada muka surat 378, dan kita akan bincangkan tadi ayat 18 dan 19. حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوْاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يٓأَيُّهَا ٱلنَّمْلُ ٱدْخُلُواْ مَسٰكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ Hingga apabila mereka sampai di lembah semut berkatalah seekor semut: Hai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tentaranya, sedangkan mereka tidak menyadari"; (An Naml 27:18)
احِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صٰلِحًا تَرْضَىٰهُ وَأَدْخِلْنِى بِرَحْمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصّٰلِحِينَ
maka dia tersenyum dengan tertawa karena (mendengar) perkataan semut itu. Dan dia berdoa: "Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapakku dan untuk mengerjakan amal saleh yang Engkau ridhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang saleh".(An Naml 27:19)
Maha Benar Allah keatas firman-firmannya.
Dan harini insyaaAllah kita akan bincangkan dua ayat ini. Jadi, tema yang kita angkat dalam perbincangan kita, tadabbur Surah Al-Naml adalah membina peradaban yang unggul, peradaban yang hebat. Maka pada perbincangan lepas kita menjelaskan tentang kisah Nabi Daud dan Nabi Sulaiman yang Allah swt anugerahkan kepada mereka nikmat-nikmat yang besar, nikmat-nikmat yang hebat. Antara nikmat yang Allah anugerahkan kepada mereka adalah nikmat ilmu. Maka Allah menyebutkan pada ayat sebelumnya, وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْماً Ilmu yang Allah anugerahkan kepada mereka. Dan dia menjadi isyarat kepada pentingnya ilmu dalam tamadun, dalam pembinaan peradaban dan islam menitikberatkan perkara ini sehingga ayat yang pertama turun adalah ayat yang menggalakkan kita untuk menuntut ilmu, untuk mengkaji, untuk mendalami sesuatu.
Kita tidak boleh hanya setakat dengar sahaja tapi kalau boleh kita tahu apa yang kita kuasai tersebut, kita hadapi tersebut. Ini nikmat. Dan apabila kita mengetahui itu adalah nikmat, jangan lupa untuk mensyukurinya. Maka Nabi Daud dan Nabi Sulaiman di antara hamba Allah yang menyedari nikmat Allah itu lalu mensyukurinya dengan memuji Allah swt dengan mengatakan, وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ Mereka mengatakan Alhamdulillah, الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ Yang telah melebihkan kami daripada ramai, daripada banyak hamba-hambanya yang beriman. Dan ulama’ tafsir menjelaskan bahawasanya, Nabi Daud dan Nabi Sulaiman menyedari kelebihan tersebut tetapi ia tidak menyatakan bahawa dia yang terpandai, dia yang terhebat. Dan ini menunjukkan tawadu’nya Nabi Daud dan Nabi Sulaiman kata ulama’ tafsir, yang mana dia menyedari bahawa ada hamba-hamba Allah yang lain yang mana Allah swt beri kurniaan dan dia menyedari tersebut dan dia bersyukur terhadap apa yang dia dapat dulu dan dia tahu bahawasanya ada orang lain lagi yang memperoleh hal yang sama, yang di anugerahkan oleh Allah swt ilmu yang tak kalah hebatnya juga. Ini menunjukkan bahawasanya seorang mukmin menghargai apa yang dia dapat, dia juga menghargai apa yang diperoleh oleh orang lain. Jangan kita menafikan kelebihan orang lain. Kita perlu menghargai dan menghormati kelebihan orang lain. Jangan sampai kita anggap kita sahaja yang pandai, kita yang hebat, orang lain bodoh, tidak seperti itu.
Nabi Daud dan Nabi Sulaiman menghargai kelebihan orang-orang lain, orang-orang beriman yang lain, yang Allah swt pilih mereka sehingga menjadi hamba-hamba Allah yang istimewa. Jadi ini dia Nabi Sulaiman dan Nabi Daud yang bersyukur terhadap anugerah ilmu yang Allah bagi. Dan saya kata pada pertemuan lepas, tuan puan ingat tuan puan lihat apa ilmu yang Allah lebihkan pada tuan puan, Allah anugerahkan pada tuan puan. Tuan puan perlu bersyukur itu, tuan puan perlu menghargai ilmu tersebut. Dan jadikanlah ilmu yang tuan puan ada tersebut sebagai jambatan untuk meraih redha Allah swt, sebagai jalan untuk tuan puan mendapatkan rahmat Allah swt, digandakan pahala tuan puan sekalian.
Maka kalau tuan puan pandai memasak, ilmu masak itu tuan puan share, tuan puan kongsi. Dan jadikan ia asbab untuk orang lain mendapat manfaat. Jadi ini dia tuan puan yang dikasihi sekalian, jangan jadikan ilmu yang kita ada tersebut tidak bermanfaat untuk diri kita dan tidak bermanfaat juga untuk orang lain. Sayang, tuan puan yang dikasihi sekalian. Kesian kita sebenarnya, rugi besar kita. Maka usahakanlah kongsi apa yang Allah berikan kepada kita. Kemudian, Nabi Sulaiman mewarisi apa yang dianugerahkan Allah kepada Nabi Daud as. Ulama’ berkata yang diwarisi oleh Nabi Sulaiman bukanlah harta, bukanlah kekayaan sebab kekayaan bagi Nabi dan Rasul tak boleh diwarisi. Dia akan menjadi sedekah, dia akan menjadi harta orang islam. Dan kedua, jadi apa yang diwarisi oleh Nabi Sulaiman daripada Nabi Daud as, dia mewarisi menurut sebahagian adalah kenabian tetapi sebahagian ulama’ mengatakan kenabian tidak boleh diwarisi, kenabian adalah ishtifaq berdasarkan kepada pilihan Allah swt. Kalau Allah pilih dia maka beruntunglah dia. Ishtifaq berdasarkan ishtifaq nama dia. Maka sebahagian ulama’ menolak yang mewarisi bukan kenabian tetapi apa yang diwarisi adalah ilmu dan kerajaan, ini menurut sebahagian ulama’. Iaitu yang diwarisi oleh Nadi Daud, dua iaitu ilmu dan kuasa (kerajaan). Jadi ilmu yang dimiliki oleh Nabi Daud as diajarkan kepada Nabi Sulaiman dan Nabi Sulaiman dapat menguasai dengan baik. Jadi, boleh sahaja ilmu yang dimiliki oleh ayahnya kemudian diajarkan kepada anaknya kemudian anaknya pun pandai, itu mungkin. Yang kedua apa lagi, kekuasaan (kerajaan) kerajaaan yang tadinya dipimpin oleh Nabi Daud as sekarang berada di tangan Nabi Sulaiman, ia boleh berpindah. Jadi, dua inilah kata ulama’ yang diwarisi oleh Nabi Sulaiman daripada Nabi Daud as. Pada ayat selanjutnya, sambungan tersebut, قَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ عُلِّمْنَا مَنطِقَ الطَّيْرِ وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَيْءٍ Di sini, Nabi Sulaiman menyampaikan apa yang Allah anugerahkan kepadanya. Dia war-warkan, dia sebarkan, seolah-olah dia kata “Wahai manusia” dia bercakap di hadapan manusia. Dan saya katakan pada pertemuan lepas ini ada unsur dalamnya unsur namanya unsur At-Tahadduth Binni’mah. At-Tahadduth Binni’mah merupakan salah satu tanda syukur kita kepada Allah swt.
Bahkan sebahagian ulama’ mengatakan bahawa At-Tahadduth Binni’mah ini adalah penting, mustahak, tidak bertahadduth dengan ni’mah maknanya kita kufur nikmat. At-Tahadduth Binni’mah adalah salah satu yang penting dalam kehidupan kita, yang mana membantu kita untuk menjalankan ataupun mensyukuri nikmat Allah swt. Namun, perkara yang perlu diperhatikan ketika At-Tahadduth Binni’mah ini adalah iaitu perlu menzahirkan peranan Allah dalam kejayaan kita. Bukan peranan diri kita, bukan kehebatan kita. At-Tahadduth Binni’mah tersebut kena menzahirkan menzahirkan peranan Allah dalam apa yang kita dapatkan, nikmat yang kita peroleh. Ini dia At-Tahadduth Binni’mah, jangan kita At-Tahadduth Binni’mah yang kita tunjukkanlah kehebatan kita. “Saya memang macam ni macam tu...”. Kemudian, “Saya memang pandai, otak saya memang geliga, semua kalau saya hafal, saya ingat semua. Apapun saya buat saya akan jadi sukses, berjaya”. Kita nampakkan kehebatan diri tuan puan itu bukan At-Tahadduth Binni’mah namanya. Yang kita perlu zahirkan adalah nikmat yang kita dapatkan itu kemudian adalah sumbernya, daripada mana kita dapatkan itu daripada Allah swt. Dan dalam At-Tahadduth Binni’mah tersebut, kita bukan nak mengajak orang untuk membesarkan diri kita, menghebatkan diri kita tetapi kita perlu mengajak orang untuk membesarkan Allah swt, kita tunjukkan kuasa Allah swt kepada kita sehingga mereka pun berharap kepada Allah swt, mereka teringin untuk melalui proses yang kita lalui dan kemudian mereka pun mendapatkan nikmat seperti yang kita dapatkan tersebut. Jadi, mengajak orang berharap kepada Allah swt. Kadang-kadang di luar sana ada orang yang salah dalam mensyukuri Allah, ada orang yang salah dalam mencari sesuatu. Maka dengan perkongsian tuan puan, dengan menzahirkan At-Tahadduth Binni’mah ini maka orang tahu jalan yang betul untuk meraih redha Allah swt. Maka, amalkanlah At-Tahadduth Binni’mah. Dan ulama’ mengatakan dengan syarat bahawa itu selamat daripada hasad dengki.
Kadang-kadang, kita tahu ada orang yang hasad dengki dengan kita dan kebetulan waktu kita bercakap tersebut dia ada maka lebih baik tidak perlu kongsikan dahulu, tahan dulu, jaga diri supaya selamat daripada hasad dengki orang ini. Lebih baik kita menyimpan dahulu perkongsian kita tentang nikmat Allah tersebut.Dengan tujuan untuk menyelamatkan diri kita daripada kedengkian manusia. Maka, Nabi Sulaiman menceritakan tentang kelebihan yang Allah bagi kepadanya. Dia berkata, لِّمْنَا مَنطِقَ الطَّيْرِ Kami di anugerahkan oleh Allah swt memahami bahasa burung. Jadi, burung mempunyai bahasa tersendiri, cara komunikasi satu sama lain dan Nabi Sulaiman Allah bagi kepadanya ilmu komunikasi dengan burung ini. Maknanya, ilmu komunikasi sangat penting. Dia dapat berkomunikasi dengan burung. Dan ini hanyalah sebahagian sahaja. Dia pun dapat berkomunikasi dan faham juga bahasa semut, dia faham juga bahasa jin, dia faham bahasa-bahasa binatang yang lain, yang ini kelebihan yang Allah bagi kepadanya, وَأُوتِينَا مِن كُلِّ شَيْءٍ Bahkan bukan hanya setakat itu, banyak benda lain yang Allah bagi kepadanya. Segala sesuatu yang dia perlukan Allah anugerahkan kepadanya. Apa rahsianya? Rahsianya adalah bersyukur. Kalau orang bersyukur Allah akan tambahkan. Dia bersyukur terhadap nikmat yang Allah bagi, ilmu yang dianugerahkan kepadanya dan kepada ayahnya, iaitu Nabi Daud as. Nabi Daud diberikan ilmu menggunakan besi maka ilmu itu ada juga pada Nabi Sulaiman. Dan dia bersyukur dengan nikmat tersebut, Allah bagi nikmat yang lain iaitu nikmat memahami bahasa burung. Lepas itu, dapat memahami bahasa semut. Ini sebabnya, dia bersyukur. Jadi, cuba kenalpasti ilmu yang kita ada, ilmu yang kita miliki. Cuba kenal pasti. Sebagai contoh, saya sedar bahawa Allah beri kepada saya adalah dapat menguasai bahasa arab, saya tahu bahasa arab dan saya bersyukur sangat dengan nikmat bahasa arab tersebut. Dan saya cuba untuk memanfaatkannya. Ketika kita memanfaatkan sesuatu ilmu, Allah akan bukakan pintu ilmu yang lain. Apabila saya betul-betul, menguasai bahasa arab maka Allah bukakan ilmu tafsir, maka Allah bukakan ilmu hadith, maka Allah bukakan ilmu yang lain. Yang terkini, kerana saya nak manfaatkan ilmu atau nak berkongsi dengan orang apa yang saya ketahui, lalu saya pada masa PKP ada masa, saya bolehlah cuba belajar untuk edit video, yang sebelum ini saya tidak tahu apapun sebenarnya, tak reti pun. Lalu saya cuba untuk edit video, belajar dari Youtube tengok ini, tengok itu. Dan juga macam mana nak live dengan baik, maka Allah bukakan kepada saya ilmu untuk edit video pula. Sedikit sebanyak, bukanlah hebat sangat tapi tahulah basic-basic tadi itu. Untuk live perlukan alat ini, alat itu. Ada kawan bertanya pada saya “Ustaz, macam mana ustaz buat tu?” , dia berkata, “Cantik ustaz buat kami pun nak tahu”. Ini, kadang-kadang Allah bukakan ilmu sebab kita nak memanfaatkan ilmu yang ada. Ketika kita berusaha untuk memanfaatkan ilmu yang ada Allah akan bukakan ilmu-ilmu yang lain. Allah akan tunjukkan ilmu-ilmu yang lain. Tetapi ketika kita tidak menghargai ilmu yang kita ada, ilmu yang kita ada ini hilang dan kita akan hilang juga peluang untuk dapat ilmu-ilmu yang lain. Maka oleh itu, hargai ilmu yang ada, hargai pengetahuan yang ada. Ketika Nabi Daud, Nabi Sulaiman menghargai ilmu yang diperoleh dari Nabi Daud as maka Allah anugerahkan kepadanya ilmu-ilmu yang lain. Oleh itu, bersyukur terhadap nikmat yang Allah bagi akan mendatangkan kepada kita nikmat yang lain. Di antaranya, Allah bagi kepada Nabi Sulaiman adalah iaitu nikmat kuasa yang mencakupi kata Allah pada ayat yang kita baca tadi adalah, Ini dia, yang mana kata Allah, iaitu dan untuk Sulaiman dikumpulkan bala tentaranya daripada jin. Dan diletakkan jin baru manusia dan burung-burung. Kalau Nabi Sulaiman berpergiaan bersama dengan pasukannya bahagian hadapan, iaitu adalah jin, baru manusia dan juga ada burung-burung di belakang mengiringinya. Kata Allah swt, فَهُمْ يُوزَعُونَ Lalu mereka berbaris dengan tertib. Jadi, group jin yang memang orang tak nampaklah kan, lalu kemudian manusia, pasukannya lalu dibahagi pula urutan pasukan manusia. Dan ada pasukan daripada burung-burung, yang mana burung-burung ini juga bersama dengan Nabi Sulaiman as. MasyaAllah. Ini kuasa yang tidak ada pada orang lain. Dan kuasa ini merupakan permintaan doa daripada Nabi Sulaiman. Dalam ayat yang lain, Allah swt menyatakan; “Ya Allah, anugerahkanlah aku kuasa yang tak ada pada orang selepas aku” Iaitu ayat Al-Quran Surah Sad yang mana menceritakan tentang kelebihan Nabi Sulaiman ini. Cerita Nabi Sulaiman dalam Al-Quran diceritakan dalam lima surah. Di antaranya adalah surah Sad, dan yang kita dah baca tadi Surah An-Naml. Yang mana pada Surah Sad ayat ke 35, muka surat 455 yang Allah menceritakan tentang doa Nabi Sulaiman. Kata Nabi Sulaiman; قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكاً لَّا يَنبَغِي لِأَحَدٍ مِّنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ Yang mana, Nabi Sulaiman berkata, berdoa “Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku.” menunjukkan Nabi Sulaiman ini di antara orang yang tak pernah berhenti daripada beristighfar, memohon keampunan daripada Allah swt walaupun dia seorang Nabi dan Rasul. Apa sebab? Istighfar ini pembuka kepada semua. Maka, rajin-rajinlah istighfar. Istighfar ini akan membuka kepada perkara-perkara yang lain, kebaikan-kebaikan yang lain. Maka, doa yang bagus bermula daripada Istighfar dahulu. Dan ulama’ kata ini menunjukkan peranan istighfar sangat besar dalam dimakbulkan doa-doa kita. Nabi Sulaiman melakukan hal yang sama. Lepas itu, barulah dia kata, وَهَبْ لِي مُلْكاً لَّا يَنبَغِي لِأَحَدٍ مِّنْ بَعْدِي “anugerahkanlah aku kuasa yang tiada orang pun selepas aku yang layak menerimanya”. Maka, kuasanya apa? Kuasa kepada jin, binatang. Ini dimiliki oleh nabi Sulaiman. Nabi Muhammad saw pernah pada suatu hari menangkap jin. Ketika dia sedang solat, melintas jin, di hadapannya maka dia tangkap dengan tangannya sehingga dalam riwayat mengatakan terasa oleh Rasulullah lelehan lidah daripada jin itu di tangan. Dan ketika itu teringin dia untuk mengikat jin ini supaya esok orang ramai boleh nampak apa yang ada pada jin ini tapi Rasullah teringat dengan doa Nabi Sulaiman ini yang mana dia kata Nabi Sulaiman minta kuasa yang tak boleh ada pada orang selepasnya.
Maka, Nabi Muhammad melepaskan jin tersebut bagi meraikan doa daripada Nabi Sulaiman ini iaitu doanya agar mendapat kuasa yang luas termasuk kuasa terhadap bangsa jin. “Sesungguhnya Engkau boleh menganugerahkan apa yang kami minta, maha menganugerahkan”. Dan Allah makbulkan tak? Allah makbulkan doa tersebut maka dia mempunyai kuasa yang luas. Kuasa kepada manusia; manusia pada waktu itu pun patuh kepadanya. Kuasa yang dimiliki oleh Nabi Sulaiman merupakan kuasa yang semua orang tunduk patuh kepadanya. Apa sebabnya? Sebab Nabi Sulaiman berlaku adil kepada semua. Dan dalam artikel yang saya baca bahawasanya Nabi Sulaiman bukan hanya berlaku adil kepada manusia, dia pun berlaku adil kepada bangsa jin, berlaku adil juga kepada burung. Manusia ada yang taat, ada juga yang ingkar. Ada yang rajin, ada malas. Ada yang berbuat baik, ada yang berbuat buruk. Maka, yang berbuat baik akan dibalas dengan kebaikan, yang berbuat jahat akan dibalas dengan keburukan (dihukum). Demikian juga kata ulama’, bangsa jin yang berada di bawah kuasa nabi Sulaiman juga diperlakukan secara adil oleh Nabi Sulaiman yang mana siapa yang buat baik Nabi Sulaiman akan bagi balasan yang baik, yang jahat, buruk. Itu pun dihukum oleh Nabi Sulaiman, ada yang dipenjara.
Begitu juga burung, ingat tak kisah burung hud hud tiba tiba hilang, menghilang tanpa minta izin Nabi Sulaiman. Maka, Nabi Sulaiman kata mana hud hud ni? Kalau aku jumpa dan dia tak memberi alasan yang betul. Maka, aku akan menghukum dia. Sebab apa? Nabi Sulaiman berlaku adil dan ini menunjukkan bahawasanya peradaban yang bagus, tamadun yang hebat dibina atas keadilan selain di mana atas ilmu dan kesyukuran. Dan Nabi Sulaiman berlaku adil kepada makhluk-makhluk di bawah kuasanya, kepada rakyatnya. Dan kalau kita lihat Allah swt menyebutkan tentang pasukan/ bala tentera Nabi Sulaiman ini berbaris dengan tertib. Dan ini menunjukkan bahawasanya adalah tamadun yang baik perlunya tertib, disiplin, teratur. Tak guna kuasa yang besar tetapi celaru, serabut.
Allah ada menyebutkan dalam Surah Saf tentang bahawa Allah suka orang-orang itu seperti bangunan/ binaan yang berdiri tegak. Ini yang Allah inginkan. Maka, umat Islam mesti seperti itu juga, bersatu padu, bekerjasama, teratur dalam kehidupan, bukan buat suka hati sahaja. Apabila ada queue, beratur elok-elok. Kita ada adab-adab dan sebenarnya ketertiban dan peraturan itulah tamadun dan peradaban. Tamadun dan peradaban adalah kita lihat daripada masyaratnya. Adakah masyarakatnya tertib dan teratur? Kalau masyarakatnya tertib dan teratur, itulah peradaban yang hebat, tinggi. Maka negara yang kita salute dari segi tertib dan teratur, Jepun. MasyaAllah. Walaupun ramai, mereka tetap jaga peraturan tersebut. Kita dalam surah An-Naml ini, dijadikan An-Naml sebagai nama surah untuk kita belajar daripadanya. Apakah yang kita dapat belajar daripada An-Naml ini? Pelajaran yang besar sekali. Ini kita akan bincangkan dalam topik yang panjang sikit sebelum kita sambung yang lain. Seperti dahulu, kita bincangkan an-nahl secara detail sedikit.
Kali ini, insyaaAllah kita akan bincangkan tentang An-Naml iaitu semut. Kita mengambil pengajaran dan pelajaran daripada makhluk Allah yang namanya semut. Dan itu diisyaratkan oleh Allah oleh ayat sebelumnya itu iaitu bahawasanya pasukan Nabi Sulaiman, فَهُمْ يُوزَعُونَ mereka itu berjalan dengan tertib, beratur dengan tertib, pasukan yang tersusun. Inilah semestinya gambaran peradaban Islam, yang unggul tersebut, peradaban yang tersusun rapi. Kesimpulan yang baik daripada Kak Rahimah iaitu “Tamadun yang unggul dibina atas Ilmu, komunikasi yang baik, keadilan/tertib/disiplin masyarakatnya.” Ini menjagi keutamaan tamadun tersebut. Maka, negeri-negeri Islam sepatutnya mengambil berat perkara ini. Terima kasih kepada rakyat, sesama rakyat pun demikian juga. Kemudian, keadilan yang merata.
Biasanya, apabila sudah berlaku kezaliman, akan berlakulah pemberontakan, perlawanan. Nanti akan berlaku hilangnya perdamaian, keamanan dan ketenteraman. Terutamanya orang Islam, dia sangat benci kepada kezaliman, apabila ada pihak yang mempergunakan yang lain. Maka, biasanya dia akan tampil bangun dan melawan. Dan ini menyebabkan dari satu sisi akan berlaku pergaduhan/perbalahan antara orang Islam. Komen dari Kak Kalthom, “Macam ni kena bukukan apa-apa ilmu yang ada pada diri agar ilmu memasak boleh dimanfaatkan oleh anak-anak serta yang lain”. Inilah kelemahan kita orang melayu terutama. Orang islam dahulu membukukan apa yang ada pada mereka tersebut sehingga menjadi rujukan bagi generasi selepasnya. Kalau kita tengok buku-buku tu macam. Kalau saya mengkaji buku-buku Islam, buku-buku Arab, saya dapat macam-maca. Di antara yang saya baru jumpa ada satu buku khas bercerita tentang “At-thahaduth binni’mah” yang saya kongsikan tadi iaitu kita menceritakan nikmat yang Allah bagi. Ternyata Imam As-suyuti ada satu buku namanya “At-thahaduth binni’mah”. Saya akan tengok nanti secara lebih detail apa yang terkandung dalam buku tersebut. Jadi, Allah swt menyebutkan pada ayat 18 iaitu tentang An-Naml, semut yang dalam konteks Nabi Sulaiman melewati satu lembah yang lembah itu dikenal sebagai Wadi An-Naml, lembah tempat sarang semut. Ulama’ tafsir tak silap saya Tafsir Ibnu Kathir, Tafsir Ar-Razi juga menyebutkan lembah semut yang dikatakan oleh Allah swt merupakan satu kawasan yang terletak di Syams, di Syria. Tempat itu banyak semut, sekarang ada lagi atau tidak, wallahu a’lam. Yang pasti ini adalah perkara yang pernah ada pada zaman dahulu, mungkin dengan keadaan perubahan zaman, berubahlah tempatnya. Allah swt menyebutkan Nabi Sulaiman melewati tempat yang bernama Wadi An-Naml iaitu kawasan yang mana terdapat banyak semut di sana. Dan dari segi bahasa Arab, ulama’ tafsir ada membincangkan atta a’la wadi, biasanya hatta ila wadi. Biasanya, sampai ‘di’. Tapi sini gunakan a’la. Kenapa? Satu kata ulama’ adalah sebab semut itu berada di bawah dan Nabi Sulaiman berada di atas. Maka, digunakan ‘ala. Jadi, sampai di lembah semut dan ini menunjukkan semut ini boleh banyak, boleh luas sehingga satu lembah dia boleh kuasai. Satu gunung, dia boleh kuasai. Wadi menunjukkan lembah, besar. Dan ini menunjukkan bahawasanya semut ini suka membuat satu kawasan itu dia je punya. Kalau perasan, kalau tak jaga rumah dengan elok, semut dah berkuasa, dia buat jajahan sendiri. Dan ini pelajaran bagi kita bahawasanya, manusia pun seperti itu juga. Apabila sampai di satu tempat dia akan kuasai, menjadi besar luas sehingga dia berkuasa di sana, menempati tempat tersebut. Maka, ada penempatan-penempatan, kawasan-kawasan baru yang dahulunya adalah hutan, ladang sawit.
Sekarang sudah jadi pusat penempatan, kediaman-kediaman manusia. Maka, di sini semut juga mempunyai prinsip yang sama. Apabila dia nampak satu tempat yang layak dia duduk, tinggal, maka dia akan berkampung di sana. Kemudian, dia akan luaskan, besarkan lagi. Kalau sekiranya tidak dijaga oleh manusia, makin besar dan luas. Boleh sahaja satu lembah dia kuasai, satu kampung/ satu kawasan dikuasai semut. Dan semut merupakan satu makhluk Allah yang suka berjamaah, buat kerja berjamaah. Perhatikan semut angkat makanan. Kadang-kadang makanannya sangat besar dibandingkan badan mereka tetapi mereka itu kerja sama-sama, satu angkat dipindahkan sampai ke sarang. Maka, peradaban yang unggul peradaban yang mementingkan kerjasama.
Kerjasama penting perlu, penting dalam kehidupan kita ini. Jangan kita buat sendiri-sendiri. Buat sendiri-sendiri maka hasilnya tidak akan maksimum. Dengan kerjasama tersebut yang susah menjadi mudah, yang berat menjadi ringan, yang jauh menjadi dekat. Tapi apabila buat sendiri-sendiri, dia akan jadi berat, benda yang remeh jadi besar, benda yang dekat rasa jauh. Namun, ada semut kita mengambil pengajaran mereka ini berjamaah, bekerjasama antara satu sama lain, bantu-membantu, bantu membuat sarang, bantu mendapatkan makanan. Maka, mereka ada division-divisionnya juga. Ingat lagi cerita lebah, mereka juga ada bahagian-bahagiannya; bahagian yang mencari nektar, membuat telur, membuat sarang, mengeluarkan madu; dia ada bahagian-bahagiannya. Jadi, semut mempunyai keistimewaan yang mana dia membahagikan tugas mereka masing-masing. Maka, kita dalam membina satu tamadun, kita kena kenal pasal job yang diperlukan dan kita agihkan. Dan daripada ayat ini, kita mengambil satu pelajaran iaitu adalah bahawa kena ada seorang pemimpin. Dalam ayat ini ke 18 surah An-Naml, pemimpin bagi semut adalah semut betina bagi semut-semut ini sebagaimana yang kita bincangkan pada lebah, yang memimpin ini juga lebah betina. Maknanya pada serengga, yang betina ini berpengaruh, dia yang hebat/ berkuasa. Maka, Imam Abu Hanifah bahawasanya ketika dia ditanya yang berkata dalam surah tersebut adakah semut betina atau tidak. Maka, kata Imam Abu Hanifah ia adalah semut betina. Buktinya dalam bahasa Arab قَالَتْ نَمْلَةٌ, kedua-duanya mu’annath.
Ketika serasi feel dan fael, dalam bahasa arab ini menunjukkan confirm bahawasanya pelaku itu adalah perempuan. Ada masa yang feel dan fael ini tak serasi yang menunjukkan female ini bukan betul-betul female tetapi female majasi. Mua’nnath majasi ini kalau kita lihat dia bukan perempuan, orang Arab yang menganggap dia betina seperti Matahari (Syamsun), Api (Narun). Orang Arab menganggap dia female sedangkan kita tahu matahari mana ada jantinanya. Ini berdasarkan orang Arab sahaja. Jadi, pemimpin bagi semut adalah Mu’annath ataupun betina. Jadi, menunjukkan Allah swt bagi kuasa itu kepada sesiapa yang dikehendaki. Pada manusia, pada asalnya Allah menyerahkan kuasa kepada lelaki. Dalam Al-Quran secara jelas Allah katakan lelakilah yang berkuasa ke atas perempuan, perempuan kena ikut kata lelaki. Tapi sekarang ini terbalik. Ketika kuasa dan peranan lelaki dah tak nampak lagi sebab lelaki tidak menunjukkan peranan mereka, melaksanakan tugas-tugas mereka. Dan ketika terbalik, maka berlakulah ketidakseimbangan, akan hilanglah sesuatu yang patut, maka hilanglah kebahagiaan yang hakiki, penghormatan yang sepatutnya, berlaku kepincangan sebab lari dari fitrah. Zaman sekarang ini lelaki banyak masalah, berpunca daripada mereka ini banyak. Isteri jadi derhaka sebab dia, anak-anak jadi derhaka sebab dia juga. Maka, lelaki zaman sekarang lelaki yang perlu sangat diperbaiki. Tapi ketahuilah, puncanya daripada siapa? Didikan ibu bapa terutama ibu, ibu sangat penting mendidik anak, memainkan peranan. Ibulah kena tunjukkan kepimpinan tersebut.
Saya sangat bertuah sebab mak kami dari kecil didik kami bertanggungjawab. Dia bagi tugas-tugas walaupun sebenarnya kami kecil-kecil, semua ada bahagian masing-masing. Ramai ibu bapa sekarang tidak membahagikan tugas, tidak memberikannya tanggungjawab, ini bahaya. Sehingga nanti dia tidak rasa bertanggungjawab terutama bagi mereka yang mengharapkan pembantu-pembantu, orang buat semua. Dalam masa yang panjang, ia akan memudaratkan, anak kita tidak nampak tanggungjawab tadi tu. dia merasakan dia perlu dilayan selalu, dia tidak merasa dia perlu melayan. Kalau perasan, pemimpin yang sebenar adalah pemimpin yang melayan, memberi servis. Saya yakin kalau perempuan nakkan suami yang layan dengan baik. Tapi kalau tidak ada didikan seperti itu dari rumah, maka jangan harap anak-anak kita akan memberi layanan. Dia justeru ingin dilayan. Inilah yang terjadi pada pemimpin-pemimpin sekarang, ingin dilayan. Sedangkan, menjadi pemimpin itu untuk melayan. Itu yang lari dari sunatullah. Kita tak nafikan pengaruh luar sangat memberi peranan pada cara anak kita dibesarkan, cara anak kita jadi orang sekarang ini. Oleh itu, kita cuba apa yang kita terdaya. Kita kena ingat bahawasanya Allah minta kita untuk usaha. Saya selalu tanam dalam diri saya, yang penting saya buat dahulu apa yang Allah nak. Allah nak anak saya solat, saya suruh dia solat. Apahal yang berlaku kemudian, kita serahkan kepada Allah swt. Dia tahu aspek negatif yang berada di sekitar kita ini dahsyat tapi peranan kita di rumah ini adalah sangat penting. Apabila kita jaga dengan elok, jangan lupa berdoa kepada Allah swt agar anak-anak kita ini terpelihara, terjaga. Jangan lupa doa. At the end, Allah yang akan menentukan juga. Yang baik dan benar daripada Allah swt, salah silap daripada diri saya sendiri. Daripada Allah saya memohon keampunannya; daripada kita semua, saya mohon kemaafannya. Jumpa lagi akan datang, mungkin saya akan fokuskan tentang semut ini, apa ikhtibar, pengajaran yang boleh kita ambil daripada semut ini. Saya tutup dengan tasbih Kaffarah dan Surah Al-Asr. Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment