Wednesday, 19 August 2020

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 1 : 15 Aug 2020M

Hari ini merupakan hari pertama untuk program Tadabbur Surah An-Naml. Kita akan membincangkan pengenalan terhadap surah An-Naml dan tafsir serta tadabbur awal surah.

 Nota Perkongsian 15.08.2020

Tadabbur Surah An-Naml

Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 

Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Surah Al Naml Pengenalan Surah An Naml.

Bermakna Semut.
Semut merupakan mahluk ciptaan Allah yg kecil. Ia mempunyai kelebihan yg bolih Di teladani manusia terutama org yg beriman. Ayat. 18 & 19.Surah

Tema: MEMBINA PERADABAN(Tamadun) MANUSIA UNGGUL.

Bersyukur kita ke hadrat Allah swt. Kemudian, selawat dan salah tidak lupa juga kita disampaikan kepada Nabi Muhammad saw. Alhamdulillah kita diberi peluang hari ini untuk memulai surah baru dan saya berharap perkongsian kita ini sentiasa memberikan suatu pencerahan. 

Sebenarnya secara peribadi saya mengatakan bahawasanya setiap perkongsian yang disampaikan adalah untuk diri saya, untuk mentarbiah diri saya, untuk mengingatkan diri saya dan untuk menambah ilmu saya secara peribadi. Maka, saya suka membincangkan surah-surah yang baru, bukan surah yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Surah-surah yang baru di antaranya Surah An-Naml ini. Saya nak menggalinya, mendalaminya dan hasil galian dan kajian itu saya cuba kongsikan dengan tuan-tuan dan puan-puan. Saya berharap mana yang baik daripada perkongsian tersebut, tuan puan ambil dan mana yang tak baik, tolong tinggalkan. Kalau boleh tuan puan doakan saya dapat memperbaiki kelemahan dan kekurangan tersebut. 

Jadi, kita akan membincangkan Surah An-Naml. Untuk kali pertama ini, saya ada pengenalan sedikit tentang Surah An-Naml. Dari segi nama iaitu An-Naml yang bermakna semut. Makhluk ciptaan Allah semuanya hebat belaka, semuanya memberi manfaat, semuanya ada kegunaannya. Inilah yang disedari oleh satu kumpulan manusia yang disukai dan dicintai oleh Allah swt yang bernama sebagai Ulul Albab. Ulul albab adalah orang-orang yang menggunakan setiap potensi yang dimiliki untuk mengenal Allah swt. Dan orang ini cuba untuk melihat kebaikan pada setiap apa yang diciptakan Allah sehingga mereka mendapat kesimpulan مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً  (tak ada yang sia-sia daripada ciptaan Allah swt).

An-Naml adalah semut. Semut merupakan salah satu ciptaan Allah swt yang kecil. Kecil bentuknya tetapi masyaaAllah ia mempunyai kelebihan dan keutamaan yang sebagai manusia beriman, orang-orang yang meyakini kepada segala yang dicipta oleh Allah swt bermanfaat, kita akan dapat pengajaran daripadanya. 

Ingat, orang beriman suka mengambil pelajaran, suka mendapatkan iktibar daripada ayat Allah yang tertulis iaitu Al-Quran ataupun daripada ayat Allah yang terbentang yang kita dapat lihat iaitu alam ini. Allah swt mengajak kita melalui Surah An-Naml ini untuk mengenal makhluk ciptaan Allah yang kecil tetapi masyaaAllah ia mempunyai kelebihan dan keutamaan yang besar seperti kita dah membincangkan sebelum ini iaitu An-Nahl iaitu lebah, makhluk Allah yang hebat. 

Semut di antara makhluk Allah yang mempunyai kelebihan yang boleh diteladani manusia terutama orang-orang yang beriman. Tema yang kita angkat untuk perkongsian kita kali ini adalah membina peradaban manusia unggul. 

Sebelum ini kita mentadabbur surah An-Nahl, tema yang diangkat adalah bagaimana menjadi mukmin yang produktif. Lebah adalah makhluk Allah swt yang produktif, yang sentiasa menghasilkan. Surah An-Naml ini mempunyai kaitan yang rapat dengan Surah An-Nahl tersebut. 

Jika An-Nahl berkaitan dengan mukmin secara individu atau personal, maka surah An-Naml ini adalah mukmin yang memberi sumbangan kepada umat manusia, memberi sumbangan kepada peradaban manusia. Ini yang kita cuba ketengahkan iaitu “membina peradaban manusia yang unggul”.

Jadi, ketika mukmin itu sudah menjadi manusia yang produktif. Maka, dia akan menghasilkan perkara-perkara yang bermanfaat dan perkara-perkara yang bermanfaat itu secara tidak langsung akan mempengaruhi masa depan manusia. Mukmin tidak boleh beramal untuk diri sendiri sahaja, dia perlu beramal untuk memberi manfaat kepada orang lain seperti kita bincang dahulu yang mana seperti lebah yang memberikan madu. Madu merupakan makanan yang paling berkhasiat dan sesiapa pun makan ada dapat khasiatnya. Madu yang tidak asli barulah akan memudharat. Oleh itu, kita berharap ketika kita menjadi mukmin yang produktif, kita dapat menghasilkan sesuatu yang bermanfaat dalam bentuk peradaban. 

Surah An-Naml berasal daripada perkataan An-Naml yang ada dalam surah An-Naml sendiri iaitu ayat ke 18 dan ayat 19. Terdapat didalamnya cerita tentang semut dan cerita tersebut dikaitkan Nabi Sulaiman. Surah An-Naml ini juga dikenali juga sebagai surah Sulaiman. Sulaiman ialah nabi Allah yang mulia yang Allah swt memberi kemuliaan, memberi kepadanya kelebihan, yang mana pada diri nabi Sulaiman sendiri terdapat teladan yang baik, sepanjang zaman terutamanya pada zaman kita sekarang ini Allah swt sudah membukakan pintu khazanah kekayaan kepada manusia, berbagai macam kuasa yang Allah bagi kepada manusia. 

Dan kita mempunyai seorang nabi yang Allah swt telah memberi kekayaan yang melimpah ruah, kuasa yang luas, bukan hanya berkuasa kepada manusia akan tetapi berkuasa pada jin dan binatang. Dia boleh bercakap dengan burung. Dia boleh bercakap juga dengan semut yang menjadi cerita juga di dalam surah An-Naml ini. Jadi, dalam surah ini banyak bercerita tentang Nabi Sulaiman. Maka, surah ini juga dinamakan dengan surah Sulaiman.

Adakah di dalam surah Sulaiman ini bercerita tentang nabi Sulaiman sahaja? Tidak. Dalam surah An-Naml ada kisah nabi yang lain bahkan nanti akan dimulakan terlebih dahulu dengan kisah nabi Musa. Ada beberapa orang nabi yang lain juga yang disebutkan oleh Allah di dalam surah ini tetapi di antara nabi yang panjang, lebar atau terperinci sedikit kisahnya di dalam surah An-Naml ini adalah Nabi Sulaiman sehingga dinamakan juga surah ini dengan Surah Sulaiman. 

Di dalam Al-Quran ada susunan Mushaf dan ada susunan berdasarkan penurunan. Berdasarkan susunan Mushaf, surah An-Naml ini ialah surah yang ke 27 dan dari juzuk yang ke 19. Dan dari segi penurunan, ia diturunkan selepas surah Asy-Syu’ara’. Biasanya surah Al-Quran diturunkan susunannya lain dengan susunan mushaf. 

Tetapi kata ulama’, di antara surah yang sama susunannya pada waktu penurunan dan pada waktu penyusunan mushaf itu adalah surah Asy-Syu’ara’ ini. Surah Asy-Syua’ra, kemudian disambung dengan Surah An-Naml dan seterusnya Surah Al-Qasas. Jadi, ada surah dalam Al- Quran waktu penurunan dan susunan dalam mushaf berbeza seperti surah Al-’Alaq, diturunkan d iawal sebenarnya tetapi surah tersebut ada di belakang, di juzuk 30 (mengikut susunan mushaf). 

Sebab apa tidak diletakkan di hadapan? Sebab pada ramadhan tahun terakhir, Jibril datang bertadarus dengan Rasulullah saw dan menunjukkan kepada Rasulullah saw susunan akhir daripada ayat-ayat Al-Quran, mulakan dengan Al-fatihah, Al-Baqarah, Ali Imran, An-Nisa dan selanjutnya yang kita jumpa dalam mushaf. Dan ia bukanlah ijtihad Nabi Muhammad saw tetapi itu adalah arahan daripada Allah melalui malaikat Jibril kepada Rasulullah saw. 

Jumlah ayat dalam surah An-Naml ialah 93 ayat. Jadi, ia tidak sampai 100 ayat. Maka, ia dianggap sebagai ‘Al-miin’ atau surah yang jumlahnya dekat dengan 100 (kurang atau lebih sedikit daripada 100 iaitu 90 ke atas, 120 ke bawah). Dia ia juga merupakan Surah Makiyyah, surah yang diturunkan di Makkah. 

Surah An-Nahl juga surah yang diturunkan di Makkah juga. Kenapa saya suka berkongsi surah yang diturunkan di Makkah ini sebab surah ini membantu kita untuk memperteguh iman, membantu kita untuk memahami prinsip-prinsip asas beragama ini, fondasinya. Maka, dalam beragama, tuan-puan perlu faham fondasinya tersebut. Kita perlu tahu asas agama ini. Jika apa pun yang datang, insyaaAllah kita mampu bersabar, kita boleh bertahan menghadapinya. Nanti kita akan lihat bagaimana kaitan surah ini dengan keimanan kita dengan keyakinan kita. 

.............................................................................

Bacaan :

طسٓ ۚ تِلْكَ ءَايٰتُ ٱلْقُرْءَانِ وَكِتَابٍ مُّبِينٍ

Thaa Siin (Surat) ini adalah ayat-ayat Al Quran, dan (ayat-ayat) Kitab yang menjelaskan,

(An Naml 27:1)


هُدًى وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

untuk menjadi petunjuk dan berita gembira untuk orang-orang yang beriman,

(An Naml 27:2)


ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلْءَاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ

(yaitu) orang-orang yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

(An Naml 27:3)

Jadi Surah An-Naml dimulai dengan huruf Muqataah iaitu huruf Taa Sin seperti Alif Lam Mim, Alif Lam Ra ataupun Nun, Qaf, Tha Ha, Yaasin. 

Soalan 

“Ustaz, saya perasan haiwan yang disebut di dalam Al-Quran bersaiz kecil seperti lebah, semut, kenapa?”

Jawapan:

Pertamanya, surah yang bercerita tentang haiwan-haiwan kecil tetapi bermanfaat ini adalah surah yang diturunkan di Makkah yang mana Makkah, majoriti penduduknya ketika itu adalah kafir, menyombongkan diri, menunjukkan pada Rasulullah saw dan orang Islam bahawa mereka itu hebat dan bangga dengan diri mereka, merasa sombong dengan diri mereka sebagai manusia. 

Maka, Allah swt  mendatangkan makhluk-makhluk kecil ini untuk menghancurkan kesombongan mereka, membenam, membungkam keangkuhan mereka itu. Maka, Allah berkata “Wahai orang-orang kafir, kamu ini badan sahaja yang besar tapi dari segi manfaat kamu tidak ada apa-apanya, makhluk aku yang kecil seperti lebah, semut, lalat itu lebih bermanfaat daripada kamu sebab makhluk Allah tersebut tunduk dan patuh kepada Allah swt.

 Tetapi kamu orang kafir ini, Allah swt berikan kelebihan bermacam-macam tetapi kamu tidak mengenal Allah, kamu tidak tunduk kepada Allah. Allah menciptakan kamu, kamu sombong.” Allah datangkan makhluk kecil ini untuk menghancurkan, untuk menghina kesombongan orang-orang kafir Makkah. Jadi, walaupun seseorang ini mungkin hina pada pandangan manusia tetapi di pandangan Allah hebat. Ini yang mengajar kita, menjadi pelajaran. Nanti kita akan bincangkan dengan lebih lanjut apa kelebihan dan keutamaan sehingga Allah swt menyebutkan semut dan Al-Quran. 

Mari kita lihat ayat pertama Surah An-Naml yang mana ayat pertamanya Allah swt memulai dengan Tho Sin (). Taa Sin ini dalam bahasa arab, ia merupakan huruf Muqataah (الحروف المقطعه). Huruf Muqataah ialah huruf yang dibaca satu-satu. Dia tak seperi satu perkataan, dia adalah huruf. Maka, kita baca ‘Tho’, kemudian ‘Sin’. Kita tak baca ‘Tho Saa’ atau ‘Tho Sii’. kita potong-potong dia, Muqataah adalah potong-potong. Kita ambil dia huruf demi huruf. Dari segi tafsiran, ada kah makna dari huruf Muqataah ini? Majoriti ulama’ menyerahkan maknanya kepada Allah swt yang mana mereka menganggap huruf seperti huruf “Tho Sin” ini adalah huruf yang hanya Allah sahaja yang tahu apa maksudnya, apa yang terkandung di dalamnya. 

Mereka tidak mahu mengungkit-ungkit apa maknanya. Akan tetapi, ada antara ulama’ yang cuba mendalami apa yang dimaksudkan dengan huruf- huruf muqataah ini. Maka, mereka mengemukakan pandangan-pandangan mereka. Semua pandangan tersebut adalah ijtihad mereka. Ia bukan betul-betul pandangan yang boleh kita katakan ini yang lebih tepat, ini yang tak benar sebab ini adalah ijtihad.

 Pertama, kata mereka (ulama’), huruf muqataah ini  adalah Asmaaus Suar (اَسمَاءُ السُوَر), nama surah. Maka, nama lain bagi surah An-Naml adalah Surah Tho Sin. Dan pendapat yang kedua mengatakan ia adalah Fawatihus Suar (فَوَاتِحُ السُوَر), pembuka kepada surah-surah. Jadi, Allah swt sengaja memulakannya dengan fawatihus Suar (فَوَاتِحُ السُوَر) ini, dengan huruf-huruf ini untuk manusia tahu bahawasanya Al-Quran ini berbeza dengan kitab yang lain, kitab yang lain tak dibuka dengan yang ini. 

Seperti yang kita tahu, selain daripada Allah swt membuka dengan fawatihus Suar (فَوَاتِحُ السُوَر) ini, ia dibuka juga dengan bismillah (بسم الله). Bismillah (بسم الله) dinamakan juga dengan fawatihus Suar (فَوَاتِحُ السُوَر). Dan ada juga yang berpendapat bahawasanya, huruf taa sin ini merupakan Asmaaullahul Husna (اسماء الله الحسنى), nama-nama Allah yang indah. Jadi, kita tahu nama Allah yang kita kenal ada 99. Maka, ulama’ berkata bahawasanya nama Allah itu lebih daripada 99. Nama Allah yang 99 itu adalah nama Allah yang perlu kita ketahui, yang perlu kita hafal. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda :

إن للهِ تسعةً وتسعين اسمًا ، مائةً إلا واحدًا ، مَن أحصَاهَا دَخَلَ الجنةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi Allah SWT sembilan puluh sembilan nama, seratus kecuali satu, barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga”.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (6410) dalam Sahih al-Bukhari, dalam Kitab Doa-Doa, Bab Allah Mempunyai 100 Nama Kecuali 1.

Akan tetapi nama Allah swt lebih daripada 99. Ia tidak terkira sebenarnya. Dan hadith nabi yang lain, kesimpulan nama Allah itu ada 3;

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَا أَصَابَ أَحَدًا قَطُّ هَمٌّ وَلَا حَزَنٌ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي ، إِلَّا أَذْهَبَ اللَّهُ هَمَّهُ وَحُزْنَهُ ، وَأَبْدَلَهُ مَكَانَهُ فَرَجًا ” ، قَالَ : فَقِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، أَلَا نَتَعَلَّمُهَا ؟ فَقَالَ : ” بَلَى ، يَنْبَغِي لِمَنْ سَمِعَهَا أَنْ يَتَعَلَّمَهَا ” .

‘Abdullah bin Mas’ud radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidaklah apa-apa masalah atau kesedihan menimpa seseorang, lalu orang itu membaca:

“Ya Allah, sesungguhnya aku hamba Mu, anak kepada hamba Mu, anak kepada hamba perempuan Mu, ubun-ubun ku di Tangan Mu, telah berlalunya keputusan Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan Mu, aku memohon kepada Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib Mu, (aku memohon kepada Mu) untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati ku, cahaya di dada ku, penghilang kesedihan ku, penghapus kesusahan ku”

Satu, nama Allah yang Allah sebut dalam kitab - kitab yang diturunkan kepada manusia. Kedua, nama Allah yang diajar kepada manusia tertentu sehingga ia melafazkannya iaitu nama tersebut mungkin tak pernah ada dalam Al-Quran tetapi Allah ilhamkan kepada seseorang tersebut dan dia menyebutkan nama tersebut dan itu hanya Allah yang tahu bahawa itu adalah nama Allah swt. Yang ketiga, nama Allah yang Allah simpan nama tersebut sehingga Dia sahaja yang tahu dan nanti di akhirat, Allah swt akan beritahu kepada manusia.

 Di antaranya kepada Nabi Muhammad, nanti pada waktu peristiwa syafaat, ketika Nabi memberi pertolongan kepada umat manusia, Allah memberi satu petanda bahawa mulanya untuk boleh memberikan satu syafaat. Riwayat tersebut dikatakan bahawa nabi sujud kepada Allah swt dan masa sujud tersebutlah Allah ajarkan nabi nama Allah yang tak pernah disebutkan oleh siapa-siapa, tak pernah ada di dalam kitab-kita, yang hanya diajarkan masa itu sahaja kepada nabi lalu nabi sebut nama tersebut dan Allah berkata “Wahai, kau angkat kepalamu dan engkau berikanlah syafaat kepada sesiapa yang kau inginkan”. 

Ada juga yang mengatakan huruf Muqataah ini Asmaaul Quran (اسماء القرءان), ialah nama-nama Al-Quran yang lain. Menurut pendapat ini, Taa Sin juga merupakan salah satu nama lain bagi Al-Quran. Pendapat yang kelima pula, huruf maqataah ini merupakan Al-Qasam (القسم) iaitu sumpah. Allah swt seolah-olah bersumpah dengan awal nama surah ini dengan Tho Sin tersebut. Buktinya selepas itu ada penegasan di ayat ke empat tersebut. Sumpah biasanya ada penegasan. Yang seterusnya pula ialah ia adalah huruf hijaiah kepada asma’ Allah ( حروف الهِجَاء لاسمَاءِ الله ), ada yang mengatakan ia adalah singkatan kepada nama Allah swt. Dan pendapat yang ketujuh mengatakan ia merupakan ringkasan kepada huruf hijaiah yang ada dalam bahasa arab. Kita tahu bahawanya ada huruf hijaiah ada 28. Jadi, Allah swt bagi ringkasannya pada awal-awal surah ini. 

Inilah antara pendapat- pendapat ulama’ berkaitan dengan huruf-huruf muqataah ini. Dan kesimpulannya, mereka ini ada yang mentafsirkannya dan ada yang menyerahkan maknanya kepada Allah swt. Alhamdulllah, semoga perkongsian ini bermanfaat. Harini baru saya dapat berkongsi muqadimah (pengenalan) kepada surah An-Naml. insyaaAllah selepas ini kita akan masuk kepada isi, apa yang kita boleh ambil daripada daripada surah An-Naml ini. Sekali lagi, surah An-Naml adalah surah yang penting bagi kita hayati. Maka, saya berharap tuan puan tetap bersama dengan kita. insyaaAllah esok 8 hingga 9 pagi, kita akan sambung perkongsian kita ini. Mudah-mudahan perkongsian ini memberi pencerahan kepada tuan puan, insyaaAllah. insyaaAllah jumpa lagi. Semoga kita berada dalam keadaan yang sihat dan beriman. Assalamualaikum wrbt.









































No comments:

Post a Comment