Wednesday, 19 August 2020

TADABBUR SURAH AN-NAML SESSI 2 AYAT 1-2 : 16 Aug 2020M

 Kuliah tadabbur surah An-Naml Online Part 2, membahas tentang surah An-Nal ayat 1-4

 Nota Perkongsian 16.08.2020

Tadabbur Surah An-Naml

Tema: MEMBINA PERADABAN (Tamadun) MANUSIA UNGGUL 

Oleh: Ustaz Dr Firdaus Sulaiman

Bacaan:

طسٓ ۚ تِلْكَ ءَايٰتُ ٱلْقُرْءَانِ وَكِتَابٍ مُّبِينٍ

Thaa Siin (Surat) ini adalah ayat-ayat Al Quran, dan (ayat-ayat) Kitab yang menjelaskan,

(An Naml 27:1)

هُدًى وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

untuk menjadi petunjuk dan berita gembira untuk orang-orang yang beriman,

(An Naml 27:2)

ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُم بِٱلْءَاخِرَةِ هُمْ يُوقِنُونَ

(yaitu) orang-orang yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan mereka yakin akan adanya negeri akhirat.

(An Naml 27:3)

إِنَّ ٱلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِٱلْءَاخِرَةِ زَيَّنَّا لَهُمْ أَعْمٰلَهُمْ فَهُمْ يَعْمَهُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada negeri akhirat, Kami jadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka, maka mereka bergelimang (dalam kesesatan).

(An Naml 27:4)

................................................

Saudara fillah yang dikasihi sekalian,

Selamat pagi kepada semua. Semoga semua dalam keadaan sihat walafiat, Alhamdulillah. pada pagi ini kita kembali bersama sama dapat live pada tadabbur siri kedua kita yang mana ini adalah pertemuan kedua kita juga membincangkan Surah An-Naml. Bagi yang baru bergabung dengan kita, ini merupakan siri kedua daripada kuliah tadabbur kita yang mana sebelum ini kita membincangkan Surah An-Nahl. 

Apa makna Surah An-Naml? Iaitu Surah Semut dan ia juga dinamakan juga sebagai Surah Sulaiman. Kenapa? Kerana di dalamnya terkandung kisah Nabi Sulaiman yang dibincangkan lebih panjang lebar dibandingkan dengan kisah-kisah nabi yang lain yang juga ada dalam surah Al-Naml ini.  Ingat saudara-saudari sekalian, surah An-naml merupakan surah yang ke 27, terdapat pada juzuk yang ke 19. Kita akan baca hari ini ayat 1 sampai 5 dan kita lihat nanti sampai mana kita dapat membincangkannya. 

Surah An-Naml, surah yang mengarahkan kita kepada satu perkara penting yang perlu kita bina dan kita capai dalam kehidupan kita iaitu membina satu peradaban, satu tamadun yang unggul berdasarkan kepada panduan Allah swt. 

Maka, Allah mendatangkan An-Naml ataupun semut untuk kita jadikan pengajaran dan pelajaran yang berharga untuk kita membina peradaban tersebut. Dan Allah mendatangkan juga Nabi Sulaiman yang merupakan kisah utama dalam surah An-Naml ini sebagai contoh teladan bagi kita juga dalam membina peradaban dan tamadun itu.

Maka, Nabi Sulaiman adalah nabi yang berjaya membina sebuah kerajaan yang besar, yang luas, kerajaan yang adil, yang mendirikan kalimah Allah di muka bumi ini dan juga kerajaan yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk rakyat. 

Dialog antara Nabi Sulaiman dengan semut merupakan pengajaran yang berharga bagi kita. Bagaimana seorang pemimpin berdialog bernegosiasi dengan manusia atau dengan orang lain. Maka apabila pemimpin mengikut cara Nabi Sulaiman ini, maka MasyaAllah. Dan kalau rakyat semua atau bawahan yang bersifat seperti semut kalau arahan dari atas itu diterima maka dilaksanakan dengan baik. Kepimpinan yang baik dalam membina tamadun atau peradaban. 

Pada pertemuan yang lepas, kita sudahpun membincangkan sedikit tentang pengenalan terhadap surah An-Naml ini dan juga saya dah masuk pada bahagian awal Surah An-Naml iaitu ayat pertama membincangkan iaitu Taa. Sin yang mana kita telah menerangkan bahasa taa sinn ini merupakan di antara huruful muqataah, huruf yang dibaca secara terpisah. 

Sebahagian ulama’ menyerahkan makna taa sinn ini kepada Allah swt dan ada yang berusaha untuk menjelaskannya. Ada yang menjelaskannya dengan berbagai macam maksud. Dan kita dah bincangkan juga, ada yang mengatakan bahawasanya ia adalah nama surah, ada yang mengatakan ia setakat pembuka bagi surah dan kemudian ada yang mengatakan dia adalah nama Allah dan ada yang mengatakan nama Quran, dan ada yang mengatakan sumpah Allah dan ada yang mengatakan ia merupakan potongan atau singkatan daripada huruf hijaiah yang membentuk nama-nama Allah. Dan ada beberapa pendapat yang lain tetapi semua pendapat ini akan kita kembalikan kepada Allah. Allah sahaja yang tahu. Kenapa tuan-tuan, puan-puan yang dikasihi sekalian? Disebabkan taa sinn ini termasuk di dalam ayat-ayat mutasyabihat. 

Ayat mutasyabihat macam mana? Ayat AlQuran ada dua jenis. Pertama, ayat muhkamat iaitu ayat yang jelas dan mudah difahami maksudnya. Apabila dibaca, hatta oleh orang awam boleh tangkap maknanya seperti tuan puan membaca, 

Ini namanya ayat Muhkamat, . Ayat yang jelas, yang mana bila kita katakan Allah yang Esa, Esa tu satu lah. Jadi, kalau ada orang cuba tafsirkan Esa itu dengan dua, tiga maka itu sudah bercanggah daripada prinsip asasnya tersebut. Maka ayat-ayat yang lain tuan-tuan dan puan-puan dibina ataupun ditafsirkan dan dijelaskan berdasarkan ayat muhkamat ini dulu. Ia adalah ayat yang majoriti di dalam Al-Quran. 

Ayat yang kedua merupakan ayat mutasyabihat. Ayat mutasyabihat ialah ayat yang mempunyai makna yang berlapis. Inilah maknanya, kalau kita masuk dalam lagi, inilah maknanya. Jadi, ada beberapa makna yang masing-masing makna tersebut tidak dapat kita pastikan. Yang mungkin yang menentukan hanya Allah swt. Di antara ayat mutasyabihat itu adalah ayat yang dalam bentuk Huruful Muqataah, huruf yang di depan ini yang mana kita akhirnya akan mengembalikan makna sebenarnya dari ayat ini kepada Allah swt. 

Pengajaran bagi kita apa tuan-tuan dan puan-puan sekalian? Bahawasanya, dalam hidup kita ini ada perkara yang jelas dan mudah difahami oleh manusia. Perkara tersebut perkara yang tidak perlu kajian, penelitian dan kalau kita nampak dan kita lihat dan kita cuba cerna secara zahir sahaja, ia dapat kita fahami. Perkara ini yang banyak sebenarnya. Majoriti perkara itu jelas dan ia tidak susahpun. Dan ketahuilah ada juga perkara yang susah, perkara yang berat, perkara yang perlukan pada kajian dan telitian yang memahami apa yang tersirat di dalamnya. Kadang-kadang tuan puan tanya kepada pakar, 

Setelah tuan puan bertanya itu, baru tuan puan faham. Kadang-kadang, di antara perkara yang ada dalam kehidupan kita ini dah tanya pada pakar pun tak jelas juga. Yang akhirnya, tuan puan akan kembalikan kepada Allah swt. Wallahu a’lam. Ya Allah, aku ini manusia, hambamu yang lemah ya Allah. Mahu tak mahu aku kembali kan balik kepadamu apa yang Engkau maksudkan dengan perkara yang aku hadapi ini. Jadi tuan puan, dalam hidup kita ada perkara yang muhkamat dan ada juga perkara yang mutasyabihat. Dalam hukum hakam juga seperti itu juga, tuan tuan dan puan-puan. Ada hukum hakam yang jelas, dinamakan halal dan haram. 

Kata nabi muhammad saw, Perkara yang halal itu adalah jelas, perkara yang haram itu adalah jelas. Di antara perkara yang halal dan haram tersebut ada perkara yang samar-samar, yang kita tidak dapat pastikan apa yang dimaksudkan dengannya. Jadi, kita dalam kehidupan ini perlu menerima itu. 

Kadang-kadang, orang menganggap semua perkara mesti jelas. Semua perkara mesti mudah. Dan dia berusaha berbagai macam dan akhirnya tak dapat dia nak fahami lalu dia stress. Dan kita perlu ingat, kalau dah memang berat, tak mampu untuk kita memahami atau kita mengetahui apa yang terkandung dalamnya itu, maka kita balikkan kepada Allah swt. Allahu A’lam. Ya Allah, Engkau yang maha tahu, ya Allah. Jadi, jangan kita paksakan sangat diri kita lalu menyebabkan diri kita stress. 

Orang-orang yang beriman tahu batas-batas ini. Maka, dia rajin untuk menyerahkan dirinya kepada Allah swt. Ini yang dinamakan Muslim, tuan puan. Muslim adalah mereka yang  menyerahkan dirinya kepada Allah swt. Yang tahu batas-batas daripada keupayaan dan kemampuannya. Ada batasnya. Ada orang mengatakan bahawa kita ini ‘unlimited’. Itu sebenarnya adalah penipuan terhadap dirinya sendiri. “Kemampuan kita tak terbatas”. Salah, sebenarnya dalam Islam, kita ada batas-batasnya itu. Allah mengajar kita berbuatlah dalam batas-batas tersebut. 

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا 

Itulah adalah batasan-batasan Allah. Jangan kamu melepasi batasan tersebut. Sebab kalau kamu melepasi batasan tersebut, kamu akan celaka. Kamu akan binasa, kamu sendiri yang akan susah. Jadi, dalam hidup kita ini, terimalah tuan-tuan dan puan-puan sekalian bahawa ada perkara yang mesti kita serahkan kepada Allah swt dan ada perkara yang kita boleh fahami sendiri dan cerna sendiri. Maka Allah swt pada sebahagian ayat dalam Al-Quran, Dia sebutkan huruf-huruf Muqataah ini  yang memberi isyarat kepada kita bahawa kehidupan kita ini ada yang senang ada yang susah, ada yang rmudah, ada yang berat. Jadi, maka kita perlu rajin-rajin berhubung dengan Allah swt.

Soalan dari Tuan Haji Shukor

Dalam Ilmu balaghah, ayat mutasyabihat ini termasuk dalam golongan mana, ustaz?

Jawapan

Dalam ilmu balaghah, ayat mutasyabihat ini termasuk dalam ayat-ayat majaz, ayat ayat yang tidak direct dan menggunakan makna yang berlapis, ada beberapa kemungkinan makna yang mana tuan-tuan dan puan-puan perlukan kepada ta’wil (apa yang dimaksudkan disebaliknya), perlu cari rukun, hukum. Kalau dia majaz, apa a’laqahnya, apa hubungannya, apa sebab musababnya. Itu hanya diketahui oleh pakar-pakar

Jadi, dalam kehidupan kita ada batasnya. Tapi insyaaAllah sebenarnya perkara-perkara yang tuan puan keliru tersebut akan menjadi mudah apabila tuan puan menambah ilmu. Dengan ilmu ini, Allah akan tunjukkan mana yang tadinya samar menjadi terang. Oleh itu, jangan lupa untuk terus menuntut ilmu. 

Di sini menunjukkan kepada kita bahawasanya perkara yang tadinya samar-samar akan mudah tuan puan fahami jika tuan puan kembali kepada ayat-ayat Al-Quran. ayat-ayat Al-Quran akan membantu tuan puan untuk keluar daripada “keghumudhan” iaitu kekeliruan yang ada dalam kehidupan. Semakin tuan puan berdamping dengan Al-Quran, semakin tuan puan nampak jalan keluar daripada kesusahan yang tuan puan hadapi. Tuan puan akan jumpa jalan penyelesaian bagi perkara yang rumit bagi tuan puan. Maka, jangan jauh daripada Al-Quran. 

Apabila Allah swt sebutkan huruf Muqataah ini biasanya Dia akan ceritakan tentang Al-Quran. Maka, dalam awal surah Al-Baqarah tuan puan lihat, aliflammim ini adalah huruf muqataah. Kemudian, Allah sambung dengan …. Allah ceritakan tentang Al-Quran yang tiada keraguan padanya yang mana sesuatu yang kita perlu tanamkan apabila kita menghadapi kesusahan adalah kembali kepada Al-Quran. Kita cuba untuk menggali apa yang boleh membantu kita untuk menyelesaikan masalah ini. 

Kadang-kadang, tuan puan baca sahaja ayat Al-Quran tersebut, nanti lega hati, tenang jiwa selepas itu akan terbuka idea. Tuan puan akan nampak apa yang perlu tuan puan buat. Sebab apa? Sebab AlQuran itu merupakan syifaul lima filsudur. Dia adalah ubat kepada hati kita, ubat kepada fikiran kita yang buntu, ubat kepada fikiran kita yang tak boleh nak memahami sesuatu. 

Lalu, tuan puan balik kepada Quran,  baca, renung-renungi maknanya, cuba hayati dan cuba untuk mengaplikasikannya dalam kehidupan tuan puan. Dengan aplikasinya, tuan puan rasa lega, nampak jalan keluar. Maka, dalam kehidupan ini tuan puan jangan jauh daripada Al-Quran.

Selalu lah berdamping dengan Al-Quran, ambil masa untuk membaca Al-Quran dna kalau boleh jangan berjauhan daripada program-program yang ada kaitan dengan ilmu Al-Quran. Ikutlah tafsir Al-Quran, tadabbur Al-Quran, tilawah Al-Quran, bahasa arab Al-Quran, berkaitan dengan Al-Quran tersebut. 

Dan kemudian,  tambah- tambahkanlah dengan ilmu yang lain, bukan hanya Al-Quran sahaja iaitu seperti ilmu Hadith, Feqah yang merupakan cabang daripada Al-Quran itu sendiri. Jadi, Al-Quran melahirkan ilmu sunnah, ilmu hadith, ilmu feqah, ilmu tauhid, ilmu aqidah. Jadi, itu kita perlu pelajari, dekat - dekat selalu. 

Dengan itu, akan semakin jelaslah perkara-perkara dalam kehidupan kita ini. Yang dahulunya mungkin  nampak samar-samar,  tak berapa faham tapi selepas tuan puan berdamping Al-Quran, tuan puan akan terasa nanti ‘ish ternyata. inilah maksudnya’. Saya dapat maklum balas daripada kuliah tadabbur surah An-Nahl kita dahulu yang mana dengan tadabbur ini saya dapat baca apa yang berlaku dalam kehidupan saya dan lebih jelas  lagi hala tuju kehidupan saya. 

Tuan puan yang dikasihi sekalian, itu bukan dari saya tapi dari Allah swt. Saya hanya menyampaikannya sahaja. Jadi, jangan jauh daripada Al-Quran. InsyaaAllah, Al-Quran ini membantu tuan puan untuk mudah melalui onak duri kehidupan ini. 

Kalau kita kaitkan dengan tema kita tuan puan yang berkaitan dengan membina tamadun , peradaban yang unggul. Maka, peradaban yang unggul mestilah berlandaskan kepada wahyu Illahi yang bersumberkan daripada Al Quran. 

Kemudian, ditafsirkan kepada hadith-hadith ataupun sunnah-sunnah Rasulullah Saw. Semakin kita merujuk kepada dua perkara ini, maka kehidupan kita akan semakin senang, semakin mudah, semakin nampak jelas. 

Saya menonton satu perkongsian yang disampaikan oleh seorang paderi dan saya share dalam page saya bagaimana seorang paderi ini berceramah di hadapan orang ramai, orang kristian dan dia membaca dan mengkaji Islam bahawasanya Islam ini agama yang jelas halatuju kehidupan kita ini. Halatuju kehidupannya adalah untuk Allah. Bahkan dalam video tersebut dia tunjukkan macam mana orang Islam ini solat lima waktu.

 Jadi, agama Islam adalah agama yang jelas, ada landasannya, ada sumbernya. Kalau sesuatu pekerjaan itu ada landasnya, ada sumbernya, kita akan lebih percaya, lebih konfiden. Ada orang  dia beramal tapi tiada ilmu tentang amal tersebut, beramal kerana orang lain buat. Dia tidak ada landasan. 

Jika sekiranya tuan puan belajar sekarang dan ada ilmu, dengan ilmu tersebut tuan puan yakin dan konfiden untuk melakukannya itu. Jadi, peradaban Islam itu peradaban yang mengajar kita perjalanan hidup yang jelas sehingga kita sentiasa berada dalam bimbingan tersebut. 

Kita sambung kepada ayat yang selanjutnya, 

Apakah yang dimaksudkan dengan kitab yang jelas ini? Kata ulama’ tafsir adalah kitab yang ada luth mahfuz yang disebutkan oleh Imam Fakhul Ar-Razi yang mana kitab yang mencatat setiap ketetapan Allah swt terhadap makhluknya dari A sampai Z, daripada awal sampai akhir, Allah swt dah catat apa yang berlaku termasuklah pada setiap individu kita. 

Allah sifatkan kitab yang berada di luth mahfuz ini adalah jelas, mubin adalah jelas. Mubin ini kita kita balik kepada bahasa arab, ia berasal daripada perkataan abana, yubinu, yubinun. Mubinun dia mutaa’di, jelas yang membantu kita untuk faham. Jadi, Allah swt membuat ketetapan-ketetapan dalam kehidupan kita ini yang membantu kita untuk faham akan kehidupan kita ini. 

Maka dengan itu tuan puan, selain kita merujuk kepada Al-Quran dan Sunnah, kita perlu memahami ketentuan dan ketetapan Allah swt. Ingat lagi perkongsian kita tentang Surah An-Nahl dahulu. Surah An-Nahl juga menitikberatkan kepada kita tentang perkara ini iaitu tentang Amrullah, ketetapan dan ketentuan Allah swt. Maka, sebagai seorang mukmin, kita perlu faham tentang prinsip ketetapan dan ketentuan Allah swt yang mana telah tertulis sejak zaman kita belum ada lagi, sebelum kita wujud lagi. 

Siapa ingat lagi tentang 2 bentuk takdir ketetapan Allah kepada manusia dan kepada makhluknya? Ketetapan dan ketentuan Allah itu ada dua iaitu takdir mubran dan takdir muallaq. Apakah itu takdir mubran dan apakah itu takdir muallaq? Ini kita perlu fahamkan supaya kita dapat menjalani hidup kita dengan jelas. Ramai orang tidak faham prinsip ini sehingga dia teragak-agak dalam kehidupannya.

 Bahkan nanti Allah swt cerita ada orang yang dalam kesesatan yang mana mereka ini akan ya’mahun, terombang-ambing, terombang-ambing dalam kesesatan. Ketetapan Alllah yang mubran ini ialah ketetapan Allah yang tidak dapat kita ubah, hanya Allah sahaja yang tahu, malaikat pun tidak tahu, ‘ending’ (pengakhiran) seseorang itu hanya tuhan sahaja yang tahu. 

Ada orang bergelumang dengan dosa tetapi di akhir hayatnya dia berubah menjadi seorang yang taat. masyaaAllah, orang terkejut. Inilah yang dinamakan ketetapan Allah swt. Hujung itulah yang dinamakan mubran, hujung yang tidak akan berubah. 

Takdir muaalaq pula takdir yang boleh berubah yang mana ia bergantung kepada kita bagaimana kita merespon dan menghadapinya. Muallaq ini diketahui oleh malaikat tetapi ia bukan nya ‘ending’ (pengkahiran) semua itu. Ia hanyalah pengetahuan asas sahaja. 

Contohnya, si fulan ini akan berkahwin, si fulan ini akan mati dalam lingkungan umur 70 tahun, tetapi dengan siapa dia berkahwin tersebut itu hanya Allah sahaja yang tahu. Kita perlu faham ini. Dalam kehidupan ini ada peranan, kita ini bukanlah seperti ajaran jabariah iaitu kehidupan kita ini hanyalah seperti kapas yang diterbangkan, kita tak punya peranan apa-apa. Maka, kita tak boleh nak buat apa. 

Dalam aqidah sunnah waljamaah tidak seperti itu. Dalam sunnah wajamaah, ada perkara yang kita tidak boleh nak involve, tak boleh nak tadakhul kata orang arab, tidak boleh kita ikut campur. Ada perkara yang mana perkara tersebut kita diberikan kebebasan oleh Allah swt iaitu amanah yang besar yang kita bincangkan di surah Al-Nahl iaitu hurriyatul ikhtiar namanya, kebebasan untuk memilih. 

Ada kebebasan untuk memilih. Seperti sekarang ini tuan puan memilih untuk turutserta dalam kuliah tadabbur kita ini ataupun tuan puan nak join tengok drama. Tuan puan ada pilihan nak berjogging atau majlis ilmu. Setiap pilihan kita ada consequence nya. Yang baik tuan puan pilih, akan dapat balasan yang baik. Yang buruk, tuan puan akan dapat balasan yang buruk. Ini sebenarnya dalam kitaran muallaq, bagaimana kita menentukan muallaq kita. 

Allah berkata ‘kitabul mubin’ , ketetapan Allah itu jelas. Tapi ketetapan itu jelas bagi siapa? Ini yang kita akan bincangkan. Ketetapan itu akan jelas bagi orang-orang yang beriman. Jadi, sambungan ayat kita Allah swt berfirman, 

Al-Quran merupakan petunjuk dan berita gembira bagi orang yang beriman, bagi orang percaya, bagi orang yang mengetahui perkara tersebut lalu menyakininya dan mengikutinya dan mengamalkannya. Itu akan membantu kehidupannya. Oleh itu, rajin-rajinlah dekat dekat Al-Quran. 

Dan juga meyakini kehidupan kita ini ada yang mengaturnya, ada ketetapan yang sudah diletakkan kepada kita dan kita perlu mengikutinya. insyaaAllah, dengan mengikuti ketetapan tersebut, akan menjadi mudahlah kehidupan kita. Seperti mana tuan puan mengikuti Al-Quran, hidup tuan puan menjadi mudah. Maka ketahuilah tuan puan, mengikuti ketetapan Allah itu merupakan suatu yang akan membantu tuan puan dalam hidup ini juga. 

Saudara saudari fillah yang dikasihi sekalian, Pelajaran kita tentang ketetapan Allah tersebut kaitan tentang perbincangan tema kita iaitu peradaban yang unggul. Landasan peradaban yang unggul selain daripada Al-Quran dan Sunnah rasulullah, ia juga berdasarkan kepada keyakinan bahawa Allah swt ada ketetapan dan ketentuan.

Ketetapan dan ketentuan Allah tersebut mempengaruhi kehidupan kita ini. Maka, kita tahu nanti ketika kita berusaha dan berusaha nanti, yang lain juga dapat. Maka kita balik, ini Allah punya kerja. Ini yang namanya adalah mubran yang kita tidak boleh ubah. 

Aku perlu terima dengan hati yang lapang, jiwa yang redha, fikiran yang tenang dan yakin ini adalah daripada Allah swt. Jadi tak adalah sampai kita nak bunuh diri ketika apa yang kita inginkan, apa yang kita harapkan tak sampai. Jadi, kita berserah pada Allah swt. Dengan demikian, jelaslah kehidupan kita. 

Dengan Al-Quran, hidup kita jelas. Dengan meyakini ketentuan dan ketetapan Allah, makin jelaslah kehidupan kita. Sayang dalam bab ketentuan dan ketetapan ini mereka tidak faham, mereka akan rasa susah dalam hidupnya. Jadi, bersyukur kepada Allah swt. Tuan puan perlu selalu rajin mengikuti majlis ilmu menambah kefahaman  yang akan membantu  makin mudah dan jelas dalam kehidupan ini. 

Kita bina kehidupan kita. Apa yang kita dapat isyaratkan pada taa sin tadi bahawa ada kehidupan kita ini yang kurang jelas, susah kita nak tangkap. Maka macam mana nak mengetahuinya, back to Quran. Lepas tu jangan lupa, back to takdir, back to ketentuan dan ketetapan Allah swt yang sudah ditulis sejak zaman azali lagi. 

Jangan pernah give up. Pulangkan sahaja kepada Allah swt tapi dengan usaha dahulu. Ketetapan Allah ada yang dizahirkan di dalam Al-Quran, ada yang dizahirkan dalam peristiwa-peristiwa yang berlaku di alam ini. Ada ketetapan yang ditunjukkan, diajarkan kita dengan adanya Al-Quran. 

Dan perlu kita belajar juga, ketetapan Allah ini melalui peristiwa yang berlaku di sekeliling kita, melalui perubahan-perubahan kehidupan ini. Allah swt tidak menjadikan sesuatu peristiwa melainkan sebagai pengajaran bagi kita. Maka, kita cuba untuk menghayati itu. Jika si fulan itu melakukan seperti ini, mungkin akan berlaku pada aku juga. 

Jadi,  kita belajar daripada Al-Quran, belajar daripada alam. Buya hamka berkata “alam berkembang menjadi guru”. Alam ini boleh kita jadikan guru, kita belajar banyak perkara dan kita sudah bincang pada pertemuan yang lepas dalam tadabbur surah Al-Nahl. Jadi, kita tidak boleh jauh daripada ketetapan Allah tersebut, daripada ketetapan Allah dalam Al-Quran dan juga ketetapan Allah yang telah ditetapkan dalam alam ini, dalam makhluk ciptaanNya ini. 

Dalam ayat kedua, Allah berfirman,

Jadikan Al-Quran itu petunjuk supaya  jelas dalam menghadapi pancaroba kehidupan ini. Petunjuk maknanya untuk di ikuti. Allah dah bagi petunjuk-petunjuknya, signboardnya. Ikuti sahajalah petunjuknya, insyaaAllah  akan mudah hidup ini. 

Selanjutnya, ada berita gembira menunjukkan bahawa mukmin itu akan ada ‘surprise’ dalam hidupnya. Ada benda-benda yang membuatnya gembira. Jadi, orang mukmin ini bukanlah orang yang sedih sahaja, tak boleh nak tersenyum, hanya bermasam muka. Orang mukmin sebenarnya orang yang sentiasa happy sebenarnya, orang yang sentiasa bahagia sebabnya 

Allah berikan berita gembira dalam kehidupannya sendiri. Apa lagi yang nak dirisaukannya lagi? Ingat, kerisauan orang beriman adalah apabila membuat dosa tetapi itupun ada jalan penyelesaiannya, ada jalan keluarnya. Apa jalan keluarnya? Itulah taubat, kembali dekat diri kepada Allah swt. Jangan kita dirundum oleh kesedihan. Kita perlu bangkit kesusahan kehidupan kita ini dengan optimist. Hari ini kita dihadapkan dengan pkp, dengan suasana yang berbeza dengan sebelum ni, krisis macam-macam sekarang tapi kita ada pegangan, kita ada petunjuk yang boleh kita jadikan panduan iaitu Al-Quran dan ketetapan Allah yang ajarkan daripada peristiwa alam ini. 

Oleh itu Jaga iman kita. Jangan kita leka sehingga kita jauh daripada Allah, daripada Al-QuranNya, daripada Sunnah rasulNya, daripada perintahNya. Tuan puan yang dikasihi sekalian, sentiasalah kita berhubung dengan Allah swt. Saya rasa setakat itu sahaja. Kita tutup dengan tasbih kafarah dan surah Al-Asr.

...............................

No comments:

Post a Comment